Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Thursday, April 30, 2009

The Second Letter From Lim

Isi surat saya kepada Lim:

SEMOGA anda dan keluarga anda berada dalam keadaan sihat.
Maaf kerana lambat membalas email anda itu.

Saya rasa gembira menerima balasan email dari anda. Isi email anda itu mencerminkan perasaan seorang rakyat Malaysia yang hidup diperantauan.

Saya rasa perasaan dan pandangan anda terhadap Negara kelahiran anda itu patut dikongsi bersama dengan rakyat Malaysia yang lain. Oleh itu saya telah menyiarkannya email anda itu dalam blog saya di sini http://aliasmohdyusof.blogspot.com/2009/02/letter-from-lim-ref-malaysiakini.html untuk tatapan umum.

Sungguh menakjubkan, email-email kita itu telah mendapat komen-komen yang begitu positif dari pelawat-pelawat yang membacanya.

Ini memberi isyarat kepada kita, menunjukkan bahawa kita tidak keseorangan dalam merealisasikan impian kita untuk melihat Malaysia menjadi Negara yang mendokong nilai-nilai yang baik dan semua rakyat dijamin hak-haknya, mereka boleh menjalani kehidupan sebagai satu bangsa yang saling bantu membantu dan lengkap melengkap antara satu sama lain.

Walupun selama ini kaum Melayu, Cina dan India tinggal dalam satu Negara, tetapi akibat dari tindakan ahli-ahli politik yang berkepentingan dan bagi memenuhi agenda masing-masing, telah menukarkan semua kaum ini secara semangatnya hidup berasingan. Akhirnya setiap kaum mempunyai aspirasi masing-masing. Lebih teruk lagi, timbul sikap prejudis antara kaum-kaum tersebut.

Akhirnya kaum yang lain dilihat sebagai musuh dan pesaing. Sungguh rugi sekali, mereka tidak dapat mengambil faedah dari kelebihan Malaysia yang mempunyai berbagai kaum.

Sepatutnya kita harus melihat kepelbagaian kaum ini dari sudut yang positif. Sebenarnya Negara kita bertuah kerana mempunyai rakyat dari tiga kaum terbesar ini, Melayu, Cina dan India. Mereka adalah aset yang sangat bernilai tinggi.

Dengan rakyat yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu, Cina dan India, dengan mudahnya kita dapat menembusi peluang di tiga Negara yang terbesar di dunia. Indonesia yang rakyatnya berbahasa Melayu ada lebih 200 juta orang, Negara India ada lebih 800 juta orang, dan Negara China ada satu billion orang.

Sudah tentu dengan kelebihan kemampuan yang ada pada rakyat Malaysia berkomunikasi dengan penduduk di tiga Negara terbesar bilangan penduduknya ini, pasti kita dapat meraih berbagai peluang di Negara-negara tersebut, termasuklah mengembangkan perniagaan, perusahaan, perundingan dan kepakaran kita.

Sudah tentu kita akan dapat membesarkan saiz kek Negara kita dan faedah serta kemakmuran darinya akan dapat dinikmati oleh semua rakyat di Negara ini.

Tiga tahun dahulu saya ada mengambil anak angkat. Dia adalah campuran antara Cina dan Melayu, tetapi rupa fizikalnya lebih dominan kepada Cina. Anda boleh lihat gambar dia seperti yang saya lampirkan di dalam email ini.

Oleh kerana wajahnya seperti orang Cina, saya telah hantar dia ke Tadika medium Cina dengan harapan dia boleh bertutur bahasa Cina bila besar nanti. Itulah kelebihan kita di Malaysia, anak Melayu tidak perlu pergi ke Negara China untuk menguasai Bahasa China.

Saya juga kagum dengan anda kerana walaupun telah lama berada di Australia tetapi masih boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Berbanding dengan bekas Menteri Kerja Raya Samy Velu (atau popular dengan Samy Tol) juga Presiden parti MIC, cakap Melayu anda lebih bagus dari dia. Telinga saya jadi sakit bila dengar Samy Velu cakap Melayu. Masalahnya dia tidak tahu dekat mana hendak letak penambahan ‘me’, ‘kan’, ‘pe’ dan ‘ber’ dengan betul. Dia main hentam saja.

Inilah sahaja celoteh saya buat kali ini, jumpa lagi di lain email.
Salam sejahtera dari saya sekeluarga.


Alias Mohd Yusof.
Tarikh: 9 Mac 2009.



