Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, August 23, 2013

Ilmu yang bermanafaat.


Maksud hadis :

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanafaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).

Tidak boleh dinafikan, hadis di atas telah mendorong orang-orang Islam di zaman kegemilangannya dulu untuk mencari dan menyibarkan ilmu yang bermanafaat kepada masyarakat. Hingga hari ini ilmu-ilmu yang mereka sampaikan itu masih dipelajari dan dimanafaatkan oleh umat manusia. Berdasar hadis di atas, walaupun sarjana-sarjana Islam ini telah lama meninggal dunia tetapi mereka tidak putus-putus menerima pahala dari amal soleh yang mereka telah lakukan di masa hidup mereka itu.

Dari ratusan cendiakawan dan ilmuwan Islam itu, di bawah dicatitkan beberapa orang dari mereka.

1. AL-FARABI
Antara sumbangan Al-Farabi adalah dalam bidang Logik, matematik, musik, falsafah, psikologi dan pendidikan.

2. AL-BATANI
Al Battani (sekitar 858-929) adalah seorang ahli astronomi dan matematik dari Arab.

Salah satu pencapaiannya yang terkenal dalam astronomi adalah tentang penentuan Tahun Matahari sebagai 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat.

Al Battani juga menemukan sejumlah persamaan trigonometri.

Mewujudkan atau menyusun jadual mengira tangen.

3. IBNU SINA
Beliau adalah ahli falsafah dan kedoktoran (perubatan). Karyanya telah menjadi rujukan di bidang kedoktoran selama berabad-abad.

Dia dianggap oleh banyak orang sebagai Bapa Kedoktoran Moden.



4. MUHAMMAD BIN MUSA AL-KHAWARIZMI
Al-Khawārizmī adalah seorang ahli matematik, astronomi, astrologi, dan geografi yang berasal dari Persia.
Buku pertamanya, al-Jabar. Digelar juga sebagai Bapa Aljabar.
Perkataan logarisme dan logaritma diambil dari kata Algorismi, sebutan Latin untuk nama beliau.


5. UMAR KHAYYAM
Pada masa hidupnya, ia terkenal sebagai seorang pakar matematik dan astronomi.

Juga seorang sastrawan yang terkenal.

6. MUHAMMAD BIN ZAKARIYA AL-RAZI
Ar-Razi sejak muda telah mempelajari falsafah, kimia, matematik dan kesusastraan. Bidang utamanya ialah kedoktoran.

Ar-Razi juga dikenali sebagai ilmuwan pelbagai bidang dan dianggap sebagai salah satu ilmuwan terbesar dalam sejarah.


7. ABU MUSA JABIR BIN HAYYAN
Sumbangan terbesar Jabir adalah dalam bidang kimia.

Bapa Kimia Arab ini dikenal karena karya-karyanya yang sangat berpengaruh pada ilmu kimia dan metalurgi.

Kitab Al-Kimya (diterjemahkan ke Inggeris menjadi The Book of the Composition of Alchemy)

 

Apa yang mendorong mereka untuk menghabiskan masa dan tenaga mereka dalam mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat, tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengharapkan pahala yang berpanjangan. Kalau di zaman kita sekarang ini, dorongannya mungkin dalam bentuk bayaran, habuan dan pangkat. Masa dulu tidak ada gelaran professor yang hendak dikejar. Kalau melihat kepada besarnya sumbangan mereka itu mungkin mereka layak untuk diberikan gelaran professor, tidak cukup satu, tetapi setara dengan tiga atau empat gelaran professor.

Sebagai orang Islam dan beriman, kita yakin kehidupan yang kekal abadi itu ialah di akhirat, beruntunglah orang dapat memasuki syurga Allah s.w.t di akhirat nanti. Syarat yang ditetapkan Allah untuk memasuki syurgaNya ialah beriman dan beramal soleh. Mencari dan mendapatkan ilmu yang bermanafaat dan mengajarkannya adalah merupakan amal soleh yang ganjarannya disisi Allah ialah syurga, kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat. Banyak firman-firman Tuhan dalam banyak surah di dalam Quran menyatakan prasyarat kepada ganjaran syurga itu adalah beriman dan membuat amal soleh, antaranya:

Surah 18 Al-Kahi ayat 107 & 108:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

Surah 69 Al-Haqqah ayat 24:

"Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!"

Surah 76 Al- Insan ayat 5:

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", -

Surah 77 Al-Mursalat ayat 43- 44:

"Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan."
Sesungguhnya, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.

