Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, July 28, 2010

Perlukah Sekolah Asrama Penuh lagi?

Tujuan asal penubuhan Sekolah Asrama Penuh adalah untuk menempatkan murid-murid yang miskin tetapi cemerlang dalam pelajaran.

Jika murid-murid miskin ini tidak dibantu dan diletakkan di Sekolah Asrama Penuh, mereka mungkin akan tercicir dari sekolah kerana terpaksa bekerja untuk membantu keluarga mereka.

Di peringkat awalnya hanya ada beberapa buah Sekolah Asrama Penuh sahaja ketika itu, seperti Sekolah Alam Shah dan Sekolah Kolam Ayer (Seri Puteri) di Kuala Lumpur.

Selain mereka tinggal di asrama, diberi buku dan makan percuma, mereka juga diberi wang saku oleh kerajaan.

Publisiti yang begitu meluas oleh media terhadap kejayaan akademik sekolah-sekolah asrama penuh ini setiap kali keputusan SPM keluar, menyebabkan orang ramai teruja untuk memasuki sekolah ini.

Akhirnya sekolah ini telah bertukar menjadi sekolah elit bagi menempatkan murid-murid yang lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR tanpa mengira golongan miskin atau pun kaya.

Orang ramai berasa bangga kalau anak-anak mereka dapat masuk ke sekolah-sekolah asrama penuh ini. Walaupun di masa sekarang tidak semua diberikan percuma, tetapi ibubapa masih berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh. Malah kos bersekolah di Sekolah Asrama Penuh jauh lebih tinggi berbanding jika bersekolah di sekolah biasa berhampiran rumah mereka, dan ini sedikit pun tidak menghalang ibubapa untuk terus menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh.

Keghairahan orang ramai untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh telah memberi kesan yang buruk kepada sistem pendidikan kita.

Kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mendirikan asrama dan tempat tinggal, suatu perbelanjaan yang tidak perlu.

Dalam keghairahan mengejar gred A, pusat-pusat tuisyen tumbuh dengan banyaknya dan membuat keuntungan yang lumayan, hasilnya murid-murid kita hanya pandai menghafal langkah-langkah penyelesaian setiap soalan peperiksaan tetapi tidak menggunakan fikiran untuk menyelesaikannya.

Akhirnya murid-murid kita ramai jadi robot yang hanya mampu ikut arahan tetapi tidak boleh berfikir. Peperiksaan UPSR tidak lagi dapat berperanan untuk mengasingkan murid-murid yang benar-benar pintar, yang boleh berfikir dengan murid-murid yang hanya boleh menghafal.

Anak-anak yang baru berumur 13 tahun ini juga adalah terlalu muda untuk dipisahkan dari keluarga mereka, ini juga boleh memberi kesan psikologi dan tabiat kurang baik kepada sikap pergaulan mereka kepada kehidupan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Oleh itu perlukah Sekolah Asrama Penuh?

Oleh kerana persepsi masyarakat mengatakan Sekolah Asrama Penuh dapat menjamin anak-anak mereka boleh lulus cemerlang dalam SPM. Oleh itu dari satu segi ia boleh menjadi perangsang kepada anak-anak untuk memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR.

Mungkin ada yang berfikir, untuk apa dapat 5A dalam peperiksaan UPSR kalau tidak dapat apa-apa faedah. Dapat masuk Sekolah Asrama Penuh itu seperti dapat satu hadiah besar kepada mereka yang dapat 5A.

Tanpa adanya Sekolah Asrama Penuh akan melunturkan semangat ibubapa untuk memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran.

Sekolah Asrama Penuh juga baik untuk disiplin anak-anak mereka. Kalau di sekolah biasa, anak-anak mudah terdedah dengan anasir-anasir samseng dan berkawan dengan murid-murid yang ada masalah disiplin.

Saya amat setuju jika UPSR yang digunakan untuk tujuan masuk ke Sekolah Asrama Penuh ini dihapuskan. Sekolah Asrama Penuh mesti dihapuskan.

Sebaliknya , adalah lebih baik Sekolah Asrama Penuh digunakan untuk mengumpulkan murid-murid yang ada masalah disiplin berat. Mereka perlu diasingkan supaya tidak mengganggu murid-murid lain yang mahu belajar di sekolah biasa.