Here is the reply from Lim:


Hello Alias, before I proceed, I do sincerely apologise for taking such a long time to reply. I do not wish to give you any excuse at all. How are you and everybody in the family? I trust all of you are in the best of health. As for me and my wife, we are very well. I have started an exercise regime three weeks ago. I have joined the 'Bickram Yoga' class. Basically, it is Hatha yoga but we practise in 39 degrees celcius heat for 90 minutes per session. Out of a three-week period, I have missed only two sessions. As a student in London, I have done the normal Hatha Yoga for a few year under a Malaysian instructor. I have been practising it,off and on, since then, but only for a few postures. This time round, it is pretty much full on. The biggest challenge here, of course, is the heat. But is is good for me. I have already lost 7 kgs. since I started. There are many other health benefits as well.

Well, Malaysia has now a new leader, Mr. Najib Razak. I heard about it on BBC as well as on Australian TV and Chinese CCTV from China. I hope the new 'Team' will usher in a new era which will see much more meaningful developments with regards to the economy, racial tolerance and harmony. Alias, I can relate to all those views regarding the politicians and lack of concrete steps taken to foster racial co-existence. I firmly believe that if the various ethnic groups, especially, the Malays, Chinese and Indians, could work positively and contructively together, there is no bounds for progress. I know it is easier said than done. I know it is a mammoth challenge and task, but we cannot afford to sweep everything under the carpet anymore. There are many good examples in the world for us to see, if not , to emulate.

Ignorance has always been the biggest stumbling block. If people are not been treated fairly and equitably, and if there are no checks and balances on what the Government are doing, especially, when we claim to be a democratic country, there will be discontents, sooner or later, among the public. The list could keep going and it never ends. Look at what happens in Africa and South America not so long ago? The western world has been the biggest and worst colonisers in many ways, but at least, they have seen the light of day, and are prepared to change for the better.

I have no problem at all for you to publish our views and thoughts, in order that we may share them with like-minded Malaysians. We are just airing our sincere thoughts and opinions, in a very constructive way.

Alias, you are absolutely right in saying our country's racial composition is a priceless assets. But I must also add that whatever benefits that are derived from the hard work of all the people are distributed, within context, in a realistic manner.

I know nothing is perfect or whatever we do will satisfy everbody, but at least we need to make an effort. When everybody has a roof over his/her head, sufficient food to feed themselves and their families and good standard of hygiene and medical care, education etc, I honestly believe there is no good reason to want to spoil their lives .

Of course, ultimately it is the politicians who should be exemplary and who should lead the nation in a transparent way. I am sure the rest, such as, cohesiveness of society, leading to harmony and loyalty will one day eventuate. What else can those politicians ask for? In any democratic country, there need to be a strong opposition party/parties. Not just strong but constructive and meaningful in their criticisms. Not being afraid to speak out against corrupt and inefficient leaders, and the just law of the land must reign supreme. It might sound idealistic but I do not think so.

Alias, I think you are a courageous man and a man of vision. Thank you for sending me a picture of your adopted son. He looks cheeky but I am sure he is a clever and smart kid. With your foresight and good up-bringing, I believe he could grow up to be an intelligent and a successful man one day. Keep up the good work. We are living in a fast-moving modern world. It is such a dynamic world. I have come to realise a long time ago unless we keep pace with change, we will be left behind. We must always be proud of our cultural heritage but that does not mean we cannot adopt modernity at the same time.

Alias, if I have inadvertently say something incorrectly, please do not hesitate to highlight it to me. I would like to end here for this time. I hope you have not thought I have forgotten about you. It has been more than a month since I got your email. Bye for now and stay healthy and well. My time right now is approximately 10.43pm Tues 14/04/09. Australia is now three hours ahead of Malaysian time. So your time now must be about 7.43pm the same day.

Warmest Regards
Lim Eng Siong

Sunday, April 26, 2009

SAYA PUN MELAYU, halatuju rakyat Malaysia



SAYA sebenarnya berkira-kira hendak menulis berkaitan isu ‘status agama anak kekal’ dalam posting di blog saya hari ini, tetapi terpaksa saya tangguhkan kerana tertarik untuk mengulas buku ‘Saya Pun Melayu’ yang ditulis oleh Zaid Ibrahim.

Saya amat menghargai tulisan Zaid Ibrahim dalam bukunya ini kerana apa yang ditulis oleh beliau itu adalah selari dengan apa yang saya impikan di hati nulari saya tentang politik Negara kita ini.

Saya rasa Zaid telah meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya secara terbuka berkaitan ‘salah laku’ dan amalan buruk yang telah dilakukan oleh orang-orang politik tanah air, samada dari parti yang menjadi pemerintah mahupun yang menjadi parti pembangkang.

