Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, April 28, 2013

Bukan setakat menang tetapi pastikan menang besar


55 tahun adalah satu jangka masa yang terlalu lama bagi sebuah parti berkuasa terus menerus dalam sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi. Fenomena ini bukanlah suatu yang baik dalam sebuah Negara demokrasi, kerana ia boleh membantutkan kemajuan Negara.

Di Negara-negara maju seperti Amerika dan Britain, parti-parti politik yang memerintah sentiasa saja bertukar ganti, dan inilah antara rencah yang menjadi amalan Negara-negara tersebut sehingga dapat memacu kejayaan dan kemajuan yang berterusan.  Apabila satu parti tidak dapat menunjukkan prestasi yang meningkat dalam membawa kemajuan kepada Negara semasa memerintah, dengan segera mereka akan ditukar oleh rakyat dengan parti atau pemimpin yang lebih berupaya.

Saya rasa tahun 2013 ini adalah masa yang sesuai untuk rakyat Malaysia membuat perubahan.  Sudah terlalu lama UMNO memerintah Negara ini, walaupun setiap kali pilihanraya yang diadakan sebelum ini, UMNO selalu menang besar, ini tidak bermakna rakyat benar-benar suka kepada pemerintahan UMNO.

Ada banyak sebab mengapa UMNO terus menang dalam setiap pilihanraya. Kawalan dan penguasaan media perdana, samada akhbar mahu pun media elektronik, telah menghalang rakyat mendapat dan terdedah kepada pandangan yang berlainan dari pandangan parti UMNO.

Walaupun pemimpin-pemimpin UMNO telah banyak melakukan berbagai salah laku dan memimpin kerajaan dengan dasar-dasar yang lemah, bercambahnya rasuah dan korupsi dalam pentadbiran, tetapi semuanya itu dapat ditutup dan disembunyikan. Sebaliknya melalui media perdana yang mereka kuasai, kerajaan UMNO dipaparkan sebagai yang terbaik dan banyak membawa kemajuan kepada rakyat.

Apabila rakyat hanya mendapat maklumat dari parti yang memerintah sahaja maka sukar untuk mempastikan undi dan sokongan yang mereka beri itu adalah sokongan yang sebenar. Keadaannya akan jadi bahaya kalau rakyat tahu maklumat yang disogokkan kepada mereka itu hanyalah palsu belaka.

Keadaan inilah yang telah berlaku di Negara-negara Arab yang pemimpin mereka mengamalkan kepimpinan autokratik. Apabila rakyat mereka disedarkan, mereka telah memberontak dan menyingkirkan pemimpin-pemimpin tersebut.

Pilihanraya yang tidak berat sebelah, bebas dan bersih, sangat penting untuk menjaga keutuhan dan kedaulatan sesebuah Negara. Negara-negara luar tidak berani hendak membuli Negara yang pemimpin mereka mendapat sokongan padu dan tulin dari rakyatnya. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Amerika begitu mudah ‘menawan’ Iraq dan menangkap Sadam Husein, pemimpin Negara itu. Sebaliknya Amerika tidak berani bertindak kepada Iran dan Presidennya Ahmed Dinajad. Ini kerana Amerika tahu, Sadam hanya mendapat sokongan yang palsu dari rakyatnya sekalipun setiap kali pilihanraya Negara itu, Sadam mendapat lebih 90% undi. Manakala Presiden Iran dipilih melalui pilihanraya yang tidak berat sebelah dan bebas, oleh itu sokongan rakyat kepada presidennya memang sokongan yang tulin.

UMNO perlu merasa kalah untuk menjadikan mereka parti yang lebih baik pada masa hadapan.  UMNO telah banyak menggunakan taktik yang tidak beretika dan tidak bermoral semata-mata untuk mereka terus kekal berkuasa.

UMNO sering menakut-nakutkan rakyat dengan kemiskinan, kemunduran, kekacauan, huru hara, kalau parti lawan menang dalam pilihanraya.

UMNO kata, kalau Pakatan Rakyat memerintah, orang Melayu akan hilang segala-galanya seperti yang berlaku kepada orang Melayu Singapura. Adakah UMNO ini sedar apa yang dia cakap? Orang Melayu dan Bumiputra di Malaysia adalah kumpulan yang majoriti, kalau kehendak kumpulan majoriti diabaikan, alamat sepenggal sajalah Pakatan Rakyat memegang kuasa. Sudah menjadi adat demokrasi, kebajikan majoriti itulah yang akan diberi tumpuan dan perhatian, kerana sokongan dari kumpulan majoriti itulah yang akan menentukan kemenangan dalam pilihanraya.

