Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Saturday, February 09, 2013

Membawa Sabah ke arus Nasional


Sabah adalah satu-satunya negeri dalam Malaysia yang sering kita dengar di mana terdapatnya keinginan sebahagian anak-anak negerinya untuk berpisah dari Malaysia dan membentuk sebuah Negara yang merdeka. Walaupun isu ini dapat dikawal dari membesar tetapi hingga sekarang masih terdapat anak-anak Sabah yang tidak bersetuju negeri itu menjadi sebahagian dari Malaysia.

Berbanding dengan anak-anak di negeri-negeri yang lain itu, boleh dikatakan kita semua mempunyai jiwa yang telah sebati untuk hidup semati di bawah Negara Malaysia.

Malah isu keluar dari Malaysia ini telah menjadi isu politik yang sangat penting dan sensitif di Sabah. Kalau di negeri-negeri lain, isu keluar atau berpisah dari Malaysia adalah isu yang boleh menjadi bahan jenaka atau perkara pelik kepada penduduknya, tetapi tidak di Sabah.

Sabah pernah dituntut oleh Indonesia dan Filipina sebagai wilayah mereka. Oleh itu ada kemungkinan juga terdapatnya penglibatan Negara-negara luar dalam mempengaruhi pemikiran rakyat Sabah supaya bersikap negatif terhadap kerajaan Persekutuan Malaysia. Mereka menggunakan kumpulan-kumpulan yang tertentu di Sabah untuk mencapai cita-cita mereka itu.

Terdapat sebahagian anak pribumi Sabah yang mempunyai perasaan anti Semenanjung dan menganggap kita di Semenanjung telah menjajah mereka. Mungkin mereka ini telah termakan dengan hasutan-hasutan pihak tertentu yang berkepentingan.

Kalau kita di Semenanjung, ramai yang suka memainkan isu perkauman untuk meraih sokongan politik, di Sabah pula isu pemisahan atau memerdekakan Sabah pula menjadi modal politik yang sangat berbaloi.

Apabila saya berkesempatan buat pertama kalinya berkunjung ke Sabah pada 1 Febuari 2013 yang lalu, ketika umur saya mencecah setengah abad, tidak pernah ada di dalam hati saya datang ke Sabah sebagai seorang penjajah. Tetapi sebaliknya saya merasakan kedatangan saya itu sama saja seperti saya berkunjung ke negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan  negeri-negeri yang lain dalam Malaysia. Saya menganggap Sabah juga sebahagian dari tanah air saya Malaysia, tidak ada perasaan seperti saya berada di Negara asing walaupun itulah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Sabah.

Namun begitu terdapat prosedur untuk memasuki negeri Sabah yang membuatkan saya rasa pelik dan sedikit keciwa, apabila kad pengenalan saya dan sijil kelahiran anak saya diperiksa dipintu masuk negeri itu. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku kalau kita memasuki negeri-negeri lain di Semenanjung. Langkah seperti ini akan hanya menambah menjauhkan lagi hubungan kita di Semenanjung dengan Sabah yang secara geografinya itu telah pun sedia jauh.

Walaupun langkah pemeriksaan kad pengenalan ini pada setengah orang tidak menyusahkan tetapi dari segi psikologinya, ia telah membezakan antara Sabah dan Malaysia. Kalau kita mahu merapatkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah, dan juga dalam usaha untuk menghapuskan persepsi penjajahan Semenanjung terhadap Sabah, kerja ‘bodoh’ seperti ini patut dihapuskan terlebih dahulu.

Yang lucunya, kita dari Semenanjung diperiksa dengan ketat di pintu masuk lapangan terbang Sabah, walhal dalam masa yang sama beribu-ribu pendatang tanpa izin dari Indonesia dan Filipina tanpa dokumen dengan mudah masuk ke Sabah.

Usaha berterusan untuk membawa Sabah ke arus Nasional perlu dijalankan. Di masa lalu, kebanyakan rakyat dari Semenanjung yang datang ke Sabah adalah dalam bentuk tentera yang berkhidmat untuk mengawal sempadan Sabah. Mungkin kehadiran ramai tentera dari Semenanjung telah sedikit sebanyak menanamkan persepsi kepada rakyat Sabah bahawa mereka dijajah oleh Semenanjung.

Sebenarnya dakwaan penjajahan Sabah oleh Semenanjung itu hanyalah satu persepsi anak bumi Sabah sahaja. Sedangkan kita di Semenanjung tidak pernah pun menganggap Sabah sebagai tanah jajahan Semenanjung. Malah kita menganggap Sabah sama saja seperti negeri-negeri lain yang ada dalam Malaysia.