Sebagai seorang yang faham selok belok undang-undang tentu Zaid tahu risiko yang bakal beliau terima bila menulis perkara-perkara yang dituduh oleh sesetengah pihak sebagai sensitif seperti isu Raja Melayu, hubungan kaum, institusi agama, keistimewaan orang Melayu dan ketuanan Melayu.

Tidak hairanlah kalau Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dalam ucapannya pada pelancaran buku terjemahan kisah Barack Obama di Institut Terjemahan Negara baru-baru ini, telah menyelar buku-buku picisan politik yang menangguk di air keruh, yang secara langsung kata-kata ini mungkin ditujukan untuk membidas buku yang ditulis oleh Zaid ini.

Ini tidak dapat disangkal kerana dalam buku tersebut Zaid memang ada menyentuh secara terbuka krisis politik di Perak dan bagaimana keputusan yang telah dibuat oleh Sultan Perak telah menimbulkan kontraversi kepada orang ramai.

Saya percaya, bukan saya dan Zaid sahaja orang-orang Melayu yang mempunyai pandangan yang sama tentang bagaimana amalan-amalan dan sikap yang perlu dihayati dalam mengurus dan mentadbir negara kita yang tercinta ini, untuk kesejahteraan semua rakyat. Malah berjuta lagi manusia di luar sana mempunyai aspirasi yang sama seperti beliau.

Zaid mempunyai pegangan yang kuat kepada demokrasi yang bertunjangkan kepada integriti, amalan baik dan selaras dengan nilai-nilai agama harus menjadi amalan Negara. Dengan ini sahaja kita akan dapat membentuk rakyat yang berjiwa bebas, kreatif dan dapat memacu tamadun yang gemilang.

Kehadiran buku Zaid ini umpama empangan yang telah pecah, apabila empangan pecah, tidak ada siapa yang boleh menghalang air yang deras dari membuak-buak keluar, selain dari sekadar mampu melihat sahaja.

Semua hati nurani rakyat Malaysia sekarang ini sebenarnya sedang menuju kearah apa yang diimpikan oleh Zaid ini. Memang kita tidak mampu membendungnya lagi.

UMNO harus mengambil teguran dan pandangan Zaid dalam bukunya ini sebagai panduan untuk mereka melakukan perubahan, kalau benar-benar UMNO mahu kepada perubahan. Tetapi Kalau UMNO menganggap pandangan Zaid yang ‘pedas’ itu sebagai pandangan musuh yang ingin menghancurkan UMNO, maka ini langkah yang amat silap.

Kalau ikut perkiraan saya, buku Zaid ini mungkin tidak berapa disenangi oleh pemimpin-pemimpin UMNO, apatah lagi pemimpin UMNO seperti Rais Yatim yang terkenal sebagai seorang menteri Melayu Klasik itu, sudah tentu tidak teragak-agak untuk mengharamkan buku ‘Saya Pun Melayu’ Zaid Ibrahim ini.

Adalah satu perkara biasa kalau Martin Luther King seorang kulit hitam memperjuangkan hak-hak kaumnya dari ditindas oleh kaum kulit putih yang majoriti.

Tetapi adalah perkara yang luar biasa dan patut sangat kita hargai kepada Abraham Lincoln, seorang kulit putih dari kaum yang majoriti, telah membela kaum kulit hitam yang minoriti untuk diberi persamaan hak.

Sebagai orang yang datang dari kaum yang majoriti, tentu tidak akan merugikan diri beliau kalau tidak mahu membela hak orang kulit hitam, tetapi nilai-nilai yang mulia yang dimiliki oleh Abraham Lincoln itulah yang telah membuatkan beliau berasa bersalah kalau tidak melakukannya.

Saya yakin buku Zaid ini akan memberi impak yang besar kepada senerio politik dan persepsi masyarakat Malaysia pada masa akan datang ini. Buku ini memang patut dibaca oleh semua orang rakyat Malaysia. Secara berani dan jujur, Zaid telah mengupas perkara-perkara yang selama ini dianggap terlalu sensitif oleh sesetengah pihak.

Buku Zaid ini benar-benar menguji sejauh mana keterbukaan rakyat Malaysia ketika ini dalam memberi pandangan dapat diterima oleh pemerintah.

Saturday, April 18, 2009

Naib Canselor UTM Zaini Ujang



KIRA-KIRA sekitar jam 10 pagi tadi (17 April 2009) saya sempat mendengar ucapan Naib Canselor (NC) UTM Zaini Ujang yang berkunjung ke pejabat saya di salah satu Fakulti di UTM ini.

Oleh kerana isu yang hangat diperkatakan warga UTM sekarang ini ialah isu Key Performance Indicator (KPI) bagi para kakitangannya, maka beliau banyak menyentuh hal ini dalam ucapannya tadi.

