Satu titik permulaan yang memberangsangkan kearah amalan demokrasi yang sihat. Itulah ungkapan yang dapat saya gambarkan bila melihat perdebatan antara dua tokoh utama yang mewakili parti politik yang bertentangan yang disiarkan secara lintas langsung di TV9 pada jam 9 malam 15 Julai 2008 yang lepas.
Siapa yang kalah atau menang dalam perdebatan itu bukanlah menjadi isu utama, yang lebih utama ialah kita telah dapat menyaksikan bagaimana demokrasi telah semakin menghampiri kemenangan di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Pujian dan sekalung tahniah harus diberikan kepada Shabery Cheek kerana berani membuat perubahan yang besar dan berani menghadapi risiko politik kerana mengadakan program debat ini.
Di Amerika Syarikat perdebatan secara terbuka ini adalah merupakan perkara biasa yang digalakkan dalam amalan demokrasi untuk memudahkan rakyat menilai kematangan, kebijaksanaan dan keterampilan pemimpin-pemimpin politik mereka, di samping rakyat dapat melihat sesuatu isu itu dari sudut pandangan yang berbeza, tetapi kita di Malaysia debat terbuka telah menjadi perkara yang sangat ditakuti oleh parti politik yang memerintah.
Dengan bertambahnya program-program debat ini pada masa-masa akan datang, sudah tentu dapat memberi peluang kepada parti-parti lawan menyuarakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu melalui medium perdebatan ini, dan tidak perlulah lagi mereka mengadakan demontrasi jalanan sebagai tempat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
Mungkin pengalaman pahit Shabery Cheek semasa berada dalam parti Semangat 46 satu masa dulu telah membuatkan beliau tidak teragak-agak untuk menganjurkan program yang dapat menyalurkan suara parti lawan dalam media perdana terutamanya TV, seperti program debat yang kita saksikan itu dan program berwancara dengan blogger sebelum ini.
Tentu beliau telah mengalami bagaimana sukarnya untuk menyuarakan pendapat dan pandangan bila berada dalam parti pembangkang, sekalipun pandangan yang ingin diutarakan itu mungkin membawa manafaat kepada Negara.
Pujian juga patut diberikan kepada Shabery Cheek kerana sanggup berdebat dengan Anwar Ibrahim seorang pemidato yang hebat. Rasanya selain dari beliau, tidak ada pemimpin UMNO yang berani menawarkan diri untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim. Kalau ada pun mungkin hanya Dr. Mahathir, tetapi Dr. Mahathir sudah keluar dari UMNO.
Memandangkan beliau seorang tokoh UMNO yang mempunyai keberanian membuat perubahan, tidak ada sebab saudara Shabery Cheek tidak boleh menawarkan diri untuk bertanding sekurang-kurangnya untuk jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan UMNO pada Disember 2008 ini.
Artikel ini juga tersiar dalam Malaysiakini.com di ruangan surat pembaca:
No comments:
Post a Comment