Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, November 25, 2008

AAM, tidak seperti yang saya harapkan.


Bila kenderaan kita terlibat dengan kemalangan, kita sangat mengharapkan ada pihak yang akan menguruskan kenderaan kita itu supaya dapat ditunda ke bengkel tanpa dikenakan apa-apa bayaran dan dihantar ke bengkel yang berkelayakan untuk dibaiki dan dapat menguruskan tuntutan insuran untuk kita.

Itulah perkhidmatan yang saya harapkan dari AAM bila saya melanggan perkhidmatan mereka. Tetapi selepas kenderaan saya terlibat dengan kemalangan di lebuhraya PLUS berhampiran kawasan Pagoh pada 22 November 2008 yang lalu, barulah saya sedar AAM tidak dapat memberi khidmat yang seperti mana yang saya harapkan itu.

Mungkin sebab itu jugalah kenapa tidak semua pemilik kenderaan bermotor berminat untuk melanggan khidmat AAM atau yang seumpamanya.

Mungkin pada fikiran sesetengah orang, kalau setakat hendak menukar bateri kereta sahaja tak perlulah untuk mendapatkan khidmat AAM.

Terma dan syarat yang dipamerkan pada kertas hebahan dan iklan syarikat yang memberi khidmat kepada orang ramai selalunya terlalu kabur, sukar difahami dan banyak perkara-perkara yang tersembunyi. Pelanggan hanya tahu keadaan yang sebenar bila tiba masa menggunakan perkhidmatan mereka.

Bila sampai masa kita memerlukan khidmat mereka barulah kita tahu khidmat yang mereka tawarkan itu tidaklah seperti mana yang kita bayang dan harapkan.

Dari pengalaman saya yang terlibat dengan kemalangan tempoh hari, AAM hanya mampu menghubungi bengkel yang berdaftar dengan AAM yang terletak berhampiran dengan tempat berlaku kemalangan itu, selebihnya kitalah kena berbincang dengan pihak bengkel tersebut bagaimana kenderaan kita yang rosak itu hendak diuruskan. AAM tidak akan menanggung apa-apa kos.

Secara peribadi saya tidak nampak kelebihan yang ketara untuk menggunakan perkhidmatan AAM terutamanya ketika kenderaan kita mengalami kemalangan. Sedangkan di waktu berlaku kemalanganlah yang kita sangat-sangat memerlukan pertolongan tanpa dibebani masalah kewangan.

Dari pengalaman yang saya alami itu,rasanya tidaklah perlu sangat untuk kita melanggan khidmat AAM atau perkhidmatan yang seumpamanya. Sebaliknya, perkara yang sangat penting yang perlu ada semasa anda memandu kenderaan ialah nombor-nombor telefon semua bengkel yang berkelayakan di seluruh Negara. Jika berlaku kemalangan, kita hanya perlu menghubungi bengkel yang paling hampir dengan merujuk kepada senarai bengkel yang kita ada itu.

Mungkin para pembaca blog ini ada mengalami keadaan yang sama dan telah mengetahui bengkel-bengkel yang beretika dan professional yang boleh diharapkan untuk membantu kita. Mungkin anda dapat berkongsi pengalaman tersebut dan dapat meninggalkan nombor telefon bengkel-bengkel yang boleh membantu kita di waktu kemalangan.

Sila catitkan nombor telefon bengkel tersebut beserta kawasannya di dalam ruang komen, moga sumbangan dari anda itu dapat memberi pertolongan yang sangat berharga kepada pengguna-pengguna kenderaan yang lain. Jasa baik anda itu, Allah sahaja yang akan membalasnya, insyallah.

Friday, November 14, 2008

10 Gagasan Pembentukan Bangsa Malaysia ~ ref malaysiakini

1. Pembentukan bangsa Malaysia harus bermula dari kanak-kanak, oleh itu langkah-langkah berikut perlu dilaksanakan:

  • Anak-anak mesti bersekolah di sekolah yang sama seperti yang dilaksanakan di Singapore.
  • Sekolah jenis kebangsaan mesti dihapuskan dan digantikan dengan sekolah yang boleh menempatkan anak-anak dari semua kaum yang merupakan sekolah yang boleh memenuhi keperluan dan tuntutan semua kaum.

