Kalau kita meneliti ayat-ayat Al Quran, sangat banyak ayat-ayat yang menyeru manusia supaya menghindari perbuatan syirik atau mempersekutukan Allah.
Malah tidak masuk syurga seseorang itu jika mensyirikkan Allah, begitulah utamanya perbuatan syirik ini di sisi Allah.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan tujuan Tuhan menurunkan Nabi dan Al Quran ini adalah untuk membebaskan manusia dari mensyirikkan Allah.
Selaras dengan tujuan utama Quran ini, kita sebagai orang Islam haruslah bergerak selari dengan kehendak Quran iaitu mengembelingkan segala usaha dan tenaga untuk membebaskan manusia dari amalan syirik. Amalan syirik ini bukan sahaja berlaku kepada orang-orang bukan Islam tetapi juga berlaku dalam masyarakat Islam sendiri.
Memerangi amalan syirik bukan bermakna kita kena mengangkat senjata pergi memerangi dan menangkap orang-orang yang mengamalkan perbuatan syirik ini. Tetapi perlu kita lakukan secara dakwah yang baik dan hikmah.
Kita harus menentang pengamal-pengamal syirik ini dengan memberi penerangan yang jelas dan berhujah dengan mereka secara baik. Mesti ada dalam fikiran kita bahawa orang-orang yang mengamalkan syirik ini kebanyakannya adalah disebabkan kejahilan mereka yang tidak mendapat maklumat dan penerangan yang tepat. Mereka hanya mendapat maklumat dan menurut apa yang telah diperturunkan oleh nenek moyang mereka.
Oleh itu menjadi tugas kita untuk membetulkan pandangan mereka yang salah terhadap agama dan ketuhanan. Jangan sekali dalam hendak membetulkan akidah mereka, kita menganggap mereka sebagai musuh kita, sebaliknya kita lakukannya kerana didorong oleh hati kita yang ikhlas untuk menyelamatkan mereka dari api neraka.
Mungkin ada orang mempersoalkan kenapa Nabi Muhammad pernah mengangkat senjata berperang dengan orang bukan Islam, seolah-olah berlawanan dengan kenyataan saya di atas.
Dalam membetulkan akidah musyrik mekah ketika itu, nabi Muhammad sentiasa mengambil pendekatan berjumpa dan memberi penerangan kepada masyarakatnya dalam menyebarkan ajaran Islam.
Tetapi malangnya pemuka-pemuka orang bukan Islam ketika itu tidak mampu untuk berhujah dengan nabi dan tidak mampu menandingi kebenaran Al Quran. Lantaran itu semakin hari semakin ramai orang-orang yang telah dimurnikan akidahnya oleh nabi.
Pemuka musyrik Mekah tidak ada keupayaan dan ikhtiar untuk menyekat aliran baru yang dibawa oleh nabi Muhammad yang dilihat semakin cepat berkembang, lalu mereka menggunakan cara penindasan dan kekerasan bagi mengekangnya, termasuklah mengistiharkan perang terhadap nabi.
Jelas di sini nabi berperang bukan untuk menyerang dan menangkap orang-orang yang mengamalkan syirik tetapi berperang sebagai mempertahankan diri dari diserang secara kekerasan.
Dan sekarang kita telah pun berada di zaman peradaban tinggi, di zaman yang memandang tinggi keintelektualan, pendapat dan hujah, di zaman suatu kaum tidak boleh menindas dan menyerang kaum lain, di zaman setiap orang berhak untuk bersuara dan menyampaikan pandangan dan pendapat, tetapi kenapa pula kita tidak mengambil peluang dan ruang ini seluas-luasnya untuk kita memberi penerangan dan berhujah dengan baik kepada pengamal-pengamal perbuatan syirik ini.
Sebaliknya ada antara umat Islam di zaman ini telah mengambil tindakan kebelakang dengan melakukan serangan-serangan senjata dan keganasan yang kononnya untuk membela kesucian Islam.
Ada juga orang-orang Islam yang begitu ghairah untuk menegakkan Negara Islam, siang malam mereka turun berkempen untuk mencapai hasrat mereka untuk menjadikan Malaysia ini Negara Islam ala mereka.
Mungkin saya terlepas pandang, tidak ada ayat yang saya temui dalam Quran yang menyuruh kita menegakkan Negara Islam sebagai keutamaan kita, sila betulkan saya kalau tersilap. Kalau ada pun ayat yang menyatakan perkara tersebut, mungkin tidak banyak sehingga saya boleh tidak perasan dan terlepas pandang.
Tetapi kalau ayat yang menyuruh kita menghindari dari perbuatan dan amalan syirik memang saya tidak boleh lupa kerana ia disebutkan berulang dan banyak kali dalam Quran.
Kalau kita hendakkan Negara Islam, memang kita perlukan ‘kuasa’ untuk melaksanakannya, tetapi kalau kita hendakkan supaya manusia mempunyai akidah yang murni, kita hanya perlukan kebijaksanaan, ilmu, kepetahan kata-kata dan tulisan, akhlak yang baik dan keikhlasan.
Janganlah usaha kita yang ghairah hendak menegakkan Negara Islam dijadikan jenaka oleh sesetengah pihak yang mengatakan, yang mungkin masuk syurga nanti hanyalah negara bukannya orang.
Bukanlah saya hendak merendah-rendahkan untuk menegakkan Negara Islam, tetapi kita kena melihat kepada keutamaan. Janganlah berlunjur sebelum duduk.
Sunday, September 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
my playlist
Create a playlist at MixPod.com
2 comments:
Kena fahamkan dulu Rukun2 Islam..
Rukun Islam ada 5 kesemuanya :-)
Ketua Pemuda UMNO ‘BERANI dan ‘MACHO’ ;-)
http://pro-faizal.blogspot.com
aku setuju, ramai lagi orang islam yang tak sembahyang, tak puasa, tak bayar zakat dan lain-lain. orang-orang ni perlu aku, kau dan kita semua jumpa dengan kasih sayang untuk ajak, pujuk dan rayu agar mereka dapat taat pada perintah Allah S.W.T dan ikut sunnah nabi Muhammad S.A.W
Post a Comment