Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, July 31, 2009

Keseronokan Memancing


RAMAI juga orang yang mempunyai hobi memancing. Memancing yang saya maksudkan di sini ialah memancing ikan. Kadang-kadang mereka sanggup duduk berjam-jam menunggu kail mereka disambar ikan.

Kelihatannya seperti membuang masa dan membuat kerja bodoh. Padahal kalau hendak makan ikan bukankah lebih senang beli saja di pasar atau tempat-tempat nelayan menjual ikan. Ini lebih baik dari membuang masa pergi memancing yang belum tentu boleh dapat ikannya.

Bila kita tanya kepada mereka yang kaki pancing ini, mereka mengatakan keseronokan memancing ini bukanlah kerana mendapat ikan yang dipancing itu, sebaliknya keseronokannya adalah semasa mengendalikan kail ketika mendaratkan ikan yang terkena pancing itu.

Ada satu cerita ekstrim yang sangat popular diperbualkan di kalangan kaki pancing ini, di mana ada kaki pancing yang sanggup menawarkan bayaran kepada tuan punya pancing yang kailnya sedang disentap ikan bagi mendaratkan ikan tersebut. Selepas ikan itu didaratkannya, ikan itu diserahkan kembali kepada tuan yang punya pancing itu.

Begitulah cerita tahap kegilaan seorang kaki pancing. Mereka sanggup membayar harga keseronokan mendaratkan ikan dengan kail itu walaupun dia tidak memiliki ikan tersebut.

Begitulah juga yang dirasakan oleh pasangan suami isteri yang bercerai. Setiap kali bercerai, anak-anak akan menjadi rebutan di antara ibu dan bapa yang berpisah.

Keseronokan ibu bapa yang bercerai bukanlah semata kerana mereka dapat hak penjagaan anak-anak. Tetapi yang lebih seronok lagi ialah kerana mereka dapat membesarkan anak-anak di depan mata mereka.

Pada kebiasaannya, pihak ibulah yang selalu mendapat hak penjagaan anak-anak selepas pasangan suami isteri itu bercerai. Di pihak bapa pula, bapa bukan sahaja kehilangan keseronokan untuk membesarkan anak-anaknya tetapi terpaksa pula membayar wang nafkah setiap bulan untuk anak-anaknya yang dipelihara oleh bekas isteri.

Kadang-kadang rasa kesal juga terhadap sikap isteri-isteri yang bercerai, mereka selalu merungut kerana bekas suami kerap tidak membayar nafkah untuk anak-anak. Tetapi mereka lupa yang keseronokan membesarkan anak-anak didepan mata itu lebih jauh berharga dari duit nafkah itu.

Malah saya percaya, ramai dikalangan bekas suami kalau diberi pilihan, mereka sangat suka untuk menjaga dan membesarkan anak-anak mereka, malah sanggup membayar wang lagi kepada bekas isteri mereka sama banyak seperti bayaran nafkah untuk anak-anak sebanyak yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib walaupun bekas isterinya tidak menjaga anak-anak itu.

Ini menggambarkan keseronokan membesarkan anak-anak di depan mata sendiri itu lebih besar nilainya dari wang nafkah anak yang kena bayar tiap-tiap bulan itu. Keadaan ini samalah seperti kes kaki memancing yang saya sebutkan tadi.

Oleh itu kepada pihak yang menang atau mendapat hak penjagaan anak-anak ini, janganlah memandang buruk sangka kepada bekas pasangan anda, selalulah renungkan dan bayangkan kalaulah bukan anda tetapi bekas pasangan anda yang mendapat hak penjagaan anak-anak itu. Kadang-kadang kita terlupa tentang perkara ini kerana kita tidak pernah meletakkan diri kita di tempat orang lain.