2. Dasar ekonomi harus diubah, program bantuan dan pembelaan harus diberikan bukan berasaskan kaum tetapi berasaskan keperluan rakyat secara umum.

3. Tidak ada lagi istilah bumiputra dengan bukan bumiputera. Yang boleh diberi perhatian ialah antara penduduk luar Bandar dengan Bandar, dan penduduk berpendapatan rendah dengan penduduk pendapatan tinggi.

  • Tidak ada lagi apa yang dipanggil ‘Ketuanan Melayu’, kita bukan dilahirkan untuk menjadi tuan dan tidak juga menjadi hamba.
  • Sikap buruk dan tabiat negatif atau kelemahan dan kekurangan seseorang itu tidak boleh dikaitkan dengan kaum dan agamanya.
  • Setiap rakyat yang berjaya harus ada sikap ingin membantu dan perihatin kepada rakyat yang lemah dan tidak bernasib baik tanpa mengira kaum dan agama.

4. Semua kenaikan pangkat atau peluang mestilah diberikan berasaskan meritokrasi dan kebolehan seseorang.

5. Demokrasi yang sebenar mestilah menjadi amalan bangsa Malaysia, yang perlu mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Kebebasan media, bukan dikawal oleh parti yang memerintah.
  • Kebebasan berhimpun dan berucap secara aman, tanpa perlu permit polis, cukup sekadar memaklumkan kepada polis.
  • Polis yang bebas dan berintegriti.
  • Badan perundangan dan kehakiman yang bebas, adanya pemisahan kuasa yang jelas antara badan perundangan dan badan eksekutif.
  • BPR yang bebas dan berkredibiliti.
  • Suruhanjaya Pilihanraya mestilah bebas, adil dan telus.

6. Semua masalah hubungan kaum dan agama hendaklah diselesaikan secara permuafakatan dan bukan secara emosi. Menghormati nilai-nilai dari kaum dan agama yang berbeza.

7. Menghapuskan parti politik yang berasaskan kaum, semua parti politik hendaklah dibuka keahliaannya untuk semua kaum.

8. Menghapuskan diskriminasi dan peminggiran kaum dalam mana-mana organisasi, samada dalam jabatan kerajaan mahupun dalam sektor swasta.

9. Menggunakan satu bahasa yang boleh menghubungkan antara kaum-kaum yang ada, di samping membenarkan bahasa-bahasa lain juga digunakan.

10. Tidak memaksa nilai-nilai dari satu agama dan dari satu kaum diterapkan kepada semua, tetapi haruslah diterapkan secara natural dan sukarela. Sebagai contoh mudah, roti canai adalah makanan yang telah diperkenalkan oleh masyarakat India. Orang Melayu dan orang Cina tidak pernah dipaksa memakannya. Kini tidak boleh dinafikan lagi tanpa kita sedari roti canai telah menjadi salah satu identiti makanan orang Malaysia.

Hanya bila kita semua sudah bersedia melaksanakan kesemua gagasan di atas barulah kita dapat mengharapkan kemunculan satu Bangsa Malaysia di masa depan. Kalau tidak, selamanyalah kita gagal membentuk Bangsa Malaysia walaupun kita ada Negara.

Dengan ini saya menjemput anda semua memberi pandangan atau komen dan maklum balas terhadap Gagasan Pembentukan Bangsa Malaysia ini.

Wednesday, November 12, 2008

Harga Tambang AirAsia Mengelirukan ~ ref malaysiakini

Apabila kita membeli suatu barang di kedai, kita akan membayar mengikut tanda harga yang dilekatkan pada barang tersebut. Kalau kita bersetuju dengan harga yang dipamerkan itu maka kita akan beli untuk mendapatkannya. Cara ini memang mudah, jelas dan tidak mengelirukan orang ramai.