Surah 83 Al-Mutaffifin ayat 22:

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:

Surah 98 Al-Baiyina ayat 7 & 8:

Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.
Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Dan yang paling biasa kita dengar ialah surah 103 Al-Asr:

Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Orang alim pernah memberitahu, dunia ini adalah tempat kita memberi atau menyumbang, jangan fikirkan untuk mendapat balasan. Di akhirat pula tempat kita menerima dan di sana tidak perlu lagi untuk kita memberi.

 

Sunday, August 18, 2013

Sistem Tanah Adat Perpatih bercanggah dengan ajaran Islam?


Pembahagian harta pusaka kepada waris-waris yang berhak menerima sangat jelas diterangkan di dalam Quran yang kita kenali sebagai Faraid. Sebagai orang yang beriman yang mengaku Tuhan itu Maha Bijaksana, Maha Adil dan Maha Mengetahui tentulah kita tidak akan mengatakan sistem pembahagian harta pusaka yang dicipta oleh manusia lebih baik dari sistem faraid.

Dalam sistem Tanah Adat Perpatih, tanah adat hanya boleh diwariskan kepada anak-anak perempuan sahaja. Kalau kebetulan sebuah keluarga itu hanya ada mempunyai anak lelaki sahaja, yang berhak mewarisi tanah adat keluarga itu ialah anak perempuan dari adik beradik perempuan kepada ibu keluarga itu.

Kepada penyokong-penyokong Adat Perpatih yang taksub, yang berpegang kuat kepada kata-kata “biar mati anak jangan mati adat”, suka saya mengingatkan mereka dengan firman Tuhan ini:

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?”--(Al Baqarah ayat 170)

Berbagai-bagai alasan diberikan oleh mereka yang kuat mempertahankan sistem tanah adat perpatih ini supaya ia dikekalkan, antaranya:

Sistem Tanah Adat Perpatih dikatakan dapat memberi perlindungan kepada kaum wanitanya. Contohnya, kalau berlaku perceraian, tidaklah mereka itu hidup merempat kerana sekurang-kurangnya mereka memiliki tanah. Orang lelaki bila berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan, mereka suami isteri akan tinggal di atas tanah adat milik ibu wanita itu dan wanita itu akan mewarisi tanah adat itu sekiranya ibunya meninggal dunia. Lelaki dan isterinya boleh tinggal di dalam rumah mertuanya atau membina rumah berasingan di atas tanah yang sama.

Oleh itu apabila berlaku perceraian, lelaki itu akan keluar dari rumah yang dibina di atas tanah adat milik isterinya, sedangkan si isteri terus dapat tinggal di tanah adat itu tanpa menjejaskan kehidupannya. Dengan itu kaum wanita dapat perlindungan dari sistem Tanah Adat Perpatih ini.

Apakah Tuhan kurang bijak sehingga Dia terlupa untuk memasukkan unsur memberi perlindungan kepada kaum wanita semasa Dia mencipta sistem Faraid?

Kita kena ingat, bagaimana hebat pun pemikiran manusia ini tidak akan dapat menelah hikmah peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan itu, sesungguhnya Dialah yang lebih mengetahui tentang makhluk yang Dia ciptakan. Perhatikan firman Tuhan ini:

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. –(An nisaa ayat 11)

Mereka yang kuat mempertahankan sistem tanah adat ini juga mengatakan, tanah adat ini bukan hak milik mutlak penama tanah tersebut tetapi ia adalah tanah yang diwakafkan kepada suku masyarakat tersebut. Suku adalah puak yang disandarkan kepada keturunan mengikut jurai (perut) ibu. Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku yang berlainan. Antara suku-suku yang terdapat di sana ialah Suku Biduanda, Suku Tanah Datar, Suku Seri Melenggang, Suku Paya Kumbuh dan Suku Selemak. Nama-nama suku ini diambil berdasarkan nama-nama asal tempat mereka datang di Sumatera sana.

Hubungan sesama suku sangat erat, bagaikan saudara rapat, hinggakan lelaki dan wanita yang datang dari suku yang sama tidak dibenarkan berkahwin walaupun dari segi agama mereka halal untuk berkahwin.

Mereka mendakwa pihak berkuasa agama Islam dan instutusi agama Islam di Negeri Sembilan telah menyepakati bahawa pembahagian pusaka dalam sistem Tanah Adat ini tidak bercanggah dengan Islam kerana ia merupakan tanah yang diwakafkan kepada suku. Manakala penama tanah itu hanyalah sebagai pemegang amanah kepada tanah tersebut. Pemegang amanah ini akan diwariskan kepada anak perempuan dari jurai (nasab) ibu sebagai perut suku.