Sepintas lalu saya dapat memberi gambaran NC Zaini Ujang ini adalah seorang ketua yang berkebolehan dalam memotivasi dan menggerakkan orang bawahannya kearah matlamat yang beliau kehendaki.

Dia seorang yang suka berkomunikasi dan tidak akan melepaskan peluang untuk berucap dikhalayak untuk menyampaikan mesej dan ideanya, dengan harapan segala agendanya dapat digarap dengan baik disemua peringkat.

Sebelum ini beliau dikenali sebagai seorang ahli akademik yang aktif dalam membuat penyelidikan dan telah menghasilkan beratus kertas penyelidikan yang tersiar dalam berbagai journal.

Kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk memimpin universiti seperti UTM ini sememangnya satu pilihan yang amat tepat.

Beliau bukan sekadar menjadi ketua yang hanya pandai bercakap tetapi juga mempunyai suri tauladan yang terbaik untuk semua kakitangan akademiknya.

Dalam ucapannya tadi, beliau menekankan betapa perlunya ahli akademik UTM mempunyai penanda aras yang tinggi, sekurang-kurangnya setanding dengan NUS di Singapura.

Tanpa niat untuk merendah-rendahkan universiti lain, beliau menyeru kakitangan akademik UTM supaya tidak sekadar cukup menjadikan Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Pahang sebagai penanda aras mereka.

Beliau juga menyindir sinis professor yang terlalu berbangga dengan gelaran professor tetapi kualiti akademik dan keilmuannya sangat rendah. Malah ada ahli akademik yang tidak segan silu untuk melamar jawatan professor walhal sumbangan mereka kepada perkembangan ilmu dan penyelidikan tidak seberapa.

Beliau juga memberi beberapa contoh beberapa professor ternama di barat, salah seorang darinya professor dari Denmark yang sangat berprinsip, mereka itu lebih rela kalau tidak diberi gelaran professor dari menjadi professor tetapi tidak mampu memberi sumbangan besar dalam perkembangan ilmu dan penyelidikan.

Tentulah tidak sama nilai gelaran professor yang diberikan oleh Universiti di Sintok dengan gelaran professor yang diberikan oleh Universiti di Oxford.

KPI hanya berguna untuk menyelesaikan masalah jangka pendek. Kita tidak boleh bekerja semata-mata kerana untuk memenuhi KPI. Professor Ungku Aziz yang kita semua kenali itu tidak pernah pun melalui proses KPI ini.

PM Najib pun menggunakan KPI untuk memastikan ahli-ahli kabinetnya sentiasa berada dalam keadaan ‘top perform’. Tujuannya adalah untuk mendapatkan sokongan rakyat kepada BN semula.

Berbeza dengan ayah beliau Tun Razak dahulu, Tun Razak tidak perlukan KPI, tetapi yang mendorong beliau dan kabinetnya bekerja keras ialah kesedaran dan perihatin mereka untuk membaiki taraf kehidupan rakyat yang rata-ratanya miskin ketika itu. Mereka lakukannya dengan hati yang ikhlas untuk semua rakyat tanpa kira mereka menyokong parti pembangkang atau tidak.

Walaupun KPI boleh digunakan oleh pemimpin politik untuk memastikan parti mereka mendapat sokongan rakyat namun KPI tidak mampu untuk mengukur keikhlasan seseorang manusia.

Oleh itu untuk penyelesaian jangka panjang kita tidak boleh bergantung kepada KPI semata, tetapi perlu dalam masa yang sama sangat penting kita mendidik dan menanamkan budaya dan amalan yang positf dalam masyarakat kita secara berterusan.

Kalau kita mahu menjadi cemerlang dalam segala bidang, sikap amanah, rajin bekerja, bertanggungjawab, kesanggupan berkorban, tidak mementingkan diri dan sentiasa ingin menyumbang kebaikan kepada manusia adalah nilai-nilai yang mesti menjadi amalan kita.

Kita tidak akan sampai ke tahap yang membanggakan, kalau kita terus mengamalkan dasar ‘pengampuan’ dan mengenepikan dasar ‘kemampuan’ dalam keutamaan memberikan sesuatu jawatan kepada seseorang.

Tuesday, April 14, 2009

Satu Malaysia, Mengundang Seribu Tafsiran

PELBAGAI tafsiran timbul bila PM Najib menjadikan gagasan satu Malaysia sebagai visi pentadbirannya. Lain orang lain tafsirannya terhadap ungkapan ‘satu Malaysia’.