Musuh Melayu bukan Cina, musuh Cina bukan Melayu. Musuh sebenar kita ialah manusia yang tamak dan rakus yang merompak kazanah negara untuk diri dan keluarga mereka dengan bertopengkan parti politik. Pecahkan tembok perkauman ini, sekolahkan anak-anak kita disekolah yang sama, bukan sekolah mengikut kaum yang sangat dibanggakan oleh UMNO seperti sekarang ini. Sedarlah tuan-tuan, anak-anak kita mesti dibiarkan bersekolah di sekolah yang sama dari kecil lagi, agar anak-anak kita itu dapat bergaul, berkawan dan menghapus rasa curiga. Akhirnya mereka akan dapat hidup bersama, saling membantu menghadapi apa jua keadaan, samada susah dan senang. Kita mahu membina anak watan yang sentiasa bersedia membela nasib rakyat Malaysia, bukan yang berlagak menjadi hero membela kaumnya.

Marilah kita melakar sejarah baru untuk Negara kita yang tercinta ini. Kalau tahun 1957 dingati sebagai tahun kemerdekaan, tahun 1963 sebagai tahun pembentukan Malaysia, tahun 2013 ini pula akan kita ingati sebagai tahun pemulihan demokrasi dan pilihanraya di Negara kita ini. Media perdana masih berat sebelah dan dikawal secara sistematik oleh UMNO. Begitu jelas kepada kita, UMNO telah menggunakan RTM, harta awam yang dibiayai Negara atau lebih tepat lagi wang rakyat, untuk propaganda dan alat kempen parti mereka. Kalau di Negara maju seperti Britain, perbuatan seperti ini sudah cukup untuk membuatkan parti yang memerintah kalah teruk dalam pilihanraya, tanpa perlu lagi melihat apa yang ditawarkan dalam manifestonya.

UMNO telah mewujudkan undang-undang dan permit yang menyekat kebebasan bersuara, yang sangat bercanggah dengan amalan dan prinsip demokrasi. Ingatlah tuan-tuan, pilihanraya kita belum sepenuhnya adil, bebas dan bersih. Marilah kita ubah dan kita cipta sejarah baru.

Mari kita membina Malaysia yang berpandangan baru, mari kita robohkan tembok perkauman yang telah dibina oleh UMNO sekian lama. Tembok perkauman itulah yang telah menyelamatkan UMNO dan sekutunya dalam setiap pilihanraya. Wahai rakyat, bukalah minda kamu seluas-luasnya, jangan lagi kita terus diperalat oleh UMNO, janganlah berfikir dalam kotak kaum kita saja, sampai bila kita mahu terus menjadi bahan batu api UMNO hingga kita menjadi musuh kepada kaum yang lain dalam senyap. Di depan, kita kata bersatu padu, di belakang kita saling membenci, dan tidak pernah puas hati dengan kaum lain.

Ingatlah tuan-tuan, UMNO hanya boleh menggunakan undi hantu dan kotak misteri undi pos untuk menang kalau Pakatan Rakyat mendapat lebihan bilangan undi kurang dari 200 dalam suatu kawasan pilihanraya itu. Tetapi kalau Pakatan Rakyat dapat jumlah undi dua atau tiga ribu lebih banyak dari UMNO, mereka memang tidak mampu untuk mengubah keputusan. Marilah kita mengundi dan tunjukkan satu keputusan yang jelas kepada mereka. Let’s send them a strong signal and a very clear message by voting solely for Pakatan Rakyat.

UMNO mesti dikalahkan dengan teruk, kalah sampai terduduk. Dengan ini sahaja kita dapat mengajar kesombongan dan keangkuhannya selama ini. Kalau UMNO hanya dapat dikalahkan dengan majoriti mudah (simple majority), mereka akan masih boleh bercakap besar dan masih mampu menggugat kerajaan Pakatan Rakyat.

