Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, August 31, 2008

Antara Menunaikan tanggungjawab dan Menuntut hak.

Semua manusia mempunyai tanggungjawab yang telah digariskan oleh agama, kepercayaan, adat, norma masyarakat, peraturan dan undang-undang. Telah menjadi kewajiban kepada kita untuk menunaikan segala tanggungjawab kita sebaik yang mungkin kepada yang berhak.

Apabila semua orang dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan sempurna maka tidak timbullah lagi soal untuk menuntut hak.

Sebagai contoh, apabila majikan dapat menunaikan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan para pekerjanya, seperti membayar gaji dan megadakan kemudahan-kemudahan seperti yang telah dijanjikan maka tidak ada sebab untuk pekerjanya menuntut hak-hak mereka lagi.

Selagi pihak yang bertanggungjawab dapat menunaikan tanggungjawabnya kepada pihak yang dia harus bertanggungjawab, selagi itulah hubungan kedua-dua pihak itu dapat berjalan dengan baik dan selesa.

Tetapi jika suasana di mana menuntut hak sering berlaku, ini menunjukkan hubungan antara kedua-dua pihak tersebut tidak berada tahap yang begitu baik dan selesa.

Kalau seorang isteri datang ke makamah untuk menuntut haknya supaya suaminya dapat menyediakan rumah atau tempat tinggal, tentu kita dapat bayangkan bagaimana tahap hubungan suami isteri tersebut.

Apapun yang lebih utama yang perlu ada di sini ialah sikap kasih sayang, perihatin, kemesraan dan tolak ansur antara satu sama lain. Jika sikap-sikap ini menjadi budaya dan pakaian kita tentu soal untuk menuntut hak ini tidak akan timbul dalam masyarakat.

Tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah, tangan yang di atas adalah orang yang menunaikan tanggungjawabnya, manakala tangan yang di bawah adalah orang yang suka menuntut hak.

Janganlah kita jadikan makamah tempat untuk kita menuntut hak tetapi jadikanlah makamah sebagai tempat untuk kita mendapat panduan yang betul untuk kita mengetahui tanggunjawab kita.

Seperti telah berlaku dalam sebuah kisah yang sangat mashur berlaku di zaman dulu iaitu kisah penjual ikan dengan pembeli ikan. Pada satu hari pembeli ikan menemui sebutir permata yang sangat mahal harganya dalam perut ikan yang dibelinya.

Pembeli ikan telah menyerahkan permata itu kepada penjual ikan kerana beranggapan penjual ikanlah yang berhak ke atas permata itu tetapi telah ditolak oleh penjual ikan dan mengatakan pembeli ikanlah yang lebih berhak ke atas permata itu. Oleh kerana masing-masing tidak mahu menerima permata itu lalu mereka membawa kes itu ke makamah untuk menyelesaikan.

Mereka ke makamah bukan untuk berebut menuntut hak pemilikan permata yang ditemui dalam perut ikan itu tetapi sebaliknya meminta makamah menentukan kepada siapa permata itu patut diberikan antara mereka berdua.

Majikan yang ada perasaan perihatin dan timbang rasa kepada pekerjanya, tentu tidak akan teragak-agak untuk memberi bonus, dan lain-lain faedah tambahan kepada pekerjanya jika majikan mendapat lebih keuntungan. Ini menunjukkan sikap mesra dan hubungan baik yang terjalin antara majikan dan pekerja boleh mendorong majikan menunaikan tanggungjawab lebih dari yang sepatutnya dan pekerja pula mendapat hak lebih dari yang sepatutnya mereka dapat dari majikan.

Begitu juga dalam kehidupan rumahtangga, perasaan kasih sayang dan cinta yang terjalin antara suami isteri akan mendorong pihak suami atau isteri memberi lebih dari sekadar melepaskan tanggungjawab sahaja. Akhirnya suami atau isteri akan mendapat lebih dari yang sepatutnya dia dapat dari pasangan mereka.

