Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, September 24, 2008

Nak balik raya kampung isteri atau kampung suami kali ini?

Balik beraya juga kadangkala boleh memberi masalah kepada pasangan suami isteri terutamanya kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Pasangan yang sedang bercinta atau yang akan melansungkan perkahwinan jarang sekali memikirkan hendak beraya di mana setelah mereka berkahwin nanti. Setelah berkahwin mulalah berbalah hendak balik beraya di rumah keluarga ibubapa masing-masing.


Si isteri hendak beraya di rumah ibubapanya begitu juga si suami ingin beraya di rumah ibubapa dia. Tersilap langkah kalau tidak kena rundingnya boleh berlaku pertengkaran antara suami dan isteri tersebut. Malah ada yang sampai jadi kes polis.


Tujuan raya ialah untuk bergembira tetapi kalau suami isteri bergaduh bolehkah raya itu disambut dengan gembira. Hari yang sepatutnya untuk bergembira menjadi hari untuk mereka berduka.


Di Malaysia masalah balik raya ini hanya berlaku kepada kaum Melayu sahaja tetapi ia tidak berlaku kepada kaum Cina ketika mereka menyambut Tahun Baru Cina. Ini kerana kaum Cina memang telah ada peraturan atau adat yang telah mengaturkan perkara ini sehingga ia tidak menimbulkan masalah atau menjadi suatu isu kepada mereka.


Mengikut adat kaum Cina, si isteri mesti mengikut suami balik beraya di rumah keluarga suami. Adat ini tidak boleh dilanggar kerana ia telah menjadi satu hukum agama kepada mereka. Di dalam Islam ada dinyatakan dengan jelas bahawa suami adalah merupakan ketua di dalam rumah tangga.


Selaku ketua, suami berhak membuat sebarang keputusan manakala si isteri harus patuh kepada semua keputusan yang dibuat oleh suami asalkan perkara-perkara yang diputuskan itu tidak tidak melanggar batas-batas syarak. Si isteri mempunyai hak untuk memberi nasihat dan cadangan kepada suaminya tetapi kata putusnya tetap pada suami.


Kalau suami sudah memutuskan untuk balik beraya di rumah keluarganya (keluarga suami) maka tidak wajar si isteri membantah keputusan itu sehingga menimbulkan pergaduhan. Membantah keputusan yang dibuat oleh suami itu boleh dianggap sebagai melakukan dosa kerana balik beraya di rumah keluarga suami itu bukanlah perkara yang melanggar batas syarak.


Sebenarnya hak suami sebagai ketua keluarga ini memang telah jelas, malangnya ada di antara para isteri yang memandang ringan perkara ini. Bezanya antara peraturan kaum Cina dan Islam dalam masalah balik raya ini, bagi kaum Cina peraturan balik raya ini telah menjadi satu ketetapan yang tak boleh dipinda lagi manakala di dalam Islam ia memberikan kuasa kepada suami dalam menentukannya.


Jadi keputusan ke mana hendak balik beraya itu terserahlah kepada suami. Kalau suami sudah memutuskan untuk beraya pada setiap tahun di rumah keluarganya maka itu tidaklah menjadi kesalahan dalam Islam sebaliknya isteri membantah keputusan suami itulah yang sebenarnya bersalah.


He he jangan bagi suami baca artikel ini... ada kang yang tak nak balik raya di kampung isteri.


Selamat Hari Raya, maaf zahir batin dari saya sekeluarga.
Tengah try baju raya.

Tuesday, September 23, 2008

Mana Kredibiliti BPR? ~ ref Malaysiakini.

Petikan berita dari Malaysiakini:

“Former Sapp deputy president Raymond Tan claims that he had intervened in June to deter an anti-graft investigation against party president Yong Teck Lee.”

Kalaulah benar seperti yang didakwa oleh Timbalan Presiden SAPP itu yang mengatakan, dengan adanya campurtangan beliaulah menyebabkan BPR telah tidak meneruskan siasatan rasuah terhadap Presiden Parti SAPP, Yong Teck Lee, maka dimanakah kredibiliti BPR yang Ketua Pengarahnya selalu berkata BPR tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan dan dakwaan.



