Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Thursday, July 04, 2013

Demokrasi adalah cara orang kafir?


Ada orang kata demokrasi adalah cara kafir, sebagai orang Islam kita tidak boleh mengambil cara orang kafir, sebaliknya kena ikut politik cara Islam. Tetapi bagaimanakah yang dikatakan politik cara Islam itu? Ada orang kata politik cara Islam itu ialah seperti sistem pemerintahan Khulafak Ar Rasyidin semasa umat Islam dipimpin oleh Abu Bakar As Sidiq, Umar Al Khatab, Othman ibnu Affan dan Ali Abi Talib, yang merupakan sahabat akrab Nabi Muhammad s.a.w.

Pernah satu masa dulu, saya berfikiran seperti itu juga. Demokrasi diambil dari tamaddun Greek, bukan berasal dari Islam, sudah tentu tidak mengikut dan mungkin bercanggah dengan cara Islam.

Tetapi selepas itu, pandangan saya terhadap demokrasi telah berubah. Saya menyedari, demokrasi bukanlah agama dan ia tidak akan mengubah akidah kita jika kita mengguna pakai demokrasi.

Saya menganggap demokrasi hanyalah alat atau mekanisma yang dicipta oleh manusia untuk memilih ketua bagi memimpin dan mentadbir rakyat dan Negara tanpa melalui kekerasan dan pertumpahan darah.

Melalui demokrasi rakyat dapat memilih pemimpin yang terbaik di kalangan mereka. Sudah tentu rakyat mahu orang yang baik dan berwibawa untuk menjadi pemimpin mereka. Oleh itu demokrasi dapat menjamin hanya orang terbaik sahaja akan menjadi pemimpin.

Untuk menjadikan demokrasi dapat mencapai matlamatnya, ia perlu disokong oleh beberapa prinsip dan rukun yang perlu dipatuhi. Ini termasuklah hak kebebasan bersuara dan memberi pandangan, pilihanraya yang bersih, bebas dan adil. Pertandingan dalam pilihanraya mestilah di atas gelanggang yang sama rata.

Oleh itu demokrasi tidak ada kena mengena dengan akidah agama kita. Demokrasi tidak menghalang untuk mengamalkan agama kita. Malah pemimpin yang baik itu adalah datang dari pegangan agamanya yang baik.

Agama adalah sangat penting, agama adalah pengisian utama kepada sistem demokrasi itu sendiri. Ceramah agama dan usaha dakwah, mengajak manusia kepada kebaikan mestilah sentiasa menjadi lebih utama dari ceramah politik. Demokrasi tanpa agama, umpama badan tanpa roh.

Demokrasi tidak akan dapat membentuk masyarakat yang baik, sebaliknya penghayatan agamalah yang akan membentuk masyarakat yang baik.

Demokrasi tidak lebih dari alat yang telah dicipta oleh manusia untuk kegunaan mereka sendiri. Sama juga seperti alat-alat lain, contohnya kereta. Kereta adalah kenderaan yang dapat membawa kita ke mana saja dengan selesa dan lebih cepat. Kereta adalah dicipta oleh orang bukan Islam, apakah kerana kereta dicipta oleh orang kafir maka kita tidak boleh menggunakan kereta?

Kalau kita mahu, kita boleh saja terus menggunakan unta sebagai kenderaan kita, tetapi ini tidaklah bermakna dapat menambahkan keislaman kita. Dan kalau kita menggunakan kereta, ia juga tidak akan mengurangkan keislaman kita.

Islam tidak pernah menetapkan bagaimana seorang pemimpin itu dipilih. Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah mengarahkan cara bagaimana seorang pemimpin itu harus dipilih. Seolah-olahnya soal pemilihan kepimpinan dalam Islam diserahkan bulat-bulat kepada kebijaksanaan dan budibicara manusia sendiri.