Perkataan ‘wakaf’ yang dirujuk oleh mereka itu sangat kabur dan meragukan, adakah mulut mereka sahaja yang mengatakan ‘wakaf’? Padahal belum pernah kita mendengar takrifan wakaf sedemikian rupa yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w, jauh sekali adanya nas dalam Quran yang membenarkan wakaf yang sedemikian.

Apakah yang dimaksudkan dengan wakaf menurut ajaran Islam? Apakah tanah boleh diwakafkan kepada suku atau satu kelompok masyarakat, kemudian dibenarkan seorang individu untuk mengerjakan tanah dan mendirikan rumah untuk keuntungan atau faedah individu tersebut? Apakah Nabi pernah membenarkan wakaf dalam bentuk yang demikian?

Selain dari masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih, pernahkah ada pihak-pihak lain di dunia Islam yang mewakafkan tanah mereka sama seperti yang berlaku dalam sistem Tanah Adat Perpatih ini.

Harap ahli agama di Negeri Sembilan perlu menilai semula apa yang mereka dakwa selama ini sistem Tanah Adat itu adalah menggunakan konsep tanah wakaf yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Kadang-kadang institusi agama dan ahli-ahli agama di Negeri Sembilan lebih suka duduk dalam zon selesa, tidak mahu berkonfrantasi dengan ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua adat sehingga enggan hendak mengeluarkan pendapat yang berlawanan. Tetapi ingatlah, mereka sebagai golongan yang lebih arif tentang Quran dan ajaran agama hendaklah ingat dengan amaran keras oleh Tuhan ini:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan hukum-hukum , ayat-ayat yang diturunkan Allah dari al-Kitab, dan membeli dengannya harga yang murah, mereka itu tidak makan dalam perut mereka melainkan api Neraka…! dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari Qiyamat, tidak membersihkan mereka (dari dosa2 mereka) dan bagi mereka azab yang sangat pedihh!!”--(Surah al-Baqarah: ayat 174-176)

Ada juga penyokong adat ini memberi alasan, kalau sistem Tanah Adat ini bercanggah dengan ajaran Islam, kenapa Mufti Negeri Sembilan dan Ahli-ahli agama di Negeri Sembilan tidak pernah menunjukkan tanda tidak bersetuju sedangkan mereka lebih arif dalam soal agama berbanding kita orang biasa? Quran dan hadis yang dibaca oleh mereka adalah Quran dan hadis yang sama juga dibaca oleh kita orang biasa. Tidaklah menjadi dosa kalau kita orang biasa memberi pandangan dan teguran sekiranya ada perkara-perkara yang kita tahu dan kita fikirkan tidak sesuai dengan ajaran Quran dan Hadis. Manusia bukan Nabi yang maksum, tidak terlepas dari kesalahan.

Ustaz Azhar Idrus juga pernah mengkritik sistem pembahagian Tanah Adat dalam ceramahnya (boleh dilihat di link berikut):


Sistem tanah adat Perpatih ini mungkin sangat unggul dan sesuai pada zaman ia dicipta oleh pengasasnya ratusan tahun dahulu, di masa itu masyarakat hidup berasaskan pertanian sara diri. Itulah kelemahan sistem ciptaan manusia, ia hanya sesuai untuk satu-satu masa tetapi tidak untuk sepanjang masa. Sekarang kita telah masuk kepada masyarakat industri, sosio-ekonomi masyarakat telah jauh berbeza. Sekarang barulah kita nampak banyak kelemahan-kelemahan hasil dari pengekalan sistem Tanah Adat ini.

Tetapi yang lebih penting, kita perlu betulkan semula sistem tanah adat ini supaya ia menurut ajaran Islam yang murni. Kalau air di hulu sudah keruh, air yang sampai di hilir akan keruh juga. Kalau sistem tanah adat ini telah bercanggah dengan Islam, maka hasil yang diperolehi dari tanah adat ini, samada hasil kebunnya, perniagaan dan harta lain yang diperolehi dari mengusahakannya akan menjadi subahat yang tidak lagi ketentuan halal haramnya.

Tamsilannya samalah seperti kita mengambil rasuah, hasil dari duit rasuah itu kita buat perniagaan, keuntungannya kita beli harta, kemudian harta dan duit itu kita guna pakai dan wariskan pula kepada anak-anak kita. Sudah tentulah halal dan haram tidak ketentuan lagi.

