Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, October 29, 2010

Kita belum ada Pemimpin Malaysia Sejati





Sejak Negara kita merdeka, rasanya kita belum lagi menemui pemimpin Negara yang boleh termasuk dalam golongan Pemimpin Malaysia Sejati.

Kebanyakan pemimpin yang menjadi pemimpin Negara kita hari ini mahupun sebelum ini lebih dikenali sebagai pemimpin kaum sahaja.

Semua pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri Negara kita adalah datang dari pemimpin parti politik yang mewakili kaum mereka. Dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib, semuanya adalah pemimpin parti UMNO, parti yang memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin ini mungkin ada yang sangat disayangi oleh orang-orang Melayu tetapi belum tentu mereka juga disayangi oleh kaum-kaum lain.

Tun Razak pemimpin yang begitu mengambil berat kedudukan ekonomi orang-orang Melayu yang rata-ratanya daif di masa beliau menjadi Perdana Menteri. Orang Melayu yang hidup secukup makan hasil dari pertanian tradisional di waktu itu telah diubah dengan pembukaan tanah rancangan mega yang lebih komersial dan mampu menjana pendapatan yang lebih besar kepada setiap keluarga peneroka.

Pemergian beliau ke ramahtullah pada tahun 1976 telah ditangisi oleh hampir semua orang Melayu yang merupakan kehilangan besar dan telah banyak berjasa kepada mereka.

Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri yang dikenali bersifat lemah lembut dengan kaum Cina. Orang-orang Cina sangat menyenangi sikap Tunku. Hingga mereka tidak teragak-agak untuk menamakan sebuah kolej atau universiti yang ditaja oleh kaum Cina dengan nama Tunku Abdul Rahman.

Apakah Tunku Abdul Rahman boleh dianggap sebagai Pemimpin Malaysia Sejati kerana beliau juga disukai oleh kaum Cina selain dari kaumnya sendiri? Mungkin pandangan ini masih lagi boleh dipertikaikan.

Datuk Onn Jaafar pernah meninggalkan parti UMNO untuk menubuhkan parti politik yang tidak berasaskan kaum, tetapi gagasan beliau itu telah menemui kegagalan apabila tidak mendapat sambutan besar dari semua kaum. Kegagalan parti yang beliau asaskan itu telah juga menggagalkan beliau untuk menjadi Pemimpin Malaysia Sejati.

Tun Mahathir pula terkenal dengan jolokan ultra Melayu. Jolokan ini sudah cukup untuk tidak melayakkan beliau dipanggil Pemimpin Malaysia Sejati.

Pemimpin Malaysia Sejati tidak semestinya lahir dari kaum Melayu tetapi beliau boleh datang dari kaum Cina atau India atau kaum lain. Apa yang penting beliau disayangi dan disenangi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan agama.

Pemimpin Malaysia Sejati yang menjadi impian semua rakyat Malaysia ini seharusnya seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat Malaysia melebihi kepentingan kaumnya sendiri.

Walaupun nampak seperti sukar untuk kita mendapatkan pemimpin yang bersifat demikian tetapi ini tidak bermakna ia suatu perkara yang mustahil.

Apa yang saya nampak, parti politik yang tidak berasaskan kaum lebih berpeluang besar untuk melahirkan Pemimpin Malaysia Sejati berbanding dengan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti yang menguasai Negara kita sekarang ini.

Pemimpin yang menyayangi rakyatnya pasti akan disayangi oleh rakyatnya. Rakyat sanggup mati untuk mempertahankan pemimpin yang disayangi.

Pemimpin yang hidup bermewah-mewah, menyalahgunakan harta Negara, melakukan banyak pembaziran, memperkaya diri dan saudara mara sendiri, sudah tentu tidak akan mendapat kasih sayang dari rakyat. Sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat kepada pemimpin-pemimpin seperti ini hanyalah sokongan yang pura-pura sahaja.

