Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, July 29, 2008

Kekuatan PAS bergantung kepada orang Melayu.

PAS tidak boleh pergi jauh tanpa sokongan orang Melayu. PAS adalah parti yang membawa wadah untuk memperjuangkan Malaysia menjadi sebuah 'Negara Islam'.

Sudah tentu orang bukan Islam tidak akan menyokong dan berminat dengan PAS, kepada orang bukan Islam, Negara Islam dan pemerintahan Islam menggambarkan suatu yang menakutkan.

Peluang untuk PAS menang pilihanraya di kawasan yang mempunyai ramai bukan Melayu adalah hampir mustahil.

Oleh kerana orang Melayu Islam di Malaysia yang boleh mengundi tidak sampai 60% dari jumlah penduduk, sudah tentu secara demokrasi PAS sukar untuk mencapai cita-citanya kalau tanpa sokongan padu orang-orang Melayu.

Tawaran yang dibuat oleh UMNO untuk bergabung dengan PAS adalah suatu perkara yang tidak boleh ditolak begitu sahaja, peluang yang datang ini sama seperti orang mengantuk disorongkan bantal atau pucuk dicita ulam mendatang.

Sekalipun orang Cina melalui MCA dan orang India melalui MIC tidak mengalu-alukan kemasukan PAS ke dalam BN, ini tetap tidak akan menjadi masaalah yang besar kepada UMNO, kerana perpaduan orang-orang Melayu di bawah UMNO dan PAS yang bergabung itu sudah cukup untuk memberi kemenangan kepada BN.

Tanpa sokongan orang Cina dan India yang kuat pun BN tetap boleh menang jika undi orang-orang Melayu disatukan melalui PAS dan UMNO yang bergabung, kerana orang Melayu adalah merupakan majoriti penduduk Negara ini.

Dengan kata lain kemasukan PAS ke dalam BN akan memberi suara yang kuat kepada orang Melayu. Di ketika itu suara orang Cina dan India tentu tidak dapat mengatasi suara orang Melayu yang telah bersatu.

Dengan kuasa yang diperolehi melalui pergabungan dengan UMNO itu nanti, mudahlah PAS untuk menjayakan hasrat mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang mereka impikan selama ini. Melalui jalan demokrasi PAS akan berjaya membentuk ‘Negara Islam’ walaupun tanpa kerelaan orang-orang bukan Islam yang minoriti.

Tetapi itu hanyalah secara teori, realitinya tentu banyak masalah yang bakal dihadapi apabila PAS menyertai UMNO. Persaingan dan perlumbaan untuk mendapatkan kuasa tetap akan berlaku antara orang PAS dan orang UMNO sekalipun telah berada bawah bumbung yang sama.

Kalau kita lihat di masa ini di dalam parti UMNO itu sendiri pun sering wujud puak-puak yang berebutkan kuasa, begitu juga di dalam parti PAS walaupun tidak begitu ketara. Apatah lagi bila PAS dan UMNO berada di bawah satu bumbung, mungkin perbalahan dan perbezaan pendapat menjadi lebih besar dan hebat lagi.

Di dalam Negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, sukar untuk mengelak dari kewujudan parti politik yang berasaskan kaum atau agama. Sudah tentu parti dari kaum yang terbesar mendapat kelebihan untuk menang dan berkuasa dalam sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Inilah yang berlaku kepada orang Melayu di Malaysia yang merupakan kaum terbesar di Negara ini. Oleh itu tidak hairanlah kalau parti UMNO yang memang mewakili orang Melayu selama ini mudah untuk berkuasa dan memerintah Negara ini sejak merdeka.

Hanya di akhir-akhir ini sahaja, orang Melayu telah mula dipecahkan kepada parti PAS dan PKR yang yang juga dianggap sebagai parti serpihan UMNO. Apabila parti-parti serpihan orang Melayu ini menjadi semakin kuat, ia boleh menggugat dan melemahkan parti UMNO itu sendiri. Menambah buruk lagi keadaan bila orang-orang Cina dan India tidak menyokong parti-parti mereka dalam BN.

Keburukan parti berasaskan kaum ialah kaum yang terbesar akan dapat menang dan berkuasa dengan mudah dalam pemilihan secara demokrasi. Parti kaum yang berkuasa sudah tentu akan menjaga kepentingan kaumnya sahaja, sudah tentu kaum yang minoriti tidak dapat banyak ruang untuk menyuarakan kepentingan mereka, kalaupun boleh bersuara, suara mereka tidak akan diambil perhatian kerana suara dari kalangan minoriti.

Ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan terhadap kaum minoriti mungkin akan berlaku kerana kaum yang terbesar tidak memerlukan undi kaum minoriti untuk memenangkan mereka dalam pilihanraya.

Apabila ini berlaku, kaum minoriti akan berasa terpinggir dan rasa tidak puas hati sentiasa terpendam di kalangan mereka. Mungkin kaum minoriti ini akan mencari jalan alternatif untuk menyuarakan atau menuntut hak dan kepentingan mereka. Mereka mungkin akan menggunakan jalan keganasan atau kekerasan, atau mereka akan bertindak balas dengan melakukan sabotaj dan pemulauan yang boleh menghuru-harakan Negara.

Perbezaan dan jurang perkauman akan terus melebar, ini kerana setiap kaum melalui parti politik kaum mereka akan terus memperjuangkan kepentingan kaum mereka sahaja. Sentimen perkauman akan dimainkan setiap kali menghadapai pilihanraya supaya orang ramai bersatu menyokong dan mengundi parti politik kaum mereka. Akhirnya perasaan benci dan curiga antara kaum akan terus disemai demi kepentingan politik.

Memang banyak keburukan kalau parti politik diwujudkan berasaskan kaum dan agama dalam Negara yang berbilang kaum yang mengamalkan sistem demokrasi.

Mungkin ada dua cara sahaja untuk kita mengatasi masalah ini, pertama dengan cara menggubal undang-undang yang tidak membenarkan parti-parti politik ditubuhkan berasaskan kaum, atau kedua kita sebagai rakyat kena menolak parti-parti politik yang berasaskan kaum.

Sekiranya kita semua ada kesedaran tentang bahaya dan keburukan yang ditimbulkan oleh parti politik berasaskan kaum ini maka hendaklah kita berani membuat perubahan.

Wednesday, July 23, 2008

Perpaduan orang Melayu, untuk berperang dengan orang Cina?

Umno yang hampir nazak selepas pilihanraya lalu telah cuba berbaik-baik dengan PAS, memujuk PAS untuk menyertai BN, yang kononnya demi perpaduan orang Melayu dan kekuatan umat Islam di Malaysia.

Perkara memujuk PAS ini telah pun diceritakan dan didedahkan sendiri oleh Datuk Seri Dr. Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor dalam laman blognya.

Malah beliau sendiri sanggup menawarkan jawatan Menteri Besar Selangor dan Timbalan Menteri Besar Selangor untuk diambil oleh PAS jika PAS sudi menyertai BN selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu. Dakwa beliau lagi, semua ini beliau lakukan semata-mata untuk kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam terus terjaga di Negeri Selangor.

Kini selepas lebih tiga bulan Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor, apakah kepentingan orang Melayu di Selangor telah musnah, sudah banyakkah masjid dan surau telah dirobohkan, adakah orang Islam telah dihalang untuk bersembahyang di Masjid.

Apakah orang Melayu dan kedudukan agama Islam di negeri Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat lebih teruk dari semasa UMNO memerintah negeri Selangor?

Yang mungkin rasa sangat tergugat kesan dari Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Negeri Selangor ialah pemimpin-peminpin UMNO seperti Dr. Khir Toyo dan rakan-rakannya. Semua kontraktor-kontraktor kroni yang selama ini saling sandar menyandar dengan pemimpin-pemimpin UMNO ini turut merasa keperitannya.

Jalan terdesak untuk menyelamatkan diri mereka dari kehilangan kuasa ialah dengan menggunakan slogan ‘perpaduan Melayu’ dan ‘kesatuan ummah’. Inilah modal terakhir yang mereka ada untuk dirasuah kepada orang-orang Melayu selepas menaburkan wang ringgit semasa pilihanraya.

Apalah ertinya kalau orang Melayu dan orang Islam berkuasa tetapi dengan kuasanya itu mereka tidak berlaku adil, bukan sahaja tidak berlaku adil kepada kaum-kaum lain malah antara kaumnya sendiri pun mereka tidak berlaku adil. Peruntukan, bantuan dan projek hanya diutamakan kepada penyokong-penyokong mereka sahaja, sebaliknya di kawasan parti pembangkang walaupun sama kaum dan sama agama terus didiskriminasi.