Alahai BPR, alahai Ahmad Said. Kang kalikong................. Loya tekak teman.

Sunday, September 21, 2008

Hendak Islamkan Negara atau Orang?

Kalau kita meneliti ayat-ayat Al Quran, sangat banyak ayat-ayat yang menyeru manusia supaya menghindari perbuatan syirik atau mempersekutukan Allah.

Malah tidak masuk syurga seseorang itu jika mensyirikkan Allah, begitulah utamanya perbuatan syirik ini di sisi Allah.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan tujuan Tuhan menurunkan Nabi dan Al Quran ini adalah untuk membebaskan manusia dari mensyirikkan Allah.

Selaras dengan tujuan utama Quran ini, kita sebagai orang Islam haruslah bergerak selari dengan kehendak Quran iaitu mengembelingkan segala usaha dan tenaga untuk membebaskan manusia dari amalan syirik. Amalan syirik ini bukan sahaja berlaku kepada orang-orang bukan Islam tetapi juga berlaku dalam masyarakat Islam sendiri.

Memerangi amalan syirik bukan bermakna kita kena mengangkat senjata pergi memerangi dan menangkap orang-orang yang mengamalkan perbuatan syirik ini. Tetapi perlu kita lakukan secara dakwah yang baik dan hikmah.

Kita harus menentang pengamal-pengamal syirik ini dengan memberi penerangan yang jelas dan berhujah dengan mereka secara baik. Mesti ada dalam fikiran kita bahawa orang-orang yang mengamalkan syirik ini kebanyakannya adalah disebabkan kejahilan mereka yang tidak mendapat maklumat dan penerangan yang tepat. Mereka hanya mendapat maklumat dan menurut apa yang telah diperturunkan oleh nenek moyang mereka.

Oleh itu menjadi tugas kita untuk membetulkan pandangan mereka yang salah terhadap agama dan ketuhanan. Jangan sekali dalam hendak membetulkan akidah mereka, kita menganggap mereka sebagai musuh kita, sebaliknya kita lakukannya kerana didorong oleh hati kita yang ikhlas untuk menyelamatkan mereka dari api neraka.

Mungkin ada orang mempersoalkan kenapa Nabi Muhammad pernah mengangkat senjata berperang dengan orang bukan Islam, seolah-olah berlawanan dengan kenyataan saya di atas.

Dalam membetulkan akidah musyrik mekah ketika itu, nabi Muhammad sentiasa mengambil pendekatan berjumpa dan memberi penerangan kepada masyarakatnya dalam menyebarkan ajaran Islam.

Tetapi malangnya pemuka-pemuka orang bukan Islam ketika itu tidak mampu untuk berhujah dengan nabi dan tidak mampu menandingi kebenaran Al Quran. Lantaran itu semakin hari semakin ramai orang-orang yang telah dimurnikan akidahnya oleh nabi.

Pemuka musyrik Mekah tidak ada keupayaan dan ikhtiar untuk menyekat aliran baru yang dibawa oleh nabi Muhammad yang dilihat semakin cepat berkembang, lalu mereka menggunakan cara penindasan dan kekerasan bagi mengekangnya, termasuklah mengistiharkan perang terhadap nabi.

Jelas di sini nabi berperang bukan untuk menyerang dan menangkap orang-orang yang mengamalkan syirik tetapi berperang sebagai mempertahankan diri dari diserang secara kekerasan.

Dan sekarang kita telah pun berada di zaman peradaban tinggi, di zaman yang memandang tinggi keintelektualan, pendapat dan hujah, di zaman suatu kaum tidak boleh menindas dan menyerang kaum lain, di zaman setiap orang berhak untuk bersuara dan menyampaikan pandangan dan pendapat, tetapi kenapa pula kita tidak mengambil peluang dan ruang ini seluas-luasnya untuk kita memberi penerangan dan berhujah dengan baik kepada pengamal-pengamal perbuatan syirik ini.