Friday, October 22, 2010

Kalau sudah terkunci kemas, kenapa perlu hendak risau?


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kedudukan orang Melayu serta bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain adalah terkunci kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka, PWTC semalam, beliau berkata, peruntukan Perlembagaan tidak dapat diubah walaupun mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen, tanpa kebenaran sembilan raja Melayu.

Dengan ucapan yang berapi-api PM Najib seterusnya memberi amaran keras:

“Kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!”

Apakah kata-kata beliau itu bermaksud, kalau tidak dapat cara lembut, dengan cara keras pun (by hook or by crook) Putrajaya mesti dipertahankan? Lupakah Najib, bukankah Negara kita mengamalkan lunas-lunas demokrasi?

Kalau sudah terkunci kemas, kenapa PM Najib perlu memekik-mekik di dalam dewan PWTC untuk memberitahu dunia perkara tersebut tidak boleh diubah. Samada diucapkan secara memekik atau secara nada perlahan ia tidak akan mengubah apa-apa kerana ia telah terkunci kemas.

Sebagai pemimpin sebuah parti politik yang berasaskan kaum, PM Najib tidak dapat memisahkan dirinya dari mesti dilihat sebagai juara memperjuangkan kaumnya supaya beliau kekal popular dan terus dipilih menjadi presiden oleh ahli partinya.

Kalau pada hari-hari sebelum ini PM Najib begitu megah memakai topi 1Malaysia, tetapi untuk masa dua tiga hari ini beliau terpaksa memakai topi 1Melayu sempena perhimpunan agung parti yang dipimpinnya.

Saya tidak pasti samada kekebalan Raja-raja Melayu telah tidak termasuk dalam peti yang terkunci kemas itu, sehingga telah dapat dilucutkan oleh kepimpinan UMNO sendiri pada suatu masa dulu.

Saya percaya bukan sahaja orang UMNO, malah ramai rakyat Malaysia yang lain juga gembira bila kekebalan Raja-raja Melayu itu dilucutkan. Kerana ini memang sangat bertentangan dengan nilai manusia yang bertamaddun dan nilai agama untuk membenarkan manusia lain begitu istimewa, sehingga mereka boleh berada lebih tinggi dari undang-undang.

Kita bukan persoalkan samada telah dikunci kemas atau pun tidak. Yang kita persoalkan apakah yang dikunci itu bersesuaian dengan nilai-nilai manusia bertamaddun dan nilai-nilai agama.

Agama kita tidak pernah mengajarkan kita melakukan ketidakadilan, diskriminasi dan penzaliman. Hanya Tuhan sahaja yang layak untuk menentukan hak kita. Apakah hak kita untuk menentukan hak kita sendiri?

Kadang-kadang kita rasa pelik kenapa Abraham Lincoln, seorang yang berkulit putih bermatian-matian untuk menghapuskan amalan penghambaan di Amerika, sedangkan yang menjadi hamba itu semuanya rakyat Amerika yang berkulit hitam. Secara logiknya tidak mungkin atau tidak akan ada cucu-cucitnya akan menjadi hamba kalaupun beliau tidak memperjuangkan penghapusan amalan hamba di Amerika itu.

Tetapi kenapa Abraham Lincoln masih juga mahu menghapuskan amalan penghambaan itu? Sudah pasti, tidak lain, ia adalah atas dorongan nilai-nilai kemanusiaan yang bertamaddun dan nilai agama.

Friday, October 15, 2010

BN gagal dalam membina perpaduan antara kaum


Kalau kita tanyakan kepada setiap rakyat Malaysia hari ini, “sebutkan nama seorang (bukan 5 orang) sahabat karib anda yang berasal dari kaum lain dari kaum anda sendiri”, pasti ramai yang gagal untuk memberi jawapan kepada pertanyaan itu.