Thursday, July 23, 2009

Suruhanjaya Oh Suruhanjaya


AKHIR-AKHIR ini kerap benar kita mendengar penubuhan suruhanjaya diRaja. Setiap kali kalau ada tindakan badan-badan penguatkuasa yang boleh mendatangkan curiga dan dipertikaikan oleh orang ramai dan menjadi isu panas, setiap kali itu jugalah suruhanjaya akan ditubuhkan bagi meredakan kemarahan orang ramai.

Isu video yang dirakam secara sulit menunjukkan seorang wanita yang disangka warga Negara China ‘didera’ berbogel dan melakukan ketuk ketampi telah memaksa satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat dan menyemak semula prosedur badan Polis dalam menjalankan tugas-tugas mereka.

Kemudian diikuti pula oleh isu video yang merakamkan seorang peguam kanan bernama Lingam yang sedang membuat panggilan telefon kepada pemimpin politik bagi melobi perlantikan Ketua Hakim juga menimbulkan rasa tidak senang orang ramai kepada kebebasan dan kredibiliti badan kehakiman di Negara ini.

Lantaran itu satu Suruhan DiRaja juga telah ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan video itu dan kepincangan yang berlaku dalam badan kehakiman Negara ini.

Kini yang terbaru, kematian saudara Teoh Beng Hock secara misteri yang tengah disiasat oleh SPRM telah menyebabkan orang ramai jadi berang. Seperti yang dikritik keras oleh pemimpin lama UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyebut, saksi yang dalam siasatan pihak penguatkuasa tidak sepatutnya berakhir dalam keranda.

Bagi meredakan pihak-pihak yang tidak berpuashati dengan cara kematian Teoh yang mengejut itu dan dari mengelak dari isu itu terus dipolitikkan oleh pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan, PM Najib telah bersetuju untuk membenarkan penubuhan sebuah lagi Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat punca sebenar kematian Teoh dan menyemak perjalanan tugas-tugas SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia).

Ini baru betul-betul hebat, suruhanjaya diarah menyiasat suruhanjaya. Siapa yang akan kena kita lihatlah nanti. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru saja ditukar namanya dari nama Badan Pencegah Rasuah (BPR). Nampaknya perubahan pada nama ini belum dapat meyakinkan orang awam terhadap kredibiliti dan integriti badan tersebut. Seperti sebelumnya badan ini masih seperti terikat dengan parti yang memerintah. Masih menjadi tunggangan pihak-pihak yang tertentu.

Kita tidak mahu melihat SPRM memilih bulu dalam mengambil tindakan dan tidak sekadar menjadi Suruhan Penutup mulut Rakyat Malaysia.

Kita sangat menyokong SPRM menjadi badan yang berani dan tegas dalam memerangi rasuah tanpa mengira siapa pun. Janganlah menunjuk berani kepada parti lawan sahaja tetapi kecut telor bila hendak menyiasat menteri dari parti yang memerintah. Kalau hendak melakukan siasatan hendaklah dilakukan secara professional, adil, telus dan berhemah.

Tidak sepatutnya saksi berasa tidak selamat, terasa diugut dan tidak selesa ketika mereka disiasat. Apa keperluannya menyiasat saksi hingga berjam-jam lamanya tanpa rehat, hingga sampai jam 2 pagi. Rajin sangat nampaknya pegawai-pegawai SPRM ini buat kerja hingga tidak tidor-tidor. Kalaupun anda hendak tunjuk rajin, kena ingat juga saksi yang disiasat itu adalah manusia yang perlu masa rehat dan tidor.

Apa kabar dengan Yong Teck Lee? Lama tak dengar berita dia. Fail rasuahnya dekat mana sekarang ni? Atau di penjara mana dia menjalani hukuman sekarang ni?

Satu lagi yang rakyat mahu tahu ialah apakah dapatan-dapatan (meminjam kata PM Najib) yang terjumpa oleh semua Suruhan DiRaja yang telah ditubuhkan ini akan diambil tindakan, apakah pihak yang bersalah akan dihukum? Kita tidak mahu penubuhan Suruhanjaya DiRaja ini sekadar menjadi penyejuk dan bagi meredakan perasaan berang orang ramai kepada parti yang memerintah.

