Masa sekolah dulu ada juga kita belajar sejarah. Sejarah
adalah kisah tentang dunia ini pada masa yang lampau. Kesahihan sejarah itu bergantung
kepada catatan-catatan dan tinggalan tamadun lama. Ada sejarah yang dapat dikesan,
dan ada yang tidak dapat dikesan. Hanya Tuhan saja yang tahu sejarah bumi ini
yang sebenar.
Setiap kelompok manusia ada mempunyai ketua atau pemimpin.
Pemimpin dan kepimpinan adalah satu keperluan untuk menyelaras kehidupan
sesuatu masyarakat supaya mereka boleh hidup harmoni dan teratur. Dalam
kumpulan samseng pun ada ketua, inikan pula dalam kelompok masyarakat yang
baik-baik. Pemimpin atau ketua yang tertinggi dalam masyarakat tradisional
adalah berbentuk Raja.
Tidak ada undang atau peraturan untuk menentukan berapa luas
kawasan yang di bawah kuasa seorang Raja atau Sultan.
Tetapi yang jelasnya dari buku-buku sejarah yang kita baca,
seorang Raja akan cuba memperluaskan kawasan jajahannya. Raja yang kalah perang
terpaksa tunduk dan menyerahkan pemerintahannya kepada Raja yang menang.
Sejarah telah menyaksikan beberapa pemerintahan Raja-raja
yang mempunyai jajahan takluk yang besar yang dipanggil empayar. Ini
termasuklah Empayar Rom, Empayar Parsi, Empayar Iskandar Zulkarnain, Empayar
Othmaniah. Dan di sebelah rantau kita pula, ada Empayar Sri Vijaya dan Empayar
Majapahit.
Di abad ke 15, Negara-negara Eropah yang lebih maju telah menjajah
banyak Negara di benua Amerika dan benua Asia. Semasa kejatuhan kerajaan Sultan
Melaka kepada penjajah Portugis tahun 1511, kawasan-kawasan atau negeri-negeri
di Semenanjung di waktu itu telah mempunyai Sultan atau Raja-raja mereka
sendiri. Sultan atau Raja setiap Negeri-negeri Melayu ini berkuasa penuh
mentadbir negeri mereka secara berasingan. Kawasan Johor diperintah oleh Sultan
Johor, Kawasan Pahang diperintah oleh Sultan Pahang, kawasan Kedah diperintah
oleh Sultan Kedah, begitu jugalah yang lain-lain itu.
Apabila berakhirnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, dan
kebangkitan semangat nasionalisma anak watan di tanah jajahan untuk menuntut
kemerdekaan dari penjajah Eropah, telah mengubah lanskap dunia kepada seperti
yang kita lihat hari ini. Dunia telah dipecahkan kepada Negara-negara mengikut
acuan yang dicadangkan oleh bekas-bekas penjajah Barat, terutamanya Britain,
Belanda dan Sepanyol.
Atas kehendak Britain, Negeri-negeri Melayu di Semenanjung
telah menjadi satu Negara. Dan atas kepentingan tertentu British telah tidak
memasukkan Singapura ke dalam Negara Tanah Melayu (Malaya).
Konsep Negara yang moden yang teratur telah diperkenalkan
oleh penjajah Barat. Sebelum Perang Dunia Kedua, siapa saja boleh berpindah ke
mana-mana sahaja yang mereka suka di rantau ini. Sebagai contoh ramai orang
Bugis dari kepulauan Sulawesi belayar mencari penempatan baru di kawasan pantai
Johor. Begitu juga orang Banjar dari pulau Kalimantan datang ke Selangor dan
Perak. Orang Minangkabau dari barat Sumatera pula berhijrah ke beberapa kawasan
di Negeri Sembilan.
Oleh itu di Tanah Semenanjung saja terdapat berbagai-bagai
suku kaum, seperti Jawa, Boyan, Banjar, Bugis dan Minang, yang nenek moyang
mereka telah berhijrah ke sini sejak berkurun lamanya. Ada berbagai sebab mereka
berpindah dari kawasan asal mereka, ada yang berpindah untuk mencari kawasan
pertanian baru, ada yang berpindah kerana berniaga atau berdagang dan ada yang
berpindah kerana melarikan diri dari peperangan. Ada yang berpindah dalam
kumpulan kecil dan ada yang berpindah dalam kumpulan besar. Malah ada yang
datang membuka negeri dan melantik ketuanya menjadi Raja di situ.
Pada masa itu siapa saja boleh pergi ke mana-mana dan
tinggal di mana-mana yang mereka suka. Tidak ada sistem kewarganegaraan seperti
yang ada hari ini. Kita bebas keluar masuk ke negeri atau ke negara mana yang
kita mahu, tidak ada halangan, tidak perlu paspot atau kad pengenalan diri,
asalkan kita boleh diterima oleh orang tempatan dan kita pula tidak mengganggu
orang tempatan.
Tetapi setelah konsep Negara zaman moden diperkenalkan,
manusia tidak boleh bebas lagi berhijrah dari satu Negara ke Negara lain. Orang
di Indonesia tidak boleh sesuka hati untuk menetap dan tinggal di Malaysia,
begitu jugalah sebaliknya.
Apakah konsep Negara
dan kewarganegaraan yang sedang diamalkan sekarang ini akan terus kekal untuk
selama-lamanya?
Apakah akan ada nanti, Negara-negara yang ada sekarang ini
akan bercantum menjadi Negara-negara yang lebih besar? Atau apakah akan ada
Negara yang berpecah menjadi negera yang lebih kecil?
Kita telah menyaksikan Negara Jerman berpecah menjadi Jerman
Barat dan Jerman Timur dan kemudian bercantum semula. Kita juga menyaksikan
Negara India berpecah menjadi Negara India dan Negara Pakistan. Negara Pakistan
pula kemudiannya berpecah menjadi Negara Pakistan dan Negara Bangladesh.
Dunia sentiasa berubah dengan perubahan masa. Mungkin satu
masa nanti dunia akan diperkenalkan dengan sistem dunia yang baru pula. Ada
kemungkinan juga pada satu masa nanti manusia akan dibenarkan tinggal di
mana-mana saja mereka suka di dunia ini tanpa terikat kepada mana-mana warga
Negara. Di zaman itu manusia akan kembali berpegang kepada pepatah, di mana
bumi dipijak, di situ langit dijunjung, kewarganegaraan bukan lagi ditentukan
oleh tempat mereka lahir.
Sekarang ini ramai orang Sulu dari Negara Filipina berhijrah
ke negeri Sabah. Kalau di zaman dulu, penghijrahan seperti ini ini bukanlah merupakan
suatu kesalahan. Nenek moyang kita dulu pun adalah bukan penduduk asal Tanah
Semenanjung, dan nenek moyang kita itu juga bukanlah melakukan perkara yang
salah bila mereka berpindah ke sini. Tetapi di zaman moden ini, berhijrah ke Negara
lain tanpa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa adalah dilarang dan boleh
diambil tindakan undang-undang. Apatah lagi kalau mereka datang untuk melakukan
keganasan.
No comments:
Post a Comment