Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, September 15, 2009

Kempen kurangkan guna beg plastik gagal


KEMPEN mengurangkan penggunaan beg plastik yang telah dilancarkan secara besar-besaran tidak lama dulu kelihatan tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan. walaupun banyak hypermarket yang popular seperti Jusco dan Giant telah ikut serta dalam kempen ini tetapi ini tidak dapat menjamin menjadikan kempen ini berjaya.

Kempen telah pun berlalu, orang ramai masih tidak mahu membawa beg sendiri semasa membeli belah seperti yang diharapkan dalam kempen itu.

Oleh itu kita kena menggunakan pendekatan lain bagi mengurangkan penggunaan beg plastik yang berluas-luasa ini, yang mana beg-beg plastik ini banyak menyumbang kepada pencemaran kesihatan dan alam sekitar.

Hampir semua barang-barang yang kita gunakan hari ini dibuat dari bahan plastik, termasuklah botol susu bayi.

Barang-barang plastik ini mempunyai bahan kimia bisphenol A (BPA) iaitu bahan yang boleh memudaratkan kesihatan manusia melalui makanan yang tercemar oleh bahan tersebut.

Beg-beg plastik yang dibuang bersama sampah sarap mengambil masa yang terlalu lama hingga ratusan tahun untuk mereput. Akhirnya banyak sampah-sampah plastik yang dibuang akan memenuhi longkang-longkang, parit-parit, sungai-sungai dan semuanya itu akan berakhir di laut. Laut akan menjadi tempat terkumpulnya segala sampah sarap.

Sudah ada kebimbangan sekarang di mana laut-laut di dunia ini sedang dicemari oleh buangan barang-barang plastik yang boleh menyebabkan pupusnya hidupan laut seperti ikan dan terumbu karang.

Selama ini laut adalah merupakan tempat pembiakan ikan-ikan yang menjadi sumber protin utama manusia, tetapi tindak-tanduk kita telah menyebabkan laut menjadi tempat pengumpulan sampah sarap dan tidak sesuai lagi untuk habitat kehidupan.

Sebagai langkah yang drastic, kerajaan boleh membuat undang-undang untuk melarang kedai-kedai menggunakan beg plastik. Pekedai-pekedai hanya dibenarkan menggunakan beg-beg plastik yang mudah reput (degradable plastic) sahaja.

Mungkin kita kena mencari alternatif kepada beg plastik, mungkin kita boleh bertukar kepada beg kertas atau beg yang dibuat dari jerami dan sekam bijiran yang terbuang, yang mana lebih mesra alam dan mesra kesihatan.

Selain itu, kilang-kilang hendaklah dilarang mengeluarkan beg-beg plastik melainkan beg plastik dari jenis yang mudah reput yang mesra alam. Pengimportan beg-beg plastik yang tidak mesra alam ini juga harus dilarang sama sekali.

Keadaan menjadi lebih teruk lagi kerana barang-barang plastik ini kebanyakan dibuat untuk barang-barang pakai buang, yang mungkin digunakan untuk sekali sahaja. Dengan itu menyebabkan lebih banyak barang-barang plastik ini akan dikeluarkan dan semuanya akan menambah timbunan sampah.

Mungkin kos beg plastik yang mesra alam dan mesra kesihatan lebih mahal sedikit tetapi kita akan mendapat keuntungan untuk jangka panjang.

Walaupun beg-beg plastik yang ada sekarang adalah murah, tetapi kesan dari pencemarannya boleh menyebabkan sumber makanan laut kita berkurangan dengan banyak, akhirnya kita terpaksa membeli ikan dengan harga yang sangat mahal.

Terumbu karang kita akan musnah, menyebabkan kita kehilangan produk pelancungan yang sangat berharga.

Kerajaan kita juga terpaksa menanggung kos perubatan dan kesihatan yang tinggi kerana ramai rakyat akan mendapat penyakit kesan dari bahan cemar plastik ini.

Sebenarnya kita akan terpaksa menanggung kos kehidupan yang amat tinggi untuk hidup di bumi yang telah tercemar teruk.

Kita mungkin boleh mewariskan harta kekayaan yang banyak kepada anak-anak kita untuk memastikan mereka hidup selesa semasa ketiadaan kita nanti, tetapi bolehkah kita menjamin mereka boleh hidup di muka bumi ini dengan sihat sejahtera kalau bumi sendiri telah tercemar.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah, semua pihak kenalah bertindak dari sekarang.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com