Kita tidak akan dipersalahkan kalau tidak hendak membawa isteri dan anak-anak sekali sekala makan di restoran-restoran yang mahal, atau membawa mereka melancung ke pantai-pantai peranginan. Tetapi kita bawa juga mereka ke sana sebab adanya perasaan kasih sayang dan kemesraan kita terhadap mereka, sekalipun perkara-perkara tersebut tidak dituntut sebagai tanggungjawab kita.

Perasaan kasih sayang dan timbang rasa juga dapat menghalang suami isteri dari menuntut hak mereka jika pasangan mereka tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab mereka atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan. Di waktu senang mereka tidak lokek berkongsi kesenangan dan di waktu susah pula mereka bersama bersabar mengharungi kesusahan.

Yang selalu sangat kita dengar berkaitan kisah menuntut hak ini ialah wanita yang telah diceraikan oleh suami menuntut nafkah dari bekas suami untuk anak-anak yang dijaga oleh wanita tersebut. Dalam hal menuntut nafkah ini, ramai wanita sanggup turun naik makamah untuk menuntut haknya.

Ini memang dijangkakan berlaku kerana pasangan suami isteri yang bercerai memang tidak ada lagi rasa kasih sayang antara mereka malah ada yang bertukar menjadi benci. Kadang-kadang ada juga bekas suami yang baik dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah untuk anak-anak yang dijaga oleh bekas isteri, tetapi oleh kerana perasaan benci menguasai diri, rasa tidak puas hati terus juga berlaku.

Banyak juga yang kita lihat dimana bekas isteri yang terus menerus bersikap baik terhadap bekas suami mereka walaupun telah bercerai, tidak ada ruginya bekas isteri bersikap demikian malah mereka akan selalu mendapat lebih dari sepatutnya mereka dapat dari bekas-bekas suami mereka itu.

Sebenar dalam keadaan yang tertentu tidaklah perlu sangat untuk kita menuntut hak kita, tambahan lagi kita tidak akan ditanya oleh Tuhan tentang hak yang kita tidak tuntut, sebaliknya yang akan ditanya oleh Tuhan ialah tentang tanggungjawab kita yang telah tidak kita tunaikan terhadap yang berhak.

Usahlah kita risau kalau bekas suami kita tidak menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah untuk anak-anaknya kerana dia pasti tidak akan terlepas dari ditanya oleh Tuhan di Akhirat nanti.

Usaha membawa ke makamah untuk menuntut hak kita bukanlah merupakan jalan penyelesaian terbaik. Walaupun dengan melalui perintah makamah kita boleh mendapat hak kita tetapi keputusan makamah belum tentu akan dapat memadamkan kebencian dan permusuhan antara kedua-dua pihak.

Pemimpin yang baik akan sentiasa menunaikan segala tanggugjawabnya kepada rakyat. Pemimpin yang ada perasaan kasih kepada rakyatnya akan berkhidmat untuk rakyatnya melebihi dari sekadar menunaikan tanggungjawab.

Ada seorang hamba Allah yang telah dilantik menjadi Menteri Besar di sebuah negeri mempunyai rasa perihatin yang sangat tinggi kepada masalah rakyatnya walaupun negerinya tidak sekaya negeri-negeri lain. Dikatakan beliau tidak mahu jalan masuk ke rumah beliau diturap dengan tar selagi semua jalan-jalan ke rumah rakyatnya dapat di turap dengan tar terlebih dahulu.

Sikap mulia pemimpin seperti ini membuatkan rakyat begitu tersentuh, membuatkan beliau sangat dikasihi oleh rakyat, malah rakyat sanggup mati untuk mempertahankan pemimpin ini.

Berbanding seorang lagi pemimpin dari negeri lain, yang dikatakan berasal dari kawasan Jelebu. Selang tidak berapa lama dari dilantik menjadi Menteri Besar, jalan ke rumah di kampungnya bukan sahaja diturap dengan tar malah dibesarkan hampir sama macam lebuh raya, tanpa memperdulikan banyak lagi jalan-jalan kampung lain tidak bertar.

Sudah tentu rakyat tidak akan mengasihi pemimpin seperti ini dengan sepenuh hati, ada setengah rakyat hanya berpura-pura sahaja mengasihi beliau untuk mendapatkan habuan dari beliau. Jika beliau jatuh dari jawatannya, semua rakyat akan lari menjauhi beliau.

