Sistem beraja (monarki) di Semenanjung Tanah Arab telah bermula seawal pemerintahan Khalifah Dinasti Muawiyah lagi. Muawiyah Abu Sufian telah memulakan sistem perlantikan pemimpin atau ketua negara yang berasaskan nasab keturunan beliau.
Untuk sistem yang sebegini, tidak ada cara yang boleh menurunkan ketua negara yang ‘tidak baik’ melainkan menggunakan kekerasan. Jika ada pihak yang tidak puas hati dengan raja, mereka terpaksa melakukan pemberontakkan terhadap raja. Untuk melakukan pemberontakan, mereka harus mempunyai jiwa yang berani dan nekad.
Risikonya sangat tinggi. Kalau mereka kalah, mereka sudah pasti akan dihukum bunuh, kerana mengikut fatwa ulamak raja, sesiapa yang merancang atau berkomplot menjatuhkan pemerintahan Islam, hukumannya adalah pancung kepala. Tetapi kalau mereka menang, ketua pemberontak ini akan melantik dirinya sebagai raja baru.
Sistem raja monarki bukanlah satu sistem yang baik, bakat dan nilai-nilai kepimpinan yang baik bukanlah sifat-sifat yang boleh diturunkan kepada anak. Jika anak raja itu berperangai buruk, beliau tetap juga akan menjadi raja menggantikan ayah beliau yang mangkat. Sudah tentu rakyat akan menjadi susah dan derita jika raja mereka berperangai buruk.
Raja-raja yang berperangai buruk ini bergantung kepada kekuatan tentera-tenteranya untuk mengekalkan kuasanya dari ancaman musuh dan pemberontakan. Mereka juga melantik ulamak yang setiap masa mengeluarkan fatwa bagi menyokong pemerintahan mereka. Termasuklah fatwa menghukum bunuh ke atas siapa sahaja yang menentang raja kerana dianggap sebagai menentang pemerintahan Islam.
Sehinggakan tidak ada rakyat yang berani mempersoalkan minyak yang terkandung di perut bumi negara Saudi itu adalah milik Raja Saudi. Dalil dan fatwa manakah yang mereka ambil dari ajaran Islam untuk mengatakan segala minyak yang terdapat dalam perut bumi negara Saudi itu adalah milik Raja.
Sistem demokrasi memberi peluang dan ruang kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin negara dan menurunkan pemimpin yang kurang baik tanpa berlaku pertumpahan darah dan kekerasan.
Dalam amalan demokrasi, tidak timbul lagi masalah untuk menjatuhkan pemerintahan Islam, kerana yang terbaik itu sudah pastinya Islam dan sudah pasti akan terpilih. Sebaliknya yang selalu menjadi masalah, bila orang politik menggunakan Islam untuk kepentingan politik, bukan menggunakan politik untuk kepentingan Islam.
Sekalipun Amerika mengiktiraf demokrasi sebagai amalan yang terbaik dan dikenali sebagai negara pelopor sistem demokrasi, tetapi Amerika tidak rela Saudi menjadi sebuah negara demokrasi. Malah Amerika lebih selesa jika Saudi terus diperintah secara monarki, demi kepentingan Amerika sendiri.
Bagi Amerika, lebih mudah untuk mengawal dan menguasai Raja Saudi berbanding untuk menguasai rakyat negara itu. Raja Saudi berkuasa penuh kepada rakyat baginda, dan baginda pula berada dalam genggaman Amerika. Raja Saudi ditakut-takutkan oleh Amerika dengan musuh-musuh baginda terutamanya ancaman dari negara jiran iaitu Iran.
Amerika begitu berjaya meyakinkan Raja Saudi adanya ancaman Iran terhadap kedudukan keluarga baginda sehingga sanggup meminta Amerika mengebom Iran seperti yang didedahkan oleh Wikileaks baru-baru ini. Walhal kita semua tahu, kalau pun Iran mampu membina senjata nuclear, ia bukanlah ditujukan untuk menyerang Saudi tetapi adalah untuk menghapuskan Israel.
Demi kebaikan Islam, sudah sampai masanya rakyat Saudi dicelikkan dan bertindak untuk menurunkan Raja mereka yang memerintah secara monarki itu. Hasil minyak yang melimpah ruah yang dikaut dari perut bumi Saudi itu tidak patut diserahkan bulat-bulat kepada baginda, sehingga menjadikan baginda dan kerabatnya hidup mewah dan berfoya-foya semahu mereka.
Yang lebih kita kesalkan sebagai umat Islam, Raja Saudi telah menjadi tunggangan Amerika sehingga menjadi penghalang kepada negara itu untuk membela dan membantu Palestin menentang Israel.