Hanya PM Najib saja yang benar-benar tahu apa yang dimaksudkannya dengan ungkapan satu Malaysia itu, manakala orang lain itu hanyalah menelah mengikut fikiran masing-masing saja.

Keadaan ini samalah seperti konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Pak Lah semasa beliau menjadi PM. Sehinggalah dia turun dari jawatan PM, rasanya tidak ramai rakyat Malaysia yang memahami Islam Hadhari seperi mana yang beliau fahami.

Begitu jugalah dengan ungkapan ‘perpaduan’ yang selalu menjadi slogan dan dilaung-laungkan oleh pemimpin Negara. Sehingga kini ungkapan perpaduan ini tidak dapat ditafsirkan secara tepat. Perpaduan yang macam mana yang mereka kehendaki? Apakah perbezaan antara 'perpaduan' dengan 'satu Malaysia'?

Dari segi Negara, negara Malaysia memang ada satu saja. Di masa dulu memang ada Malaysia Barat dan Malaysia Timur, tetapi sebutan itu telah lama dimansuhkan.

Apakah satu Malaysia menunjukkan satu bangsa Malaysia? Apakah ia sama dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.

Apakah satu Malaysia yang diperkenalkan oleh PM Najib ini adalah mengambil aspirasi ayah beliau Tun Razak yang telah menyatukan sejumlah besar parti politik, bergabung di bawah konsep Barisan Nasional dalam mencapai satu matlamat.

Setakat ini PM Najib hanya menyebutkan satu Malaysia itu sebagai satu hala tuju, tetapi kearah mana yang hendak dituju atau apa yang hendak dituju, tidak pula diberitahu.

Apa yang kita kesalkan, kalau slogan saja yang kelihatan baru tetapi dari segi pelaksanaannya, pi mai pi mai tang tu jugak.

Apa pun tafsiran orang ramai, ungkapan 'satu Malaysia' sudah mula menjadi sebutan dan polemik orang ramai. 'Satu Malaysia' sudah menjadi sinonim dengan PM Najib. Satu Malaysia sudah heboh. Harapan kita, tidaklah slogan akan tinggal slogan saja.

Friday, April 10, 2009

PM Najib perlukan tonggak baru UMNO

Memang sukar untuk membaiki labu yang telah rosak. Tetapi apa boleh buat, hanya ada dua pilihan saja buat PM Najib, Do or Die.

Dalam hasratnya untuk melaksanakan pembaharuan dan perubahan, pastinya beliau akan menghadapi tentangan yang hebat dari kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri yang telah terbiasa dengan amalan-amalan lama.

Kalau beliau benar-benar bertekad kearah itu, maka beliau perlu ada kesungguhan, ketegasan dan yang lebih penting keberanian membuat keputusan. Dia juga perlukan seorang panglima harimau berantai yang menjadi tonggak kekuatannya.

Semasa Tun Mahathir menjadi PM, beliau mempunyai tonggak yang begitu ampuh bernama Anwar Ibrahim. Kehilangan Anwar Ibrahim menjadikan Mahathir lumpuh tak bermaya.

Di waktu itu Mahathir melihat Anwar mempunyai aura yang kuat yang boleh memikat golongan muda terutamanya mahasiswa universiti yang selalu mendatangkan masalah kepada pemimpin negara.

Kemasukan Anwar ke dalam UMNO ketika itu benar-benar memberi faktor 'wow' kepada UMNO, sehinggakan parti pembangkang terutamanya PAS menjadi macam hidup segan mati tak mahu.

Oleh itu Najib harus mencari Anwar baru dalam UMNO untuk menjadi tonggak kekuatannya.

Tuesday, April 07, 2009

Satu Penghinaan Kepada Quran

SEBAGAI orang Islam dan beriman kita diperintahkan memuliakan Quran dengan menjunjung ajaran Quran dan meletakkan panduan dari Quran ditempat yang tinggi dalam segala aspek kehidupan kita.

Tetapi tuntutan yang utama ini selalu disalah faham oleh kebanyakan orang-orang kita termasuklah golongan yang mendakwa dirinya sebagai orang agama. Akhirnya apa yang biasa kita lihat dalam masyarakat kita, anak-anak diajarkan supaya menjunjung naskah Quran semasa berjalan menuju ke rumah guru-guru yang mengajar mereka mengaji Quran.

Manakala di dalam rumah pula naskah Quran akan diletakkan di tempat yang paling tinggi seperti di atas almari sehingga sukar untuk diambil.

Inilah salahnya pemahaman orang-orang kita. Sepatutnya ajaran Quran itu yang dijunjung dan diletak di tempat yang tinggi dalam kehidupan kita. Sebaliknya orang kita memuliakan Quran kita dengan mencium, menjunjung dan meletakkan naskahnya di tempat tinggi tetapi tidak segan silu memijak-mijak ajaran Quran itu sendiri.