Kesimpulannya, kita perlu ada perasaan kasih sayang, perihatin, timbang rasa, tolak ansur dan baik sangka antara satu sama lain, yang kita lahirkan secara ikhlas dan jujur. Jika kita memiliki sikap dan sifat-sifat ini pasti kita akan sentiasa menjadi pihak yang beruntung atau ‘murah rezeki’. Insyallah ini bukan sahaja akan mendorong kita untuk menunaikan tanggungjawab lebih dari yang sepatutnya tetapi kita juga akan menerima lebih dari apa yang sepatutnya kita terima.

Adalah tidak rugi kalau kita berbuat baik.

Related topics:
Antara hak dan tanggungjawab. (Nur Aflah)

Tuesday, August 26, 2008

Hanya Penjara boleh menyekat suara Anwar


Seperti yang kita saksikan di piliharaya kecil Permatang Pauh, BN telah menggerakkan usaha bersekala besar bagi mematahkan kemaraan Anwar ke Dewan Parlimen.

Berbagai-bagai usaha telah dilakukan oleh BN bagi menyekat Anwar memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh yang keputusannya mungkin boleh diketahui awal malam ini (26 Ogos 2008), termasuklah tuduhan-tuduhan yang mungkin diada-adakan dan direka-reka bagi menjatuhkan kredibiliti Anwar, dari kes liwat hinggalah ke kes rasuah.

Walaupun tuduhan-tuduhan itu belum dibicarakan dan belum diputuskan oleh makamah, tetapi ia sudah cukup untuk mengoyahkan kepercayaan orang ramai terutamanya pengundi di Permatang Pauh terhadap kewibawaan Anwar.

Kelantangan dan kepetahan Anwar sangat digeruni oleh kerajaan BN yang memerintah, oleh itu BN ada sebab yang kuat untuk cuba sedaya yang mungkin bagi menyekat Anwar dapat bercakap di Dewan Parlimen.

Melihat kepada sambutan pengundi-pengundi di Permatang Pauh hari ini yang memberansangkan kepada Anwar memang sukar untuk BN menang dalam pilihanraya kecil itu. Nampaknya usaha melalui cara demokrasi memang BN tidak dapat menyekat kemaraan Anwar ke Parlimen.

Pilihan yang ada kepada kerajaan BN selepas ini bagi menyekat Anwar ialah dengan menggunakan penjara dan makamah sahaja. Kita tidak berasa pelik kalau selepas ini kerajaan BN akan menggunakan BPR, makamah dan polis untuk menahan Anwar dalam penjara bagi kesalahan yang diada-adakan atau direka-reka.
Dalam masa yang sama kerajaan BN juga sedang dan akan menghadapkan beberapa orang wakil rakyat dan wakil parlimen dari Pakatan Rakyat ke makamah atas kesalahan rasuah dan salah laku seks yang sengaja diada-adakan dalam usaha untuk menghilangkan kelayakan mereka menjadi wakil rakyat dan wakil parlimen.
Apabila ramai wakil rakyat dan wakil parlimen dari Pakatan Rakyat hilang kelayakan, maka bertambah sukarlah Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan seperti yang telah dirancang oleh Anwar sebelum ini.

Taktik memenjarakan Anwar yang digunakan pada tahun 1998 mungkin akan berulang lagi. Hanya tembok penjara saja yang dapat melenyapkan suara Anwar.

Friday, August 15, 2008

Asal usul Kontrak Sosial.

Masa sebelum Negara kita merdeka dulu memang ramai pekerja-pekerja kontrak dari Negara China dan India datang ke Malaysia yang di bawa oleh kerajaan British untuk bekerja di lombong-lombong bijih dan ladang-ladang getah di Negara ini. Tetapi masa tu mereka tidaklah dipanggil sebagai pekerja kontrak.

Memang sifat orang Melayu dari dulu lebih selesa menjadi ‘tuan’ mereka tidak berapa suka kerja sebagai buruh kontrak ni. Mungkin juga kerajaan British ketika itu bayar upah yang murah maka orang Melayu tak suka kerja seperti itu.