Biarkanlah murid-murid yang dapat 5A dalam UPSR terus belajar disekolah biasa tanpa diganggu oleh murid-murid samseng yang telah diasingkan itu.

Adalah lebih baik murid-murid yang dapat 5A ini terus berada di sekolah biasa kerana ia akan dapat membantu sekolah untuk lebih berjaya dalam bidang akademik.

Apa yang menjadi amalan kita sekarang seperti tidak kena atau tidak betul. Kita telah 'mengurung' murid-murid cemerlang di Sekolah Asrama Penuh, sepatutnya pelajar-pelajar yang jahat diasingkan dan diletakkan di Sekolah Asrama Penuh supaya mereka tidak mengacau dan mengganggu murid-murid lain yang minat belajar di sekolah biasa.

Kalau kita lihat dalam peraturan kehidupan masyarakat kita pun, anggota masyarakat yang jahat dan bersalah akan diasingkan untuk menjaga ketenteraman awam.

Saturday, July 24, 2010

PM Najib jemput PAS menyertai BN


PM Najib ingin mengulangi sejarah yang telah dilakukan oleh ayahanda beliau Allayarham Tun Abdul Razak. Tun Razak telah berjaya membawa masuk PAS ke dalam BN semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Sebagai anak, perjalanan dan cara berpolitik Tun Razak banyak mempengaruhi PM Najib. Oleh itu adalah menjadi agenda yang sangat penting kepada PM Najib untuk membawa masuk PAS ke dalam BN. Perkara ini bukanlah satu perkara yang mustahil kerana ia pernah berlaku di satu masa dulu.

Peristiwa 13 Mei 1969, menyaksikan kelemahan politik orang Melayu di mana mereka telah berpecah kepada UMNO dan PAS, hingga memberi kekuatan politik kepada parti bukan Melayu yang minoriti.

Dari peristiwa itu Tun Razak, pemimpin UMNO ketika itu, dengan sifatnya yang rendah hati telah dapat meyakinkan pemimpin PAS bertapa perlunya kepada penyatuan politik orang Melayu demi untuk memaju dan memperjuangkan nasib mereka yang merupakan kelompok majoriti dalam Negara ini.

Kesan dari kemasukan PAS ke dalam BN ketika itu telah memberi kesan yang besar kepada BN, di mana BN yang sebelumnya Parti Perikatan telah menang besar dalam pilihanraya berikutnya.
Pada pilihanraya umum tahun 2008 sekali lagi BN telah ‘ditolak’ oleh orang ramai. Kini terletak di atas bahu PM Najib pula untuk mengembalikan semula sokongan dan keyakinan orang ramai kepada BN.

PM Najib memulakan usaha memulihkan sokongan rakyat Malaysia kepada BN dengan menggunakan slogan 1Malaysia (Satu Malaysia). PM Najib mengharapkan Gagasan 1Malaysia akan dapat menarik sokongan bukan Melayu kepada BN semula selepas parti komponennya MIC dan MCA kalah teruk dalam pilihanraya 2008.

Tetapi dari keputusan beberapa pilihanraya kecil yang diadakan, tidak menunjukkan tanda yang positif, orang bukan Melayu masih enggan untuk bersama BN.

Ibarat seperti bermain catur, kadang-kadang langkah yang kita ambil tidak menjadi seperti yang kita diharapkan, menjadikan kita dalam keadaan serbasalah, buah catur yang kita hendak gerakkan bagi menggempur musuh semua tak berkesan, silap-silap kita pula yang kena baham oleh musuh.

Oleh itu sebagai pelan B, langkah menyatukan orang Melayu sangat penting dalam survival politik UMNO dan BN. Mungkin PM Najib perlu mencipta satu lagi slogan yang dinamakan 1Melayu (Satu Melayu) dan menjemput PAS menyertai BN seperti yang dilakukan oleh allahyarham ayahanda beliau.

Sebenarnya usaha ini sedang giat dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dengan berbagai perancangan dan taktik, yang terang mahupun yang terselindung. Tanpa kita sedar, hari-hari dalam media yang mereka kuasai, ada saja berita yang menjurus kearah itu. Mereka turut menggunakan Mufti dan ulamak untuk tujuan tersebut.