Pada hal semua rakyat termasuk yang mengundi parti pembangkang juga turut memberi sumbangan dan membayar cukai, oleh itu kenapa harus ada diskriminasi. Islam tidak pernah mengajarkan untuk tidak berlaku adil sesama manusia.

Islam juga tidak mengajar umatnya supaya memerintah secara tidak telus, Islam juga tidak pernah mengajarkan pemimpin Islam menggunakan wang Negara secara sewenang-wenangnya dan membazir.

Dimanakah dapat kita katakan mereka telah menjaga kepentingan Islam sedangkan banyak yang kita lihat, dengan kuasa yang ada, mereka telah menghinakan prinsip-prinsip dan ajaran Islam.

Dengan kuasa yang ada, mereka gunakan untuk melindungi berbagai salah laku mereka. Dari kesalahan rasuah, kronism, nepotism, pembaziran hinggalah kepada kesalahan berkhalwat, mengambil isteri orang dan meraba pelayan hotel, semuanya dapat ditutup dengan rapi.

Logiknya sebagai sebuah Negara yang merdeka yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama seharusnya keutamaan kita ialah memperkasa perpaduan kaum di bawah satu bangsa Malaysia. Tetapi sedihnya UMNO masih memperalatkan ‘perpaduan Melayu’ untuk kepentingan politik mereka.

Perpaduan Melayu untuk apa? Adakah untuk memusnahkan kaum-kaum yang lain? Bukankah kaum lain-lain itu juga lahir di bumi Malaysia dan rakyat negara ini sama seperti kita juga.

Thursday, July 17, 2008

Debat, Tahniah Datuk Shabery Cheek.


Satu titik permulaan yang memberangsangkan kearah amalan demokrasi yang sihat. Itulah ungkapan yang dapat saya gambarkan bila melihat perdebatan antara dua tokoh utama yang mewakili parti politik yang bertentangan yang disiarkan secara lintas langsung di TV9 pada jam 9 malam 15 Julai 2008 yang lepas.


Siapa yang kalah atau menang dalam perdebatan itu bukanlah menjadi isu utama, yang lebih utama ialah kita telah dapat menyaksikan bagaimana demokrasi telah semakin menghampiri kemenangan di bumi Malaysia yang tercinta ini.


Pujian dan sekalung tahniah harus diberikan kepada Shabery Cheek kerana berani membuat perubahan yang besar dan berani menghadapi risiko politik kerana mengadakan program debat ini.


Di Amerika Syarikat perdebatan secara terbuka ini adalah merupakan perkara biasa yang digalakkan dalam amalan demokrasi untuk memudahkan rakyat menilai kematangan, kebijaksanaan dan keterampilan pemimpin-pemimpin politik mereka, di samping rakyat dapat melihat sesuatu isu itu dari sudut pandangan yang berbeza, tetapi kita di Malaysia debat terbuka telah menjadi perkara yang sangat ditakuti oleh parti politik yang memerintah.


Dengan bertambahnya program-program debat ini pada masa-masa akan datang, sudah tentu dapat memberi peluang kepada parti-parti lawan menyuarakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu melalui medium perdebatan ini, dan tidak perlulah lagi mereka mengadakan demontrasi jalanan sebagai tempat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
Mungkin pengalaman pahit Shabery Cheek semasa berada dalam parti Semangat 46 satu masa dulu telah membuatkan beliau tidak teragak-agak untuk menganjurkan program yang dapat menyalurkan suara parti lawan dalam media perdana terutamanya TV, seperti program debat yang kita saksikan itu dan program berwancara dengan blogger sebelum ini.

Tentu beliau telah mengalami bagaimana sukarnya untuk menyuarakan pendapat dan pandangan bila berada dalam parti pembangkang, sekalipun pandangan yang ingin diutarakan itu mungkin membawa manafaat kepada Negara.


Pujian juga patut diberikan kepada Shabery Cheek kerana sanggup berdebat dengan Anwar Ibrahim seorang pemidato yang hebat. Rasanya selain dari beliau, tidak ada pemimpin UMNO yang berani menawarkan diri untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim. Kalau ada pun mungkin hanya Dr. Mahathir, tetapi Dr. Mahathir sudah keluar dari UMNO.