Sama jugalah seperti masa sekarang ini, kerja-kerja pembinaan yang memerlukan tenaga tulang empat kerat, kerja-kerja yang bergaji murah seperti pelayan-pelayan kedai, membersih bangunan atau pejabat tidak diminati oleh rakyat tempatan.

Oleh itu kerja-kerja seperti ini telah diambil alih oleh pendatang-pendatang dari luar seperti dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar. Akhirnya ramailah pekerja-pekerja asing ini memenuhi Negara kita.

Mereka ini datang dengan niat untuk bekerja bagi mendapatkan wang untuk dihantar balik bagi keperluan keluarga mereka yang ditinggalkan di kampung. Mereka yang datang bekerja ini juga tidak pernah memikirkan untuk terus tinggal menetap di Malaysia.

Kehidupan mereka di sini sungguh ringkas sekali. Mereka makan sekadar yang boleh mengenyangkan, pakaian pun jarang berganti baru, tinggal di rumah kongsi, lebih baik sikit mungkin ada majikan yang menyewakan rumah untuk dikongsi beramai-ramai dan jauh sekalilah untuk membeli perabut-perabut mahal dan harta kekal kerana susah untuk dibawa balik ke Negara asal mereka nanti.

Kecintaan mereka kepada Negara ini memang boleh dikatakan tidak ada, hati dan perasaan mereka hanyalah kepada Negara asal mereka sahaja.

Kita sebagai warganegara dan rakyat tempatan tidak begitu selesa dengan kehadiran pendatang-pendatang asing ini. Resam dan budaya mereka jauh berbeza dengan kita. Sudah tentu kita tidak mahu kalau pekerja-pekerja asing ini diberikan taraf warganegara. Kita masih curiga dengan kesetiaan dan kecintaan mereka terhadap Negara ini.

Suasana beginilah yang berlaku semasa menjelang Negara kita mencapai kemerdekaan dahulu. Masyarakat Melayu yang merupakan penduduk tempatan Malaya ketika itu sangsi dengan kesetiaan dan kecintaan orang-orang Cina dan India terhadap Negara ini yang kehadiran mereka sebelum itu hanya dianggap sebagai pekerja asing yang mencari wang di sini.

Kebanyakan pekerja-pekerja Cina dan India ketika itu memang lahir di Negara asal mereka, mereka datang ke Malaya untuk bekerja bagi mendapatkan wang. Oleh itu memang tak dapat dinafikan kesetiaan dan kecintaan mereka kepada Negara asal itu masih tebal, Malaya hanyalah tempat mereka mencari makan sahaja.

Tidak hairanlah kalau semasa penjajahan Jepun tahun 1941, ramai orang-orang Cina di Malaya dibunuh oleh Jepun kerana orang-orang Cina di Malaya ini juga dianggap sebagai warga Negara China. Di waktu itu Jepun juga berperang dengan Negara China.

Apabila British menawarkan Merdeka kepada Malaya, British telah meletakkan syarat supaya orang-orang asing yang mereka bawa ke Malaya iaitu orang-orang Cina dan orang-orang India hendaklah diterima sebagai warganegara seperti orang Melayu, tentulah syarat yang dikenakan British ini amat berat untuk diterima oleh penduduk tempatan atau orang Melayu ketika itu.

Samalah beratnya seperti kita hendak menerima pekerja-pekerja asing dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar sekarang ini untuk menjadi warganegara Malaysia.

Memang ada sebab untuk orang tempatan berasa bimbang kalau pendatang atau pekerja asing ini diberikan taraf warganegara, kerana khuwatir orang asing ini akan merampas hak-hak dan keistimewaan yang mereka miliki sebagai rakyat tempatan.

Maka dari situlah lahirnya apa yang dinamakan ‘kontrak sosial’ yang telah dipersetujui antara pemimpin-pemimpin dari tiga kaum terbesar ini iaitu Melayu, China dan India bagi mencari jalan tengah bagi mengatasi masalah tersebut.

Mengikut yang punya cerita, dari ‘kontrak sosial’ inilah lahirnya ‘ketuanan’ dan ‘keistimewaan’ orang-orang Melayu yang telah dipersetujui antara pemimpin-pemimpin kaum tadi.

