Harga barang yang dibeli terus dari kilang adalah jauh lebih
murah berbanding jika dibeli dari peruncit. Untuk sampai ke kedai runcit,
barang-barang ini terlebih dahulu melalui pemborong dan pengedar. Sudah tentu harga barang akan menjadi lebih
mahal setelah pemborong, pengedar dan peruncit mengambil sedikit keuntungan ke
atas harga jualan.
Lagi banyak tingkat pemasaran yang dilalui antara kilang dan
pengguna, lagi tinggilah harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Kerana setiap
tingkat pemasaran ini akan mengenakan caj bayaran bagi khidmat jualan mereka.
Perkara yang sama juga berlaku kepada kos merawat pesakit di
hospital. Kos rawatan menjadi terlalu mahal apabila ada pihak yang membuat
keuntungan dari perkhidmatan perubatan dan rawatan di hospital ini.
Sebelum wujudnya hospital swasta, rakyat yang sakit akan
pergi ke hospital kerajaan untuk menerima rawatan. Di hospital kerajaan setiap
rakyat negara ini mendapat rawatan secara percuma dan kalau pun dikenakan
bayaran, bayaran yang dikenakan sangatlah rendah.
Selama ini memberi rawatan kepada rakyat yang sakit dan
memberi pelajaran kepada rakyat adalah dianggap menjadi tanggungjawab pihak
kerajaan. Pelajaran adalah penting untuk menyediakan rakyat yang berilmu
pengetahuan bagi memajukan negara manakala rakyat yang sihat pula penting untuk
memastikan produktiviti negara tidak terjejas. Oleh itu tidak hairanlah kalau
selama ini kerajaan sanggup menanggung biaya hospital dan sekolah.
Walaupun kerajaan telah menanggung kos rawatan dan ubat
dihospital, tetapi sebenarnya sebahagian belanja yang diperolehi untuk mengurus
perkhidmatan hospital ini adalah juga datang dari cukai yang dikenakan kepada
rakyat.
Kerajaan tidak membuat keuntungan dari perkhidmatan hospital
yang disediakannya. Oleh itu semua kos perkhidmatan, ubat dan rawatan dihospital
berada pada tahap yang paling rendah sekali. Gaji doktor yang bekerja
dihospital kerajaan mempunyai sekim gaji yang sama yang ditetapkan di bawah Jabatan
Perkhidmatan Awam.
Apabila bilangan rakyat negara kita bertambah ramai, negara
pula semakin maju, cara hidup rakyat pun berubah, penyakit mula datang dan
menyerang dalam berbagai bentuk; amalan hidup yang tidak sihat, pemakanan yang
tidak seimbang, kurang bersenam, penyediaan makanan yang tercemar oleh bahan
kimia dan toksid, menjadikan peratusan bilangan pesakit setiap tahun bertambah.
Kerajaan tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang
sangat ramai, kerajaan terpaksa menggunakan wang yang banyak untuk menanggung
kos ubatan dan gaji doktor yang tinggi. Akhirnya banyaklah kelemahan-kelemahan
atau kekurangan yang terdapat pada hospital kerajaan yang sering menjadi
rungutan orang ramai. Akhirnya lahirlah hospital swasta untuk mengisi
kekurangan ini.
Hospital swasta menjadi tarikan kepada golongan yang
berduit, di sana mereka dapat layanan dan rawatan yang terbaik. Bagi golongan
kaya, harga tidak menjadi masalah asalkan khidmat yang diberi memuaskan hati
mereka.
Kerana permintaan yang menggalakan dari golongan yang
berada, perniagaan hospital swasta telah membawa pulangan yang
memberangsangkan. Ramailah pelabur melabur dalam perniagaan hospital swasta
ini. Hasilnya semakin banyak hospital swasta tumbuh di negara ini. Apabila
hospital swasta bertambah banyak, mereka bukan sahaja bersaingan dengan
hospital kerajaan tetapi juga bersaing antara hospital swasta itu sendiri.
Semua kos perbelanjaan untuk mengurus dan mengendalikan
hospital swasta ini memang sepenuhnya datang dari duit pesakit mereka. Duit
itulah juga digunakan untuk membayar gaji pekerja dan gaji doktor-doktor
mereka, dan kita juga tahu gaji doktor mereka jauh lebih tinggi dari gaji doktor
yang bekerja di hospital kerajaan.
Pengwujudan hospital swasta ini sebenarnya menyebabkan kos
perubatan dan rawatan menjadi bertambah mahal kerana perkhidmatan yang mereka
berikan adalah berorientasikan keuntungan.
Sebenarnya kos operasi hospital swasta ini tidak bergantung
kepada wang pesakit yang membayar terus dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya
bayaran kepada hospital swasta ini dituntut dari syarikat insuran yang mana
pesakit-pesakit ini telah membeli insuran perlindungan perubatan dari
syarikat-syarikat insuran tersebut.
Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan terlalu mahal dan tidak masuk akal, ini
tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pesakit, kerana apa pun
jumlah kosnya akan ditanggung oleh syarikat insuran.
Pesakit tidak perlu risau jumlah kos perubatan yang dia kena bayar, sebaliknya
dia hanya perlu memperuntukkan sebahagian kecil dari wang gaji atau
pendapatannya setiap bulan untuk membayar sumbangan kepada syarikat insuran.
Begitulah bagusnya sistem pembiayaan perubatan menggunakan insuran ini. Di
bawah sistem ini secara teorinya pesakit tidak pening kepala untuk memikirkan
perbelanjaan hospital dan perubatan jika tiba-tiba ditimpa sakit.