Masyarakat kita hari ini tidak lagi bergantung kepada pertanian sara diri, ramai anak-anak Negeri Sembilan telah berpindah ke tanah rancangan felda, berpindah ke bandar-bandar besar serata Negara bekerja di kilang-kilang dan jabatan kerajaan. Kebanyakan mereka terus menetap di tempat mereka bekerja dan tidak mahu lagi balik ke kampung. Akhirnya banyaklah rumah tinggal dan terbiar di kampung-kampung kerana anak-anak keberatan untuk pulang dan menetap di kampung.

Oleh kerana tanah adat ini milik suku maka penamanya (pemegang amanah) tidak boleh menjual kepada orang lain kecuali kepada ahli suku mereka saja. Di zaman sekarang ini adalah perkara biasa orang Melayu dari luar Negeri Sembilan bekerja di jabatan kerajaan, kilang-kilang, pelbagai syarikat multinasional, institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di Negeri Sembilan. Mereka tinggal di sana untuk jangka panjang, mereka berminat untuk membeli tanah-tanah terbiar di sepanjang jalan utama di pinggir-pinggir Bandar di Negeri Sembilan. Tetapi masalahnya tanah-tanah adat itu tidak boleh dijual kepada mereka. Akhirnya tanah terbiar yang menjadi belukar, rumah menjadi usang tanpa penghuni.

Sekarang ini kalau kita pergi melihat kawasan kampung-kampung tradisional di Negeri Sembilan, adalah pemandangan biasa kalau kita melihat orang-orang tua tinggal bersendirian yang diselangi tanah jiran-jiran mereka yang telah ditumbuhi belukar dengan rumah usang tanpa penghuni.

Dalam masyarakat Adat Perpatih, orang lelaki yang berkahwin dengan wanita di sebuah kampung itu dipanggil orang semenda (somondo) kepada suku isterinya, dia diamanahkan untuk menjaga dan mengusahakan tanah dan harta pesaka isterinya. Secara automatik orang lelaki yang berkahwin ini akan tinggal dan menetap di tanah adat yang akan diwarisi oleh isterinya. Lelaki ini dan isterinya mungkin tinggal sebumbung dengan mertuanya ataupun mendirikan rumah berasingan di dalam tanah adat yang sama.

Semua kebajikan ibubapa si isteri akan dijaga oleh pasangan suami isteri ini. Kelihatannya tanggungjawab untuk menjaga ibubapa dalam masyarakat adat Perpatih terutama semasa mereka tua terletak atas bahu anak perempuan dengan dibantu oleh suaminya. Ini tidak jadi masalah, kerana norma ini telah diterima pakai dengan baik oleh masyarakat adat perpatih. Tidaklah akan menjadi kesalahan dan cacian kalau anak lelaki tidak mengambil berat kebajikan atau tidak menjaga ibubapa mereka. Sebaliknya adalah menjadi kesalahan kalau anak perempuan tidak mahu atau enggan menjaga ibubapa mereka.

Norma ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam Islam tanggungjawab utama untuk menjaga ibubapa terutama semasa mereka tua adalah terletak dibahu anak lelaki.
Ibubapa dalam masyarakat adat Perpatih lebih selesa dan tidak berasa kekok tinggal di rumah anak perempuan mereka berbanding kalau berada di rumah anak lelaki mereka.

Kalau di masa dulu, adalah suatu yang normal jika di hari mantai atau di malam raya, orang lelaki yang telah berkahwin akan berada di rumah mertuanya bersama-sama isterinya, dan akan di pandang janggal oleh masyarakat kalau lelaki itu membawa isterinya ke rumah ibubapa lelaki tersebut di waktu-waktu itu.

Apabila masyarakat adat Perpatih ini telah terdedah kepada budaya orang Melayu di luar Negeri Sembilan, kerana ramai penduduknya yang pergi bekerja di luar Negeri Sembilan, malah ada yang telah berkahwin dengan orang Melayu dari negeri-negeri lain, maka berlakulah pertembungan norma dan nilai yang berbeda. Ada kalanya boleh menimbulkan konflik keluarga jika tidak ada tolenrasi antara mereka.
Selain dari masalah tanah adat yang terbiar, di bawah diceritakan beberapa kes, dimana terdapatnya kelemahan-kelemahan sistem tanah adat ini yang boleh menjadi renungan kita bersama:

Kes 1:

Banyak saya perhatikan, sedih juga melihat keadaan di mana ibu tinggal seorang diri di rumah yang semakin usang di atas tanah adat di kampung-kampung. Sedangkan anak lelaki mereka bekerja di Bandar, berjawatan tinggi dan bergaji besar.

