Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, March 26, 2013

PRU13, bukan sekadar pertarungan antara Anwar dan Najib


Tahun 2013 dan pilihanraya umum ke 13 merupakan peristiwa yang sangat bermakna dalam menentukan halatuju besar Negara kita Malaysia.

Tahun 2013 ini mata dunia akan tertumpu kepada Malaysia sepertimana sebelum ini fenomena Arab Spring telah menarik perhatian dunia.

Pakatan pembangkang atau yang kita kenali sebagai Pakatan Rakyat, tidak boleh lagi dianggap sebagai pembangkang yang lekeh. Sebaliknya, setelah melihat perkembangan kerajaan negeri selama 5 tahun di bawah Pakatan Rakyat, rakyat sudah mula yakin, Pakatan Rakyat memang ada kebolehan untuk mengambil alih kepimpinan Malaysia dari UMNO.

Kemenangan Pakatan Rakyat bukan sahaja akan menukar wajah kepimpinan Negara kita tetapi lebih dari itu, akan berlaku anjakan baru yang akan melenyapkan order lama yang membosankan.

Selama ini masa kita terlalu tertumpu dan masa banyak dihabiskan kepada masalah titik bengik, masalah terlalu menjaga kepentingan kaum, masalah korupsi dan masalah menggunakan kuasa untuk menimbunkan kekayaan.

Sudah tepat pada masanya kita rakyat Malaysia tidak boleh bertolak ansur lagi dan membiarkan amalan buruk ini terus membarah yang akan ‘merugikan’ Negara kita. Tanpa kita sedari, Korea Selatan yang satu masa dulu ketinggalan di belakang kita dari sudut pembangunannya, kini telah jauh di depan meninggalkan kita. Indonesia, jiran yang mundur sedekad yang lalu, sedang belari pantas sebaik sahaja mereka melalui reformasi demokrasi.

Kita juga di Malaysia perlu bertukar untuk mendapat pandangan yang baru, pandangan kita sepatutnya bukan lagi tertumpu kepada kaum saja tetapi kepada semua rakyat Malaysia, yang akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk memacu Negara ini kearah yang lebih maju dan sejahtera.

Pemimpin-pemimpin UMNO sangat gentar dan cemas dengan kemaraan Pakatan Rakyat. Memang ada sebab kuat untuk mereka berasa cemas. Tidak ada beza cemas mereka itu seperti mana cemasnya Suharto, Gadafi dan Hosni Mubarak menghadapi kebangkitan rakyat di suatu masa dulu.

Anwar Ibrahim telah dilihat seperti ‘hantu’ yang sangat menakutkan pemimpin UMNO. Apa saja mala petaka yang menimpa akan disalahkan kepada Anwar. Bayang-bayang Anwar sentiasa menghambat ke mana saja mereka berada.

Anwar dituduh sebagai agen asing, agen Amerika, agen Yahudi dan berbagai agen lagi. Tetapi kepada rakyat, Anwar adalah agen perubahan. Rakyat telah meletakkan Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim untuk melakukan perubahan, yang diharapkan untuk membawa rakyat keluar dari cara politik UMNO yang membosankan.

Tahun 2013 ini adalah peluang baik untuk semua rakyat Malaysia melakukan perubahan. Tahun 2013 adalah tahun Malaysia. Marilah kita lenyapkan parti politik yang berasaskan kaum yang terakhir berkuasa di dunia ini. Marilah kita membina suasana politik baru, politik matang, yang jauh dari politik yang bersifat kebudak-budakan.

Kita tidak mahu lagi bercakap pasal orang Melayu, pasal orang Cina, pasal India, pasal Kadazan, pasal Bajau dan pasal Sulu yang tak pernah habis-habis dan tidak sampai kemana itu. Sebaliknya kita mahu bercakap pasal rakyat Malaysia, pasal hendak memberi kehidupan yang selesa kepada semua rakyat, menyediakan keperluan mereka dengan sebaik mungkin. Rakyat bukan lagi bersaing dan bersikap jatuh menjatuh, sebaliknya bantu membantu demi keuntungan semua dan kemajuan Negara.

Undi anda sangat penting dalam membuat perubahan pada tahun 2013, jika kita tersilap undi, mungkin peluang terbaik ini tidak akan temui lagi buat selamanya. Pilihanraya kali ke 13 ini bukan sekadar pertarungan antara Anwar dan Najib, tetapi pilihanraya yang akan mengubah budaya dan lanskap politik tanah air.