Untuk perbandingan, cuba kita tanyakan soalan yang sama kepada rakyat Singapore. Kita akan dapat jawapan yang jauh berbeza. Singapore mempunyai komposisi kaum yang hampir sama seperti Semenanjung Malaysia. Mereka ada kaum Cina, kaum Melayu dan kaum India seperti kita juga.

Walaupun Malaysia lebih dulu mendapat kemerdekaan berbanding Singapore, tetapi Singapore telah jauh mendahului kita dalam membina perpaduan antara kaum di kalangan rakyatnya.

Di mana silapnya kita? Tentu sekali kerajaan yang dipimpin oleh parti BN selama lebih 50 tahun itu tidak akan mahu mengaku dan meletakkan kesilapan itu ke atas mereka.

Malah mereka sentiasa berbangga untuk mengatakan Malaysia adalah satu-satunya Negara di dunia yang mempunyai sekolah-sekolah yang mempunyai bahasa pengantar Mandarin dan Tamil disamping bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

Sedangkan mereka tidak sedar bahawa itu adalah langkah yang paling tidak bijak di dunia yang mereka telah ambil, kerana tindakan mereka itu telah menebalkan tembok perkauman dan tidak membantu dalam membina perpaduan antara kaum di Negara ini.

Kita tidak melarang bahasa ibunda dan budaya ibunda setiap kaum diamal dan diajarkan di sekolah-sekolah. Malah kita sangat mengalu-alu dan menggalakkannya, supaya ia tidak pupus.

Tetapi bukanlah dengan cara memisahkan sekolah-sekolah kita mengikut kaum, sehingga membiarkan sekolah-sekolah di Malaysia dikenali mengikut kaum. Inilah satu kesilapan yang besar yang telah dilakukan oleh kerajaan parti BN, yang menjadi punca utama perpaduan antara kaum gagal dilaksanakan di Negara ini.

Kita telah mengorbankan keutuhan perpaduan antara kaum dengan memisahkan anak-anak bersekolah di sekolah mengikut kaum mereka semata-mata untuk mempelajari bahasa dan budaya ibunda mereka. Walhal bahasa dan budaya ibunda berbagai kaum boleh sahaja diajarkan di sekolah yang sama tanpa perlu membina sekolah yang berasingan mengikut kaum.

Kita memerlukan kepada kesungguhan politik untuk melakukan perubahan ini. Apakah Pakatan Rakyat dapat melakukan apa yang telah gagal dilakukan oleh BN dalam membina perpaduan antara kaum ini?

Barisan kepimpinan awal Singapore berpandangan lebih jauh ke depan dari pemimpin kita. Mereka telah tidak membenarkan sekolah dikenali mengikut kaum. Pada hari ini mereka telah dapat menikmati tahap keutuhan perpaduan antara kaum di kalangan rakyatnya yang jauh lebih baik dari kita.

Tidak dinafikan Singapore banyak menghadapi banyak cabaran dan halangan dalam membina perpaduan kaum di Negara itu, namun yang pentingnya mereka telah meletakkan batu asas yang betul dengan memulakan sistem satu sekolah pada hari pertama mereka menyambut kemerdekaan.

Siapakah pemimpin politik Negara kita yang ada keberanian untuk memulakan reformasi atau transformasi kepada sistem sekolah kita bagi menghapuskan sekolah-sekolah dikenali mengikut kaum yang ada hari ini?

Siapakah pemimpin kita yang seberani Lee Kuan Yew yang dapat melakukan kebaikan untuk faedah keseluruhan rakyat negaranya berbanding hanya melakukan kebaikan untuk faedah kaumnya sahaja?

Monday, October 11, 2010

Akhirnya UMNO iktiraf kaum Cina bukan pendatang


Semasa menyampaikan ucapan di perhimpunan parti MCA semalam (10 October 2010), PM Najib sebagai Presiden UMNO mengiktiraf secara terbuka bahawa kaum Cina bukan kaum pendatang.

Pengiktirafan oleh presiden UMNO yang mewakili sebahagian besar orang Melayu ini sudah tentunya akan memberi kesan besar kepada hubungan antara rakyat keturunan Cina dan Melayu di Negara ini.