Daim Zainudin mengatakan kalau Anwar jadi PM, ekonomi negara akan hancur. Ekonomi negara insyallah tidak akan hancur, yang pasti akan hancur ialah ekonomi perembat-perembat khazanah negara yang telah lama menjarah kekayaan negara sepanjang UMNO berkuasa. Bolehkah Mokhzani dan Mukhriz memiliki kekayaan seperti sekarang ini kalau dia bukan anak-anak kepada Mahathir? Dan mungkin Nazir di saat ini hanya setakat bertugas sebagai pengurus sebuah bank sahaja kalau dia bukan adik kepada PM Najib.

Setiap kali Negara menyambut hari kemerdekaan, kita dikompangkan di media perdana bahawa parti UMNO lah yang telah banyak berjasa dalam memerdekakan Negara. Dan sebagai balasan, UMNO meminta rakyat sentiasa mengenang dan berterima kasih dengan jasa-jasa UMNO ini. Setiap tahun jasa UMNO ini akan diulang tayang, lantaran itu, selama-lamanya rakyat Malaysia akan terasa terhutang budi kepada UMNO.

Memang tidak dinafikan Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman melalui wadah UMNO telah melakukan yang terbaik, memerdekakan Negara ini dari penjajah British. Tetapi tidak bermakna orang UMNO hari ini juga telah melakukan yang terbaik untuk Negara ini. Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman telah banyak berjasa, tetapi tidaklah wajar, kerana terlalu terhutang budi kepada mereka, hingga kita tidak boleh mengundi selain dari parti UMNO.

Kalau hari ini Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman masih lagi hidup, belum tentu mereka akan mengundi UMNO.

Mari kita jadikan tahun 2013 ini sebagai sejarah parti UMNO dikalahkan setelah memerintah selama 55 tahun, dan tahun Malaysia memasuki episod geopolitik baru.

Tuan-tuan, rakyat Malaysia yang saya muliakan, kita tidak perlu mengangkat senjata seperti yang dilakukan oleh Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Janggut yang berjuang untuk kebaikan Negara dan anak cucunya dari terus dijarah oleh penindasan British. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah dengan memangkah Pakatan Rakyat pada pilihanraya 5 Mei 2013 ini. Undi tuan-tuan sangat penting untuk merubah geopolitik Negara, demi masa depan kita dan anak cucu kita yang lebih baik.

Di manakah moyang kita semasa Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Janggut berjuang mempertahankan Negara ini dari terus dijajah British? Kalau moyang kita itu turut menyebelahi atau bersama menyokong perjuangan mereka, walau sekadar memberi sokongan moral, sudah cukup untuk kita berbangga dengan moyang kita. Tetapi bagaimana kalau sebaliknya?

Moga kita juga nanti akan menjadi kebanggaan anak cucu kita kerana telah memberi undi kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya 5 Mei 2013. Pasti pilihanraya kali ini akan tercatat sebagai pilihanraya yang istimewa dalam sejarah Negara kita. Mari kita cipta sejarah ini, dan biarlah kita sendiri menjadi sebahagian dari sejarah itu.

Monday, April 15, 2013

DAP, PAS dan PKR jangan mendabik dada mengatakan rakyat menyokong parti kamu.


Apabila PAS dapat menambah banyak kemenangan calon-calonnya pada pilihanraya tahun 1999, Ustaz Haji Hadi selaku presiden PAS ketika itu menolak dakwaan wartawan yang mengatakan prestasi cemerlang PAS ketika itu adalah disebabkan faktor Anwar Ibrahim. Dalam pilihanraya itu, Terengganu sendiri telah dapat ditawan oleh PAS dan telah mengangkat Ustaz Haji Hadi menjadi Menteri Besar negeri itu.

Sebaliknya Ustaz Haji Hadi telah membuat andainnya sendiri dengan mengatakan PAS menang besar sebab rakyat menginginkan Islam.

Lima tahun kemudian, pada pilihanraya tahun 2004, PAS kalah di Terengganu, Ustaz Haji Hadi hanya mampu terkedu.

Saya tidak nampak gerakan pembangkang telah menjadi begitu penting dan berkesan selain dari selepas pemecatan Anwar Ibharim pada tahun 1998. Sebelum itu gerakan parti pembangkang tidak lebih dari gerakan yang lesu, seperti hidup segan mati tak mahu. Peranannya tidak lebih sebagai pencukup syarat sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi saja.