Kita di suruh supaya membudayakan ajaran Quran. Siti Aisyah isteri Rasulullah pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah, lalu Aisyah memberitahu akhlak Rasulullah itu adalah Quran. Bermakna seluruh tingkah laku dan perbuatan Rasulluh adalah cerminan Quran.

Tetapi kebanyakan orang kita membudayakan Quran dengan meletakkan atau menggantung ayat-ayat Quran di dinding rumah-rumah dan peremis perniagaan mereka sebagai hiasan. Ayat-ayat Quran yang sepatutnya dibudayakan dalam kehidupan akhirnya menjadi sebagai satu seni budaya sahaja, yang menghias dinding-dinding rumah. Inilah salah fahamnya orang-orang kita.

Kita diberitahu supaya selalu membaca Quran kerana setiap ayat yang kita baca akan diberi pahala oleh Allah. Sebenarnya tidak cukup dengan membaca sahaja, kerana kebanyakan dari kita tidak tahu bahasa Arab, kalau kita tidak faham bahasa Arab macam mana kita hendak mengamalkan dan melaksanakan ajaran yang terkandung di dalamnya. Tujuan Tuhan menyuruh kita membaca Quran ialah untuk melaksanakan ajarannya, bukan setakat baca saja.

Oleh itu kita kena baca juga terjemahan Quran supaya kita boleh faham apa yang diajarkan oleh Quran itu. Tetapi kerana tidak faham dengan suruhan membaca Quran itu, akhirnya orang-orang kita teruslah dari dahulu sampai sekarang membaca Quran seperti burung kakak tua.

Suruhan membaca Quran dapat pahala itu tidak salah, kerana suruhan itu adalah kepada orang Arab yang faham bahasa Arab. Mereka orang Arab, mereka baca dan mereka faham maknanya. Samalah macam mereka baca surat khabar Arab, sudah tentu mereka faham berita yang dilapurkan. Tapi kalau orang Melayu baca surat khabar Arab, setakat boleh baca sajalah.

Inilah salah fahamnya orang-orang kita, mereka tidak dapat menelah apa yang tersirat disebalik setiap suruhan itu.

Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang seorang penceramah DAP yang bukan Islam menggunakan sepotong ayat Quran dalam satu ceramah semasa berkempen dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. Hebohlah media perdana yang mendokong BN menghentam beliau dengan menuduh beliau telah menghina Quran.

Mungkin ada benarnya beliau telah menggunakan ayat Quran itu untuk kepentingan politik beliau dan PR, tetapi dalam masa yang sama media dan orang-orang yang heboh mengutuk tindakan beliau itu juga berbuat demikian adalah kelihatannya seperti untuk kepentingan politik BN juga.

Orang-orang yang kononnya memperjuangkan kesucian dan kemuliaan Quran begitu lantang mengutuk penceramah DAP itu. Tetapi kadang-kadang mereka jugalah orang-orang yang tidak segan silu menghinakan ajaran Quran.

Adalah lebih baik dan berhikmah kalau kita mengambil pendekatan seperti diberitahu oleh ayat 159 Surah Ali Imran bagi menyelesaikan masalah seperti ini. Oleh kerana kita hanya baca Quran tetapi tidak pernah faham apa yang dibaca maka jadilah kita seperti orang hilang punca dalam menyelesaikan masalah. Jadilah kita macam orang bodoh, meracau-racau macam kena sawan.

Buat pengetahuan kita, dalam bidang disiplin keilmuan, setiap fakta yang hendak kita sampaikan dan hebahkan mestilah mencatatkan rujukannya. Selalunya bahan atau tulisan yang yang menjadi rujukan adalah bahan yang diakui kebenarannya dan diikhtiraf. Oleh itu kalau Quran dijadikan rujukan dalam perbincangan dan tulisan, ini sepatutnya menjadi kebanggaan kita kerana ia merupakan satu pengikhtirafan kepada Quran sebagai satu sumber yang benar. Mengapa pula kita boleh berfikir sebaliknya?

Saturday, April 04, 2009

Parti PKR mesti ada jatidiri


PARTI PKR mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pesaing kuat dan menonjol kepada UMNO dan BN. Kalau dalam BN, parti UMNO menjadi tonggak kepada BN maka parti PKR boleh menjadi parti tonggak dalam PR.


Malah dari segi beberapa sudut parti PKR mempunyai banyak kelebihan berbanding parti UMNO. Antaranya, parti PKR adalah parti yang membuka pintu keahliannya kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.


