
KIRA-KIRA sekitar jam 10 pagi tadi (17 April 2009) saya sempat mendengar ucapan Naib Canselor (NC) UTM Zaini Ujang yang berkunjung ke pejabat saya di salah satu Fakulti di UTM ini.
Oleh kerana isu yang hangat diperkatakan warga UTM sekarang ini ialah isu Key Performance Indicator (KPI) bagi para kakitangannya, maka beliau banyak menyentuh hal ini dalam ucapannya tadi.
Sepintas lalu saya dapat memberi gambaran NC Zaini Ujang ini adalah seorang ketua yang berkebolehan dalam memotivasi dan menggerakkan orang bawahannya kearah matlamat yang beliau kehendaki.
Dia seorang yang suka berkomunikasi dan tidak akan melepaskan peluang untuk berucap dikhalayak untuk menyampaikan mesej dan ideanya, dengan harapan segala agendanya dapat digarap dengan baik disemua peringkat.
Sebelum ini beliau dikenali sebagai seorang ahli akademik yang aktif dalam membuat penyelidikan dan telah menghasilkan beratus kertas penyelidikan yang tersiar dalam berbagai journal.
Kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk memimpin universiti seperti UTM ini sememangnya satu pilihan yang amat tepat.
Beliau bukan sekadar menjadi ketua yang hanya pandai bercakap tetapi juga mempunyai suri tauladan yang terbaik untuk semua kakitangan akademiknya.
Dalam ucapannya tadi, beliau menekankan betapa perlunya ahli akademik UTM mempunyai penanda aras yang tinggi, sekurang-kurangnya setanding dengan NUS di Singapura.
Tanpa niat untuk merendah-rendahkan universiti lain, beliau menyeru kakitangan akademik UTM supaya tidak sekadar cukup menjadikan Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Pahang sebagai penanda aras mereka.
Beliau juga menyindir sinis professor yang terlalu berbangga dengan gelaran professor tetapi kualiti akademik dan keilmuannya sangat rendah. Malah ada ahli akademik yang tidak segan silu untuk melamar jawatan professor walhal sumbangan mereka kepada perkembangan ilmu dan penyelidikan tidak seberapa.
Beliau juga memberi beberapa contoh beberapa professor ternama di barat, salah seorang darinya professor dari Denmark yang sangat berprinsip, mereka itu lebih rela kalau tidak diberi gelaran professor dari menjadi professor tetapi tidak mampu memberi sumbangan besar dalam perkembangan ilmu dan penyelidikan.
Tentulah tidak sama nilai gelaran professor yang diberikan oleh Universiti di Sintok dengan gelaran professor yang diberikan oleh Universiti di Oxford.
KPI hanya berguna untuk menyelesaikan masalah jangka pendek. Kita tidak boleh bekerja semata-mata kerana untuk memenuhi KPI. Professor Ungku Aziz yang kita semua kenali itu tidak pernah pun melalui proses KPI ini.
PM Najib pun menggunakan KPI untuk memastikan ahli-ahli kabinetnya sentiasa berada dalam keadaan ‘top perform’. Tujuannya adalah untuk mendapatkan sokongan rakyat kepada BN semula.
Berbeza dengan ayah beliau Tun Razak dahulu, Tun Razak tidak perlukan KPI, tetapi yang mendorong beliau dan kabinetnya bekerja keras ialah kesedaran dan perihatin mereka untuk membaiki taraf kehidupan rakyat yang rata-ratanya miskin ketika itu. Mereka lakukannya dengan hati yang ikhlas untuk semua rakyat tanpa kira mereka menyokong parti pembangkang atau tidak.
Walaupun KPI boleh digunakan oleh pemimpin politik untuk memastikan parti mereka mendapat sokongan rakyat namun KPI tidak mampu untuk mengukur keikhlasan seseorang manusia.
Oleh itu untuk penyelesaian jangka panjang kita tidak boleh bergantung kepada KPI semata, tetapi perlu dalam masa yang sama sangat penting kita mendidik dan menanamkan budaya dan amalan yang positf dalam masyarakat kita secara berterusan.
Kalau kita mahu menjadi cemerlang dalam segala bidang, sikap amanah, rajin bekerja, bertanggungjawab, kesanggupan berkorban, tidak mementingkan diri dan sentiasa ingin menyumbang kebaikan kepada manusia adalah nilai-nilai yang mesti menjadi amalan kita.
Kita tidak akan sampai ke tahap yang membanggakan, kalau kita terus mengamalkan dasar ‘pengampuan’ dan mengenepikan dasar ‘kemampuan’ dalam keutamaan memberikan sesuatu jawatan kepada seseorang.