Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Thursday, October 29, 2009

Satu Sekolah, Satu Parti Politik dan 1Malaysia


KALAU kita mahu melihat gagasan 1Malaysia boleh dicapai, ia mesti bermula dari Satu Sekolah, amalan Satu Sekolah mampu memecahkan tembok pengasingan mengikut kaum, seterusnya barulah 1Malaysia dapat terbentuk.

Tetapi apa yang berlaku sekarang PM Najib cuba hendak menyongsang arus, beliau memulakannya dengan 1Malaysia tanpa menyentuh sistem sekolah yang merupakan asas kepada pembinaan 1Malaysia.

Ini adalah satu kerja yang tidak masuk akal yang tentunya tidak akan sampai ke mana-mana. Akhir kesudahannya samalah seperti keadaan asal, slogan-slogan yang diucapkan hanyalah menjadi retorik, komestik dan penuh kepura-puraan.

Seperti biasa setiap kali perayaan besar akan dijemput semua orang dari semua kaum menghadiri rumah terbuka, selepas makan-makan dan gambar mereka diambil oleh media perdana, mereka pun baliklah ke rumah masing-masing. Di media perdana akan dicanangkan keutuhan perpaduan antara kaum, digambarkan mereka hidup harmoni dan boleh makan bersama-sama di rumah terbuka.

Kemudian sekali sekala diadakan aktiviti perkhemahan diperingkat sekolah, dijemputlah murid-murid yang terdiri dari sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Kebangsaan bagi menyertai program perkhemahan itu. Ditonjolkanlah bagaimana murid-murid dari berbagai kaum ini dapat bekerjasama dalam menjalankan aktiviti mereka dalam program itu. Bila selesai perkhemahan yang memakan masa dua tiga hari itu, mereka pun baliklah kesekolah masing-masing.

Apakah gambaran masyarakat Malaysia yang seperti ini yang kita hendak capai dalam 1Malaysia?

Hendak melentur buluh biarlah dari rebung. Setiap anak Malaysia sepatutnya tidak boleh diasingkan disekolah yang mengikut kaum masing-masing.

Hubungan kita adik beradik menjadi rapat dan kuat sebab kita dibesarkan di bawah bumbung yang sama. Tentu hubungan itu tidak akan menjadi rapat kalau adik beradik kita hidup secara terpisah.

Sebagai adik beradik kita bukan saja bermain, bergurau dan melakukan berbagai aktiviti bersama tetapi ada masanya kita juga bergaduh, tetapi itulah yang membina hubungan kita adik beradik menjadi kuat dan bukan hubungan yang berpura-pura.

Dari hubungan yang kuat inilah akan timbul rasa tanggungjawab dan perihatin antara kita adik beradik. Kita akan berasa bersalah kalau membiarkan adik-beradik kita yang lain ketika mereka menghadapi kesusahan dan masalah. Apabila ada hubungan yang kuat terjalin seperti ini, kita tidak akan rasa bimbang lagi terhadap adanya ahli keluarga kita yang tidak terbela nasibnya.

Apa yang berlaku sekarang pemimpin kaum Melayu hanya mahu menjadi juara untuk membela orang Melayu. Pemimpin Cina pula hendak menjadi juara untuk membela nasib kaum Cina, begitu jugalah dengan kaum India, mereka mahu jadi hero kepada kaum mereka.

Kita tidak boleh salahkan sikap mereka ini, ini kerana mereka memang mempunyai hubungan yang kuat dengan kaum mereka. Hubungan ini telah terbina dan terdidik sejak dari kecil lagi, bermula mereka sekolah bersama kaum mereka, selepas itu mereka bekerja dan tinggal dengan kaum dan kelompok mereka, menjadikan kaum mereka sangat dekat di hati mereka.

Dari sistem dan pengalaman yang kita lalui ini, tidak hairanlah kalau semua kita akan melihat setiap rakyat Malaysia itu mengikut kaumnya bukan sebagai bangsa Malaysia yang perlu kita bela tanpa mengira dari kaum mana dia datang.

