Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, September 14, 2008

Rancangan peralihan kuasa menjadikan Pak Lah tak bermaya.


Tahun 2004 adalah tahun kemuncak Pak Lah, dia menang besar dalam pilihanraya umum yang diadakan pada tahun tersebut. Tapi sayang, kerana terlalu yakin dengan kemenangan besar yang diperolehi pada masa itu membuatkan beliau tidak lagi peka sebaliknya menjadi pekak kepada masalah rakyat.

Beliau lebih suka mendengar masalah rakyat dan mengatur strategi pentadbiran Negara melalui penasihat-penasihatnya yang salah.

Keresahan kaum India yang dijelmakan melalui Hindraf tidak ditangani dengan betul, malah beliau mengambil langkah berkonfrantasi dengan Hindraf dengan menangkap beberapa pemimpin mereka di bawah ISA. Langkah Pak Lah ini dianggap oleh kaum India sebagai keterlaluan kerana Hindraf seperti juga MIC, antara pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak kaum India sekalipun tidak berdaftar.

Memusuhi Hindraf samalah juga seperti memusuhi kaum India. Keadaan ini tidak sama seperti menangkap pemimpin-pemimpin kaum India yang mewakili parti DAP atau parti Keadilan Rakyat.

Kemarahan kaum India dan rasa tidak puashati orang-orang Cina kepada kepimpinan Pak Lah telah banyak menyumbang kepada merosotnya undi BN pada pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac 2008.

Boleh dikatakan kemenangan BN pada piliharaya umum ke 12 itu banyak bergantung kepada undi orang-orang Melayu saja. Sejak itu orang ramai banyak menyalahkan Pak Lah di atas kemerosotan undi kepada BN itu. Malah ramai pemimpin-pemimpin UMNO sendiri yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad bekas Perdana Menteri turut menyalahkan Pak Lah.

Sebelum itu Dr. Mahathir memang tidak puashati dengan pentadbiran Pak Lah. Keputusan pilihanraya itu telah diambil kesempatan untuk dijadikan alasan yang kuat oleh Dr. Mahathir dan penyokong-penyokong beliau untuk menolak kepimpinan Pak Lah.

Kerana desakan kuat dari pelbagai pihak dalam UMNO, Pak Lah telah cuba meredakan keadaan dengan mengemukakan rancangan peralihan kuasa. Dalam rancangan peralihan kuasa itu Pak Lah telah bersetuju untuk menyerahkan kepimpinannya kepada timbalan pada bulan Jun 2010.

Semasa Pak Lah mengumumkan rancangannya untuk meletak jawatan dan akan menyerahkan kuasa kepada timbalannya, tidak ada pula kejadian ‘histeria’ berlaku pada pemimpin-pemimpin UMNO. Tidak sama seperti semasa Dr. Mahathir mengumumkan beliau hendak meletak jawatan pada satu masa dulu, di mana Rafidah Aziz, Hishamudin Hussein, Isa Samad bagaikan terkena histeria meluru ke depan untuk menghalang Dr. Mahathir meneruskan hasratnya itu.

Walaupun rancangan peralihan kuasa yang dikemukakan oleh Pak Lah itu dapat meredakan desakan pelbagai pihak untuk beliau meletakkan jawatan, tetapi kesan darinya menyebabkan kepimpinan Pak Lah bertambah lemah. Keadaannya samalah seperti seseorang yang telah dikenakan hukum gantung yang telah diketahui tarikh kematiannya.

Makin ramai pemimpin UMNO yang lebih rapat dengan Pak Lah sebelum ini seperti Mahyudin Yasin telah mula berani membodek Najib supaya tarikh peralihan kuasa itu dibuat lebih awal dari Jun 2010.

Sesiapa pun di waktu ini tidak takut lagi kepada Pak Lah, kerana hayat kuasa Pak Lah hanya tinggal tidak sampai dua tahun lagi. Kalaupun Pak Lah singkir dan pecat orang-orang yang menentangnya, pasti dalam dua tahun lagi mereka akan diambil dan diangkat semula oleh Najib dengan pangkat dan jawatan yang mungkin lebih tinggi.

Kepada mereka yang inginkan pangkat dan jawatan yang lebih tinggi pada masa akan datang, maka sekarang adalah masa yang baik untuk membodek Najib bukan Pak Lah.

Sekarang mungkin Pak Lah sudah dapat tahu siapakah kawan yang sebenar di masa susah. Dalam politik kawan boleh menjadi lawan dan lawan boleh menjadi kawan.

Jangan sekali kita lupa bahawa yang menaikkan diri kita dalam politik hingga ke jawatan Perdana Menteri ialah undi rakyat, oleh itu jangan sekali kita lupa kepada mereka.

Pak Lah telah dijadikan ‘kambing korban’ untuk disembelih bagi menyelamatkan BN, tetapi betulkah BN akan selamat selepas Pak Lah dikorbankan?

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com