Kerana sudah biasa hidup suasana kampung, ibu-ibu ini tidak berasa selesa untuk tinggal dengan anak-anak mereka di Bandar, apatah lagi rasa kekok bila tinggal serumah dengan menantu perempuan. Bagi si ibu, tanah adat yang diwarisinya itu adalah tanah kepunyaannya dan dia mahu mati di situ.

Kepada anak lelaki pula, mereka mahu kalau ibu mereka tinggal sekali dengannya di Bandar, di rumah besar, selesa dan mempunyai kemudahan yang serba lengkap. Anak-anak lelaki ini tidak mahu membina rumah yang baru untuk ibu mereka di tanah adat kepunyaan ibu mereka di kampung atas alasan rumah itu nanti tidak akan dapat diwarisi oleh mereka atau anak-anak mereka selepas ibu mereka meninggal dunia. Kerana mengikut adat Perpatih, tanah adat diwarisi oleh anak-anak perempuan sahaja.

Inilah sebahagian dilema yang dihadapi oleh orang-orang di tanah adat. Ditelan mati emak, diluah mati bapa, akhirnya anak yang mati. Perbilangan adatnya memang cantik, dalam cantik itu ada yang tak kena. Renung-renungkan.

Kes 2:

Di bulan puasa baru-baru ini di kampung saya ada seorang wanita meninggal dunia kerana barah. Dia adalah ibu tunggal mempunyai tiga anak lelaki. Semua anak-anaknya sudah berumahtangga dan menetap di bandar. Wanita ini tinggal di atas tanah adat miliknya dan telah membina rumah yang agak cantik juga, saya anggarkan harga rumah ini tidak kurang dari RM200,000. Mengikut adat Perpatih, oleh kerana beliau tidak ada anak perempuan, maka waris yang berhak untuk mendiami rumah tersebut ialah anak saudaranya yang perempuan dari anak kepada adik beradik perempuan si mati. Itulah sistem adat perpatih, anak buah perempuan lebih berhak dari anak lelaki sendiri.

Kes 3:

Ada kawan lelaki saya berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan. Lelaki itu telah membina rumah banglo untuk kediaman mereka berharga RM2 juta di atas tanah adat milik wanita itu. Jodoh mereka tidak panjang, selepas berkahwin selama 6 tahun mereka bercerai tanpa mempunyai anak. Oleh kerana tanah adat tidak boleh dijual maka lelaki itu tidak dapat menuntut apa-apa, walaupun beliau sendiri yang telah mengeluarkan belanja membina rumah itu. Sebaliknya lelaki itulah yang kena keluar dari rumah tersebut selepas mereka bercerai.

Sekarang ini semuanya terserah kepada warga adat di Negeri Sembilan, jika mereka sepakat untuk membersihkan sistem Tanah Adat ini kepada cara Islam, maka itu adalah pilihan yang terbaik dan sangat berkat kepada mereka.

Dengan adanya keazaman politik, nasihat yang benar dari ahli-ahli ugama dan persetujuan ketua-ketua masyarakat sendiri, semua tanah-tanah adat di Negeri Sembilan ini bolehlah ditukar menjadi milik mutlak kepada penama atau orang-orang yang tinggal di atas tanah itu. Dan gantikanlah segala urusan yang berkaitan dengan tanah itu mengikut ajaran Islam. Apa yang telah berlaku di masa silam, anggaplah ia sebagai kesilapan, moga Tuhan ampunkan dosa kita semua. Apabila kita telah insaf dan kembali kepada Islam dengan sukarela dan atas rasa taqwa, maka yang lampau itu tidaklah menjadi dosa lagi.

Kepada diri saya pula, saya tidak ada apa-apa kepentingan dalam memperjuangkan perkara ini melainkan atas rasa tanggungjawab agama sahaja. Saya juga tidak teragak-agak untuk menolak dari menerima bahagian saya  jika tanah adat ini di bahagi-bahagikan mengikut cara faraid pada masa akan datang.

Saya juga ada menulis beberapa artikel yang berkaitan adat Perpatih di link berikut:

Kontrak Sosial dalam adat Perpatih


Kalau tak masuk suku, macamana ekau nak kawin


Demokrasi bukan milik Amerika

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com