Tujuan kita bersukan adalah untuk menyihatkan badan sambil berhibur. Pada zaman yang lampau sukan dianggap benda sampingan yang tidak pernah dianggap penting dalam kehidupan manusia.
Malah kita tidak pernah bertemu rekod-rekod kejayaan yang pernah dicapai dalam sukan semasa zaman kerajaan kesultanan Melayu Melaka. Malah tidak pernah adanya tercatat nama-nama pemegang juara sukan dalam buku-buku sejarah lama.
Ini menunjukkan tidak pentingnya sukan dalam kehidupan manusia di waktu itu. Sukan hanya nampak menonjol dan seperti menjadi begitu penting kepada kegiatan hidup manusia hanyalah dalam masa 100 tahun ini sahaja.
Tentu ada agenda tertentu oleh pihak tertentu untuk menggalakkan kegiatan sukan dalam kehidupan manusia. Hanya pihak tersebut sahaja yang tahu apa agenda sebenar mereka yang tersembunyi di sebalik sukan itu.
Kalau kita lihat hari ini, mereka amat berjaya sekali dalam menanamkan sukan dalam pemikiran orang ramai sebagai satu benda yang sangat penting. Sehingga tidak lengkap sebuah media itu kalau tidak menyediakan ruang berita berkaitan sukan.
Memang tidak dinafikan sukan mempunyai banyak kebaikan tetapi sukan juga telah banyak disalah gunakan dan menyimpang dari tujuan asal.
Dalam dunia pekerjaan yang banyak berorientasikan kerja-kerja pejabat, kita kurang berpeluh dan bergerak. Oleh itu untuk memenuhi fitrah tubuh badan yang perlu bergerak dan berpeluh untuk ia sentiasa sihat, maka kita perlu bersukan.
Sama ada benar atau tidak, pertandingan dan perlawanan dalam sukan, dikatakan dapat menyalurkan naluri manusia yang suka berperang.
Sukan juga dapat menjalin dan merapatkan hubungan sosial antara manusia, atas sebab itulah juga banyak organisasi menggalakkan pertandingan sukan diadakan dalam organisasi mereka.
Tetapi di zaman moden ini sukan telah bertukar menjadi industri hiburan yang boleh menjana kekayaan. Berbagai cara digunakan untuk menarik orang ramai menonton acara sukan. Sukan yang asalnya bertujuan untuk kesihatan telah bertukar haluan kepada untuk wang.
Banyak masa dan tenaga dihabiskan begitu saja untuk sukan. Kita terpaksa membayar untuk mendapatkan hiburan. Semua orang sukakan hiburan. Secara semulajadinya manusia suka dan terhibur bila mendengar nyanyian, melihat tarian, mendengar dan menonton cerita, dan menonton acara sukan.
Apakah keseluruhan kehidupan kita mesti dipenuhi dengan hiburan? Masa banyak dihabiskan bila asyik dengan bersukan tanpa ada produktiviti. Tidak seperti kita melakukan kerja bertani dan berternak, yang tentunya akan mendatangkan manafaat dan hasil yang boleh kita nikmati.
Sukan juga banyak dikaitkan dengan perkara-perkara negatif seperti penggunaan dadah dalam mengejar kemenangan, dan pertandingan dalam sukan selalu digunakan oleh kaki-kaki judi untuk pertaruhan. Orang ramai dilalaikan dari melakukan kerja-kerja yang lebih berfaedah dengan berjam-jam masa dihabiskan menonton sukan di TV dan di gelanggang sukan.
Mungkin sukan yang ada hari ini lebih baik sedikit dari judi, tetapi kesannya dari kedua-duanya hampir sama sahaja, banyak masa dan duit terbuang begitu saja, tanpa ada hasil.
Kelab-kelab bola sepak di Eropah sanggup berbelanja beratus juta dollar untuk membeli pemain terbaik dari serata dunia. Sudah tentu kelab-kelab ini mendapat pulangan atau keuntungan lumayan dari pelaburan mereka itu. Dan sudah tentu keuntungan itu datang dari duit penonton yang ‘menggilai’ sukan bola sepak, iklan dan juga dari media penyiaran.
Itulah sifat ekonomi kapitalis, mereka hanya memikirkan membuat keuntungan semaksimum mungkin tanpa memikirkan caranya halal atau pun tidak.
Mereka tidak pernah pun mengambil kira pandangan umat Islam dalam menghasilkan suatu acara sukan, malah seperti dengan sengaja dibuat bertentangan dengan nilai Islam itu sendiri. Lihat sahajalah kepada pakaian sukan, kebanyakkannya menggunakan pakaian yang tidak sopan.
Membazirkan duit kerana untuk berhibur dan berseronok sangatlah dicela oleh agama kita. Padahal dalam masa yang sama masih ramai manusia didunia ini menghadapi kebuluran akibat tidak ada makanan dan perang.
Demi untuk menjaga harga gandum tidak jatuh, pengeluar gandum di Amerika sanggup membakar gandum yang berlebihan. Pernah juga kita dengar pengeluar ayam dinegara kita memusnahkan anak-anak ayam yang berlebihan bagi menjaga harga ayam berada pada paras tinggi di pasaran.
Mereka tidak menganggap perbuatan itu sebagai pembaziran tetapi ia adalah sebagai strategi perniagaan. Itulah jadinya kalau perniagaan hanya dilihat untuk mencari keuntungan semata, bukan sebagai memberi khidmat dan berbakti kepada manusia.
Inilah akibatnya kalau ekonomi tidak berpandu dan diasaskan kepada nilai agama. Ringgit dan sen menjadi ukuran kejayaan ekonomi tanpa melihat kepada aspek-aspek lain.
Tidakkah kita sedar harga RM10 pada tahun 1960an boleh mebiayai kehidupan satu keluarga untuk seminggu, tetapi apakah barang yang kita dapat kita beli dengan wang RM10 hari ini?
Kadang-kadang seperti tidak berfaedah kita menyimpan duit dalam bank, kerana nilainya jatuh bila kita hendak menggunakannya di masa depan. Cara yang terbaik ialah menyimpan emas, kerana nilai emas tidak akan jatuh pada bila-bila masa pun. Tetapi risikonya terlalu tinggi kalau kita menyimpan emas di rumah.
Oleh itu pihak bank harus memikirkan bagaimana pelanggan mereka boleh menyimpan wang dalam bentuk nilai emas dalam bank mereka.
Oleh itu pelanggan patut diberi pilihan boleh menyimpan wang mereka di dalam bank menggunakan nilai emas seperti 800 gram emas atau 1.3 Kg emas. Dan apabila pelanggan tersebut hendak mengeluarkan simpanan emas mereka dari bank, mereka akan dibayar mengikut harga emas semasa di waktu itu.
Dengan adanya mekanisma sistem kewangan seperti itu, orang ramai tidak bimbang wang mereka yang disimpan dalam bank akan jatuh nilainya.
3 comments:
Maaf tuanpunya blog sebab lari tajuk,
Saya masih lagi dengan penutupan IKYS tumpang letak dalam topik terbaru tuan.
Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang IKYS sila ke blog saya di http://tendangterajang.blogspot.com/2010/07/ikys-rugi-atau-nak-cari-untung-pintas.html
Luahan hati bapa saudara kepada salah seorang pelajar IKYS
aku yang bingai
boleh x kongsi berkaitan "ORGANISASI SOSIAL ( GENDER )DALAM MASYARAKAT SUKAN DI MALAYSIA.
TQ
best gak
Post a Comment