Sudah kelihatan, trend akan datang ini rakyat Negara kita tidak mahukan pemimpin-pemimpin Negara yang hanya melihat kepada permasalahan kaum mereka sahaja, sebaliknya mereka lebih senang kepada pemimpin yang melihat permasalahan rakyat Malaysia secara keseluruhan, bukan mengikut kaum.

Tidak hairanlah kalau DS Najib dalam ucapan sulungnya sebagai PM telah menganjurkan idea satu Malaysia. Tetapi ini tentulah sukar untuk dilakukan kerana beliau sendiri pun berada dalam parti yang berasaskan perjuangan kaum.

Oleh itu parti politik seperti parti PKR rasanya adalah lebih cucuk untuk membawa idea satu Malaysia ini kerana parti ini adalah parti yang memperjuangkan kehendak rakyat dan bukan berasaskan perjuangan kaum.

Apa yang perlu diusahakan oleh parti PKR sekarang ialah parti ini harus memperteguhkan jati diri dan identitinya.

Parti PKR tidak harus dilihat sebagai parti serpihan UMNO walaupun tidak dapat dinafikan ramai ahli-ahlinya terdiri dari bekas ahli UMNO.

Parti PKR mesti mengamalkan dan mendokong nilai-nilai universal yang baik dan mulia supaya dapat meyakinkan orang ramai tanpa mengira kaum dan agama, untuk memberi sokongan kepadanya.

Nilai-nilai yang mulia yang utama yang wajib ada itu adalah seperti telus, bebas, adil, demokratik, meritokrasi, berpendirian, tidak rasuah, amanah, jujur , ikhlas, mesra dan perihatin.

Nilai-nilai lain yang perlu juga dipertimbangkan ialah seperti sifat sederhana, sentiasa bersedia mendengar dan membantu menyelesaikan masalah orang ramai, berhemah dalam mengurus sumber negara, tidak membazir, mendahulukan kepentingan orang ramai dari kepentingan diri, pejuang alam sekitar, menghormati dan memahami sensitiviti kaum dan agama, tidak bersifat melampau dan setiap permasalahan kaum dan agama hendaklah diselesaikan secara hikmah dan berdiplomasi.

Setiap kali melakukan pemilihan pemimpin, pilihan hendak diberikan kepada pemimpin yang boleh membawa dan memperjuangkan aspirasi dan nilai-nilai yang disebutkan di atas.

Berbanding parti PAS dan DAP yang selalu dilihat serong sebagai parti pelampau agama dan kaum, parti PKR telah menyediakan platform yang sangat baik dan sesuai untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Apa pun terpulanglah kepada ahli-ahli PKR dan pemimpin mereka sendiri untuk mencorakkan parti itu. Kalau buruk perangai mereka maka buruklah nama parti mereka. Walaubagaimana indah slogan dan moto sesuatu parti itu, akhirnya sikap ahli dan pemimpin parti itulah yang sebenarnya yang akan mencerminkan identiti sesuatu parti politik itu.

Thursday, April 02, 2009

PAK LAH, BAPA PENGANJUR INTEGRITI


PAK LAH dengan integriti adalah dua perkara yang sangat sinonim.
Tidak dapat dinafikan nilai integriti yang menjadi amalan dan nilai yang dihayati oleh Pak Lah itulah yang telah membawa beliau kepada kedudukan yang tertinggi dalam kepimpinan Negara.

Pak Lah akan dingati oleh rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri yang sangat mementingkan integriti, ini dapat dilihat bila sebaik saja beliau mengambil alih pemerintahan Negara, beliau telah menunjukkan rasa kurang senang dengan badan-badan penguatkuasa seperti badan kehakiman, Polis dan Badan Pencegah Rasuah, yang mana kredibiliti badan-badan tersebut pada pandangan rakyat ketika itu berada pada tahap yang amat jelek.

Banyaklah usaha-usaha yang telah beliau cadangkan bagi membaiki kredibiliti dan integriti badan-badan tersebut termasuklah menubuhkan beberapa suruhanjaya bagi memantau dan penambahbaikan. Walaupun tidak dapat dipastikan samada badan-badan penguatkuasa ini telah bertambah baik, sekurang-kurangnya adalah usaha telah beliau dilakukan.

Pak Lah juga mengamalkan sikap lebih terbuka dan suara rakyat juga dapat disampaikan dengan lebih bebas berbanding dengan pemerintahan sebelum itu.

Atas usaha dan jasabaik beliau jugalah Anwar Ibrahim dapat dikeluarkan dari penjara. Walaupun tindakan yang beliau ambil itu telah menggugat kedudukan beliau dan parti BN sendiri tetapi kesan jangkapanjangnya sangat baik kepada amalan demokrasi Negara ini. Tentunya ia akan dapat meneguhkan sistem ‘check and balance’ yang akan memberi kebaikan kepada Negara juga.