Kita juga sangsi apa motif disebalik pembakaran dan pengeboman rumah-rumah ibadat yang berlaku tidak lama dulu, sampai sekarang masih tidak dapat dibongkar.

Utusan Malaysia yang menyentuh hal-hal berkaitan orang Cina dan India tidak dituduh rasis, tetapi kalau pemimpin Cina atau India samada dari parti DAP, MCA, GERAKAN dan MIC menyentuh hal berkaitan orang Melayu akan cepat dituduh sebagai rasis.

Betulkah orang Cina bersifat perkauman? Mungkinkah ini hanya satu persepsi dan tuduhan sahaja? Kalau kita perhatikan orang Melayu lebih cenderung untuk menyertai parti berasaskan kaum dan agama mereka seperti parti UMNO dan parti PAS.

Sebaliknya orang Cina ramai menyertai parti yang tidak berasaskan kaum seperti parti DAP dan parti GERAKAN. Oleh itu siapa sebenarnya yang lebih bersifat perkauman?

Masa telah terlalu suntuk untuk PM Najib untuk menggerakkan buah-buah caturnya bagi BN mengutip kejayaan dalam pilihanraya umum ke 13 nanti.

Kelemahan kebanyakan pemimpin UMNO suka menonjolkan diri sebagai pejuang orang Melayu, kalau tak sebut Melayu dan Bumiputera dalam ucapan mereka, seperti tidak boleh hidup.

Apalah salah kalau mereka cakap untuk memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah, tetapi mereka hendak juga cakap beri bantuan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Padahal orang yang berpendapatan rendah itu, orang Melayu dan Bumiputera juga. Apalah bezanya kalau kita kata ‘saya nak keluar makan tengahari’ dengan ‘saya nak keluar makan nasi tengahari’, kerana yang kita makan waktu tengahari itu memang nasi.

Walaupun dengan menyebut perkataan Melayu dan Bumiputera dapat meraih sokongan orang-orang Melayu tetapi ia akan dipandang curiga oleh kaum lain yang juga rakyat Malaysia.

Menteri Kampung Baru, Raja Nong Chik dimarah oleh penduduk Kampung Baru kerana telah menyebut untuk menawarkan 40% bahagian dalam kerjasama untuk membangunkan kepada kaum bukan Melayu.

Mungkin perkara ini tidak menjadi terlalu sensitif kalau Menteri ini menukar perkataan ‘bukan Melayu’ itu kepada ‘orang luar Kampung Baru’. Walaupun maksudnya sama tetapi perkataan ‘orang luar Kampung Baru’ itu tidak menunjukkan sifat perkauman.

Monday, July 19, 2010

Sukan untuk kesihatan atau sukan untuk wang?


Tujuan kita bersukan adalah untuk menyihatkan badan sambil berhibur. Pada zaman yang lampau sukan dianggap benda sampingan yang tidak pernah dianggap penting dalam kehidupan manusia.

Malah kita tidak pernah bertemu rekod-rekod kejayaan yang pernah dicapai dalam sukan semasa zaman kerajaan kesultanan Melayu Melaka. Malah tidak pernah adanya tercatat nama-nama pemegang juara sukan dalam buku-buku sejarah lama.

Ini menunjukkan tidak pentingnya sukan dalam kehidupan manusia di waktu itu. Sukan hanya nampak menonjol dan seperti menjadi begitu penting kepada kegiatan hidup manusia hanyalah dalam masa 100 tahun ini sahaja.

Tentu ada agenda tertentu oleh pihak tertentu untuk menggalakkan kegiatan sukan dalam kehidupan manusia. Hanya pihak tersebut sahaja yang tahu apa agenda sebenar mereka yang tersembunyi di sebalik sukan itu.

Kalau kita lihat hari ini, mereka amat berjaya sekali dalam menanamkan sukan dalam pemikiran orang ramai sebagai satu benda yang sangat penting. Sehingga tidak lengkap sebuah media itu kalau tidak menyediakan ruang berita berkaitan sukan.

