Semua orang teringin hendak jadi Sultan. Memang seronok jadi
Sultan, semua kemahuan kita akan dipenuhi, tinggal dalam istana yang serba
mewah, makan minum yang lazat-lazat disediakan pagi dan petang. Hendak pergi ke
mana-mana, kereta disediakan, lengkap dengan pemandu dan pengiring.
Tidak perlu bekerja berhempas pulas membanting tulang empat
kerat, tidak perlu menjadi penarik beca membawa pelancung di bawah sinar
matahari yang panas terik dan tidak perlu jadi pengait buah kelapa sawit untuk
mencari sesuap nasi untuk diri dan keluarga.
Berhentilah berangan hendak menjadi Sultan. Tuhan tidak
pernah mewariskan bahagian mana-mana bumi ini kepada seseorang dan
keturunannya. Keluarlah ke bumi nyata, bumi yang telah dihuni oleh manusia
moden yang bertamadun tinggi. Manusia yang semuanya telah sekolah, tidak lagi
percaya kepada adanya keturunan mulia dan keturunan hina, tidak percaya lagi
kepada kasta.
Tidak ada manusia dilahirkan untuk menjadi hamba atau
dilahirkan untuk menjadi tuan. Manusia moden hanya percaya kepada meritokrasi
dan kebolehan masing-masing.
Berhentilah berangan hendak jadi Sultan, hadapilah dunia ini
dengan berpijak di bumi nyata. Usah diungkit lagi kisah nenak moyang kamu yang
hidup di zaman kuno, zaman orang tidak pergi sekolah itu.
Pergilah cari kerja untuk menyara hidup kamu dan keluarga
kamu seperti orang-orang lain juga. Pergilah jadi kerani kalau kelulusan kamu
hanya layak jadi kerani, pergilah cari kerja sebagai guru kalau kamu minat nak
jadi guru. Pergilah kerja jadi doctor kat hospital kerajaan atau hospital swasta
kalau memang kamu ada kelulusan untuk jadi doctor. Kalau kamu nak kaya, nak ada
duit banyak bertimbun, cuba-cubalah buka bisnes atau jadi usahawan, itu pun
kalau kamu ada bakat dalam perniagaan. Kalau kamu berminat hendak jadi menteri
besar atau perdana menteri, cuba-cubalah aktif bergiat dalam bidang politik, mana
tahu, kalau bintang kamu terang, cepatlah kamu naik.
Berhentilah berangan hendak jadi Sultan. Memanglah kamu rasa
untung kalau kamu dapat jadi Sultan. Tapi kamu mungkin tidak tahu, di pihak Negara
pula, banyak duit Negara yang juga adalah duit rakyat akan dihabiskan untuk
membiayai kamu kalau kamu menjadi Sultan, berbanding untuk membiayai kamu jika
kamu bekerja menjadi penarik beca saja. Nak bina istana kamu saja berapa banyak
belanjanya, itu belum lagi nak sediakan berpuluh-puluh orang gaji untuk kamu,
nak sediakan kereta mewah kamu yang lengkap dengan pemandu dan pengiring. Nak
bayar elaun untuk bini dan anak-anak kamu, nak adakan majlis hari jadi kamu,
nak sediakan makanan yang lazat-lazat setiap hari dan lain-lain lagi. Semua itu
perlukan duit, dan duit itu datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat dan juga
datang dari khazanah Negara.
Sudah sudahlah tu yob, berhentilah berangan
hendak menjadi Sultan
1 comment:
Khawin dgn anak kerabat sultan boleh dapat short circuit ke ....atas kemewahan yg di anugerahkan pada sultan
Post a Comment