Kita boleh berbangga sebagai negara yang paling banyak menubuhkan Suruhanjaya DiRaja dalam dunia, itu belum termasuk Suruhanjaya Pilihanraya dan Pesuruhanjaya Sumpah.

Ada baiknya juga kalau PM Najib menyokong penubuhan Suruhanjaya DiRaja khusus bagi menyiasat sebab-sebab dua anggota polis unit tindakan khas telah bertindak membunuh wanita Mongolia yang bernama Altantutuya bagi membersihkan nama beliau sendiri.

Monday, July 20, 2009

PKR bakal menjadi tempat sampah sarap BN.


BN ibarat kapal yang bocor yang sukar untuk dibaiki dan kelihatannya hampir hendak tenggelam. Penumpang-penumpang di dalamnya mula berasa cemas dan menjadi kelam kabut.

Ada sebahagian dari penumpang bersama anak-anak kapalnya terus bertungkus lumus berusaha untuk membaiki kapal tersebut. Tetapi ramai juga yang memikirkan untuk lari dari kapal BN setelah melihat tidak ada harapan untuk kapal itu dapat diselamatkan dari tenggelam.

Buat masa ini telah ramai yang telah berpindah ke kapal PKR dan tidak dapat ditolak kemungkinan lebih ramai lagi akan berpindah ke kapal PKR menjelang pilihanraya umum ke 13 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2013 nanti.
Ada sesetengah ahli-ahli politik BN ini berpindah ke parti PKR kerana atas dasar prinsip yang tidak lagi bersetuju dengan kepimpinan parti BN, tetapi selain dari alasan itu ramai juga yang berpindah dari BN ini terdiri dari orang yang hanya mahu mengambil dan merebut peluang untuk kepentingan diri sendiri.

Golongan oportunis ini merasakan mereka tidak boleh lagi survive kalau terus bersama BN yang mereka jangka akan kalah. Selama ini perniagaan atau projek yang mereka dapat adalah atas dasar kabel politik, oleh itu BN bukanlah tempat yang boleh mereka bergantung lagi. Ibarat seperti lalang, mereka mesti condong mengikut arah angin untuk memastikan mereka terus dapat ‘hidup’ dalam keadaan selesa.

Sudah tentu parti PKR tidak akan menutup pintu kepada sesiapa saja yang hendak masuk atau berpindah kepada parti tersebut, malah kemasukan mereka memang amat dialu-alukan. Samada yang berpindah ke parti PKR itu adalah terdiri dari barang-barang yang berkualiti dan berharga, atau mungkin juga merupakan sampah sarap sahaja, namun semuanya itu sangat berguna kepada keutuhan parti PKR.

Suasana yang berlaku kepada BN ini patut dijadikan pengajaran kepada semua pihak samada kepada PR mahupun juga BN sendiri. Apabila kita memilih bulu dalam memberikan peluang, projek dan perniagaan, tanpa berdasarkan kepada merit dan kebolehan seseorang, maka apabila kekuatan politik sudah hilang, penyokong-penyokong yang bersikap oportunis ini akan lari untuk mencari ‘dahan’ baru untuk bergantung.

Selagi parti kita kuat, mereka ini akan berhabis-habisan menyokong kita, tetapi bila parti semakin lemah, merekalah orang pertama yang akan lari menyelamatkan diri.

Thursday, July 16, 2009

Dr. Khir Toyo digantung setahun, Ini sudah melampau


DIPETIK dari berita Utusan Malaysia:

SHAH ALAM 15 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo
serta empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) digantung daripada menghadiri
persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta.
Mohamad
Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang digantung
setahun manakala empat yang lain dikenakan hukuman selama enam bulan.


Saya berpendapat tindakan yang dikenakan oleh Speaker atau Timbalan Speaker DUN Selangor kepada Khir Toyo itu adalah sangat keterlaluan.