Memang tidak dinafikan sukan mempunyai banyak kebaikan tetapi sukan juga telah banyak disalah gunakan dan menyimpang dari tujuan asal.

Dalam dunia pekerjaan yang banyak berorientasikan kerja-kerja pejabat, kita kurang berpeluh dan bergerak. Oleh itu untuk memenuhi fitrah tubuh badan yang perlu bergerak dan berpeluh untuk ia sentiasa sihat, maka kita perlu bersukan.

Sama ada benar atau tidak, pertandingan dan perlawanan dalam sukan, dikatakan dapat menyalurkan naluri manusia yang suka berperang.

Sukan juga dapat menjalin dan merapatkan hubungan sosial antara manusia, atas sebab itulah juga banyak organisasi menggalakkan pertandingan sukan diadakan dalam organisasi mereka.

Tetapi di zaman moden ini sukan telah bertukar menjadi industri hiburan yang boleh menjana kekayaan. Berbagai cara digunakan untuk menarik orang ramai menonton acara sukan. Sukan yang asalnya bertujuan untuk kesihatan telah bertukar haluan kepada untuk wang.

Banyak masa dan tenaga dihabiskan begitu saja untuk sukan. Kita terpaksa membayar untuk mendapatkan hiburan. Semua orang sukakan hiburan. Secara semulajadinya manusia suka dan terhibur bila mendengar nyanyian, melihat tarian, mendengar dan menonton cerita, dan menonton acara sukan.

Apakah keseluruhan kehidupan kita mesti dipenuhi dengan hiburan? Masa banyak dihabiskan bila asyik dengan bersukan tanpa ada produktiviti. Tidak seperti kita melakukan kerja bertani dan berternak, yang tentunya akan mendatangkan manafaat dan hasil yang boleh kita nikmati.

Sukan juga banyak dikaitkan dengan perkara-perkara negatif seperti penggunaan dadah dalam mengejar kemenangan, dan pertandingan dalam sukan selalu digunakan oleh kaki-kaki judi untuk pertaruhan. Orang ramai dilalaikan dari melakukan kerja-kerja yang lebih berfaedah dengan berjam-jam masa dihabiskan menonton sukan di TV dan di gelanggang sukan.

Mungkin sukan yang ada hari ini lebih baik sedikit dari judi, tetapi kesannya dari kedua-duanya hampir sama sahaja, banyak masa dan duit terbuang begitu saja, tanpa ada hasil.

Kelab-kelab bola sepak di Eropah sanggup berbelanja beratus juta dollar untuk membeli pemain terbaik dari serata dunia. Sudah tentu kelab-kelab ini mendapat pulangan atau keuntungan lumayan dari pelaburan mereka itu. Dan sudah tentu keuntungan itu datang dari duit penonton yang ‘menggilai’ sukan bola sepak, iklan dan juga dari media penyiaran.

Itulah sifat ekonomi kapitalis, mereka hanya memikirkan membuat keuntungan semaksimum mungkin tanpa memikirkan caranya halal atau pun tidak.

Mereka tidak pernah pun mengambil kira pandangan umat Islam dalam menghasilkan suatu acara sukan, malah seperti dengan sengaja dibuat bertentangan dengan nilai Islam itu sendiri. Lihat sahajalah kepada pakaian sukan, kebanyakkannya menggunakan pakaian yang tidak sopan.

Membazirkan duit kerana untuk berhibur dan berseronok sangatlah dicela oleh agama kita. Padahal dalam masa yang sama masih ramai manusia didunia ini menghadapi kebuluran akibat tidak ada makanan dan perang.

Demi untuk menjaga harga gandum tidak jatuh, pengeluar gandum di Amerika sanggup membakar gandum yang berlebihan. Pernah juga kita dengar pengeluar ayam dinegara kita memusnahkan anak-anak ayam yang berlebihan bagi menjaga harga ayam berada pada paras tinggi di pasaran.

Mereka tidak menganggap perbuatan itu sebagai pembaziran tetapi ia adalah sebagai strategi perniagaan. Itulah jadinya kalau perniagaan hanya dilihat untuk mencari keuntungan semata, bukan sebagai memberi khidmat dan berbakti kepada manusia.

