Demam yang tidak kebah-kebah, seperti sudah tidak ada harapan untuk sihat kembali. Itulah yang dihadapi oleh parti UMNO di masa ini. Kambing hitam Pak Lah telah dikorbankan, PM Najib telah banyak membuat ‘tranformasi’, tetapi masih juga kurang berjaya untuk memikat rakyat kembali menyokong UMNO seperti yang diharapkannya.
Ada setengah orang berpendapat, UMNO perlu kalah dulu sebelum bangkit semula untuk menjadi parti politik yang berjaya pada masa akan datang.
Kalau kita lihat di Britain dan Amerika, parti yang kalah tidak selamanya mereka kalah. Sebaliknya kekalahan akan memberi pengajaran kepada ahli parti untuk membetulkan kesilapan mereka dan mengumpul kekuatan semula.
Saya yakin PM Najib dan kepimpinan dalam parti BN juga telah melihat dan sedar tentang perkara ini. Kehadiran media baru yang tidak mampu disekat dan rakyat yang semakin bermaklumat dan bijak, sukar bagi BN mengekalkan kuasa mereka dengan cara ‘kotor’.
Hari ini kita sedang memerhatikan kebangkitan demokrasi dikalangan rakyat Arab. Rakyat Arab seperti telah mendapat semangat baru yang tidak pernah terjangka dalam pemikiran kita. Kita seperti tidak percaya Muammar Gaddafi boleh jatuh dengan mudah. Kejatuhan Muammar Gaddafi ini pasti akan mempercepatkan kejatuhan pemimpin diktator Bashar Al Asad Syria yang sedang diganyang oleh rakyatnya itu. Ia seperti menjadi suntikan semangat kepada rakyat Arab lain untuk menghumbankan pemimpin diktator dan Raja-raja yang menjadi beban kepada rakyat.
Angin perubahan di Negara-negara Arab ini tidak akan terhenti di wilayah Arab sahaja. Kalau pemimpin-pemimpin di tempat-tempat lain masih leka dan tidak peka dengan perkembangan di wilayah Arab ini, sudah pasti mereka juga akan menerima nasib yang sama.
Dan pada malam ini (16 September 2011)Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
Dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa dua undang-undang baru akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959, di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.
Di samping itu, tambahnya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Sebelum ini, PM Najib telah mencadangkan pembentukan satu jawatankuasa pemilih Parlimen bagi meneliti status sistem pilihan raya bagi membaiki perjalanan pilihanraya yang adil, bersih dan bebas.
Sebenarnya, semua perubahan yang disebut di atas, yang ingin dilaksanakan oleh PM Najib itu, bukanlah untuk memikat hati rakyat kepada UMNO atau BN untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang ini, tetapi lebih kepada persediaan parti itu untuk menjadi parti yang kalah pada pilihanraya itu.
Hanya dengan keadaan demokrasi yang berada di atas landasan yang betul, dan piliharaya yang dilaksanakan bersih, adil dan bebas, barulah parti yang kalah mempunyai peluang untuk menang.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, kalau ditakdirkan BN kalah pada pilihanraya umum akan datang ini, dan sistem demokrasi dan pilihanraya masih kekal dalam keadaan ‘kotor’, mungkin BN akan terpaksa menunggu 50 atau 70 tahun lagi untuk menang semula seperti yang dialami oleh parti pembangkang sekarang ini.
Apa pun nawaitu beliau, PM Najib harus diberi pujian kerana berani telah membuat perubahan untuk kebaikan masa depan rakyat Malaysia. Kemerdekaan Negara hanya lebih bermakna jika rakyat dapat merasakan kemerdekaan. Tiada kemerdekaan tanpa demokrasi.
Walaupun usaha PM Najib ini sudah terlambat, sekurang-kurangnya, di penghujung hayatnya, UMNO dan BN telah membersihkan ‘dosanya’ yang telah mencemar demokrasi dan amalannya. Dengan harapan setelah kalah nanti, UMNO dan BN tidak terus dihantui dan dimomokkan sebagai parti yang telah merosakkan demokrasi.
Sebagai tanda penghargaan, dengan rasminya logo bebaskan Malaysia dari ISA dikeluarkan dari blog ini.