Lantaran itu parti-parti politik di Negara ini lahir mengikut kehendak dan kepentingan kelompok dan kaum masing-masing. Keadaan struktur kehidupan masyarakat Malaysia yang demikian tidak memungkinkan dapat melahirkan satu parti politik yang memperjuangkan nasib rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Apa yang kita nampak sekarang, parti politik BN mahupun PR masing-masing mempunyai parti-parti komponen yang mewakili kelompok dan kaum masing-masing.

Adalah satu kerja yang tidak masuk akal untuk menjernihkan air di muara sungai kalau di hulu sungai airnya sudah keruh. Bermakna, apa pun matlamat yang hendak kita capai perlu bermula dari peringkat kanak-kanak lagi.

Sunday, October 25, 2009

Parti mana yang menjadi parti tunjang PR?

Semua orang sedia maklum parti UMNO adalah parti tunjang kepada Barisan Nasional. Apakah yang menyebabkan parti UMNO menjadi parti tunjang atau tulang belakang kepada BN? Sudah tentu jumlah penguasaan UMNO dalam kawasan pilihanraya parlimen atau kawasan pilihanraya undangan negeri yang jauh lebih besar berbanding parti-parti komponennya yang lain itu telah melayakkan parti UMNO untuk menerajui BN.

Oleh itu sebagai parti tunjang dalam BN, UMNO banyak mencorakkan halatuju dan polisi BN dalam mentadbir Negara ini. Parti-parti komponen yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP, hanya boleh memberi pandangan, usul, teguran, kritikan atau menyuarakan kehendak parti-parti mereka tetapi keputusan akhirnya akan tertakluk kepada UMNO juga.

Ada permintaan parti-parti komponen ini dilayan dengan baik tetapi ada juga permintaan mereka yang tidak dapat dilayan bila permintaan itu bercanggah dengan kepentingan UMNO, orang Melayu dan agama Islam.

Sering juga berlaku desakan dan kritikan dari parti-parti komponen ini disalurkan kepada media apabila ada kesukaran untuk dibincangkan secara rundingan terutamanya dalam menyentuh isu-isu yang sensitif.

Selalunya parti-parti komponen dalam BN akan akur kepada kehendak UMNO tanpa banyak menimbulkan masalah. Sebagai balasan UMNO akan sentiasa memberi sokongan yang kuat kepada parti-parti komponen ini pada setiap kali mereka menyertai pilihanraya, dan UMNO pula tidak lokek untuk memberi laluan kepada sesetengah parti komponenya yang lain walaupun parti UMNO layak untuk bertanding di kawasan itu.

Konsep perkongsian kuasa dalam BN yang selalu dibanggakan oleh UMNO itu bukanlah seindah sebutannya. Secara amalannya parti UMNO terus menjadi penentu hitam putih utama dalam BN.

Memang kerap berlaku 'tarik tali' kuasa antara parti-parti komponen dalam BN tetapi akhirnya mereka terpaksa akur untuk memberi kelebihan kepada UMNO.

Tentu keadaan akan menjadi sukar kalau dalam BN tidak ada parti peneraju seperti UMNO, kerana semua parti komponen dalam BN adalah memperjuangkan agenda kelompok dan kaum masing-masing yang berbeza impian dan aspirasi. Mustahil impian mereka dapat disatukan.

Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan 1Malaysia yang diutarakan oleh PM Najib itu hanyalah merupakan 1Malaysia versi UMNO.

Pakatan Rakyat

Parti manakah yang menjadi parti tunjang dalam Pakatan Rakyat pula? Inilah masalah utama dalam Pakatan Rakyat, tidak ada parti yang boleh dilihat sebagai parti yang boleh menjadi parti peneraju dalam pakatan Rakyat.

Yang kita nampak dalam PR hanya ada parti yang menjadi ‘orang tengah’ iaitu parti PKR. PKR selalu menjadi orang tengah kepada hubungan antara dua parti yang ekstrim iaitu PAS dan DAP. PAS dilihat sebagai sebuah parti yang ekstrim kepada agama manakala DAP pula dilihat ekstrim kepada satu kaum.

Melainkan kalau PKR dapat mengambil peranan sebagai parti peneraju dalam PR barulah PR boleh menjadi entiti politik yang kuat dan disegani.