Memandangkan beliau seorang tokoh UMNO yang mempunyai keberanian membuat perubahan, tidak ada sebab saudara Shabery Cheek tidak boleh menawarkan diri untuk bertanding sekurang-kurangnya untuk jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan UMNO pada Disember 2008 ini.
Artikel ini juga tersiar dalam Malaysiakini.com di ruangan surat pembaca:

Monday, July 14, 2008

Penyelidikan di Universiti, Usah korbankan nilai yang mulia.

Kerana terlalu ghairah untuk mengejar sesuatu kejayaan tanpa disedari kadang-kadang kita telah menolak tepi nilai-nilai yang mulia.

Contohnya, dalam keghairahan kita menggalakkan ahli-ahli akademik di universiti atau pusat pengajian tinggi awam dalam membuat kerja-kerja penyelidikan, ada perkara-perkara yang tidak sihat dijadikan amalan.

Dalam keinginan mengejar kedudukan sebagai universiti kelas dunia, pihak pentadbir universiti telah membuat peraturan kenaikan pangkat ahli akademiknya dengan melihat kepada keaktifan mereka dalam kerja-kerja penyelidikan.

Ini ekoran ranking sesuatu universiti itu banyak ditentukan oleh berapa banyak kerja-kerja penyelidikan berlaku di sesebuah universiti itu. Jumlah penyelidikan yang banyak secara langsung akan dapat meningkatkan ranking universiti.

Sebagai satu mekanisma yang mudah untuk menaikkan ranking universiti mereka, pihak pentadbir telah menjadikan jumlah penyelidikan yang dilakukan oleh seseorang ahli akademik itu sebagai ukuran bagi kenaikan pangkat ahli akademik mereka.

Oleh itu ahli-ahli akademik yang mungkin setengahnya tidak berkebolehan dan berminat dalam kerja penyelidikan terpaksa juga melakukannya kalau mereka inginkan kenaikan gaji atau pangkat.

Maka berlumba-lumba ahli-ahli akademik mengisi borang untuk memohon geran penyelidikan yang disediakan oleh kerajaan. Mereka tidak lagi melihat penyelidikan itu sebagai satu keperluan untuk faedah manusia atau Negara tetapi lebih untuk keperluan kenaikan pangkat dan gaji mereka.

Ekoran dari itu banyaklah penyelidikan-penyelidikan yang mereka hasilkan, tetapi sudah tentu kebanyakan penyelidikan yang dihasilkan itu tidak mendatangkan banyak manafaat kepada manusia dan Negara, dan bukanlah merupakan penyelidikan yang benar-benar diperlukan.

Malah ada projek penyelidikan yang diulang-ulang semula dengan sedikit pengubahsuaian dan ada juga projek yang dari segi mutunya sangat rendah.

Yang lebih menjelekkan lagi ada yang mengambil kesempatan menggunakan geran penyelidikan ini untuk membeli komputer riba, printer dan scanner yang penggunaannya lebih untuk kepentingan peribadi.

Apakah kita tidak rasa bersalah bila wang Negara yang sebahagiannya datang dari pembayar-pembayar cukai dibazirkan begitu sahaja semata-mata untuk melonjakkan nama universiti kita ke taraf dunia.

Apakah kejayaan yang kita dapat secara demikian boleh dianggap sebagai kejayaan yang tulin. Kita boleh mengabui mata dunia dengan kejayaan yang kita capai itu tetapi pada hakikatnya kita telah menipu diri kita sendiri.

Adalah lebih baik kalau kita memberi peluang yang seluas-luasnya kepada ahli-ahli akademik yang betul-betul berminat dalam kerja-kerja penyelidikan. Kerja-kerja penyelidikan yang dibuat secara ikhlas dan penuh minat ini tentunya akan dapat mengeluarkan hasil penyelidikan yang bermutu tinggi dan berguna.

Memaksa ahli akademik membuat penyelidikan bukanlah sesuatu yang baik. Biarlah penyelidikan itu dibuat atas dasar diperlukan demi kemajuan kehidupan manusia dan juga Negara.

Apa yang lebih penting di sini ialah kita perlu menyediakan suasana universiti yang mesra penyelidikan, di mana ahli akademik yang mempunyai banyak idea dapat melaksanakan dan menjalankan penyelidikannya dengan mudah.

Tidak perlu kita memaksa mereka menjalankan penyelidikan tetapi sebaiknya ialah membantu mereka supaya universiti dilihat sebagai mesra penyelidik dan tidak banyak kerenah birokrasi dalam proses kerja-kerja penyelidikan.