Tetapi kebiasaan ini tidak boleh dipakai pada harga tambang penerbangan AirAsia. Mungkin harga tiket yang diiklankan hanya RM9.90 untuk ke satu destinasi penerbangan, tetapi bila kita beli tiket tersebut harganya boleh mencecah lebih dari RM70. Ini memang mengelirukan.

Mungkin ini merupakan strategi AirAsia bagi menarik perhatian orang ramai untuk menggunakan penerbangannya, tetapi saya rasa cara ini adalah keterlaluan dan kurang bertanggungjawab.

Kalau kita hendak membeli kereta pun, penjual kereta akan menawarkan kepada kita harga di atas jalan bukan harga sebelum cukai. Kalau harga sebelum cukai dan tidak termasuk insuran tentu harga kereta itu kelihatan jauh lebih murah. Walupun kelihatan lebih murah tetapi tidak pernah pula penjual kereta menawarkan kepada kita harga sebelum cukai, kerana sudah tentu harga tersebut tidak membolehkan kita memandu keluar kereta tersebut dari kedainya.

Memang ada juga restoran-restoran yang mengenakan cukai kerajaan sekitar 5% bila kita beli makanan di restoran tersebut. Walaupun harga makanan yang dipamerkan tidak termasuk cukai 5% itu, tetapi ini tidak memberi banyak masalah kepada orang ramai kerana jumlah cukai yang dikenakan itu amat kecil. Kalau harga makanan itu sebanyak RM10, bermakna orang ramai kena membayar lebih 50 sen menjadi RM10.50.

Perbezaan yang kecil antara harga yang dipamer dengan harga yang pengguna kena bayar itu tidaklah menimbulkan kekeliruan kepada pengguna dan masih boleh diterima. Tetapi kalau perbezaannya sudah menjadi berlipat ganda dari RM10 kepada RM70, ini sudah tidak masuk akal.

Kalau di masa dulu, kalau kita beli tiket penerbangan MAS, kita akan bayar seperti harga tiket yang dipamerkan. Kita tidak akan dikenakan apa-apa bayaran tambahan selain dari harga tiket itu. Bila kita bayar harga tersebut pasti kita akan sampai ke tempat yang kita hendak tuju. Cara ini mudah, jelas dan tidak mengelirukan.

Tetapi bila kerajaan mula menggalakkan perkhidmatan awam diswastakan, maka bermulalah episod demi episod ‘penipuan’ terhadap pengguna. Sudah menjadi kebiasaan syarikat-syarikat swasta ini mengenakan caj-caj tersembunyi kepada orang ramai. Mereka mengambil kesempatan di atas kejahilan orang ramai.

Kita bersetuju perkhidmatan awam diswastakan untuk memberi perkhidmatan yang lebik baik dan cekap kepada orang ramai, tetapi janganlah sampai boleh menimbulkan kekeliruan dan menyusahkan orang ramai.

Pemimpin sepatutnya membela dan berjuang untuk rakyat, bukannya berjuang dan menjaga kepentingan pelabur dan pemegang saham dengan menggunakan landasan undang-undang bagi ‘merompak’ rakyat.

Friday, November 07, 2008

Gajah depan mata tak nampak ~ ref malaysiakini


Seperti dilapurkan oleh Utusan Malaysia pada 7 November 2008:


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini
berkata, sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia membebaskan diri mereka
daripada belenggu isu perkauman.

Dengan mengambil Barack Obama, yang dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat, sebagai contoh, Ong berkata: "Sedihnya di Malaysia, kita masih berbalah dalam soal remeh berhubung pelantikan seorang wanita Cina sebagai Pemangku Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Sudah sampai masanya bagi kita membebaskan
diri melakukan sesuatu perkara secara ortodoks. Di Amerika Syarikat, ia
mengambil masa lebih 200 tahun bagi seorang lelaki kulit hitam untuk dipilih
sebagai presiden di sebuah negara yang dikuasai orang kulit
putih.