Sebaliknya ada antara umat Islam di zaman ini telah mengambil tindakan kebelakang dengan melakukan serangan-serangan senjata dan keganasan yang kononnya untuk membela kesucian Islam.

Ada juga orang-orang Islam yang begitu ghairah untuk menegakkan Negara Islam, siang malam mereka turun berkempen untuk mencapai hasrat mereka untuk menjadikan Malaysia ini Negara Islam ala mereka.

Mungkin saya terlepas pandang, tidak ada ayat yang saya temui dalam Quran yang menyuruh kita menegakkan Negara Islam sebagai keutamaan kita, sila betulkan saya kalau tersilap. Kalau ada pun ayat yang menyatakan perkara tersebut, mungkin tidak banyak sehingga saya boleh tidak perasan dan terlepas pandang.

Tetapi kalau ayat yang menyuruh kita menghindari dari perbuatan dan amalan syirik memang saya tidak boleh lupa kerana ia disebutkan berulang dan banyak kali dalam Quran.

Kalau kita hendakkan Negara Islam, memang kita perlukan ‘kuasa’ untuk melaksanakannya, tetapi kalau kita hendakkan supaya manusia mempunyai akidah yang murni, kita hanya perlukan kebijaksanaan, ilmu, kepetahan kata-kata dan tulisan, akhlak yang baik dan keikhlasan.

Janganlah usaha kita yang ghairah hendak menegakkan Negara Islam dijadikan jenaka oleh sesetengah pihak yang mengatakan, yang mungkin masuk syurga nanti hanyalah negara bukannya orang.

Bukanlah saya hendak merendah-rendahkan untuk menegakkan Negara Islam, tetapi kita kena melihat kepada keutamaan. Janganlah berlunjur sebelum duduk.

Sunday, September 14, 2008

Rancangan peralihan kuasa menjadikan Pak Lah tak bermaya.


Tahun 2004 adalah tahun kemuncak Pak Lah, dia menang besar dalam pilihanraya umum yang diadakan pada tahun tersebut. Tapi sayang, kerana terlalu yakin dengan kemenangan besar yang diperolehi pada masa itu membuatkan beliau tidak lagi peka sebaliknya menjadi pekak kepada masalah rakyat.

Beliau lebih suka mendengar masalah rakyat dan mengatur strategi pentadbiran Negara melalui penasihat-penasihatnya yang salah.

Keresahan kaum India yang dijelmakan melalui Hindraf tidak ditangani dengan betul, malah beliau mengambil langkah berkonfrantasi dengan Hindraf dengan menangkap beberapa pemimpin mereka di bawah ISA. Langkah Pak Lah ini dianggap oleh kaum India sebagai keterlaluan kerana Hindraf seperti juga MIC, antara pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak kaum India sekalipun tidak berdaftar.

Memusuhi Hindraf samalah juga seperti memusuhi kaum India. Keadaan ini tidak sama seperti menangkap pemimpin-pemimpin kaum India yang mewakili parti DAP atau parti Keadilan Rakyat.

Kemarahan kaum India dan rasa tidak puashati orang-orang Cina kepada kepimpinan Pak Lah telah banyak menyumbang kepada merosotnya undi BN pada pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac 2008.

Boleh dikatakan kemenangan BN pada piliharaya umum ke 12 itu banyak bergantung kepada undi orang-orang Melayu saja. Sejak itu orang ramai banyak menyalahkan Pak Lah di atas kemerosotan undi kepada BN itu. Malah ramai pemimpin-pemimpin UMNO sendiri yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad bekas Perdana Menteri turut menyalahkan Pak Lah.

Sebelum itu Dr. Mahathir memang tidak puashati dengan pentadbiran Pak Lah. Keputusan pilihanraya itu telah diambil kesempatan untuk dijadikan alasan yang kuat oleh Dr. Mahathir dan penyokong-penyokong beliau untuk menolak kepimpinan Pak Lah.