Pakatan Rakyat (PR) yang sebelum ini begitu lantang melaung-laungkan demokrasi dan sering mengkritik kepincangan amalan demokrasi di Negara ini, tetapi diri mereka sendiri pun nampaknya lebih teruk lagi. Umpama paku dulang paku serpih, mengata orang tapi diri sendiri yang lebih.

Sepatutnya mereka harus menunjukkan contoh dan sikap yang lebih baik, beramal seperti yang dicakapkan. Jangan jadi cakap tak serupa bikin.

Kalau setakat hukuman menggantung satu atau dua hari dari menghadiri sidang DUN, kita boleh terima lagi. Tetapi kalau sudah sampai setahun digantung, ini sudah jadi macam undang-undang rimba. Ikut suka emak bapak dia saja.

Kita sebagai rakyat dapat merasakan tindakan itu seperti ada desakan dan motif politik bagi menyekat suara ahli DUN yang tidak sealiran.

Kita perlu ingat setiap ahli DUN itu bukan hanya mewakili dirinya sahaja di dalam Dewan tetapi beliau juga adalah mewakili rakyat kawasan mereka yang telah dipilih bagi menyuarakan kehendak dan aspirasi rakyat setempat.

Menggantung Ahli Dewan samalah seperti kita menyekat suara rakyat. Ini sangat bercanggah dengan semangat dan nilai demokrasi.

Saya tidak pelik kalau Speaker di kalangan parti BN biasa menggantung ahli dewan parti pembangkang, kerana kita faham mereka memang telah banyak mencabul dasar-dasar demokrasi. Tetapi bila Speaker dari PR juga berperangai dan bertindak dengan cara yang sama, malah lebih teruk lagi, maka kita tidak nampak kelebihan dan kebaikan PR berbanding BN dalam soal untuk mendaulatkan amalan demokrasi di Negara ini.

Kalaupun kita tidak menyukai seseorang Ahli Dewan itu kerana telah melakukan suatu kesalahan maka biarkanlah atau gunakanlah makamah untuk mengadili mereka, ataupun rakyat juga boleh mengadili mereka dalam setiap pilihanraya umum. Tetapi janganlah sewenangnya menggunakan DUN melalui kuasa Speaker untuk menghukum mereka yang tidak mungkin mereka dapat peluang membela diri mereka di situ.

DUN adalah tempat untuk mengutarakan segala pemasalahan rakyat, usah jadikan DUN sebagai gelanggang politik balas dendam.

Tuesday, July 14, 2009

Manek Urai, UMNO masih tak kebah




UMNO kalah lagi di pilihanraya kecil Manek Urai. Nampaknya strategi pelan peralihan kuasa untuk menyelamatkan UMNO tidak menunjukkan kesan yang positif.

UMNO masih belum kebah dari ‘sakit’. Setelah Pak Lah dijadikan kambing korban, apakah perlu PM Najib dijadikan kambing korban untuk terus menyelamatkan UMNO? Kalau Tanya pada Najib tentu beliau tidak rela untuk jadi kambing korban.

Idea kambing korban ini datang dari Muhyiddin Yassin. Jadi beranikah Muhyiddin kali ini mengusulkan idea kambing korban ini lagi untuk mengembalikan kekuatan dan memperkasa parti UMNO.

PM Najib yang diselubungi berbagai skandal, termasuk dikaitkan dengan kematian wanita Mongolia Altantuya, telah menjadi beban kepada parti UMNO. Prestasi buruk parti UMNO yang telah dipamerkan dalam beberapa pilihanraya kecil yang lepas secara langsung mencerminkan tahap penerimaan rakyat kepada PM Najib.

Sikap keras PM Najib kepada penunjuk-penunjuk perasaan dilihat oleh rakyat sebagai tidak mesra kepada kehendak rakyat, berlawanan sekali dengan slogan 1 Malaysia yang dilaung-laungkannya.