Kalau di Amerika Syarikat mahupun di United Kingdom, mereka tidak ada parti-parti komponen dalam parti politik utama mereka. Sepatutnya Negara kita juga harus menuju kearah yang sama.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat ada dua parti politik utama yang bersaing iaitu Democrat dan Republican. Tidak ada parti komponen di bawah Democrat mahupun Republican. Kalau di UK, juga ada dua parti politik yang bersaing iaitu Conservative dan Labour.

Langkah pergabungan parti Keadilan dan parti Sosialis Rakyat Malaysia yang membentuk parti PKR satu masa dulu adalah satu langkah yang amat baik dan harus dipuji dalam menuju pembentukan satu parti politik utama dalam Negara.

Apabila Negara kita wujud dua parti politik utama dalam persaingan, barulah 1Malaysia yang benar-benar menepati aspirasi rakyat Malaysia dapat direalisasikan.

Thursday, October 22, 2009

Hapuskan Sekolah Pelbagai Aliran, PROF KHOO KAY KIM

BUKIT MERTAJAM: Sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai, kata tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Katanya, sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.

"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Namun begitu, beliau menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa. Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini.

"Jadi, British membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri. "Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya lagi.

Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka berfikiran secara sempit.

Menurutnya, ada segelintir ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa.

"Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri," katanya.

Sunday, October 18, 2009

Bagan Pinang, Kekalahan PAS sudah diduga

KEDEGILAN PAS untuk terus meletakkan calonnya untuk bertanding di PRK Bagan Pinang membawa padah kepada parti itu dengan mengalami kekalahan teruk.

Kekalahan ini boleh dilihat sebagai petanda pengundi di Bagan Pinang khususnya dan di Negeri Sembilan amnya tidak dapat menerima parti PAS.

Kalau tidak menang pun, tentunya kekalahan ini tidaklah teruk sangat kalau PAS dari awal mengambil langkah memberi laluan kepada calon dari parti PKR bagi mewakili Pakatan Rakyat untuk menjadi calon di sana.

Negeri Sembilan, Melaka dan Johor memang terkenal sebagai kubu UMNO yang kuat. Kebanyakan orang Melayu di negeri-negeri ini memang tidak boleh terima parti PAS langsung.

Malah pernah berlaku di mana ahli PAS yang cuba membawa masuk pengaruh PAS di sesetengah kampung di Johor pernah dihalau dan ditolak mentah-mentah oleh orang kampung.

Kalau di Kelantan keadaan seperti itu tidak akan berlaku, mereka begitu faham bahawa UMNO dan PAS adalah parti-parti politik dalam negara demokrasi, siapa pun boleh menyokong mana-mana parti yang mereka suka.

Kalau orang Melayu di Johor sendiri pun susah hendak menerima PAS, apa lagilah dengan orang-orang bukan Melayu di sana.

Janganlah sebab berjaya menubuhkan cawangan di sesuatu kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan beberapa ratus ahli sudah mendabik dada mereka layak meletakkan calon mereka bagi mewakili Pakatan Rakyat. Yang akan mengundi bukan ahli-ahli parti sahaja tetapi adalah semua penduduk yang layak mengundi di kawasan itu yang jumlahnya jauh lebih besar dari bilangan ahli-ahli yang ada di situ.

Oleh itu PAS jangan jadi parti terlebih perasan. PAS mesti bersikap berpijak di bumi nyata, tidak hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Apalah guna meletakkan calun-calun PAS di negeri-negeri tersebut tetapi akan menyumbang semua kekalahan kepada PR.

Kita kena lihat juga sentimen masyarakat setempat dalam meletakkan calon untuk parti kita bertanding. Kalau negeri itu tidak boleh terima parti PAS maka berilah laluan kepada parti komponen yang lain seperti PKR.

Meletakkan calon dari PKR mewakili PR di negeri-negeri yang dikenali sebagai kubu kuat UMNO iaitu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bukanlah bermakna ada jaminan PR boleh menang, tetapi sekurang-kurangnya ia lebih realistik dan tidaklah PR dimalukan dengan kalah begitu teruk sekali.