Sudah sampai masanya sebagai rakyat Malaysia, kita semua harus berpijak di bumi nyata. Kita tidak boleh mengaitkan dan menyerahkan peristiwa dan sejarah yang berlaku ratusan tahun dulu bagi menentukan nasib kita di zaman ini.

Kita tidak boleh terus menjadi tukang kayu hanya kerana moyang kita dulu telah menjadi tukang kayu.

Kita mesti melihat Negara ini sebagai tempat kita lahir, tempat kita membina kehidupan dan juga tempat kita disemadikan. Semua orang tanpa mengira kaum mesti melihat semua warga sebagai satu bangsa Malaysia. Mereka harus bekerjasama dan saling bantu membantu dalam memajukan ekonomi dan membangunkan Negara.

Sikap iri dan dengki kepada kaum-kaum yang lain mesti dihapuskan dari sanubari kita semua. Adalah salah kalau kita hanya mementingkan atau menolong kaum kita sahaja, sebaliknya membiarkan atau ‘membunuh’ kaum lain dari mencapai kemajuan.

Adalah sikap yang amat tercela kalau kita membantu warga atau manusia lain berasaskan kaum.

Sebenarnya lebih banyak kemajuan dan kejayaaan yang boleh kita capai dan cipta jika kita semua kaum saling bekerjasama dan saling bantu membantu, berbanding jika kita membiarkan satu kaum ditugaskan menjadi ‘tuan’ kepada kaum yang lain.

Kita mampu membesarkan kek ekonomi Negara jika kita semua kaum bekerja bersama-sama. Dan kek ekonomi yang besar ini akan dinikmati kembali oleh semua rakyat.

Apa sangatlah nikmat yang kita dapat kalau kita hanya asyik berminat untuk membahagi-bahagikan kek ekonomi Negara yang sedia ada mengikut kaum. Akhirnya kita juga yang rugi kerana kek tidak membesar seperti yang sepatutnya.

Tembok perkauman yang wujud mesti diruntuhkan. Semua orang politik harus memikirkan bagaimana anak-anak kita boleh bersekolah di peremis sekolah yang sama. Kita tidak mahu sekolah dipisah-pisahkan dan dikenali mengikut kaum seperti yang ada hari ini.

Anak-anak dari semua kaum mesti dibiar berkawan dan berkenalan seawal kelas tadika lagi. Di sekolah adalah tempat yang amat sesuai untuk kita menyemai benih perpaduan tulin. Tak kenal maka tak cinta, kita tidak mahu perpaduan yang pura-pura.

Kita tidak mahu perpaduan sekadar semua orang dari berbagai kaum datang makan di rumah terbuka pemimpin-pemimpin di musim perayaan, setelah kenyang mereka kembali semula kepada kelompok-kelompok mereka semula seperti biasa. Perpaduan seperti ini adalah perpaduan di tahap permukaan sahaja, yang tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Friday, October 08, 2010

Ekstrimis Kaum sama bahaya dengan Ekstrimis Agama


Baru-baru ini (27 September 2010) PM Najib telah memberi ucapan di pentas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memberitahu dunia perlunya gerakan ‘moderate’ (fahaman sederhana) sedunia bersatu dan bekerja sama bagi menentang fahaman ekstrimis atau pelampau agama yang wujud di kalangan orang-orang beragama samada Islam, Kristian atau Yahudi.

Anjuran beliau itu memang baik, Islam adalah agama yang menekankan kesederhanaan dalam semua hal. Sayangnya kumpulan pelampau yang terdapat di kalangan orang Islam telah memberi imej buruk kepada agama Islam keseluruhannya sehingga Islam menjadi agama yang ditakuti dan dipandang penuh curiga di Barat
.
Apatah lagi media barat yang di kuasai oleh Zionis yang sangat kuat memusuhi Islam sentiasa menggambarkan Islam sebagai agama yang melampau, dan tidak pernah melapurkan secara tepat tentang Islam. Mereka memaparkan Islam dari pandangan dan tindak-tanduk golongan pelampau atau kumpulan ekstrimis ini.

