Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Monday, July 14, 2008

Penyelidikan di Universiti, Usah korbankan nilai yang mulia.

Kerana terlalu ghairah untuk mengejar sesuatu kejayaan tanpa disedari kadang-kadang kita telah menolak tepi nilai-nilai yang mulia.

Contohnya, dalam keghairahan kita menggalakkan ahli-ahli akademik di universiti atau pusat pengajian tinggi awam dalam membuat kerja-kerja penyelidikan, ada perkara-perkara yang tidak sihat dijadikan amalan.

Dalam keinginan mengejar kedudukan sebagai universiti kelas dunia, pihak pentadbir universiti telah membuat peraturan kenaikan pangkat ahli akademiknya dengan melihat kepada keaktifan mereka dalam kerja-kerja penyelidikan.

Ini ekoran ranking sesuatu universiti itu banyak ditentukan oleh berapa banyak kerja-kerja penyelidikan berlaku di sesebuah universiti itu. Jumlah penyelidikan yang banyak secara langsung akan dapat meningkatkan ranking universiti.

Sebagai satu mekanisma yang mudah untuk menaikkan ranking universiti mereka, pihak pentadbir telah menjadikan jumlah penyelidikan yang dilakukan oleh seseorang ahli akademik itu sebagai ukuran bagi kenaikan pangkat ahli akademik mereka.

Oleh itu ahli-ahli akademik yang mungkin setengahnya tidak berkebolehan dan berminat dalam kerja penyelidikan terpaksa juga melakukannya kalau mereka inginkan kenaikan gaji atau pangkat.

Maka berlumba-lumba ahli-ahli akademik mengisi borang untuk memohon geran penyelidikan yang disediakan oleh kerajaan. Mereka tidak lagi melihat penyelidikan itu sebagai satu keperluan untuk faedah manusia atau Negara tetapi lebih untuk keperluan kenaikan pangkat dan gaji mereka.

Ekoran dari itu banyaklah penyelidikan-penyelidikan yang mereka hasilkan, tetapi sudah tentu kebanyakan penyelidikan yang dihasilkan itu tidak mendatangkan banyak manafaat kepada manusia dan Negara, dan bukanlah merupakan penyelidikan yang benar-benar diperlukan.

Malah ada projek penyelidikan yang diulang-ulang semula dengan sedikit pengubahsuaian dan ada juga projek yang dari segi mutunya sangat rendah.

Yang lebih menjelekkan lagi ada yang mengambil kesempatan menggunakan geran penyelidikan ini untuk membeli komputer riba, printer dan scanner yang penggunaannya lebih untuk kepentingan peribadi.

Apakah kita tidak rasa bersalah bila wang Negara yang sebahagiannya datang dari pembayar-pembayar cukai dibazirkan begitu sahaja semata-mata untuk melonjakkan nama universiti kita ke taraf dunia.

Apakah kejayaan yang kita dapat secara demikian boleh dianggap sebagai kejayaan yang tulin. Kita boleh mengabui mata dunia dengan kejayaan yang kita capai itu tetapi pada hakikatnya kita telah menipu diri kita sendiri.

Adalah lebih baik kalau kita memberi peluang yang seluas-luasnya kepada ahli-ahli akademik yang betul-betul berminat dalam kerja-kerja penyelidikan. Kerja-kerja penyelidikan yang dibuat secara ikhlas dan penuh minat ini tentunya akan dapat mengeluarkan hasil penyelidikan yang bermutu tinggi dan berguna.

Memaksa ahli akademik membuat penyelidikan bukanlah sesuatu yang baik. Biarlah penyelidikan itu dibuat atas dasar diperlukan demi kemajuan kehidupan manusia dan juga Negara.

Apa yang lebih penting di sini ialah kita perlu menyediakan suasana universiti yang mesra penyelidikan, di mana ahli akademik yang mempunyai banyak idea dapat melaksanakan dan menjalankan penyelidikannya dengan mudah.

Tidak perlu kita memaksa mereka menjalankan penyelidikan tetapi sebaiknya ialah membantu mereka supaya universiti dilihat sebagai mesra penyelidik dan tidak banyak kerenah birokrasi dalam proses kerja-kerja penyelidikan.

Kerenah birokrasi dan peraturan-peraturan ketat yang diadakan bertujuan untuk menyekat penyelewengan dalam kerja-kerja penyelidikan, selalunya boleh menjadi penghalang dan melemahkan semangat penyelidik-penyelidik yang jujur dan tulin.

Bagaimana ketat pun peraturan yang diwujudkan, penyelidik-penyelidik yang ada kepentingan diri akan tetap juga berusaha mencari jalan supaya dapat melepasi peraturan-peraturan yang ketat itu. Apakah kerana perangai buruk beberapa orang penyelidik ini kita perlu membuat peraturan yang ketat kepada semua.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com