Inilah peluang terbaik kita untuk mengubah politik yang membosankan ini, politik yang hanya menjaga kepentingan kumpulan elit dalam tiap-tiap kaum, politik yang tidak berlandaskan demokrasi yang murni, pilihanraya yang kotor, berat sebelah dan tidak bebas.

Thursday, March 14, 2013

Perlukah dunia ini ada negara?


Masa sekolah dulu ada juga kita belajar sejarah. Sejarah adalah kisah tentang dunia ini pada masa yang lampau. Kesahihan sejarah itu bergantung kepada catatan-catatan dan tinggalan tamadun lama. Ada sejarah yang dapat dikesan, dan ada yang tidak dapat dikesan. Hanya Tuhan saja yang tahu sejarah bumi ini yang sebenar.

Setiap kelompok manusia ada mempunyai ketua atau pemimpin. Pemimpin dan kepimpinan adalah satu keperluan untuk menyelaras kehidupan sesuatu masyarakat supaya mereka boleh hidup harmoni dan teratur. Dalam kumpulan samseng pun ada ketua, inikan pula dalam kelompok masyarakat yang baik-baik. Pemimpin atau ketua yang tertinggi dalam masyarakat tradisional adalah berbentuk Raja.

Tidak ada undang atau peraturan untuk menentukan berapa luas kawasan yang di bawah kuasa seorang Raja atau Sultan.

Tetapi yang jelasnya dari buku-buku sejarah yang kita baca, seorang Raja akan cuba memperluaskan kawasan jajahannya. Raja yang kalah perang terpaksa tunduk dan menyerahkan pemerintahannya kepada Raja yang menang.

Sejarah telah menyaksikan beberapa pemerintahan Raja-raja yang mempunyai jajahan takluk yang besar yang dipanggil empayar. Ini termasuklah Empayar Rom, Empayar Parsi, Empayar Iskandar Zulkarnain, Empayar Othmaniah. Dan di sebelah rantau kita pula, ada Empayar Sri Vijaya dan Empayar Majapahit.

Di abad ke 15, Negara-negara Eropah yang lebih maju telah menjajah banyak Negara di benua Amerika dan benua Asia. Semasa kejatuhan kerajaan Sultan Melaka kepada penjajah Portugis tahun 1511, kawasan-kawasan atau negeri-negeri di Semenanjung di waktu itu telah mempunyai Sultan atau Raja-raja mereka sendiri. Sultan atau Raja setiap Negeri-negeri Melayu ini berkuasa penuh mentadbir negeri mereka secara berasingan. Kawasan Johor diperintah oleh Sultan Johor, Kawasan Pahang diperintah oleh Sultan Pahang, kawasan Kedah diperintah oleh Sultan Kedah, begitu jugalah yang lain-lain itu.

Apabila berakhirnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, dan kebangkitan semangat nasionalisma anak watan di tanah jajahan untuk menuntut kemerdekaan dari penjajah Eropah, telah mengubah lanskap dunia kepada seperti yang kita lihat hari ini. Dunia telah dipecahkan kepada Negara-negara mengikut acuan yang dicadangkan oleh bekas-bekas penjajah Barat, terutamanya Britain, Belanda dan Sepanyol.

Atas kehendak Britain, Negeri-negeri Melayu di Semenanjung telah menjadi satu Negara. Dan atas kepentingan tertentu British telah tidak memasukkan Singapura ke dalam Negara Tanah Melayu (Malaya).

Konsep Negara yang moden yang teratur telah diperkenalkan oleh penjajah Barat. Sebelum Perang Dunia Kedua, siapa saja boleh berpindah ke mana-mana sahaja yang mereka suka di rantau ini. Sebagai contoh ramai orang Bugis dari kepulauan Sulawesi belayar mencari penempatan baru di kawasan pantai Johor. Begitu juga orang Banjar dari pulau Kalimantan datang ke Selangor dan Perak. Orang Minangkabau dari barat Sumatera pula berhijrah ke beberapa kawasan di Negeri Sembilan.

Oleh itu di Tanah Semenanjung saja terdapat berbagai-bagai suku kaum, seperti Jawa, Boyan, Banjar, Bugis dan Minang, yang nenek moyang mereka telah berhijrah ke sini sejak berkurun lamanya. Ada berbagai sebab mereka berpindah dari kawasan asal mereka, ada yang berpindah untuk mencari kawasan pertanian baru, ada yang berpindah kerana berniaga atau berdagang dan ada yang berpindah kerana melarikan diri dari peperangan. Ada yang berpindah dalam kumpulan kecil dan ada yang berpindah dalam kumpulan besar. Malah ada yang datang membuka negeri dan melantik ketuanya menjadi Raja di situ.