Malah Najib dilihat oleh sesetengah pihak lebih keras dari ‘diktator’ Mahathir.
Mahathir dan Pak Lah diterima rakyat dengan baik ketika mereka memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya rakyat menyambut Najib dengan penuh curiga ekoran dari berbagai ‘skandal’ yang menyelubungi kehidupannya.

100 hari pimpinan Najib ditandai oleh penolakan rakyat kepada beliau melalui keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui peti undi di pilihanraya kecil Manek Urai.

100 hari pentadbiran Najib dipenuhi dengan siri penunjuk-penunjuk perasaan yang disusuli dengan penangkapan.

Nampaknya PM Najib telah mula mengambil pendekatan menutup kesalahan dengan kesalahan lain bagi membersihkan namanya.

Untuk tujuan membersihkan dan menjaga namanya, secara sistematik kebebasan media akan ditarik balik dan media akan dipastikan berada di bawah penguasaannya. Kebebasan bersuara akan disekat melalui undang-undang yang digubal.

Sekali lagi kita bakal akan melihat zaman gerhananya demokrasi akan berulang di Malaysia, dimana Polis, BPR, makamah tidak lagi bebas, yang dikuasai dan ditunggangi oleh pemimpin politik bagi mengekalkan kuasa mereka. Media perdana dan SPR juga akan terus diperalatkan untuk mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya.

Selepas turunnya Pak Lah dari jawatan PM, kita tidak nampak Najib mahu bercakap lagi soal kebebasan Makamah, soal integriti pasukan polis dan badan pencegah rasuah. Semuanya cuba ditutup dan ditenggelamkan dengan ucapan-ucapan memberi ‘habuan’ kepada rakyat termasuklah rebat 20 peratus kepada pengguna tol yang kerap menggunakan lebuhraya bertol dan melancarkan Amanah Saham 1 Malaysia. Dikompangkan keseluruh Malaysia, tetapi yang mendapat faedahnya hanya segelintir orang saja.

Agensi-agensi kerajaan sewenangnya akan dipergunakan sebagai jentera dan alat propaganda parti yang memerintah. Bila ini berlaku kita akan dicengkam oleh sistem kuku besi atau autokratik. Kita akan ditakut-takutkan melalui kursus-kursus Bina Negara atau kursus yang sewaktu dengannya.

Di masa itu pilihanraya yang diadakan hanyalah sekadar topeng untuk mengesahkan Negara kita sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi.

Masih saya ingat lagi kata-kata sinis Dr. Mahathir, “Sayalah satu-satunya diktator di dunia yang terpilih melalui pilihanraya”.

UMNO tidak punya banyak pilihan selain dari meminggirkan Najib samada melalui pemiilihan mahupun cara desakan. Presiden UMNO mesti ditukar kepada pemimpin yang bukan sahaja boleh diterima oleh BN dan UMNO sahaja tetapi oleh semua orang Melayu.

UMNO mungkin akan melalui satu pemilihan lagi sebelum pilihanraya umum ke 13 yang akan menentukan hidup matinya UMNO. Inilah peluang terakhir ahli UMNO untuk melihat UMNO terus hidup.

Pak Lah dikorbankan demi untuk menyelamatkan UMNO, dan Najib pula perlu dikorbankan demi menentukan hidup mati nya UMNO.

UMNO mesti menggunakan Pemilihan UMNO yang terakhir sebelum piliharaya umum ke 13 ini sebagai peluang terbaik untuk menukar dan memilih presiden parti UMNO yang baru yang benar-benar berwibawa, yang benar-benar mencerminkan kehendak akar umbi dan boleh diterima dengan baik oleh semua rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu.
Apa yang saya nampak ketika ini pemimpin-pemimpin UMNO seperti Zahid Hamidi, Ahmad Shabery Cheek dan Ahmad Maslan adalah antara pemimpin-pemimpin UMNO yang ada kredibiliti untuk menjadi Presiden UMNO, yang boleh diterima ramai. Dan mungkin ada juga pemimpin UMNO yang mempunyai karismatik yang luar biasa yang belum terdedah kepada umum.