Tetapi gerakan reformasi yang dibawa Anwar Ibrahim telah benar-benar merobah lanskap politik gerakan parti pembangkang tanah air.  Peranan dan sumbangan Anwar Ibrahim kepada kebangkitan rakyat tidak boleh diambil ringan. Parti PAS dan parti DAP yang dulunya seperti harimau dan singa yang tidak pernah sehaluan, telah dapat dijinakkan oleh Anwar untuk duduk semeja.

Walaupun ideologi mereka berbeza bagai langit dan bumi, tetapi Anwar telah dapat menyatukan mereka dalam mencapai matlamat yang sama, terutamanya dalam hal untuk membenteras korupsi, menghapuskan kronisma, menitik beratkan meritokrasi, memberi keadilan kepada semua rakyat, menghapuskan penggunaan kuasa politik untuk memperkaya diri dan keluarga, dan menghapus penyalahgunaan guna harta kerajaan Negara dan rakyat untuk propaganda parti pemerintah.

Anwar mempunyai kualiti kepimpinan yang hebat, jika beliau diberi peluang untuk memimpin Negara ini, saya percaya dia mampu untuk menyatukan rakyat Malaysia semula selepas pilihanraya ke 13 ini. Orang-orang UMNO pasti akan berbondong-bondong kembali untuk berbaiah dengan kepimpinan beliau semula.

Wahai PAS, DAP dan PKR, walaupun kamu bertanding atas tiket parti masing-masing tetapi rakyat yang mengundi kamu itu tidak semestinya mengundi parti kamu, tetapi sebaliknya mereka hanya melihat Pakatan Rakyat. Mereka mahu memenangkan Pakatan Rakyat bukan hendak memenangkan parti DAP, PAS atau PKR. Oleh itu jangan kamu terlalu perasan, apalagi hendak mendabik dada. Jadikanlah pengajaran kepada apa yang telah berlaku kepada Ustaz Haji Hadi.

Wahai PAS, DAP dan PKR, tidakkah kamu sedar, ketiga-tiga parti ini (DAP, PAS dan PKR) tidak akan meletakkan calon masing-masing dalam kawasan pilihanraya yang sama. Oleh itu bagaimana kamu boleh mendabik dada, mengatakan kemenangan kamu disebabkan rakyat memilih dan suka kepada parti kamu? Lainlah kalau ketiga-tiga parti tersebut meletakkan calon masing-masing dalam kawasan yang sama, dan parti kamu menang dalam pertandingan itu, barulah boleh kata rakyat suka parti kamu.

Oleh itu jangan berlagak bodoh sombong.  Apapun parti dalam Pakatan Rakyat yang menang dalam pilihanraya ke 13 ini, hendaklah difahami sebagai rakyat telah mengundi Pakatan Rakyat bukan parti DAP, bukan parti PAS dan juga bukan parti PKR. Sekalipun parti PAS menang lebih banyak kerusi  berbanding rakan-rakannya yang lain dalam Pakatan Rakyat, ini tidak bermakna PAS boleh mendabik dada untuk mengatakan merekalah yang lebih layak untuk mendapat kuasa lebih.

Sekali lagi kita ingatkan, rakyat bukan mengundi parti PAS, DAP atau PKR tetapi mereka mengundi Pakatan Rakyat.
Harap kenyataan ini dapat disebar luaskan.

Monday, April 08, 2013

Mengundi dalam pilihanraya kotor untuk membersihkan pilihanraya


Saya sangat menghormati dan menyokong parti DAP dalam memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia mereka untuk mendapatkan hak samarata bagi semua warga Malaysia tanpa mengira kaum melalui saluran demokrasi tanpa menggunakan senjata dan kekerasan.

Saya juga sangat menghormati dan menyokong parti PAS dalam memperjuangkan negara Islam melalui saluran demokrasi, bukan menggunakan pedang.

Islam diturunkan melalui NabiNya dengan berbekalkan Quran berbentuk buku, hujah dan lidah nabi adalah kekuatannya.

Itulah demokrasi, memberi ruang kepada semua orang untuk memperjuangkan apa saja isu yang berkaitan dengan kehidupan mereka dan memberi ruang untuk menyampaikan agenda mereka kepada orang ramai. Kejayaan perjuangan mereka itu bergantung kepada sokongan orang ramai kepada mereka yang akan ditentukan dalam pilihanraya. Inilah kaedah yang terbaik, tidak melalui pertumpahan darah, tiada kekerasan dan tidak menyusahkan orang ramai.