Nabi Muhammad adalah pemimpin umat Islam di masa baginda menjadi rasul. Corak kepimpinan Nabi Muhammad adalah berasaskan kepada kenabian dan kerasulan. Kebanyakan rasul-rasul yang diutus oleh Tuhan secara automatik menjadi pemimpin kepada kaumnya.

Kepimpinan yang kita katakan sebagai Khulafak Ar Rasyidin itu pula adalah kepimpinan yang berasaskan para sahabat. Apabila Nabi Muhammad wafat, maka pengganti yang paling layak untuk memimpin umat Islam ketika itu ialah sahabat-sahabat baginda yang juga merupakan orang-orang yang sangat dihormati oleh orang Islam ketika itu. Abu Bakar As Sidiq, Umar Al Khatab, Osman bin Affan dan Ali bin Abi Talib telah dipilih menjadi khalifah atau pemimpin mengikut kedudukan mereka sebagai sahabat yang paling kanan kepada Nabi. Semua pemilihan mereka sebagai khalifah atau pemimpin itu telah mendapat persetujuan dari semua umat Islam di Madinah dan Mekah ketika itu, terutamanya di kalangan sahabat-sahabat lain.

Apabila jajahan umat Islam bertambah luas, bilangan umat Islam bertambah ramai, pemilihan untuk menggantikan Khalifah atau pemimpin yang meninggal dunia telah menjadi kompleks. Jawatan Khalifah telah menjadi rebutan kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Peperangan dan pertumpahan darah tidak dapat lagi dielakkan kerana masing-masing mahu menjadi Khalifah.

Untuk megelakkan banyak berlaku peperangan dan pertumpahan darah, ada Khalifah yang telah menetapkan supaya jawatan Khalifah akan diambil alih anak-anak mereka secara turun menurun. Maka lahir pemerintahan bercorak dinasti seperti Bani Umaiyah dan Bani Abasiyah.

Walaupun sistem dinasti dan sistem raja dapat mengelakkan banyak peperangan dan pertumpahan darah semasa hendak memilih pengganti setelah seorang pemimpin itu meninggal dunia, tetapi ia tidak dapat menjamin penggantinya adalah seorang yang baik. Nilai-nilai baik kepimpinan tidak boleh diturunkan atau diwariskan kepada anak, kalau anak yang menggantikannya berperangai buruk dan kejam, sudah tentu akan mendatangkan kesusahan kepada rakyat jelata.

Berbagai-bagai cara dan kaedah telah dicuba oleh manusia untuk memilih pemimpin mereka. Kumpulan Syiah pula memilih pemimpin kerohanian mereka melalui salah silah keturunan Ali bi Abi Talib dan Fatimah anak Rasullullah. Kebelakangan ini ada gerakan yang menggelar diri mereka Hizbut Tahrir ingin menghidupkan semula sistem kepimpinan khalifah. Kita tidak ada masalah apa sahaja sistem yang hendak diperkenalkan, tetapi kita menolak sama sekali sistem yang berunsur kekerasan, paksaan dan keganasan. Islam adalah keamanan, oleh itu semua bentuk keganasan, kekerasan dan paksaan adalah berlawanan sama sekali dengan fitrah Islam. Apakah sistem Khilafah yang ingin mereka tegakkan itu betul-betul akan mengikut acuan sistem Khilafah Ar Rasyidin yang dulu itu? Lain orang lain pentafsirannya.

Setakat ini sistem demokrasi adalah cara yang terbaik dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sejak kereta dicipta, telah banyak penambahbaikan telah dilakukan untuk menjadikannya lebih selamat, lebih ekonomi dan lebih sesuai dengan perubahan zaman. Demokrasi juga perlu berubah dan diperbaiki mengikut peredaran zaman dan perubahan teknologi. Demokrasi juga wajar disesuaikan dengan sosio budaya masyarakat setempat. Tidak salah kalau kita mengambil demokrasi mengikut acuan kita sendiri. Yang salahnya kalau mengikut acuan sepihak sahaja tanpa dipersetujui oleh semua pihak yang bertanding. Tentulah tidak betul kalau dalam satu perlawanan bolasepak, pengadilnya adalah penyokong pasukan tuan rumah dan peraturan permainan ditentukan oleh tuan rumah.