Kalau setakat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat menggantikan tempat Najib, rasanya tidaklah memadai. Kita telah menyaksikan sebelum ini, Muhyiddin bukanlah seorang yang berani mengambil risiko dan cabaran. Beliau juga telah dipalitkan sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan penjualan tanah-tanah di Johor kepada warga Singapura, di era beliau menjadi MB Johor dahulu.

Selain dari itu, UMNO juga boleh memikirkan untuk membawa masuk personaliti yang tersohor dan diterima oleh rakyat Malaysia untuk menyertai UMNO dan mengangkatnya menjadi pemimpin UMNO seperti yang pernah berlaku kepada Anwar Ibrahim di satu masa dulu.

UMNO sekarang seperti berada dalam keadaan nazak, terpulanglah kepada ahli-ahlinya untuk mencari ubat yang mujarab dan berkesan untuk memulihkannya. Kini UMNO bukan saja terpaksa berlumba dengan parti lawan tetapi juga berlumba dengan masa untuk menyelamatkan parti tersebut.

Friday, July 10, 2009

Muhyiddin memilih politik selamat



DARI beberapa keputusan penting yang dibuat oleh beliau selama menceburi arena politik, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Muhyiddin Yassin selalu menggunakan pendekatan politik selamat.

Beliau seorang pemimpin yang tidak mempunyai keberanian. Untuk menjadi pemimpin Negara, kita perlukan seorang pemimpin yang berani. Pemimpin yang agung mesti berani membuat keputusan untuk kebaikan Negara dan bangsanya walaupun keputusan yang dibuat itu boleh menjadikan dia tidak popular.

Selepas Pak Lah bersetuju untuk melakukan pelan peralihan kuasa bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap BN yang prestasinya begitu teruk dalam pilihanraya umum ke 12 dulu, Muhyiddin begitu garang mendesak Pak Lah untuk mempercepatkan peralihan kuasa itu dari tahun 2010 ke bulan April 2009. Tetapi apalah ertinya hanya berani menunjukkan garang kepada singa yang sudah tidak ada gigi.

Dalam usaha untuk mencari pemimpin yang berwibawa selepas jawatan presiden UMNO dikosongkan oleh Pak Lah, kita juga dapat melihat Muhyiddin Yassin juga tidak berani untuk mencabar Najib untuk jawatan tersebut. Padahal di waktu itu beliau adalah antara pemimpin yang sangat berpotensi untuk jawatan tersebut.

Tetapi disebabkan dia memilih pendekatan politik selamat, beliau hanya sekadar menyokong dan memberi laluan mudah kepada Najib untuk jawatan Presiden UMNO itu, dan dengan keputusan ‘bijak’ beliau itu, beliau telah terpilih sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Yang terkini, beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan untuk memansuhkan dasar PPSMI pada tahun 2012, dengan itu dalam masa tiga tahun lagi subjek metametik dan sains di sekolah rendah dan menengah akan diajar semula menggunakan bahasa ibunda samada Melayu, Cina dan Tamil.

Setelah menerima bantahan dari parti politik lawan dan NGO, akhirnya Muhyiddin sekali lagi mengambil keputusan politik selamat terhadap isu PPMSI ini. Walaupun beliau mungkin tidak bersetuju dan berasa berat hati memansuhkan PPSMI tetapi terpaksa dilakukan demi survival parti UMNO. Beliau bersama parti UMNO mahu dilihat oleh orang Melayu sebagai hero pejuang bahasa orang Melayu.

Pernahkah kita dengar Muhyiddin menentang atau mengkritik dasar PPSMI itu semasa Tun Mahathir melaksanakan dasar itu pada tahun 2003 dulu? Sebaliknya Ghani Othman, MB Johor sekarang ini, patut dipuji kerana beliau adalah seorang yang berpendirian tegas kerana telah memperlihatkan tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar tersebut dari awal lagi.

