APAKAH konsep koperasi masih relevan? Walaupun lebih 5,000 koperasi masih beroperasi di Negara ini, tetapi prestasi kebanyakan dari koperasi-koperasi yang ada ini seperti hidup segan mati tak mahu.
Tidak seperti tahun 60an dan 70an dahulu, koperasi memainkan peranan yang penting dalam memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada masyarakat, khususnya kepada ahli-ahlinya.
Saya masih ingat lagi bagaimana penduduk-penduduk kampong saya menubuhkan koperasi yang ketika itu dikenali sebagai ‘syarikat kerjasama’. Tujuan utama penubuhan koperasi itu ialah untuk membeli mesin padi untuk kegunaan penduduk kampong.
Ketika itu koperasi bukanlah ditubuhkan berasaskan untuk mendapatkan keuntungan tetapi lebih kepada untuk menyediakan kemudahan-kemudahan bagi keperluan penduduk setempat.
Untuk membeli sebuah mesin padi ketika itu memerlukan modal yang besar dan tidak mampu untuk dimiliki dan dikendalikan secara persendirian. Oleh itu mereka menubuhkan syarikat koperasi bagi mengumpulkan modal untuk membeli dan menguruskan mesin padi tersebut.
Perkhidmatan koperasi itu tidak berhenti dengan projek mesin padi sahaja, tetapi terus berkembang dengan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang diperlukan penduduk seperti menyediakan khemah kenduri dan jentera pembajak sawah.
Ahli-ahli yang melabur atau mencarum dalam koperasi ketika itu langsung tidak memikirkan keuntungan yang mereka dapat hasil dari dividen. Kalau ada pun dividen, selalunya dividen yang mereka dapat sangat kecil. Bagi mereka yang lebih penting ialah perkhidmatan atau kemudahan yang mereka dapat dari koperasi tersebut secara berterusan.
Tahun 80an kerajaan memulakan polisi yang menggalakkan rakyat melibatkan diri dalam sektor perniagaan. Ramailah usahawan-usahawan baru muncul terlibat dalam berbagai lapangan perniagaan. Perkhidmatan yang dulunya banyak dikendalikan oleh koperasi telah mula diambil alih oleh pengusaha-pengusaha yang berasaskan perniagaan dan keuntungan.
Persaingan dengan syarikat-syarikat perniagaan yang lebih agresif membuatkan dunia koperasi semakin malap dan hambar.
Syarikat-syarikat perniagaan yang besar mampu memberi keuntungan yang besar kepada pemodal dan pelaburnya. Ini menarik orang ramai untuk melabur dalam syarikat-syarikat perniagaan yang besar berbanding koperasi.
Sebagai contoh pada tahun-tahun awal Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan, ASN mampu membayar sehingga 14 peratus dividen dan bonus kepada pelabur-pelaburnya, sedangkan sebuah koperasi ditempat kerja saya di masa itu hanya mampu membayar 5 peratus dividen sahaja.
Penyelewengan
Apabila sosio ekonomi masyarakat kita berubah, koperasi pun turut berubah mengikut masa dan keperluan ahli-ahlinya.
Koperasi bukan lagi untuk penduduk kampong saja. Kini sudah menjadi perkara biasa koperasi wujud di jabatan-jabatan kerajaan bagi memenuhi keperluan ahli-ahlinya yang terdiri dari pekerja-pekerja pejabat. Termasuk juga dalam jabatan-jabatan pertahanan awam seperti pasukan polis dan tentera.
Untuk menyesuaikan dengan keadaan semasa, koperasi mula mengorak langkah menceburi bidang-bidang perniagaan, termasuklah mengendalikan pasaraya-pasaraya. Koperasi bukan lagi setakat untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan tetapi telah bertukar menjadi entiti yang mencari keuntungan.
Sekarang ini sukar untuk kita membezakan koperasi dengan syarikat-syarikat perniagaan, operasi dan kegiatan mereka hampir sama saja. Mungkin yang membezakan kedua-dua entiti ini hanya pada peraturan dan undang-undang tubuh mereka saja.
Ahli-ahli pun tidak lagi memikirkan sangat soal kemudahan yang mereka dapat dari koperasi tetapi mula melihat dan lebih berminat kepada berapa banyak dividen yang diberi oleh koperasi mereka.
Niat asal koperasi yang mulia dan tulus untuk berkhidmat untuk ahli sudah tidak menjadi keperluan lagi. Orang ramai boleh menjalani kehidupan seharian mereka tanpa memerlukan koperasi lagi. Ada koperasi atau tidak, tidak akan menjejaskan kehidupan mereka.
Ada juga orang yang masuk koperasi kerana hendak mendapat kemudahan kredit dan pinjaman. Tetapi sekarang ini pun banyak institusi kewangan dan perniagaan yang dapat memberi kemudahan kredit dan pinjaman.
Selain dari operasi yang tidak cekap, terdapat juga penyelewengan di peringkat pengurusan koperasi. Ramai pengurus-pengurus koperasi menggunakan kedudukannya telah menyeleweng dan tidak amanah. Mereka memperalatkan koperasi untuk kepentingan dan memperkaya diri sendiri.
Relevan
Konsep koperasi tidak lagi sesuai dengan sosio budaya masyarakat kita yang maju sekarang. Mungkin ketika ini konsep koperasi hanya relevan untuk penduduk-penduduk di kawasan pendalaman di mana pemilikan modal mereka terhad. Usahawan juga tidak berminat untuk membuka perniagaan di kawasan pendalaman kerana tidak ekonomik atau tidak dapat menjana banyak keuntungan.
Kalau pun konsep koperasi ini hendak diteruskan, saya rasa ia lebih sesuai untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang bukan berasaskan mencari keuntungan tetapi lebih untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Sebagai contoh koperasi diwujudkan untuk menguruskan jenazah penduduk yang meninggal dunia, untuk mengendali kenduri kahwin, untuk membangunkan tanah-tanah terbiar di kampong-kampong untuk projek pertanian dan ternakan, untuk mengadakan perusahaan kampong, untuk mengadakan perkhidmatan untuk warga emas yang anak-anak mereka tinggal dan bekerja di Bandar dan lain-lain perkhidmatan yang bukan berorientasikan keuntungan.
Terima kasih kepada Prof Diraja Ungku Aziz (gambar) yang telah banyak menyumbang buah fikiran untuk dunia koperasi.
7 comments:
ANGKASA kena pertahankan kewibawaan nya slepas pengunduran Pak Ungku.
Pak ungku juga berjasa didalam penubuhan Tabung Haji
TERIMA KASIH ADINDA...
SAYA IKHLAS KERANA MELAYU DAN ISLAM
Salam dan terima kaseh kerana senaraikan blog notoumno di dalam blog Tuan.
Salam
Radenjowo
Salam... terima kasih kerana melawati blog saya. Dari masa ke masa, saya akan lawati blog saudara pula.
Saudara,
Koperasi masih relevan. Prinsip pengurusan koperasi dan syarikat jauh berbeza. Apa yang berlaku dalam ANGKASA ialah politik dalam organisasi. Politik begini hendaklah diuruskan dengan baik. Sekiranya tidak, ahli biasa dan orang ramai akan confuse.
dulu aku ingat koperasi ni kedai jual barang je macam koperasi sekolah hahaha
Peranan Koperasi amat besar dalam menangani isu semasa....
Post a Comment