Kerana desakan kuat dari pelbagai pihak dalam UMNO, Pak Lah telah cuba meredakan keadaan dengan mengemukakan rancangan peralihan kuasa. Dalam rancangan peralihan kuasa itu Pak Lah telah bersetuju untuk menyerahkan kepimpinannya kepada timbalan pada bulan Jun 2010.

Semasa Pak Lah mengumumkan rancangannya untuk meletak jawatan dan akan menyerahkan kuasa kepada timbalannya, tidak ada pula kejadian ‘histeria’ berlaku pada pemimpin-pemimpin UMNO. Tidak sama seperti semasa Dr. Mahathir mengumumkan beliau hendak meletak jawatan pada satu masa dulu, di mana Rafidah Aziz, Hishamudin Hussein, Isa Samad bagaikan terkena histeria meluru ke depan untuk menghalang Dr. Mahathir meneruskan hasratnya itu.

Walaupun rancangan peralihan kuasa yang dikemukakan oleh Pak Lah itu dapat meredakan desakan pelbagai pihak untuk beliau meletakkan jawatan, tetapi kesan darinya menyebabkan kepimpinan Pak Lah bertambah lemah. Keadaannya samalah seperti seseorang yang telah dikenakan hukum gantung yang telah diketahui tarikh kematiannya.

Makin ramai pemimpin UMNO yang lebih rapat dengan Pak Lah sebelum ini seperti Mahyudin Yasin telah mula berani membodek Najib supaya tarikh peralihan kuasa itu dibuat lebih awal dari Jun 2010.

Sesiapa pun di waktu ini tidak takut lagi kepada Pak Lah, kerana hayat kuasa Pak Lah hanya tinggal tidak sampai dua tahun lagi. Kalaupun Pak Lah singkir dan pecat orang-orang yang menentangnya, pasti dalam dua tahun lagi mereka akan diambil dan diangkat semula oleh Najib dengan pangkat dan jawatan yang mungkin lebih tinggi.

Kepada mereka yang inginkan pangkat dan jawatan yang lebih tinggi pada masa akan datang, maka sekarang adalah masa yang baik untuk membodek Najib bukan Pak Lah.

Sekarang mungkin Pak Lah sudah dapat tahu siapakah kawan yang sebenar di masa susah. Dalam politik kawan boleh menjadi lawan dan lawan boleh menjadi kawan.

Jangan sekali kita lupa bahawa yang menaikkan diri kita dalam politik hingga ke jawatan Perdana Menteri ialah undi rakyat, oleh itu jangan sekali kita lupa kepada mereka.

Pak Lah telah dijadikan ‘kambing korban’ untuk disembelih bagi menyelamatkan BN, tetapi betulkah BN akan selamat selepas Pak Lah dikorbankan?

Wednesday, September 10, 2008

Sebab-sebab parti politik berbilang kaum tidak berjaya ~ ref Malaysiakini

Seperti yang telah diperkatakan oleh A Kadir Jasin dalam Blognya ‘The Scribe’:


"Apa yang sedang berlaku di dalam Umno Pulau Pinang dan di antara Umno dan Gerakan di negara Perdana Menteri itu sekarang adalah sangat berbahaya dan sekali gus membuktikan bahawa Abdullah Ahmad Badawi sudah hilang kuasa moral (moral authority) untuk terus memimpin.

Namun, soalnya adalah sekiranya Umno sudah begitu tenat dan tidak dapat diselamatkan lagi, parti manakah yang boleh diharapkan mengambil alih peranannya sebagai parti induk politik pelbagai kaum negara kita ini?Pas? DAP? PKR?

Bolehkan Pas sebagai parti Islam menerima dominasi DAP yang berupa parti sekular yang berteraskan masyarakat Cina atau sebaliknya?

Bolehkah Parti Keadilan Rakyat dengan kepelbagaian kaum, agama dan ideologi merentasi dan mengatasi ujian yang telah menggagalkan parti pelbagai kaum sebelum ini seperti Parti Kemerdekaan Malaya, Parti Negara, Parti Buruh, Barisan Sosialis, Gerakan, Pekemas dan Parti Rakyat?