Usaha intergrasi nasional perlu digiatkan lagi bagi merapatkan hubungan antara rakyat Negara ini, terutamanya antara Sabah dan Semenanjung. Langkah jangka pendek, mungkin kita boleh menggalakkan pertukaran kakitangan agensi-agensi kerajaan antara Sabah dan Semenanjung, terutamanya guru-guru sekolah. Membina lebih banyak institusi pengajian tinggi di Sabah, di mana pelajar dan kakitangan dari Semenanjung boleh berpeluang belajar dan bekerja di Sabah.

Selain dari itu Sabah boleh dijadikan destinasi pelancungan utama bagi penduduk di Semenanjung. Sekarang ini, penduduk Semenanjung lebih gemar melancung ke Bandung dan Sumatera berbanding ke Sabah sendiri. Sedangkan Sabah juga mempunyai produk-produk pelancungan yang menarik dan berpotensi untuk dimajukan.

Sabah kaya dengan budaya anak bumi, sumber laut, hasil hutan dan alam semula jadi yang boleh menjadi tarikan dan produk pelancungan. Ikan segar, ikan bilis, ikan kering dan agar-agar laut yang murah dan mudah didapati di Sabah. Gunung, fauna dan flora, pulau-pulau yang mempunyai pantai putih yang indah dengan air laut yang jernih menjadi habitat karang laut yang berbagai corak dan berwarna-warni yang terdapat di Sabah mampu menjadi daya tarikan pelancung dari Semenanjung jika diatur dan dibangunkan dengan baik.

Sabah boleh menjadi syurga beli belah kepada pengunjung dari Semenanjung. Sumber semulajadi dari laut dan hutan yang banyak boleh dijadikan bahan yang boleh dijual kepada pengunjung. Sabah perlu membangunkan industri pelancungannya agar dapat menarik ramai pengunjung dari Semenanjung untuk berkunjung ke negeri itu.

Walaupun bahan-bahan mentah yang dijual di Bandar-bandar Negeri itu jauh lebih murah dari Semenanjung, tetapi harga makanan yang dijual di kedai makan di Sabah jauh lebih mahal berbanding Semenanjung. Kalau sekeping roti canai di Semenanjung berharga 80 sen tetapi di Sabah berharga RM1.20. Nasi goreng dan mee goreng di Sabah berharga tidak kurang RM5.00 sepinggan sedangkan harga di Semenanjung tidak sampai RM4.00 sepinggan.

Kenapa harga makanan terlalu mahal di Sabah? Apakah kos kehidupan di sana terlalu tinggi sebanding Selangor dan Singapura. Padahal Sabah adalah antara negeri yang miskin di Malaysia, selalunya negeri yang di kategorikan sebagai miskin mempunyai kos hidup yang rendah dan kos buruh yang rendah.

Apakah harga beras, tepung dan gula yang merupakan barang kawalan Negara kita itu lebih mahal di Sabah, menyebabkan harga makanan menjadi lebih mahal di sana?

Kerajaan harus mencari jalan untuk merendahkan harga makanan di Sabah, sekurang-kurangnya sama seperti Semenanjung bagi menarik penduduk dari Semenanjung berkunjung atau bekerja di sana.

Kemasukan UMNO ke Sabah juga dapat memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin dari Sabah memainkan peranan yang lebih untuk membawa Sabah ke arus nasional. Dengan adanya parti-parti politik yang bersifat nasional di Sabah, akan dapat memberi peluang pemimpin-pemimpin di Sabah melihat Sabah sebagai negeri dalam Malaysia, dan tidaklah kotak pemikiran mereka hanya terbatas kepada negeri Sabah sahaja.

Peluang telah ada, sekarang semuanya itu bergantung kepada pemimpin-pemimpin Sabah itu sendiri. Jangan sampai rakyat Sabah sendiri melihat pemimpin mereka itu hanya menjadi kuda tunggangan sahaja dan jawatan yang mereka pegang hanya dijadikan peluang untuk memperkaya diri dan keluarga mereka sahaja.

Kerajaan Persekutuan mesti ikhlas untuk membantu memajukan Sabah, mereka harus mendengar dengan teliti dan mengambil berat segala pandangan penduduk Sabah. Kerajaan perlu bersikap adil dalam pembahagian hasil kekayaan yang diperolehi dari wilayah Sabah. Sikap terbuka kerajaan persekutuan dan tidak bertindak sepihak akan membuatkan rakyat Sabah dihargai sebagai rakyat Malaysia. Dan sudah tentu pada masa akan datang mereka juga akan berbangga menjadi rakyat Malaysia seperti kita di Semenanjung juga.

