Dari peristiwa tuntutan pewaris Sultan Sulu ke atas Sabah
ini dapatlah dijadikan pengajaran kepada kita bagaimana pemimpin puak-puak
pemisah samada di selatan Thailand dan selatan Filipina telah menggunakan dan
memperalatkan Islam untuk kepentingan diri mereka. Atas nama pembebasan umat
Islam dari pemerintahan regim kafir, mereka telah memperalatkan orang-orang
Islam untuk mengangkat mereka menjadi pemimpin, dan matlamat akhir mereka
adalah kuasa yang akan dapat memberi faedah kepada mereka dan keturunan mereka.
Peristiwa yang berlaku di Sabah itu telah mendedahkan niat
mereka yang sebenar. Apakah selama ini mereka berjuang untuk Islam?
Kalau difikirkan untuk kebaikan perkembangan syiar Islam, dan
kalau betul-betul mereka jujur untuk mengembangkan agama Islam, adalah lebih
baik untuk mereka terus berada di bawah Negara Thailand dan Filipina kerana
mereka akan dapat lebih mudah untuk bergerak menyampaikan dakwah Islam
berbanding jika berada di Negara yang berasingan. Medan dakwah mereka dan
peluang untuk mereka berdakwah akan menjadi lebih besar lagi berbanding jika
mereka memisahkan diri mereka di Negara yang berasingan.
Tetapi oleh kerana terdapatnya beberapa orang yang gila
kuasa dan gila untuk menjadi pemimpin, mereka sanggup mengenepikan perkara yang
banyak memberi kebaikan kepada perkembangan dakwah agama Islam itu.
Umat Islam di Thailand dan di Filipina harus ada pemikiran
yang besar iaitu untuk menjadikan Negara itu sebuah Negara umat Islam pada satu
masa nanti, dan itu lebih baik dari berjuang mengasingkan diri dari orang bukan
Islam dengan membentuk Negara sendiri. Ini sebenarnya langkah mundur kebelakang
bukan maju kedepan kerana ia akan menyukarkan seruan atau cahaya Islam itu untuk
menembus ke dalam masyarakat bukan Islam.
Lihat kepada apa yang berlaku kepada Pakistan dan India.
Kalaulah Pakistan itu masih menjadi sebahagian dari Negara India, sudah pasti
sekarang ini India itu telah menjadi sebuah Negara umat Islam. Tetapi oleh
kerana pemimpin orang Islam di India ketika itu tidak mempunyai pandangan yang
jauh, sebaliknya lebih mementingkan keuntungan peribadi, akhirnya India dan
Pakistan tinggal seperti yang kita lihat hari ini, dan hingga hari ini pun
kedua-dua Negara ini terus juga bersengketa.
1 comment:
Kalau saudara jahil tentang sejarah, tidak tau membezakan Patani dan Thailand, tidak perlu lah saudara buat ulasan dan analisa. apa yang saudara tulis menggambarkan kejahilan saudara tentang sejarah. tak perlu berlagak pandai... mungkin tulisan saudara ini tidak menyenangkan umat islam melayu patani
Post a Comment