Adalah wajar jika sesuatu parti itu tidak dapat mengekalkan prestasinya seperti yang berlaku di PRK di Bagan Pinang baru-baru ini, memberi laluan dan peluang kepada parti komponen yang lain untuk bertanding pula.

Monday, October 12, 2009

Pemandu teksi dan maruah negara


KERANA keinginan untuk mendapatkan keuntungan dan pendapatan yang lebih, masih ramai pemandu teksi yang masih berdegil tidak mahu menggunakan meter.

Walaupun baru-baru ini kadar tambang teksi telah dinaikkan dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap pemandu teksi yang tidak menggunakan meter namun langkah ini tidak juga dapat membenteras pemandu teksi dari terus melakukan kesalahan.

Kenapa ini harus berlaku? Adakah kerana pemandu teksi tidak dapat pendapatan yang cukup kalau menggunakan meter? Atau adakah kerana sikap buruk, sikap tamak dan sikap mereka yang tidak beretika?

Pada 10 Oktober 2009 yang lalu saya telah menaiki teksi dari Setesen Bas Pekeliling ke Jalan Semarak. Pemandu teksi tersebut tidak menggunakan meter dan saya tidak ada pilihan lain ketika itu. Dalam perbualan antara saya dengan pemandu teksi semasa dalam perjalanan itu, saya dapat tahu dia adalah seorang bekas tentera.

Sudah tentu dia seorang yang berdisiplin kerana pernah menjadi tentera, tetapi nampaknya beliau tidak dapat mengikut undang-undang seperti yang telah ditetapkan. Kalau pemandu teksi dari bekas tentera pun tidak mahu menggunakan meter, bagaimanalah pula dengan pemandu-pemandu teksi yang lain.

Teksi dan pemandunya adalah antara barisan depan Negara yang mula-mula dilihat oleh orang luar bila datang ke Negara kita. Mereka boleh menilai sikap rakyat Malaysia keseluruhannya dengan hanya melihat kepada sikap yang ditunjukkan oleh pemandu teksi kita.

Saya percaya sikap yang terdapat pada pemandu-pemandu teksi Negara kita itu sebenarnya adalah mencerminkan sikap masyarakat kita keseluruhannya. Sebagai mana pernah dinyatakan oleh Ketua Polis Musa Hassan, kalau masyarakat berperangai buruk maka polis pun berperangai buruk juga kerana polis juga datang dari masyarakat yang sama.

Oleh itu sampai bila pun kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah kedegilan pemandu teksi tidak mahu menggunakan meter ini, selagi sikap masyarakat kita tidak berubah.

Bagi masyarakat umum, teksi merupakan pengangkutan awam yang mewah. Orang awam selalunya akan memilih pengangkutan awam yang lebih murah seperti bas dan keretapi, mereka hanya menggunakan teksi jika terdesak atau tidak ada pilihan lain. Hanya pelancung, orang yang kaya dan berada saja yang selalu menggunakan khidmat teksi.

Bagi saya tidak ada masalah kalau kadar tambang teksi dinaikkan mengikut kehendak pemandu dan syarikat teksi tanpa ada sekatan dari kerajaan. Saya tidak fikir tambang teksi yang tinggi akan membebankan rakyat kerana kebanyakan rakyat awam lebih suka menggunakan pengangkutan awam yang lain yang lebih murah.

Dengan cara ini kita juga dapat menggalakkan orang ramai menggunakan bas dan keretapi. Dalam masa yang sama juga dapat mengurangkan kesesakan jalanraya dengan teksi.

Biarkanlah teksi menjadi pengangkutan kepada pelancung dan segelintir orang yang mempunyai duit lebih atau kaya, dan tentunya mereka tidak akan merungut dengan tambang teksi yang mahal.

Wednesday, October 07, 2009

Anda boleh download gambar kereta anda yang disaman ekor

DENGAN adanya kemudahan internet di masa ini kita dengan mudah dapat menyemak samada kereta atau motorsikal kita pernah kena saman oleh JPJ atau polis trafik. Kita hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan kedalam laman web yang disediakan.

Kadang-kadang kita tidak sedar kereta atau motor kita telah kena saman atas kesalahan melebihi had laju kerana tidak nampak adanya ‘road block’ semasa kena saman, sebaliknya apa yang berlaku, gambar kita memandu diambil secara sembunyi. Kaedah merakam gambar pesalah lalulintas secara sembunyi ini dikenali sebagai saman ekor.