Pada masa itu siapa saja boleh pergi ke mana-mana dan tinggal di mana-mana yang mereka suka. Tidak ada sistem kewarganegaraan seperti yang ada hari ini. Kita bebas keluar masuk ke negeri atau ke negara mana yang kita mahu, tidak ada halangan, tidak perlu paspot atau kad pengenalan diri, asalkan kita boleh diterima oleh orang tempatan dan kita pula tidak mengganggu orang tempatan.

Tetapi setelah konsep Negara zaman moden diperkenalkan, manusia tidak boleh bebas lagi berhijrah dari satu Negara ke Negara lain. Orang di Indonesia tidak boleh sesuka hati untuk menetap dan tinggal di Malaysia, begitu jugalah sebaliknya.

 Apakah konsep Negara dan kewarganegaraan yang sedang diamalkan sekarang ini akan terus kekal untuk selama-lamanya?

Apakah akan ada nanti, Negara-negara yang ada sekarang ini akan bercantum menjadi Negara-negara yang lebih besar? Atau apakah akan ada Negara yang berpecah menjadi negera yang lebih kecil?

Kita telah menyaksikan Negara Jerman berpecah menjadi Jerman Barat dan Jerman Timur dan kemudian bercantum semula. Kita juga menyaksikan Negara India berpecah menjadi Negara India dan Negara Pakistan. Negara Pakistan pula kemudiannya berpecah menjadi Negara Pakistan dan Negara Bangladesh.

Dunia sentiasa berubah dengan perubahan masa. Mungkin satu masa nanti dunia akan diperkenalkan dengan sistem dunia yang baru pula. Ada kemungkinan juga pada satu masa nanti manusia akan dibenarkan tinggal di mana-mana saja mereka suka di dunia ini tanpa terikat kepada mana-mana warga Negara. Di zaman itu manusia akan kembali berpegang kepada pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, kewarganegaraan bukan lagi ditentukan oleh tempat mereka lahir.

Sekarang ini ramai orang Sulu dari Negara Filipina berhijrah ke negeri Sabah. Kalau di zaman dulu, penghijrahan seperti ini ini bukanlah merupakan suatu kesalahan. Nenek moyang kita dulu pun adalah bukan penduduk asal Tanah Semenanjung, dan nenek moyang kita itu juga bukanlah melakukan perkara yang salah bila mereka berpindah ke sini. Tetapi di zaman moden ini, berhijrah ke Negara lain tanpa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa adalah dilarang dan boleh diambil tindakan undang-undang. Apatah lagi kalau mereka datang untuk melakukan keganasan.

Tuesday, March 05, 2013

Terdedah sudah niat sebenar pemimpin kumpulan pemisah


Dari peristiwa tuntutan pewaris Sultan Sulu ke atas Sabah ini dapatlah dijadikan pengajaran kepada kita bagaimana pemimpin puak-puak pemisah samada di selatan Thailand dan selatan Filipina telah menggunakan dan memperalatkan Islam untuk kepentingan diri mereka. Atas nama pembebasan umat Islam dari pemerintahan regim kafir, mereka telah memperalatkan orang-orang Islam untuk mengangkat mereka menjadi pemimpin, dan matlamat akhir mereka adalah kuasa yang akan dapat memberi faedah kepada mereka dan keturunan mereka.

Peristiwa yang berlaku di Sabah itu telah mendedahkan niat mereka yang sebenar. Apakah selama ini mereka berjuang untuk Islam?

Kalau difikirkan untuk kebaikan perkembangan syiar Islam, dan kalau betul-betul mereka jujur untuk mengembangkan agama Islam, adalah lebih baik untuk mereka terus berada di bawah Negara Thailand dan Filipina kerana mereka akan dapat lebih mudah untuk bergerak menyampaikan dakwah Islam berbanding jika berada di Negara yang berasingan. Medan dakwah mereka dan peluang untuk mereka berdakwah akan menjadi lebih besar lagi berbanding jika mereka memisahkan diri mereka di Negara yang berasingan.

Tetapi oleh kerana terdapatnya beberapa orang yang gila kuasa dan gila untuk menjadi pemimpin, mereka sanggup mengenepikan perkara yang banyak memberi kebaikan kepada perkembangan dakwah agama Islam itu.