"Ironiknya, rakyat di Malaysia, yang bersorak untuk Obama tidak
berfikir bahawa seorang wanita Cina itu layak menerajui PKNS, kata Ong yang juga Menteri Pengangkutan, dalam satu kenyataan di sini.

Ong berkata, reaksi daripada sesetengah ahli politik daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang berhubung pelantikan itu menunjukkan bahawa mereka masih lagi berada di dalam kepompong perkauman mereka sendiri.

Petikan kata-kata Presiden MCA yang baru itu seperti memberi sindiran yang jelas dan terang kepada parti BN terutama rakan UMNOnya tentang perlunya melihat perbezaan kaum di Malaysia secara lebih terbuka.

Selepas Obama menang dalam pemilihan presiden USA pada 4 November 2008 yang lalu membuatkan UMNO yang sangat kuat mempertahankan “ketuanan Melayu” rasa terpukul.

Obama merupakan keturunan kulit hitam Afrika berjaya diangkat menjadi Presiden USA. Bapa Obama adalah pendatang dari Kenya. Kita begitu gembira merayakan kemenangan Obama sebagai simbol kemenangan meritokrasi, tetapi kita lupa yang Negara kita sendiri masih dibelenggu dengan amalan-amalan yang bersifat perkauman. Ini umpama seperti gajah yang di depan mata, kita tak nampak.

Kemenangan Obama ini sepatutnya memberi pengajaran yang baik kepada kita semua. Malu rasanya kalau selepas ini nak menyebut perkataan “ketuanan Melayu” itu. Kalau orang yang tahu malu tentu tidak tahu dekat mana nak menyorokkan muka kecualilah kalau kita bangsa yang memang tak tahu malu.

Wednesday, November 05, 2008

Obama menang, UMNO masih berpolitik dengan ketuanan Melayu.


Obama menang. Masyarakat dunia semakin matang. Sudah jelas warna kulit bukan lagi dilihat sebagai perbezaan status manusia. Sekarang setiap diri manusia dinilai melalui meritokrasi, kredibiliti dan integriti yang mereka miliki.


Sedihnya UMNO masih sibuk dengan ketuanan Melayunya. Sudah sudahlah tu.


Kalau kita terlalu ekstrim dan taksub kepada kaum kita, ini hanya akan menjemput tindakan yang serupa dari kaum-kaum yang lain.


Kalau kita mengambil tindakan diskriminasi dan meminggir kaum lain, kita juga akan menghadapi tindakbalas yang sama dari kaum tersebut. Ini memang hukum alam semulajadi, sama macam hukum Newton dalam Fizik, hukum Lenz dalam Elektrik, setiap tindakan akan ada tindakbalas yang cuba menentang atau menutralkan semula sesuatu tindakan itu. Itulah yang dinamakan hukum imbang.


Menggunakan kaedah yang kotor untuk menjayakan matlamat dan agenda kita adalah cara yang tidak bermaruah dan bukan cara anak jantan.


Kemenangan Obama ini tentunya akan dapat merapatkan hubungan antara Barat dengan Timur. Moga beliau dapat menukar Amerika dari sebuah negara kuasa besar yang ditakuti menjadi negara kuasa besar yang dihormati dan disegani. Seterusnya dapat memimpin dunia kearah yang lebih baik, lebih aman dan lebih makmur.


Kita tidak mahu lagi mendengar Amerika menjadi negara yang menggalakkan peperangan kerana hendak mengaut keuntungan dari perdagangan senjata dan kelengkapan perang.


Kita tidak mahu lagi mendengar Amerika membakar dan memusnahkan hasil gandumnya yang berlebihan semata-mata hendak mengawal harga gandum, sedangkan berjuta rakyat di benua Afrika hidup dalam kebuluran.


Moga di bawah pimpinan Obama Amerika benar-benar akan berubah kepada yang lebih baik seperti yang dilaungkan dalam slogan kempen beliau.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com