Dan tidak betul juga kalau ada orang mengatakan Islam mesti diperjuangkan melalui demokrasi. Walaupun Islam tidak mestinya diperjuangkan melalui saluran demokrasi tetapi ia boleh diperjuangkan melalui saluran demokrasi. Tidak ada yang cara yang terlebih baik dalam memperjuangkan Islam melainkan dengan cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu dengan cara berdakwah dan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat.

Bukanlah sistem politik itu yang sepenuhnya menentukan pemimpin itu baik atau buruk, tetapi sekurang-kurangnya demokrasi dapat memastikan pemimpin yang terpilih adalah pemimpin yang diterima oleh majoriti rakyat. Dan jika ada pemimpin yang berperangai buruk, rakyat dapat berpeluang untuk menggantikannya melalui proses pilihanraya.

Tidak dinafikan ada juga pemimpin yang sangat baik dan dihormati oleh rakyat mereka yang lahir dari bukan sistem bukan demokrasi seperti Nabi Sulaiman dan Nabi Daud dari sistem raja, Presiden Zia Hul Haq dari sistem pemerintahan tentera, Mao Tze Tong dan Fiedal Castro dari sistem kominis dan Umar Abdul Aziz dari sistem dinasti.

12 comments:

Barang Bayi said...

Dulu saya juga berpendapat demokrasi tidak boleh dilaksanakan. Ianya patut diharamkan. Tapi lepas membaca pandangan tuan tentang demokrasi, anggapan saya telah berubah.

Anonymous said...

Salam, tuan perlu lebih banyak mengakaji al quran & hadith berbanding mengkaji sistem demokrasi..

Segala2 nya yang baik datang dari Allah & yang buruk datang dari manusia itu sendiri..

Wallahualam..

Anonymous said...

terima kasih sudi berkongsi pendapat .

Anonymous said...

Tuan belajar kitab apa? Kita ada Al Quran dan Sunnah.

Anonymous said...

Berpendapat beginilah iumat slam berpecah belah. Hukum Hakam Allah SWT kita letak tepi. Dengan cara demokrasi Islam tidak akan tegak..malah mmecah belahkn kita. Wallahualam

Anonymous said...

Adakah demokrasi merupakan cara yang aman?kita lihat sajalah politik Malaysia,negaranya Islam,masyarakatnya kebanyakannya Islam,tetapi sayang cara berpolitik sudah mengalahkan yahudi,nasrani dan amerika laknatullah.Muslim sini mencari pengaruh di kalangan si kafir sini untuk bantai muslim sana.Muslim sana mencari pengaruh di kalangan si kafir sana untuk bantai muslim sini.adakah ini dinamakan aman?masing-masing mencari modal untuk membantai sesama sendiri.bukankah kita bersaudara?bukankah kita melafazkan syahadah yang sama?agama Islam juga sanggup dijadikan bahan niaga di kalangan penganut demokrasi ini demi meraih keuntungan duniawi yang sedikit,demi mendapatkan sokongan dan undian daripada orang-orang kafir.adakah rasulullah s.a.w akan redha pada umatnya yang berakhlak seperti ini??