Kenapa perlu cakap sekarang, sedangkan pemansuhan PPSMI itu hanya akan berkuatkuasa pada tahun 2012, adakah kerana hendak mengambil keuntungan politik? Apatah lagi keputusan ini dibuat ditengah-tengah waktu berkempen pilihanraya kecil di Manek Urai. Kenapa tidak cakap saja pada tahun 2012 nanti. Dalam masa tiga tahun ini macam-macam perkara boleh berlaku.

Yang agak lucunya, alasan utama yang diberikan untuk membatalkan dasar PPSMI itu adalah kerana keputusan matematik dan sains murid-murid didapati merosot kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris dengan baik.

Bukan sahaja murid tidak faham bahasa Inggeris, guru yang mengajar subjek itu pun ramai yang tidak mampu bertutur dan mengajar dalam bahasa Inggeris. Jadi kenapa kita hendak hairan kalau keputusan dalam subjek-subjek tersebut merosot.

Kita telah memulakan dasar PPSMI ini dengan tergesa-gesa, dimana tanpa persediaan yang cukup, guru-guru pun tidak mempunyai latihan dan pengalaman mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Tentulah keadaannya tidak sama kalau menggunakan bahasa ibunda dimana murid dan guru amat biasa dan memahami bahasa tersebut.

Tentulah sudah dijangkakan berlaku kemerosotan bila kita bertukar dari bahasa ibunda kepada bahasa Inggeris, tetapi apa yang kita mahu ialah adanya peningkatan dari masa ke semasa bila telah lama kita menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains, dengan mengambil kira ada penambahbaikan kepada guru-guru yang mengajar dalam subjek-subjek tersebut.

Faedah dari dasar PPSMI bukan boleh dicapai dalam masa 10 tahun, tetapi dasar PPSMI adalah jangka panjang yang hasil dan faedahnya mungkin hanya boleh dilihat dalam masa lebih 50 tahun lagi. Lagi lambat kita bermula lagi jauh kita akan ketinggalan.

Untuk mengatakan majoriti rakyat Malaysia menolak dasar PPSMI juga tidak benar, dari undian yang dibuat dalam blog Tun Mahathir terus menunjukkan aliran menyokong dasar PPSMI itu lebih ramai dari yang menentang.

Sampai bila agaknya Muhyiddin akan terus bermain dengan politik selamat? Mungkinkah bila sampai UMNO tidak dapat diselamatkan lagi.

Saturday, July 04, 2009

Rumah Kos Rendah hendaklah mempunyai tanah yang luas


SEKIM rumah kos rendah yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak beberapa dekad yang lalu telah banyak membantu rakyat Negara ini yang berpendapat rendah mampu memiliki rumah sendiri.
Dengan harga rumah sekitar RM25,000.00 seunit, dan bayaran ansuran bulanan sekitar seratus ringgit sebulan, adalah tidak membebankan bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1000.

Memang baik jika sekim ini diteruskan oleh kerajaan untuk masa akan datang, disamping membuat beberapa penambahbaikan.

Dalam masa yang sama kita berharap biarlah rumah berharga subsidi dari kerajaan ini betul-betul diberikan kepada rakyat yang benar-benar layak dari segi pendapatannya. Kita tidak mahu ada golongan-golongan yang tertentu mengambil kesempatan memiliki rumah-rumah kos rendah ini walaupun mereka itu tidak layak.

Dari pemerhatian kita, kebanyakan pendapatan pemilik-pemilik rumah kos rendah ini tidaklah kekal rendah atau miskin buat selamanya. Ada sebahagian mereka mempunyai pendapatan yang semakin meningkat atau bertambah. Begitu juga dengan bilangan ahli keluarga mereka juga turut bertambah. Lama kelamaan rumah kos rendah yang hanya mempunyai dua bilik itu akan menjadi sempit kepada mereka.

Semakin lama mereka tinggal di situ, semakin banyak duit tabungan mereka, akhirnya mereka sudah ada kemampuan untuk membesarkan ruang rumah mereka dan menambah lebih banyak bilik. Tetapi masalahnya, kawasan tanah rumah mereka sangat terhad iaitu sekitar 15’ x 40’ sahaja.

