Dalam peperangan, tidak cukup dengan mempunyai bala tentera yang
kuat sahaja tetapi yang lebih penting, bagaimana kita dapat mengkucarkacirkan pihak
musuh sehingga mereka menjadi lemah dan tidak dapat bangkit.
Mengkucarkacirkan pasukan musuh adalah merupakan strategi UMNO
yang telah lama berpengalaman memerintah Negara ini bagi memporakperandakan pakatan
parti lawan. Sehingga parti-parti lawan sukar untuk bersatu untuk menentang
UMNO.
Kelebihan UMNO yang menguasai media perdana, dan kedunguan
sebahagian barisan kepemimpinan parti lawan yang termakan dengan provokasi UMNO,
telah berjaya menimbulkan dan membesar-besarkan perbezaan pandangan antara
pemimpin Pakatan Rakyat dan juga antara kepimpinan dalam parti PAS, PKR dan
DAP.
Kadang-kadang setengah kepimpinan dalam parti Pakatan Rakyat
ini tidak sedar mereka telah menjadi mangsa provokasi UMNO untuk melemahkan
kesatuan Pakatan Rakyat.
UMNO telah mengumpan dengan isu Negara Islam, isu hudud, isu
menderhaka kepada Raja, isu aqidah, isu keistimewaan orang Melayu, isu kuasa
orang Melayu, isu perpaduan umah, isu peristiwa 13 Mei, isu nama Allah dan isu
amanat Haji Hadi. Semua isu ini akan didendangkan dengan kuat apabila menjelang
pilihanraya.
Semua isu-isu ini umpama lagu-lagu raya yang hanya
berkumandang bila menjelang hari raya.
Oleh itu hati-hati dengan mainan UMNO ini, belajarlah dari
sejarah yang lalu, hanya orang bodoh saja kalau masuk perangkap banyak kali.
Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk Pakatan Rakyat mengkaji
semula hubungan antara mereka. Kerana mereka belum lagi pernah memegang kuasa
memerintah Negara ini, oleh itu apa perlunya untuk dikaji semula.
Sebaliknya Pakatan Rakyat harus merapatkan lagi kerjasama antara
mereka dan bersedia untuk mengambil alih pemerintahan Negara ini dari UMNO.
Pakatan Rakyat harus berfikiran positif, jika menang, di bahu mereka akan terpikul
amanah rakyat untuk membawa Malaysia kepada keadaan yang lebih baik dan pendekatan
yang baru.
Apabila menang, kita tidak boleh dapat semua. Tetapi kalau
kalah, kita tidak akan dapat lebih banyak berbanding jika menang. Oleh itu
jangan terlalu tamak untuk membolot semua. Kalau Pakatan Rakyat menang dalam
pilihanraya umum nanti, sudah tentu PAS, PKR dan DAP tidak akan dapat semua apa
yang mereka cita-citakan, tetapi sekurang-kurangnya rakyat akan dapat banyak
kebaikan dari kemenangan ini.
No comments:
Post a Comment