Mungkin ia bagus untuk orang-orang kaya atau berpendapatan besar, tetapi kepada
golongan yang berpendapatan sederhana dan kecil tentu akan timbul masalah untuk
membayar sumbangan atau mencarum setiap bulan kepada syarikat insuran. Mereka
akan berfikir banyak kali, antara belanja harian yang lebih diperlukan dengan
membeli insuran perlindungan perubatan ini, apatah lagi mereka memikirkan
mereka belum tentu akan jatuh sakit di masa depan.
Insuran Islam atau takaful adalah berasaskan konsep bantu membantu antara satu
sama lain. Duit dipungut dari setiap orang dan dikumpulkan bagi membantu
orang-orang yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan dan kematian.
Islam sangat menggalakkan untuk membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan.
Bantuan dihulur mengikut kemampuan dan keikhlasan seseorang. Orang yang berada
tentulah akan menyumbang lebih banyak dari yang kurang berada.
Tetapi insuran dan takaful yang ada hari ini mengenakan bayaran sumbangan atau
caruman yang sama jumlahnya tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. Di sinilah
kelemahan yang ketara terdapat dalam sistem takaful yang ada sekarang.
Syarikat insuran mengutip dari setiap orang atau ahli dengan jumlah yang sama
banyak, tiap-tiap bulan, dan duit yang terkumpul ini akan digunakan untuk
membiayai perbelanjaan hospital dan perubatan ahli-ahli yang jatuh sakit.
Pendek kata, semua operasi hospital dan perubatan swasta adalah datang dari
duit yang dikumpul oleh syarikat-syarikat insuran.
Sebaliknya, hospital kerajaan dan operasinya pula dibiayai oleh duit cukai yang
dikutip oleh kerajaan. Lagi tinggi pendapatan seseorang, lagi banyaklah mereka
kena cukai. Bagi golongan yang berpendapatan rendah dan miskin, mungkin tidak
dicukai langsung.
Cara ini nampak lebih adil, orang kaya menyumbang lebih kepada masyarakat
melalui sistem percukaian itu. Duit yang dicukai inilah yang akan digunakan
bagi membiayai hospital dan perubatan kerajaan untuk warga yang sakit secara
percuma tanpa mengira kaya atau miskin.
Penswastaan hospital hanya memperkayakan segelintir orang, mereka membuat
perniagaan dan mengaut keuntungan yang melampau diatas penderitaan orang lain.
Sikap ini sangat tidak bermoral.
Sehingga pernah kita dengar cerita-cerita, ada pesakit yang sepatutnya tidak
perlu dimasukkan wad tetapi telah dimasukkan wad kerana ingin mendapatkan
bayaran yang lebih.
Dan kita tidak hairan kalau ada pesakit diberi ubat dan ‘treatment’ yang tidak
perlu bagi meninggikan bil perubatan mereka.
Hospital swasta mengaut keuntungan, syarikat insuran
perlindungan perubatan juga mengaut keuntungan. Semua keuntungan yang mereka perolehi
itu adalah datang dari duit pesakit dan orang ramai. Bila lebih banyak
keuntungan dibuat, ini sebenarnya akan menambah kos perkhidmatan, kos ubat dan kos
rawatan di hospital.
Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat insuran perlindungan
perubatan dan gaji kakitangan insuran itu juga dibayar dari duit orang ramai
yang mereka kutip. Sepatutnya rakyat hanya membayar kos rawatan dan ubat
dihospital, tetapi terpaksa juga membayar kos kepada sayarikat insuran, ini
membuatkan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.
Kalau tidak ada hospital swasta, tidak adalah syarikat insuran perubatan,
mungkin kakitangan insuran itu boleh bertukar kerja ke sektor yang lebih
produktif. Bukan sekadar kerja makan komisyen saja.
Pada zaman Nabi dulu, baginda pernah dihadiahkan
seorang tabib untuk bekerja di Madinah, tetapi setelah lama bekerja, tabib
tersebut datang mengadu kepada Nabi, tidak ada penduduk yang datang berjumpa
beliau. Maksudnya tidak ada penduduk yang sakit.
Dikatakan antara sebab orang Islam ketika itu tidak ada atau kurang yang sakit
adalah kerana mereka menjaga disiplin makan dan makan makanan yang baik-baik
lagi halal.
Kalaulah rakyat Malaysia tidak ramai yang sakit kerana tidak memakan makanan
yang boleh mendatangkan mudarat, sudah tentu kita tidak perlukan doktor dan
kakitangan hospital yang ramai seperti sekarang, kita juga tidak perlu membina
hospital dan kemudahannya yang banyak seperti yang ada sekarang.
Bayangkan, berapa banyak perbelanjaan negara dapat dijimatkan jika bilangan
doktor dan kemudahan perubatan dapat dikurangkan kepada separuh dari yang ada
sekarang.
Sudah tentu, wang yang dapat dijimatkan itu boleh pula disalurkan kepada projek
untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Dan bila kita pergi ke
hospital kerajaan untuk mendapat rawatan pasti kita akan dapat layanan yang
baik kerana bilangan doktor dan kakitangan hospital ketika itu lebih ramai dari
orang yang sakit.
Ini hanya boleh dicapai jika badan penguatkuasa undang-undang, termasuklah
kastam, polis, pemeriksa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dapat
menjalankan kerja mereka dengan amanah dan tegas, dan di pihak yang terlibat
dalam penghasilan dan penyediaan bahan makanan pula, seperti petani, penternak,
peniaga dan pekilang, sentiasa mengamalkan amalan baik dan tidak mengejar
keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.