Kita harus ingat bahawa DAP, Gerakan dan Pekemas semuanya bermula sebagai parti pelbagai kaum tetapi “degenerate” menjadi parti perkauman atau yang didominasi oleh satu kaum.Harus disebutkan bahawa gabungan Pakatan Rakyat sendiri belum diperbadankan secara rasmi oleh PKR, DAP dan Pas walaupun sudah lebih enam bulan diumumkan kepada khalayak."


Selagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini menjalani kehidupan secara berasingan mengikut kaum masing-masing, selagi itulah sukar untuk kita melihat satu parti politik yang tidak berasaskan kaum wujud di negara ini.

Sekalipun DAP mendakwa partinya bukanlah parti yang mewakili kaum tertentu tetapi semua orang tahu parti itu adalah seperti parti kepunyaan orang cina. Begitu jugalah dengan parti Keadilan Rakyat masih tidak dapat mencerminkan sebuah parti yang mewakili rakyat Malaysia yang sebenar.

Sebuah parti politik itu hanya boleh dikatakan sebagai mewakili rakyat Malaysia dan tidak berasaskan kaum jika ahli-ahlinya mencerminkan komposisi kaum di negara ini.

Oleh kerana kaum-kaum di negara ini menjalani kehidupan mereka secara berasingan yang bermula dari sekolah yang berasingan kemudian bekerja di lapangan yang berasingan maka sukar bagi mereka untuk dapat peluang bergaul dan berkawan rapat antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Tidak hairanlah apabila mereka hendak membentuk persatuan, membuat apa-apa rancangan, hendak menjalankan perniagaan termasuk juga hendak menubuhkan parti politik atau untuk masuk parti politik, mereka akan mencari rakan-rakan kenalan mereka sahaja.

Saya yakin semasa mereka memilih kawan untuk menjadi rakan kongsi, pilihan mereka bukanlah berasaskan kaum mereka tetapi kebetulan kawan dan kenalan mereka adalah hanya terdiri dari kaum yang sama maka sebab itu kita nampak dalam satu-satu persatuan atau syarikat itu dimonopoli oleh satu-satu kaum sahaja.

Oleh kerana keadaan hidup masyarakat negara ini yang berpisah-pisah mengikut kaum maka apa sahaja persatuan-persatuan, parti-parti politik, lapangan dan bidang yang diwujudkan akan mencerminkan keadaan realiti masyarakat itu yang hidup secara berpisah-pisah.

Selagi kita semua tidak mahu menggalakkan anak-anak kita bergaul dan berkawan rapat maka selagi itulah kita tidak dapat melihat satu badan, syarikat, pertubuhan yang betul-betul mewakili komposisi rakyat Malaysia.

Peluang yang terbaik untuk anak-anak kita dapat berkawan dan bergaul ialah dengan mengumpulkan mereka di sekolah yang sama.

Seharusnya usaha kerajaan untuk menggalakkan anak-anak tidak kira kaum belajar di sekolah yang sama perlu mendapat sokongan dari semua pihak demi keutuhan perpaduan bangsa pada masa depan.

Kita juga hairan bagaimana DAP yang mendakwa parti yang tidak berasaskan kaum telah menentang sekolah wawasan yang dianjurkan oleh kerajaan bagi membantu merapatkan jurang perkauman di negara ini. Sepatutnya DAP lah yang lebih ke depan dalam hal ini kerana dia selalu mendakwa partinya tidak menggalakkan wujudnya perkauman.

Kalau DAP benar-benar bukan parti perkauman kenapa krisis politik tahun 1969 antara Perikatan dan DAP telah menjadi pertelingkahan kaum.

Parti-parti politik yang sering mendabik dada mendakwa partinya bukan parti berasaskan perkauman hanyalah boleh berlaku di atas kertas sahaja, tetapi praktikalnya ia tidak memungkinkan boleh berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang ini.

Kalau parti-parti politik di Negara ini ingin melihat partinya benar-benar mewakili komposisi kaum negara ini seharusnya dari sekarang mereka kena mengambil langkah dan usaha bagaimana untuk merapatkan jurang perkauman di negara ini, kalau tidak, mereka hanyalah seperti bermimpi di siang hari sahaja.

