Tenaga elektrik sangat penting untuk menggerakkan industri negara. Tenaga elekrik yang murah akan menjadikan kos pengeluaran barang-barang kilang dan produk pertanian di Negara kita menjadi rendah.
Ini akan menjadikan barang-barang keluaran Negara kita lebih kompetetif dan rakyat juga akan dapat menikmati harga barang keperluan yang lebih murah.
Kita bernasib baik kerana di anugerahkan dengan sumber air yang banyak. Di awal tahun 60an, sumber utama tenaga elektrik kita dijana dari tenaga air (elektrik hidro).
Sungai-sungai di empang sehingga dapat menakung air seperti di Tasek Temenggor dan Cameron Highland. Air yang diempang ini disalurkan untuk menggerak dan memutar turbin penjana elektrik (generator). Tenaga tolakan air yang dilepaskan dari empangan itu ditukar menjadi tenaga elektrik.
Oleh kerana kita mendapat sumber air percuma dari alam maka tenaga elektrik yang dihasilkan melalui cara elektrik hidro ini seolah-olah seperti percuma juga.
Selain dari murah dan sumber air yang tidak akan putus, tenaga elektrik yang dihasilkan menggunakan tenaga air ini juga tidak mencemarkan alam.
Untuk mendapatkan jumlah tenaga elektrik yang banyak kita perlu membina kawasan takungan air yang luas. Sudah tentu ini akan menyebabkan banyak kawasan daratan yang perlu ditenggelamkan untuk menakung air. Tidak mungkin kita akan terus mengorbankan lebih banyak kawasan tanah kita untuk ditenggelami air semata-mata untuk mendapatkan tenaga elektrik.
Apabila gas asli petroleum ditemui diperairan Negara kita, penghasilan tenaga elektrik Negara kita mengalami anjakan besar, di mana gas asli telah menjadi sumber tenaga utama dalam menghasilkan tenaga elektrik Negara.
Oleh kerana gas asli adalah didapati di kawasan Negara kita dan dikeluarkan oleh syarikat Negara kita sendiri, kita masih sepatutnya dapat menikmati harga tenaga elektrik yang rendah berbanding dengan Negara-negara lain.
Gas asli digunakan sebagai bahan bakar bagi memanaskan air di dalam dandang menghasilkan wap panas bertekanan tinggi. Wap panas bertekanan tinggi ini akan dilepaskan bagi menggerakkan turbin penjana elektrik.
Selain dari gas asli, Negara kita juga menggunakan minyak dan arang batu sebagai bahan bakar untuk menjana tenaga elektrik. Tidak seperti elektrik hidro, pembakaran gas, minyak dan arang batu untuk mendapatkan tenaga elektrik turut menyumbang kepada pencemaran udara dan pemanasan global.
Sumber gas asli yang tersimpan dalam perut bumi Negara kita akhirnya akan habis juga dan tidak boleh diganti semula, oleh itu kita tidak boleh bergantung selamanya dengan gas asli sebagai sumber tenaga elektrik Negara kita.
Sekarang sudah ada rancangan dari pihak kerajaan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi menghasilkan tenaga elektrik. Walaupun kita tidak mengeluarkan uranium dan terpaksa mengimport bahan tersebut untuk menghasilkan tenaga nuklear, tetapi kita masih boleh membelinya dari Negara lain dengan harga yang murah berbanding dengan jumlah tenaga elektrik yang dihasilkannya.
Buat masa sekarang tenaga elektrik yang dihasilkan menggunakan nuklear adalah jauh lebih murah dari menggunakan gas asli. Oleh itu untuk mengekalkan Negara kita sentiasa berdaya saing atau kompetetif, kita tidak harus memandang sepi cadangan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi menjana tenaga elektrik Negara.
Walaupun buat masa ini tenaga yang dihasilkan menggunakan tenaga nuklear adalah murah, tetapi penggunaannya sentiasa menjadi kontraversi dan selalu mendapat tentangan dari orang awam.
Tenaga nuclear dihasilkan dari bahan radioaktif seperti uranium dan ia banyak dikaitkan dengan senjata pemusnah bom nuklear. Oleh itu ia sangat bahaya kepada manusia dan bukan satu benda yang mudah untuk dikendalikan.
Kebocoran kepada loji nuclear boleh mendatangkan bahaya kepada manusia, malah kesan buruknya kepada kehidupan manusia akan mengambil masa yang panjang. Kesan radioaktif boleh menyebabkan penyakit kanser dan mencacatkan genatik.
Peristiwa kebocoran loji nuklear Chernobyl pada tahun 1986 yang mengerikan itu telah membuatkan orang awam bimbang untuk menggunakan sumber tenaga nuklear bagi menjana tenaga elektrik.
Kebimbangan orang ramai terhadap penggunaan tenaga nuklear bagi menghasilkan tenaga elektrik hanya boleh diatasi jika diwujudkan satu badan dunia yang dapat memantau dengan ketat terhadap spesifikasi peralatan dan operasi sesebuah loji nuklear yang hendak dibangunkan oleh mana-mana negara.
Kalau bangunan komputer sekolah yang baru dibina banyak yang runtuh, bumbung stadium yang baru setahun dibina boleh runtuh, bagaimana kita boleh yakinkan rakyat loji nuklear yang hendak dibina di negara ini tidak akan runtuh atau bocor?
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pegawai-pegawai TNB di Jalan Bangsar (NLDC) dan Stesen Hidro Cameron Highland di atas layan baik dan mesra semasa lawatan kami (PERG-FKE-UTM) pada 28 dan 29 Jun 2010 yang lalu.
No comments:
Post a Comment