Inilah akibatnya kalau ekonomi tidak berpandu dan diasaskan kepada nilai agama. Ringgit dan sen menjadi ukuran kejayaan ekonomi tanpa melihat kepada aspek-aspek lain.

Tidakkah kita sedar harga RM10 pada tahun 1960an boleh mebiayai kehidupan satu keluarga untuk seminggu, tetapi apakah barang yang kita dapat kita beli dengan wang RM10 hari ini?

Kadang-kadang seperti tidak berfaedah kita menyimpan duit dalam bank, kerana nilainya jatuh bila kita hendak menggunakannya di masa depan. Cara yang terbaik ialah menyimpan emas, kerana nilai emas tidak akan jatuh pada bila-bila masa pun. Tetapi risikonya terlalu tinggi kalau kita menyimpan emas di rumah.

Oleh itu pihak bank harus memikirkan bagaimana pelanggan mereka boleh menyimpan wang dalam bentuk nilai emas dalam bank mereka.

Oleh itu pelanggan patut diberi pilihan boleh menyimpan wang mereka di dalam bank menggunakan nilai emas seperti 800 gram emas atau 1.3 Kg emas. Dan apabila pelanggan tersebut hendak mengeluarkan simpanan emas mereka dari bank, mereka akan dibayar mengikut harga emas semasa di waktu itu.

Dengan adanya mekanisma sistem kewangan seperti itu, orang ramai tidak bimbang wang mereka yang disimpan dalam bank akan jatuh nilainya.

Thursday, July 08, 2010

Sebab kataklah ikan boleh berada atas gunung


Rasa pelik juga memikirkan bagaimana ikan boleh berada dalam sungai-sungai di atas gunung. Walaupun sungai-sungai ini mempunyai air-air terjun yang tidak memungkinkan ikan boleh melepasinya untuk berenang naik ke atas, tetapi masih juga ada ikan di atas sana.

Ini sudah tentu haiwan jenis dua alam yang memainkan peranannya. Haiwan dua alam seperti katak, ketam, biawak air, kura-kura dan labi-labi dapat menyebarkan telur-telur ikan ini dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Semasa haiwan dua alam ini bergerak dari air ke darat, tanpa disedari mereka juga membawa telur-telur ikan yang melekat dibadannya. Telur-telur ikan ini akan tersebar ke tempat-tempat lain bila haiwan-haiwan dua alam ini masuk semula ke dalam air.

Begitulah caranya bagaimana ikan boleh kita dapati di dalam air di atas gunung, semuanya ini boleh terjadi disebabkan adanya haiwan-haiwan dua alam ini.

Kita juga sudah maklum, haiwan-haiwan juga banyak berperanan dalam menyebarkan benih tumbuh-tumbuhan.

Saturday, July 03, 2010

Tenaga elektrik dari sumber nuklear, pro dan kontra


Tenaga elektrik sangat penting untuk menggerakkan industri negara. Tenaga elekrik yang murah akan menjadikan kos pengeluaran barang-barang kilang dan produk pertanian di Negara kita menjadi rendah.

Ini akan menjadikan barang-barang keluaran Negara kita lebih kompetetif dan rakyat juga akan dapat menikmati harga barang keperluan yang lebih murah.

Kita bernasib baik kerana di anugerahkan dengan sumber air yang banyak. Di awal tahun 60an, sumber utama tenaga elektrik kita dijana dari tenaga air (elektrik hidro).

Sungai-sungai di empang sehingga dapat menakung air seperti di Tasek Temenggor dan Cameron Highland. Air yang diempang ini disalurkan untuk menggerak dan memutar turbin penjana elektrik (generator). Tenaga tolakan air yang dilepaskan dari empangan itu ditukar menjadi tenaga elektrik.

Oleh kerana kita mendapat sumber air percuma dari alam maka tenaga elektrik yang dihasilkan melalui cara elektrik hidro ini seolah-olah seperti percuma juga.

Selain dari murah dan sumber air yang tidak akan putus, tenaga elektrik yang dihasilkan menggunakan tenaga air ini juga tidak mencemarkan alam.