Kerenah birokrasi dan peraturan-peraturan ketat yang diadakan bertujuan untuk menyekat penyelewengan dalam kerja-kerja penyelidikan, selalunya boleh menjadi penghalang dan melemahkan semangat penyelidik-penyelidik yang jujur dan tulin.

Bagaimana ketat pun peraturan yang diwujudkan, penyelidik-penyelidik yang ada kepentingan diri akan tetap juga berusaha mencari jalan supaya dapat melepasi peraturan-peraturan yang ketat itu. Apakah kerana perangai buruk beberapa orang penyelidik ini kita perlu membuat peraturan yang ketat kepada semua.

Saturday, July 05, 2008

Tidak perlu bising-bising, Bersumpah dengan Al Quran sudah memadai.

Tidak ada saksi yang melihat perlakuan liwat Anwar Ibrahim, mungkin berlaku mungkin tidak, hanya Allah sahaja yang tahu.

Kalau ada gambar rakaman videonya seperti yang telah berlaku kepada kes bekas Menteri Kesihatan Chua Soi Lek, maka sudah tentu kita tidak perlu lagi kepada empat orang saksi.

Di masa zaman Nabi dulu, memang tidak ada perakam video, maka syarat utama yang diperlukan di masa itu untuk mengesahkan tuduhan seseorang yang disabitkan dengan kesalahan zina mestilah disaksikan oleh empat orang.

Oleh itu di zaman moden ini, sebagai pilihan selain dari membawakan empat saksi sebagai syarat untuk membuat tuduhan zina kepada seseorang, rakaman video juga boleh dijadikan bahan bukti yang sah untuk mendakwa seseorang atas kesalahan zina atau liwat. Video yang dijadikan bahan bukti itu mestilah disahkan oleh pakar sebagai bukan palsu dan tidak diubah suai.

Di kalangan orang bukan Melayu, persepsi hubungan seks di luar perkahwinan tidaklah merupakan satu kesalahan yang begitu berat berbanding persepsi orang Melayu. Seperti yang telah berlaku pada Chua Soi Lek, pendedahan hubungan seks haramnya yang diikuti dengan pengakuannya tidaklah membuatkan beliau berundur dari jawatan kerajaan dan politik yang disandangnya. Malah semua penyokongnya dan kebanyakan masyarakat Cina tetap setia di belakang beliau.

Beliau hanya melepaskan jawatan hanya bila di nasihat oleh Pak Lah, sebagai menghormati Pak Lah yang menganjurkan Islam Hadhari, tentulah perbuatan seks haram beliau itu tidak selari dengan semangat Islam Hadhari.

Untuk menyelesaikan kemelut kes liwat Anwar pula Dr. Asri Mufti Perlis telah mencadangkan satu penyelesaian yang terbaik dengan cara bersumpah mengikut syariat Islam. Saya dan mungkin ramai lagi orang Melayu yang beragama Islam bersetuju dengan cadangan beliau itu. Rasanya inilah cadangan yang paling tepat untuk penyelesaian kepada masalah ini.

Anwar tidak perlu bimbang kes liwatnya akan menyebabkan dia boleh kalah dalam pilihanraya kecil yang ingin disertainya nanti. Kalau dia tidak pernah melakukan perbuatan liwat, dia boleh membersihkan namanya dengan menjalani acara sumpah yang dicadangkan itu. Sekali dia bersumpah dengan Al Quran atas nama Allah, pasti akan memberi keyakinan kepada orang-orang Melayu untuk terus menyokongnya.

Malah orang Melayu yang selama ini yang masih was-was terhadap diri beliau juga turut akan berubah untuk memberi kepercayaan sepenuhnya dan menyokong beliau kalau beliau berani untuk melakukan sumpah ini.

Tidak perlu timbul soal samada mangsa yang diliwat Saiful Bukhari perlu juga melakukan acara bersumpah ini. Yang penting di sini Anwar perlu melakukan sumpah penafian perbuatan liwatnya untuk membersihkan namanya dan untuk memulihkan keyakinan orang Melayu kepada diri beliau.

Makamah Dunia adalah dikendalikan oleh manusia yang punya banyak kelemahan, kadang-kadang boleh dimanipulasi sehingga orang yang bersalah pun boleh terlepas dari hukuman. Tetapi tidak ada siapa yang boleh lari dari hukuman Makamah Tuhan.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com