Umat Islam di Thailand dan di Filipina harus ada pemikiran yang besar iaitu untuk menjadikan Negara itu sebuah Negara umat Islam pada satu masa nanti, dan itu lebih baik dari berjuang mengasingkan diri dari orang bukan Islam dengan membentuk Negara sendiri. Ini sebenarnya langkah mundur kebelakang bukan maju kedepan kerana ia akan menyukarkan seruan atau cahaya Islam itu untuk menembus ke dalam masyarakat bukan Islam.

Lihat kepada apa yang berlaku kepada Pakistan dan India. Kalaulah Pakistan itu masih menjadi sebahagian dari Negara India, sudah pasti sekarang ini India itu telah menjadi sebuah Negara umat Islam. Tetapi oleh kerana pemimpin orang Islam di India ketika itu tidak mempunyai pandangan yang jauh, sebaliknya lebih mementingkan keuntungan peribadi, akhirnya India dan Pakistan tinggal seperti yang kita lihat hari ini, dan hingga hari ini pun kedua-dua Negara ini terus juga bersengketa.

Monday, March 04, 2013

Berhentilah berangan hendak jadi Sultan


Semua orang teringin hendak jadi Sultan. Memang seronok jadi Sultan, semua kemahuan kita akan dipenuhi, tinggal dalam istana yang serba mewah, makan minum yang lazat-lazat disediakan pagi dan petang. Hendak pergi ke mana-mana, kereta disediakan, lengkap dengan pemandu dan pengiring.

Tidak perlu bekerja berhempas pulas membanting tulang empat kerat, tidak perlu menjadi penarik beca membawa pelancung di bawah sinar matahari yang panas terik dan tidak perlu jadi pengait buah kelapa sawit untuk mencari sesuap nasi untuk diri dan keluarga.

Berhentilah berangan hendak menjadi Sultan. Tuhan tidak pernah mewariskan bahagian mana-mana bumi ini kepada seseorang dan keturunannya. Keluarlah ke bumi nyata, bumi yang telah dihuni oleh manusia moden yang bertamadun tinggi. Manusia yang semuanya telah sekolah, tidak lagi percaya kepada adanya keturunan mulia dan keturunan hina, tidak percaya lagi kepada kasta.

Tidak ada manusia dilahirkan untuk menjadi hamba atau dilahirkan untuk menjadi tuan. Manusia moden hanya percaya kepada meritokrasi dan kebolehan masing-masing.

Berhentilah berangan hendak jadi Sultan, hadapilah dunia ini dengan berpijak di bumi nyata. Usah diungkit lagi kisah nenak moyang kamu yang hidup di zaman kuno, zaman orang tidak pergi sekolah itu.

Pergilah cari kerja untuk menyara hidup kamu dan keluarga kamu seperti orang-orang lain juga. Pergilah jadi kerani kalau kelulusan kamu hanya layak jadi kerani, pergilah cari kerja sebagai guru kalau kamu minat nak jadi guru. Pergilah kerja jadi doctor kat hospital kerajaan atau hospital swasta kalau memang kamu ada kelulusan untuk jadi doctor. Kalau kamu nak kaya, nak ada duit banyak bertimbun, cuba-cubalah buka bisnes atau jadi usahawan, itu pun kalau kamu ada bakat dalam perniagaan. Kalau kamu berminat hendak jadi menteri besar atau perdana menteri, cuba-cubalah aktif bergiat dalam bidang politik, mana tahu, kalau bintang kamu terang, cepatlah kamu naik.

Berhentilah berangan hendak jadi Sultan. Memanglah kamu rasa untung kalau kamu dapat jadi Sultan. Tapi kamu mungkin tidak tahu, di pihak Negara pula, banyak duit Negara yang juga adalah duit rakyat akan dihabiskan untuk membiayai kamu kalau kamu menjadi Sultan, berbanding untuk membiayai kamu jika kamu bekerja menjadi penarik beca saja. Nak bina istana kamu saja berapa banyak belanjanya, itu belum lagi nak sediakan berpuluh-puluh orang gaji untuk kamu, nak sediakan kereta mewah kamu yang lengkap dengan pemandu dan pengiring. Nak bayar elaun untuk bini dan anak-anak kamu, nak adakan majlis hari jadi kamu, nak sediakan makanan yang lazat-lazat setiap hari dan lain-lain lagi. Semua itu perlukan duit, dan duit itu datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat dan juga datang dari khazanah Negara.
Sudah sudahlah tu yob, berhentilah berangan hendak menjadi Sultan

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com