Tetapi sistem demokrasi hanya akan berkesan dan berfungsi dengan baik jika ruang kebebasan bersuara dan berhujah tidak disekat dan pilihanraya dilaksanakan dengan bebas, telus, adil dan bersih.

Tidak ada gunanya kalau ada pihak ingin memperjuangkan sesuatu isu atau agenda melalui sistem demokrasi, tetapi demokrasi yang digunakan tempang. Akhirnya perjuangan itu tidak akan sampai ke mana.

Bagaimana mungkin isu dan agenda yang hendak di bawa oleh sebuah parti politik itu boleh sampai dan difahami oleh orang ramai kalau kebebasan bersuara disekat. Tidak diberi peluang untuk disampaikan melalui media perdana.

Lihatlah media perdana di Negara kita, walaupun sebahagian besarnya dibiayai dari wang Negara dan wang rakyat tetapi ia telah menjadi alat kempen dan propaganda parti pemerintah, di samping menjadi alat memburuk-burukan parti pembangkang.

Kalau di negara-negara maju seperti Britain, penyalahgunaan harta awam untuk kempen dan propaganda parti pemerintah, sudah cukup untuk membuatkan mereka kalah dalam pilihanraya.

Kepincangan demokrasi ini menyebabkan rakyat hanya dapat maklumat tentang agenda parti pemerintah sahaja. Sedangkan ruang kepada parti-parti politik pembangkang sangat terbatas kepada media baru dan ceramah-ceramah. Oleh itu tidak hairanlah kalau UMNO telah berjaya mengekalkan kuasanya terus menerus memerintah Malaysia selama lebih 55 tahun kerana rakyat tidak diberi peluang untuk mendengar hujah-hujah dari parti pembangkang.

Lebih memalukan lagi, Menteri Komunikasi Datuk Rais Yatim telah mempelawa Pakatan Rakyat menyiarkan rakaman manifesto pilihanraya mereka di RTM untuk selama 10 minit. Tingkah Rais Yatim ini betul-betul menghina prinsip demokrasi. Bercakap seperti seorang yang jahil tentang demokrasi. Tidakkah dia ingat, bagaimana marahnya dia dengan RTM dan TV3 semasa dia menjadi pembangkang dalam parti Semangat 46 dulu? Masihkah dia ingat lagi bagaimana dia sendiri yang memikul alat pembesar suara semasa mahu memberi ceramah di kawasan penempatan di belakang Mah Fah Sawmill di Paroi menghentam Mahathir di satu masa dulu? Tetapi ucapan Rais Yatim di masa itu diibaratkan oleh orang ramai seperti ‘katak ngomping’ saja.

Sangat jelas parti-parti politik yang bertanding di Malaysia bertanding secara berat sebelah atau bertanding di atas lantai yang tidak sama tinggi. Selain dari itu parti pemerintah juga didakwa telah melakukan berbagai ‘penipuan’ dalam pilihanraya.

Oleh kerana parti pemerintah bertanding dalam suasana berat sebelah, maka mereka tidak boleh dikatakan menang kalau tidak dapat memperoleh undi melebihi 60% dari jumlah undi.

Perjuangan politik parti-parti pembangkang hanya akan menjadi sia-sia dan selamanya tidak akan berjaya kalau sistem demokrasi dan pilihanraya di Negara ini tidak dipulihkan dan diletakkan di atas landasannya yang betul.

Untuk pilihanraya umum ke 13 yang akan diadakan beberapa hari lagi ini, ketepikanlah dulu buat sementara Malaysian Malaysia, ketepikanlah dulu Negara Islam. Sebaliknya fokus utama kita sekarang yang lebih penting ialah memulihkan sistem demokrasi dan pilihanraya Negara ini supaya berada di atas landasan dan berfungsi dengan betul.

Tidak ada guna kita bercakap tentang Negara Islam dan Malaysian Malaysia melalui saluran demokrasi, tetapi demokrasi di Negara kita ini telah tidak dapat berfungsi dengan baik.

Oleh itu marilah kita bermula dengan memperbaiki dan memulihkan demokrasi Negara kita dahulu, dan selepas itu barulah kita boleh bercakap tentang apa saja.

Jadikanlah tahun 2013 ini tahun pemulihan demokrasi di Malaysia. Undilah parti apa saja, jangan pedulikan agenda mereka, yang penting kita undi untuk demokrasi, untuk masa depan kita dan anak-anak kita.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com