Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, March 06, 2011

Menyembunyikan dan tidak mengaku kelemahan, satu penyakit yang amat bahaya

Kadang-kadang rasa lucu juga bila membaca surat khabar perdana Negara kita. Apabila ada satu kumpulan rakyat hendak mengadakan demontrasi jalanan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan, akan keluarlah berita di muka depan akhbar-akhbar tersebut amaran keras dari Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, tindakan akan diambil kepada sesiapa saja yang mengambil bahagian dalam demontrasi yang tidak mendapat permit polis itu.

Rakyat diugut dan ditakut-takutkan dengan tindakan undang-undang oleh Menteri dan Ketua Polis, sehingga hanya sekumpulan yang kecil yang betul-betul berani menghadapi risiko sahaja yang akan keluar pada hari yang ditetapkan untuk berdemontrasi itu.

Dan pada keesokan hari selepas demontrasi diadakan, akan terpampanglah berita di bahagian depan akhbar-akhbar yang sama mengatakan demontrasi jalanan yang dirancang itu tidak mendapat sambutan dari rakyat jelata.

Begitulah cara akhbar-akhbar perdana memperbodohkan rakyat dengan berita bodoh mereka.

Demontrasi jalanan yang menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin yang memerintah sudah tentu tidak akan pernah dapat permit dari polis. Kemudian mereka takutkan rakyat dengan tindakan undang-undang jika melakukan demontrasi tanpa permit. Sudah tentu ramai yang takut diambil tindakan oleh polis dan tidak akan keluar berdemontrasi. Selepas itu mereka juga yang mengatakan demontrasi yang telah diadakan tidak mendapat sambutan. Rasa kelakar bunyinya.

Sebenarnya setiap seratus orang yang betul-betul berani keluar berdemontrasi jalanan yang tidak mendapat permit polis itu, ada lagi 900 orang lagi yang berhajat hendak menyertai demontrasi itu tetapi tidak berani kerana ugutan dari Menteri dan pihak polis.

Dan tidak mustahil, dari setiap seribu orang yang berhajat hendak menyertai demontrasi jalanan ini, ada lagi 9000 lagi di belakang mereka yang menyokong tindakan mereka itu, tetapi tidak menunjukkan sokongan dengan menyertai demontrasi yang dirancang.

Keadaannya samalah seperti kita melihat bungkah ais yang terapung di laut. Kita hanya dapat melihat satu per sembilan dari saiznya, selebihnya berada di bawah permukaan air.

Umpama api dalam sekam. Apabila apinya telah kelihatan, keadaannya sudah menjadi terlambat hendak memadamkannya, kerana bahagian sebelah dalamnya telah pun habis terbakar.

Masih ingatkah lagi akan demontrasi jalanan Hindraf pada masa PM Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu? Tun Abdullah terlalu terpesona dengan khabar-khabar indah yang disampaikan oleh Samy Velu yang dikatakan sebagai saluran yang betul untuk kaum India menyampaikan masalah mereka.

Kumpulan Hindraf dipandang remeh dan dianggap masalah kecil, malah suara mereka disenyapkan. Oleh kerana demontrasi jalanan Hindraf tidak diberi permit malah mereka diugut, kerajaan telah tidak dapat melihat dengan jelas berapa besar saiz ‘bungkah’ yang berada di bawah permukaan. Sehinggalah bila melihat kepada keputusan pilihanraya umum 2008, barulah Tun Abdullah tahu besarnya ‘bungkah’ yang tidak kelihatan itu.

Jangan hendaknya kita menjadi seperti Mesir dan Libya. Mereka sama juga seperti Negara kita, tidak pernah membenarkan dan mengharamkan demontrasi jalanan sebagai medium untuk menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat kepada pemimpin.

Tetapi sebaik ‘api’ kemarahan rakyat telah mula kelihatan, keadaannya sudah menjadi terlambat untuk memadamkannya.

Dengan kuasa yang ada, memang mudah untuk pemimpin menyembunyikan kelemahan kepimpinan dan pentadbiran mereka dari diketahui rakyat, tetapi tindakan ini akhirnya akan memakan diri.

1 comment:

Anonymous said...

Malaysia tidak akan menjadi seperti Mesir dan Libya. Suara yang mewakili pembangkang cuma suara minoriti. Apa juga kelemahan yang berlaku, pembangkang perlu menerima sahaja kerana majoriti rakyat Malaysia menerima status quo yang dibawa oleh BN.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com