Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, July 28, 2010

Perlukah Sekolah Asrama Penuh lagi?

Tujuan asal penubuhan Sekolah Asrama Penuh adalah untuk menempatkan murid-murid yang miskin tetapi cemerlang dalam pelajaran.

Jika murid-murid miskin ini tidak dibantu dan diletakkan di Sekolah Asrama Penuh, mereka mungkin akan tercicir dari sekolah kerana terpaksa bekerja untuk membantu keluarga mereka.

Di peringkat awalnya hanya ada beberapa buah Sekolah Asrama Penuh sahaja ketika itu, seperti Sekolah Alam Shah dan Sekolah Kolam Ayer (Seri Puteri) di Kuala Lumpur.

Selain mereka tinggal di asrama, diberi buku dan makan percuma, mereka juga diberi wang saku oleh kerajaan.

Publisiti yang begitu meluas oleh media terhadap kejayaan akademik sekolah-sekolah asrama penuh ini setiap kali keputusan SPM keluar, menyebabkan orang ramai teruja untuk memasuki sekolah ini.

Akhirnya sekolah ini telah bertukar menjadi sekolah elit bagi menempatkan murid-murid yang lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR tanpa mengira golongan miskin atau pun kaya.

Orang ramai berasa bangga kalau anak-anak mereka dapat masuk ke sekolah-sekolah asrama penuh ini. Walaupun di masa sekarang tidak semua diberikan percuma, tetapi ibubapa masih berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh. Malah kos bersekolah di Sekolah Asrama Penuh jauh lebih tinggi berbanding jika bersekolah di sekolah biasa berhampiran rumah mereka, dan ini sedikit pun tidak menghalang ibubapa untuk terus menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh.

Keghairahan orang ramai untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh telah memberi kesan yang buruk kepada sistem pendidikan kita.

Kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mendirikan asrama dan tempat tinggal, suatu perbelanjaan yang tidak perlu.

Dalam keghairahan mengejar gred A, pusat-pusat tuisyen tumbuh dengan banyaknya dan membuat keuntungan yang lumayan, hasilnya murid-murid kita hanya pandai menghafal langkah-langkah penyelesaian setiap soalan peperiksaan tetapi tidak menggunakan fikiran untuk menyelesaikannya.

Akhirnya murid-murid kita ramai jadi robot yang hanya mampu ikut arahan tetapi tidak boleh berfikir. Peperiksaan UPSR tidak lagi dapat berperanan untuk mengasingkan murid-murid yang benar-benar pintar, yang boleh berfikir dengan murid-murid yang hanya boleh menghafal.

Anak-anak yang baru berumur 13 tahun ini juga adalah terlalu muda untuk dipisahkan dari keluarga mereka, ini juga boleh memberi kesan psikologi dan tabiat kurang baik kepada sikap pergaulan mereka kepada kehidupan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Oleh itu perlukah Sekolah Asrama Penuh?

Oleh kerana persepsi masyarakat mengatakan Sekolah Asrama Penuh dapat menjamin anak-anak mereka boleh lulus cemerlang dalam SPM. Oleh itu dari satu segi ia boleh menjadi perangsang kepada anak-anak untuk memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR.

Mungkin ada yang berfikir, untuk apa dapat 5A dalam peperiksaan UPSR kalau tidak dapat apa-apa faedah. Dapat masuk Sekolah Asrama Penuh itu seperti dapat satu hadiah besar kepada mereka yang dapat 5A.

Tanpa adanya Sekolah Asrama Penuh akan melunturkan semangat ibubapa untuk memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran.

Sekolah Asrama Penuh juga baik untuk disiplin anak-anak mereka. Kalau di sekolah biasa, anak-anak mudah terdedah dengan anasir-anasir samseng dan berkawan dengan murid-murid yang ada masalah disiplin.

Saya amat setuju jika UPSR yang digunakan untuk tujuan masuk ke Sekolah Asrama Penuh ini dihapuskan. Sekolah Asrama Penuh mesti dihapuskan.

Sebaliknya , adalah lebih baik Sekolah Asrama Penuh digunakan untuk mengumpulkan murid-murid yang ada masalah disiplin berat. Mereka perlu diasingkan supaya tidak mengganggu murid-murid lain yang mahu belajar di sekolah biasa.

Biarkanlah murid-murid yang dapat 5A dalam UPSR terus belajar disekolah biasa tanpa diganggu oleh murid-murid samseng yang telah diasingkan itu.

Adalah lebih baik murid-murid yang dapat 5A ini terus berada di sekolah biasa kerana ia akan dapat membantu sekolah untuk lebih berjaya dalam bidang akademik.

Apa yang menjadi amalan kita sekarang seperti tidak kena atau tidak betul. Kita telah 'mengurung' murid-murid cemerlang di Sekolah Asrama Penuh, sepatutnya pelajar-pelajar yang jahat diasingkan dan diletakkan di Sekolah Asrama Penuh supaya mereka tidak mengacau dan mengganggu murid-murid lain yang minat belajar di sekolah biasa.

Kalau kita lihat dalam peraturan kehidupan masyarakat kita pun, anggota masyarakat yang jahat dan bersalah akan diasingkan untuk menjaga ketenteraman awam.

2 comments:

Anonymous said...

Salam.

Saya setuju dgn kebanyakan pendapat awak.

Budak baru form tak patut dipisahkan dari keluarga. Mereka perlu melalui zaman remaja bersama keluarga= dengan suara ayah ibu, bergurau dgn adik2, buang sampah, bergaul dgn org kampung/dewasa/kanak2, berurusan dgn makcik kedai dll.

Kita juga nak lahirkan pemimpin. Kalau semua budak2 cmrlang ni dikumpulkan, pemimpin tentulah sorang dua aje. Habis yg ramai2 tu, yg ada bakat memimpin akhirnya akan jadi pengikut aje. Tapi kalau mereka bersekolah harian biasa, dah tentu bakat mereka boleh diserlahkan.

Jangan "sub-con" pendidikan anak2 kita kepada pihak ke 3


Wassalam
Din Taliban

Nor said...

Ada logiknya juga pendapat tuan...SBP ini ditubuhkan menerusi Rancangan Malaysia Kedua 1967 bagi menyediakan tenaga pakar iaitu jurutera2 kpd pembangunan negara.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com