Sunday, September 07, 2008

Bolehkah kita meminta sedekah?


“Tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah.”


“Pergi mencari kayu api di hutan dan menjualnya ada adalah lebih baik dari kamu meminta-minta.”


Sabda nabi yang dipaparkan di atas memberitahu kepada kita sebagai umat Islam kita tidak digalakkan untuk meminta sedekah. Sebaliknya bekerja dan berusaha itu jauh lebih baik dari meminta sedekah sekalipun hanya kerja mencari kayu api di hutan.


Tetapi ada sesetengah umat Islam tidak menghayati sabda nabi ini sehingga lebih suka meminta sedekah dari berusaha sendiri.


Apatah lagi pendapatan mereka lebih lumayan dengan meminta sedekah daripada kalau mereka bekerja. Mereka beranggapan kalau dengan meminta sedekah boleh dapat RM2000 ke RM5000 sebulan, kenapa pula harus mereka bekerja yang pendapatannya mungkin dalam lingkungan RM800 sahaja sebulan.


Kalau dinilai dari segi jumlah memanglah lebih lumayan menjadi peminta sedekah, tetapi dari segi maruah dan keberkatannya di sisi Allah tentulah tiada tolok bandingnya.


Apabila kita tidak layak meminta sedekah, meminta sedekah dengan sengaja untuk mendapat kemewahan hidup tanpa terlebih dahulu cuba berusaha dan bekerja, sudah tentu rezeki yang kita dapat melalui meminta sedekah itu tidak akan diredai dan diberkati Allah.


Yang lebih kita rasa kesal lagi, walaupun Islam sangat tidak menggalakkan umatnya meminta sedekah, tetapi kalau kita lihat orang-orang Islam yang meminta sedekah di kaki lima jalan itu rata-ratanya semuanya memakai kopiah yang seolah-olah mencerminkan mereka itu orang Islam yang warak. Kalaulah benar mereka itu warak, mereka sepatutnya tidak melakukan kerja meminta sedekah.


Kalau hadis-hadis yang disebutkan di atas menekankan orang yang memberi sumbangan dan orang yang berusaha dan bekerja adalah orang yang lebih baik dan disukai Allah, maka sepatutnyalah kita berlumba-lumba untuk menjadi orang Islam yang lebih baik atau terbaik, mengapa pula kita hendak menjadi orang Islam yang kurang baik.


Kita hanya diharuskan meminta sedekah bila kita berada dalam keadaan yang sangat terdesak. Umpamanya ketika kita tengah mencari-cari perkerjaan kita telah putus wang untuk membeli makanan, maka di masa itu kita harus meminta sedekah untuk mengelak dari mencuri.


Sekalipun kita dalam keadaan diharuskan meminta sedekah, tidaklah boleh pula kita meminta sedekah lebih dari keperluan untuk membeli makanan kita pada hari itu kerana mungkin besoknya kita telah dapat pekerjaan. Jangan sesekali kita meminta sedekah lebih dari yang kita perlukan, apalagi mengambil kesempatan meminta sedekah untuk menjadi kaya.


Tetapi bagi orang yang sakit yang tidak sembuh yang tidak mampu untuk bekerja, atau orang yang lumpuh terbaring yang tak mungkin boleh bekerja, sudah tentulah orang-orang ini memerlukan sedekah dari kita, malah mereka layak untuk mendapat bantuan bulanan dari baitul mal.


Yang kita tak setuju diberi sedekah ialah kepada orang yang sihat yang hari-hari merayau-rayau di kaki lima dan di tempat-tempat orang ramai, mengambil kesempatan untuk menjadi kaya dengan meminta sedekah.


Dalam zaman yang serba maju ini, tidak semua pekerjaan menggunakan tenaga fizikal dan tulang empat kerat. Orang buta, orang yang tidak ada tangan, yang tidak ada kaki pun masih ada pekerjaan yang sesuai untuk mereka. Oleh itu tidak ada alasan untuk kita tidak bekerja.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com