Untuk mendapatkan jumlah tenaga elektrik yang banyak kita perlu membina kawasan takungan air yang luas. Sudah tentu ini akan menyebabkan banyak kawasan daratan yang perlu ditenggelamkan untuk menakung air. Tidak mungkin kita akan terus mengorbankan lebih banyak kawasan tanah kita untuk ditenggelami air semata-mata untuk mendapatkan tenaga elektrik.

Apabila gas asli petroleum ditemui diperairan Negara kita, penghasilan tenaga elektrik Negara kita mengalami anjakan besar, di mana gas asli telah menjadi sumber tenaga utama dalam menghasilkan tenaga elektrik Negara.

Oleh kerana gas asli adalah didapati di kawasan Negara kita dan dikeluarkan oleh syarikat Negara kita sendiri, kita masih sepatutnya dapat menikmati harga tenaga elektrik yang rendah berbanding dengan Negara-negara lain.

Gas asli digunakan sebagai bahan bakar bagi memanaskan air di dalam dandang menghasilkan wap panas bertekanan tinggi. Wap panas bertekanan tinggi ini akan dilepaskan bagi menggerakkan turbin penjana elektrik.

Selain dari gas asli, Negara kita juga menggunakan minyak dan arang batu sebagai bahan bakar untuk menjana tenaga elektrik. Tidak seperti elektrik hidro, pembakaran gas, minyak dan arang batu untuk mendapatkan tenaga elektrik turut menyumbang kepada pencemaran udara dan pemanasan global.

Sumber gas asli yang tersimpan dalam perut bumi Negara kita akhirnya akan habis juga dan tidak boleh diganti semula, oleh itu kita tidak boleh bergantung selamanya dengan gas asli sebagai sumber tenaga elektrik Negara kita.

Sekarang sudah ada rancangan dari pihak kerajaan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi menghasilkan tenaga elektrik. Walaupun kita tidak mengeluarkan uranium dan terpaksa mengimport bahan tersebut untuk menghasilkan tenaga nuklear, tetapi kita masih boleh membelinya dari Negara lain dengan harga yang murah berbanding dengan jumlah tenaga elektrik yang dihasilkannya.

Buat masa sekarang tenaga elektrik yang dihasilkan menggunakan nuklear adalah jauh lebih murah dari menggunakan gas asli. Oleh itu untuk mengekalkan Negara kita sentiasa berdaya saing atau kompetetif, kita tidak harus memandang sepi cadangan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi menjana tenaga elektrik Negara.

Walaupun buat masa ini tenaga yang dihasilkan menggunakan tenaga nuklear adalah murah, tetapi penggunaannya sentiasa menjadi kontraversi dan selalu mendapat tentangan dari orang awam.

Tenaga nuclear dihasilkan dari bahan radioaktif seperti uranium dan ia banyak dikaitkan dengan senjata pemusnah bom nuklear. Oleh itu ia sangat bahaya kepada manusia dan bukan satu benda yang mudah untuk dikendalikan.

Kebocoran kepada loji nuclear boleh mendatangkan bahaya kepada manusia, malah kesan buruknya kepada kehidupan manusia akan mengambil masa yang panjang. Kesan radioaktif boleh menyebabkan penyakit kanser dan mencacatkan genatik.

Peristiwa kebocoran loji nuklear Chernobyl pada tahun 1986 yang mengerikan itu telah membuatkan orang awam bimbang untuk menggunakan sumber tenaga nuklear bagi menjana tenaga elektrik.

Kebimbangan orang ramai terhadap penggunaan tenaga nuklear bagi menghasilkan tenaga elektrik hanya boleh diatasi jika diwujudkan satu badan dunia yang dapat memantau dengan ketat terhadap spesifikasi peralatan dan operasi sesebuah loji nuklear yang hendak dibangunkan oleh mana-mana negara.

Kalau bangunan komputer sekolah yang baru dibina banyak yang runtuh, bumbung stadium yang baru setahun dibina boleh runtuh, bagaimana kita boleh yakinkan rakyat loji nuklear yang hendak dibina di negara ini tidak akan runtuh atau bocor?

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pegawai-pegawai TNB di Jalan Bangsar (NLDC) dan Stesen Hidro Cameron Highland di atas layan baik dan mesra semasa lawatan kami (PERG-FKE-UTM) pada 28 dan 29 Jun 2010 yang lalu.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com