Di sini kita dapat melihat beliau seorang pemimpin yang patriotik yang berpandangan jauh. Beliau tidak mementingkan diri untuk terus berkuasa sebaliknya mahu melihat Negara sentiasa berintegriti.

Antara kata-kata Pak Lah yang tidak mungkin dapat kita lupakan ialah:

“Jangan bekerja untuk saya tetapi bekerjalah bersama-sama saya”.

“Negara kita mempunyai fasarana kelas pertama dunia tetapi kebanyakan kita masih berpemikiran kelas ketiga”.

“Perubahan dalam UMNO hanya boleh berlaku bila kita sebagai ahli UMNO mengatakan aku mesti berubah”.

Pak Lah seorang yang merendah diri, banyak senyum dan boleh di dampingi oleh sesiapa saja. Pernah Ketua Wanita Umno Rafidah Aziz melarang orang ramai memanggil beliau dengan sebutan ‘Pak Lah’, sebaliknya Pak Lah telah membantah saranan Rafidah itu dan menyatakan berasa selesa dengan panggilan itu.

Pak Lah sangat menekan pembinaan modal insan, selaras dengan itu beliau mengarahkan atau menganjurkan khidmat pendidikan kepada rakyat haruslah diberi percuma atau dengan bayaran yang minimum. Jauh berbeza dengan masa Tun Mahathir, bidang pendidikan banyak dikomersialkan sehingga membebankan rakyat sendiri.

Pak Lah juga sangat menekankan bidang pertanian dan pengeluaran makanan. Polisi Pak Lah yang pragmatik ini sangat membantu kita dalam menghadapi kemelesetan ekonomi dunia sekarang ini. Usaha Pak Lah dalam mengurangkan defisit Negara dan memperkukuh sektor pertanian dan pengeluaran makanan adalah satu pandangan jauh beliau dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu ini.

Sedangkan Tun Mahathir yang mempunyai polisi pelik dalam ekonomi telah menganjurkan kita harus berbelanja besar mendirikan projek-projek mega bagi merancakkan ekonomi Negara. Semua orang kena belanja duit yang ada, bukan menyimpan, supaya perniagaan akan menjadi rancak dengan itu ekonomi Negara kelihatan seperti teguh.

Dasar ekonomi cara Tun Mahathir itu umpama gelendong-gelendong buih yang besar, kelihatan saja besar tetapi tidak ada isi. Dasar ekonomi beliau itu umpama berniaga dalam sekim cepat kaya. Bila duit baru tidak masuk kerana sudah berkurangan ahli baru akhirnya sekim itu akan runtuh juga.

Kalau kita amalkan cara ekonomi seperti itu, semua orang akan kelihatan seperti sibuk membuat kerja, tetapi sebenarnya mereka membuat kerja tolak habuk. Kerajaan Amerika terpaksa menyuntik berbillion dolar kepada syarikat-syarikat besar yang tenat di Negara itu termasuk jugalah Negara kita yang menyuntik lebih RM60 billion bagi mengekalkan pekerja-pekerja tolak habuk ini untuk terus mendapat gaji dan pendapatan.

Walaupun turunnya Pak Lah dari kerusi Perdana Menteri tidak ditangisi oleh kebanyakan ahli-ahli UMNO sendiri, tetapi saya percaya semua rakyat termasuklah parti lawan tetap akan menghargai sumbangan-sumbangan beliau kepada Negara. Malah Presiden PAS Ustaz Hadi Awang sendiri secara terang telah menyokong beliau untuk terus menjadi PM sehingga pilihanraya umum akan datang.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, sebagai manusia Pak Lah tidak teraga-agak untuk mengaku dirinya juga mempunyai kelemahan. Rasanya tidak perlulah dan tidak manis untuk kita sebutkan kelemahan-kelemahan beliau itu disaat menjelangnya hari beliau hendak turun dari jawatan PM ini. Tetapi apa yang kita hendak sebut disini ialah Pak Lah telah menunjukkan sikap kebertanggungjawaban yang amat tinggi kerana berani mengaku kesalahan dan kelemahan dirinya.

Sebagai rakyat, tiadalah yang lebih berharga dan sangat tepat yang dapat kita berikan kepada beliau selain dari memberikan beliau gelaran “Bapa Penganjur Integriti” atau seumpamanya, seperti gelaran-gelaran Bapa yang tertentu yang telah diberikan kepada semua perdana menteri yang sebelum ini.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com