Sebahagian dari kekayaan hasil petroleum dan balak yang dikaut dari wilayah Sabah harus dikembalikan semula kepada penduduk Sabah dengan membina kemudahan dan infrastruktur untuk mereka, terutamanya jaringan jalanraya yang baik menghubungkan bandar-bandar utama di Sabah. Jangan sampai seperti yang diucapkan oleh Datuk Lajim yang keciwa dengan kerajaan pusat, “Buat apalah saya kaya tetapi ramai lagi rakyat Sabah yang miskin”.

Tidakkah kita rasa malu dan bersalah, sebahagian besar kekayaan negara ini disumbangkan dari hasil bumi wilayah Sabah tetapi Sabah juga merupakan negeri paling miskin atau kedua paling miskin di Malaysia?

4 comments:

Anonymous said...

kenapa berasa kecewa dan kesal jika ic atau surat beranak anda disemak ataj diperiksa jika ingin masuk ke wilayah borneo....nyata anda betul betul tidak pernah mengambil tahu sedikit pon mengenai sabah sarawak melalui perjanjian pembentukan malaysia....malaysia adalah 3 NEGARA bergabung....ingat tu....sabah,sarawak dan malaya...bukan sabah sarawak dan 13 negeri disemenanjung.....kerja sama antara negara bukan negeri...ada paham..jadi kalau masuk ke negara org kena la cek dokumen....bukan masuk negeri tau...negara....memang wilayah gabungan malaysia di borneo dijajah...kenapa.
?...kerana hasil nya digunakan untuk kemajuan di wilayah malaya sahaja...bukan disabah atau sarawak....tiada pembahagian sama rata diantara 3 negara ini....pembahagian dibahagikan pada 15 negeri...

Anonymous said...

nak masuk negara org mestilah kena cek... Sbah x pernah berstatus negeri... Ia hanya dilakukan oleh malaya sja... Kemasukan umno/bn d sabah x pernah dterima baik oleh rakyat sbah, menyusahkan org sbh sja.. Kalo xda projek i/c umno xkan dpt memasuki sabah... Tgk pa jd d sbah skrg akibat projek i/c... Sbh memg djajah oleh malaya... Bkan krana org malaya yg brpkaian seragam tentra... Ingat sbah miskin sangat ke... Dah tentu sbh mcm brunei or singapore skrg ni.. Kalo bkan dsbbkn pemusatan hasil... Yg hanya menguntgkn tanah malaya... 3 buah negeri terkecil d smnjg bru menyamai salah 1 daerah d sabah...

Anonymous said...

tak lucupun kemasukan beribu-ribu pendatang tanpa izin msuk ke Sabah... Penduduk Sabah x pernah menerima dengan gembira kemasukan PATI... sepatutnya perairan sempadan Sabah diketatkan dari dulu bukan bila ada kejadian tak diingini baru kecoh di sana sini menunding jari kesalahan sesama sendiri... Pemeriksaan dokumen apabila memasuki Sabah mmg sudah termaktub dalam perkara 20.. supaya hak keistimewaan rakyat Sabah terpelihara.. setiap tempat ada peraturannya tersendiri,cuma perlu hormati peraturan tersebut bukan mempertikaikan atau memperlekehkannya...

Anonymous said...

Perasaan anti semenanjung yang lahir dalam pemikiran pribumi Sabah timbul akibat ketidakadilan pihak-pihak tertentu. Jangan menyalahkan pribumi Sabah apabila berfikiran sedemikian, mereka hanya cuba mempertahankan hak mereka yang sepatutnya menjadi milik mereka sejak awal lagi. Ketidakadilan dapat dilihat melalui perbezaan ekonomi di antara Sabah dan semenanjung. Kebanyakan negeri di semenanjung semakin maju berbanding Sabah yang memiliki jumlah penduduk miskin yang sangat tinggi. Kemana pergi sumber-sumber Sabah yang diakui sangat banyak oleh penulis sendiri. Pemberian gaji kepada pekerja semenanjung yang ditempatkan ke Sabah adalah lebih tinggi atas alasan kos hidup di Sabah adalah tinggi, manakala bagi pekerja Sabah pula tidak memperoleh kelebihan seperti itu apabila ditempatkan disemenanjung. Sudah tahu kos hidup Sabah tinggi, kenapa masih membelakangkan ekonomi Sabah?? Isu gaji minimum, jumlah gaji minimum yang ditetapkan di Sabah adalah lebih rendah berbanding di Semenanjung, ini kerana majikan di Sabah tidak mampu membayar mengikut jumlah yang telah dicadangkan. Oleh itu, RM800 bagi pekerja di Sabah. Mengapa majikan tidak mampu? kerana kurangnya pendapatan majikan di Sabah sedangkan sumber Malaysia yang paling banyak adalah di Sabah. Perintahlah setiap negeri secara adil dan saksama, jangan hanya menggunakan sumber negeri lain untuk memajukan negeri yang lain sedangkan ia di bawah 1 negara iaitu Malaysia.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com