Di mana-mana agama pun ada golongan ekstrimis yang tidak boleh menerima dan membenci kehadiran orang dari agama lain. Mungkin bilangan mereka di satu-satu kawasan itu lebih ramai berbanding dari orang yang berfahaman sederhana atau ‘moderate’, tetapi ramai tidak bermakna mereka betul.

Untuk keamanan dan kebaikan manusia sejagat, kita perlu memberi keutamaan dan menggalakkan peranan pendokong fahaman sederhana dalam mengatur dan memimpin kehidupan kita.

Yang dikatakan fahaman sederhana bukanlah bermakna kita harus mengikut dan mengamal upacara dari agama-agama lain. Tetapi ‘sederhana’ bermaksud kita harus menghormati kehadiran agama-agama lain dan tidak menyinggung dan merendah-rendahkan penganut agama lain. Setiap rasa tidak puas hati dan salah faham mestilah disalurkan melalui saluran diplomasi dan perbincangan, bukan menggunakan perang, kekerasan dan keganasan.

Ekstrimis kaum

Tetapi tidak kurang bahayanya ialah ekstrimis kaum. Sifat perkauman yang melampau juga banyak memporak perandakan kehidupan masyarakat seluruh dunia.

Sifat rasa bangga kaum yang melampau yang dianuti oleh Hitler telah mencetuskan perang dunia kedua. Sifat ekstrimis kaum yang melampau membawa berlakunya pembunuhan kaum secara besar-besaran yang dikenali sebagai pembersihan kaum.

Selain pernah berlaku di Jerman, pembersihan kaum juga pernah berlaku di Palestin, Bosnia, Kosovo, Congo, Somalia, Sudan, Iraq, Kemboja, Vietnam dan Negara-negara lain.

Di Malaysia sendiri pun pernah berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Orang-orang politik suka menggunakan isu perkauman dalam meraih sokongan kaumnya.

Oleh itu PM Najib patut juga mencadangkan perlunya wujud gerakan moderate sedunia dalam hal perkauman bagi menentang ekstrimis atau pelampau kaum, yang sering juga dikenali sebagai ultra kiasu.

Tetapi saya tidak pasti samada PM Najib berminat dalam isu ini, kerana orang politik terutamanya di Malaysia hanya boleh ‘hidup’ atas isu perkauman. Malah PM Najib sendiri pun adalah presiden kepada parti politik yang berasaskan kaum.

Tidak salah kalau kita berusaha mengamal bahasa dan budaya kaum kita dan memeliharanya daripada pupus. Tetapi apa yang kita tidak mahu ialah perasaan benci kepada kaum-kaum lain.

Perasaan benci kepada kaum lain ini telah menimbulkan rasa iri dan dengki terhadap kaum lain, hingga kita tergamak untuk meminggir dan meyekat peluang ekonomi dan pelajaran kepada kaum-kaum lain, semata-mata kerana takutkan mereka lebih maju dari kaum kita sendiri.

Seperti kata pepatah Melayu, "kalau tak kenal maka tak cinta". Perasaan syak wasangka dan rasa curiga antara kaum ini hanya boleh dihapuskan jika anak-anak kita dari berbagai kaum dibiarkan bersekolah disekolah yang sama tanpa dipisahkan mengikut kaum seperti menjadi amalan sekarang ini.

Apabila anak-anak ini dapat peluang berkawan rapat, sudah pasti tembok-tembok perkauman yang tebal itu dengan sendirinya dapat diruntuhkan.

Mereka akan melihat kawan-kawan mereka sama sahaja tanpa mengira warna kulit. Kawan yang susah pasti akan mereka bantu tanpa mengira sempadan kaum.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com