Kenapakah tuan tergamak memandang rendah dan memperlekehkan usaha-usaha dakwah yang sedang dijalankan oleh Hizbut Tahrir dan orang-orang lain untuk mengajak umat Islam menyahut seruan rasulullah s.a.w dalam penegakan semula daulah khilafah islamiyah?benarkah kata tuan bahawa rasulullah s.a.w tidak pernah mengajar umatnya cara dan sistem kepimpinan?tidakkah tuan tahu bahawa terdapat hadis yang mengatakan 'akan tertegak semula khilafah di atas jalan kenabian'?mengapakah tuan sanggup mengatakan sesuatu yang tuan tidak mempunyai pengetahuan tentangnya?tidakkah tuan menggunakan kebijaksanaan tuan serta teknologi yang telah Allah taala sediakan kepada tuan untuk melihat dan mengkaji apa yang sedang berlaku di dunia umat Islam kini?saudara mara kita para mujahidin di Syria,Afghanistan,Iraq,dan lain-lain sedang bertungkus lumus bermain senjata dalam memerangi musuh-musuh Islam dan masing-masing telah berikrar akan berusaha untuk menegakkan khilafah islamiyah.tidakkah tuan melihat realiti dunia Islam yang sedang berlaku kini?

Adakah tuan tidak yakin dengan janji rasulullah s.a.w bahawa akan tertegak semula khilafah islamiyah,atau adakah dalam benak hati tuan mengatakan bahawa jihad dengan mengangkat senjata bukan merupakan sebahagian daripada sunnah rasulullah s.a.w?adakah semangat jihad tuan telah mati dek kerana menyibukkan diri sepanjang masa dengan demokrasi?tidakkah tuan ingin melihat umat Islam kembali bersatu dan membentuk sebuah negara yang satu tanpa dipisahkan oleh sempadan tanah dan bendera toghut,undang-undang dan hukum-hukum toghut dan pemimpin toghut?tidakkah tuan ingin melihat umat Islam kembali memerintah dunia seperti dahulu?tidakkah tuan tahu bahawa lumrahnya bahawa Islam itu memerintah,bukannya diperintah seperti hari ini?tidakkah tuan ingin melihat umat Islam bangkit memerangi orang-orang kafir dan mencapai kemenangan?tidakkah tuan ingin melihat saudara mara kita di Syria,Palestin,Afghanistan,Iraq,Myanmar, Thailand,China dan lain-lain kembali mendapatkan hak-hak mereka dan selamat daripada sebarang penindasan dan kekejaman?tuan tepuk dada dan tanyalah iman "adakah sumua ini akan mungkin terjadi di bawah sistem DEMOKRASI??

Maaf sekiranya terkasar bahasa.semoga Allah taala memberi hidayah kepada kita semua.semoga kita tidak tersasar dari landasannya.wasalam..

punk5ugie said...

Penulisan penuh kebenaran namun juga memiliki unsur fitnah...

demokrasi sistem taghut dan sampai bila-bila pun demokrasi bukan sistem terbaik..

hanya berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah secara kaffah saja yang TERBAIK

NURUL IZZAH MUSLIMAH COLLECTION said...

Mengapa kita tidak usahakan sistem syura dan kita ambil sistem demokrasi? Jom kita fikir.

NURUL IZZAH MUSLIMAH COLLECTION said...

RasululLah saw tidak bina negara dulu, tapi bina hati2 manusia supaya amal, iman dan yakin yg betul terhadap AlLah. Apabila batu bata iman sudah betul,akhlak pun sudah boleh menjadi cermin pada orang kafir barulah mudah utuk membangunkan negara Islam. AlLahua'lam.

NURUL IZZAH MUSLIMAH COLLECTION said...
This comment has been removed by the author.
NURUL IZZAH MUSLIMAH COLLECTION said...

Betul tu, asal perkataan demokrasi sendiri tidak ada dalam bahasa arab kecuali perkataan syura memang ada dalam bahasa arab dan dalam al quran sendiri.

NURUL IZZAH MUSLIMAH COLLECTION said...

RasululLah saw tidak bina negara dulu, tapi bina hati2 manusia supaya amal, iman dan yakin yg betul terhadap AlLah. Apabila batu bata iman sudah betul,akhlak pun sudah boleh menjadi cermin pada orang kafir barulah mudah utuk membangunkan negara Islam. AlLahua'lam.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com