Kadang-kadang rasa macam tak percaya bila disemak dalam internet di sini, didapati kita memiliki hingga empat atau lebih saman atas kesalahan memandu lebih had laju.

Tidak mungkin pihak polis hendak menginaya kita dengan mereka-reka kesalahan itu. Tidak ada sebab untuk mereka berbuat demikian.

Bagaimanapun mungkin ada juga di kalangan kita masih berasa sangsi, betulkah kereta yang terlibat dengan kesalahan adalah kereta kepunyaan kita. Ada kemungkinan juga pesalah sebenar telah menggunakan nombor pendaftaran palsu yang sama seperti nombor kereta atau motor kita.

Buat masa ini memang ada gambar kenderaan yang terlibat disimpan dalam rekod polis dan kalau kita ingin mendapatkannya kita akan dikenakan sedikit bayaran.

Adalah lebih baik kalau di masa depan pihak polis dapat meletakkan (upload) gambar-gambar kereta yang terlibat ke dalam internet di mana pesalah boleh melihat sendiri dan download gambar tersebut. Dengan itu pengguna bukan saja dapat menyemak jumlah saman, jenis kesalahan dan tempat kesalahan berlaku tetapi dapat juga melihat gambar bagi setiap kesalahan itu.

Dengan cara ini juga dapat mengelakkan atau membenteras pesalah-pesalah yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang palsu.

Sunday, October 04, 2009

Mengundi PAS seolah-olah sama seperti masuk Islam


OLEH kerana parti PAS adalah parti yang berlabelkan Islam, maka bagi setengah orang-orang bukan Islam beranggapan mengundi parti PAS samalah seperti menyokong Islam atau percaya kepada Islam.

Kesukaran untuk menyeru orang-orang bukan Islam ini untuk mengundi parti PAS samalah seperti sukarnya untuk mengajak mereka memeluk agama Islam. Dalam hal ini ia bukan saja setakat melibatkan tukar parti tetapi juga seolah-olah seperti melibatkan penukaran akidah.

Tentulah tidak sukar untuk mengajak orang masuk atau menyokong satu-satu parti politik, tetapi untuk mengajak mereka masuk satu-satu agama memang suatu kerja yang amat sukar kerana ianya melibatkan soal akidah. Kalau parti politik sudah dibuatkan seperti agama memang sukarlah kita hendak mengajak orang yang berlainan fahaman agama untuk masuk parti tersebut.

Mungkin kita orang Islam tidak ada masalah untuk mengundi parti DAP yang merupakan salah satu sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana parti DAP bukanlah parti yang berasaskan agama, tetapi bagaimana kalau ada parti yang bernama Parti Budha Se Malaysia dalam Pakatan Rakyat itu, tentu kita yang beragama Islam berfikir dua kali juga untuk mengundi calon dari parti tersebut kerana bimbang ianya akan membabitkan soal akidah kita.

Pihak Barat telah lama berkempen memburukan agama Islam dan pengikut-pengikutnya. Media Barat telah melabelkan Islam dengan berbagai label yang negatif, agama yang mereka kaitkan dengan kemunduran dan keganasan.

Kempen berterusan mereka ini sungguh berkesan sehingga semua orang bukan Islam di dunia ini begitu takut atau fobia dengan Islam atau apa saja yang dikaitkan dengan Islam.

Hari-hari Barat menonjolkan imej buruk terhadap Islam. Orang Islam yang mengganas dilabelkan sebagai pengganas Islam tetapi orang kulit putih yang mengganas tidak pula digelar pengganas Kristian.

Barisan Nasional tidak perlu mengeluarkan wang berjuta ringgit untuk menakutkan kaum Cina dan India supaya tidak mengundi PAS kerana kempen pihak Barat yang berterusan memburukan imej Islam sudah cukup untuk menakutkan mereka.

Adalah kurang bjak kalau PR meletakkan calon dari parti PAS di kawasan yang melebihi 20% pengundi orang bukan Islam seperti di PRK Bagan Pinang.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com