Oleh itu untuk akan datang adalah lebih sesuai kalau luas tanah untuk sekim rumah kos rendah ini ditambah supaya lebih luas dari yang ada sekarang. Mungkin boleh ditingkatkan menjadi 20’ x 70’, sama seperti luas tanah untuk rumah kos sederhana dan rumah mewah.

Tidak mengapalah kalau rumah asal atau rumah asas bagi rumah kos rendah itu mempunyai luas binaan yang kecil, cukup setakat satu bilik atau dua bilik tetapi pastikan kawasan tanahnya luas.Sebenarnya dengan menambah luas tanah, tidaklah akan menambah kos pembinaan.

Jadi, apabila pemilik-pemiliknya telah ada kemampuan dan ekonominya bertambah baik, mudahlah mereka membuat ubahsuai kepada rumah mereka, untuk menjadikan rumah mereka lebih besar dan lebih selesa.

Ini juga boleh digunapakai kepada rumah-rumah pangsa atau bertingkat. Di Singapura misalnya, ada rumah-rumah pangsa telah diubahsuai dengan menambah bilik dari rumah asal yang mempunyai dua bilik kepada tiga bilik tanpa meruntuhkan bangunan atau rumah asal. Ini hanya boleh dilakukan jika tanah tapak asal rumah pangsa itu mempunyai kawasan yang luas.

Walaupun terpaksa mengambil masa yang lebih lama sedikit kerana kesempitan hidup, tetapi akhirnya mereka akan dapat juga memiliki rumah yang besar dan selesa seperti rakyat Malaysia yang lain.

Kerajaan atau majlis kerajaan tempatan juga boleh mengutip kadar cukai pintu yang lebih tinggi bila rumah-rumah kos rendah telah dibesarkan. Ini berasaskan, bila pemilik mampu membesarkan rumah mereka, ini bermakna mereka juga ada kemampuan untuk membayar lebih cukai.

Moga cadangan ini dapat perhatian dari semua pihak demi kesejateraan hidup rakyat keseluruhannya.

Friday, July 03, 2009

Manek Urai: Ketuanan Melayu Vs Ketuanan Islam


TUAN Aziz Tuan Mat adalah pilihan UMNO untuk mewakili BN sebagai calon mereka dalam pilihanraya kecil di Manek Urai pada 14 Julai ini.
Gelaran Tuan yang ada dipangkal nama beliau melambangkan warisan peninggalan dari zaman feudal di mana keturunan mencerminkan status di dalam masyarakat ketika itu.

Di zaman feudal, secara umumnya anak tukang kayu akan terus menjadi tukang kayu, anak nelayan akan terus menjalani kehidupan sebagai nelayan.

Menjadi amalan dalam masyarakat feudal, anak Tuan akan terus diangkat sebagai Tuan. Raja dan keturunannya akan terus dimuliakan. Apakah pemilihan Tuan Aziz sebagai calon UMNO ini mempunyai nilai sentimental untuk membangkitkan semula semangat Ketuanan Melayu yang telah banyak dipertikaikan oleh banyak pihak sekarang ini.

Apakah ketuanan Melayu masih relevan dalam suasana kita merayakan slogan 1Malaysia sekarang ini. Apakah konsep ketuanan Melayu tidak bercanggah dengan konsep 1Malaysia. Dimanakah tempatnya ketuanan Melayu dalam 1Malaysia

Sudah tentu Tuan Aziz yang banyak senyum atau tersengih itu tidak boleh menjadi 'tuan' kalau hendak menang dalam pilihanraya kecil ini. Sebaliknya kenalah menjadi hamba kepada rakyat. Kena mesra dan berkhidmat untuk rakyat. Kita bukan hidup di zaman feudal lagi, tetapi zaman manusia cerdik dan celik, yang mengamalkan demokrasi.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com