Kini kita telahpun 50 tahun merdeka, hampir semua orang Cina dan orang India yang menjadi warganegara Malaysia hari ini adalah lahir di bumi Malaysia ini. Kesetiaan dan kecintaan mereka kepada Malaysia memang tidak boleh disangsikan. Di sinilah tempat mereka dilahirkan dan disini jugalah tempat mereka mahu dikebumikan.

Oleh itu ‘kontrak sosial’ yang pernah dipersetujui untuk suasana di masa yang lalu itu memang tidak relevan lagi. Kita tidak kira kaum seharusnya mempunyai hak yang sama, tidak ada siapa harus menjadi ‘tuan’ dan tidak ada siapa juga yang harus menjadi ‘hamba’. Kita bukan lagi berdepan dengan pekerja asing dari China dan dari India seperti sebelum merdeka dulu, tetapi sekarang kita berdepan dengan orang Cina dan India yang lahir di bumi Malaysia.

Kalau etnik Jawa, Minang, Banjar, Bugis telah boleh diterima setaraf warganegara Melayu lainnya, maka tidak ada sebab etnik Cina dan India tidak boleh mendapat taraf yang sama.

Mungkin perbezaan adat dan agama menyebabkan kita sukar untuk bergaul antara satu sama lain, tetapi ini bukanlah sebab untuk kita membeza-bezakan hak-hak mereka melalui ‘kontrak sosial’ yang dikenakan kepada mereka tanpa mereka mengetahui justifikasi disebalik kewujudan ‘kontrak sosial’ itu.

Wednesday, August 13, 2008

Khalid hina UiTM, orang Melayu?

Memetik lapuran akhbar pada 12 Ogos 2008:


PUTRAJAYA 11 Ogos – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin menyelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana sanggup menggadaikan hak keistimewaan orang Melayu dengan mengemukakan cadangan supaya kuota pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera. Menyifatkan saranan tersebut sebagai populis dan bertujuan memancing sokongan bukan Melayu, beliau berkata, cadangan berkenaan juga satu penghinaan kepada orang Melayu, bumiputera dan institusi pengajian itu sendiri.




Itulah wajah politik orang UMNO, di depan orang Melayu cakap lain, di depan orang bukan Melayu mereka cakap lain. Merekalah juga yang sering menuduh pembangkang parti yang mengamalkan perkauman yang sempit.

Tetapi apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyarankan supaya kuota 10% pelajar UiTM dibuka kepada bukan Melayu, UMNO jadi marah dan tidak setuju pula.


Saranan sebegitu sepatutnya harus digalakkan dan diberi pujian kerana ia boleh membuka ruang untuk menggalakan perpaduan dan intergrasi antara kaum. Oleh itu kenapa UMNO harus marah sedangkan merekalah yang selalu melaung-laungkan perpaduan antara kaum.

Dengan semangat yang kononnya untuk membela kepentingan orang Melayu, beribu-ribu pelajar UiTM telah keluar berhimpun untuk menunjukkan rasa marah mereka kepada Khalid Ibrahim dan menyerahkah memorandum bantahan terhadap saranan beliau itu.


Itulah AUKU yang telah digubal oleh UMNO, pelajar hanya akan diambil tindakan jika berhimpun dan berdemontrasi membantah apa yang kerajaan BN buat, tetapi tidak akan diambil tindakan jika berdemontrasi membantah parti pembangkang.


Pemimpin-pemimpin UMNO yang selalu melaungkan perpaduan tetapi mereka jugalah yang membantah saranan untuk membenarkan pelajar bukan Melayu belajar bersama-sama rakan Melayu mereka dalam satu institusi yang sama. Jelaslah kepada kita ucapan yang hendakkan perpaduan kaum yang selalu mereka laungkan itu hanyalah hipokrit sahaja.


Sekarang nampaklah kepada kita belang sebenar UMNO, merekalah sebenarnya parti yang mengamalkan dan menggalakkan perkauman yang sempit.

Oleh itu tidak hairanlah kita kalau perbezaan kaum di negara ini terus melebar kerana UMNO yang memerintah tidak faham makna perpaduan.

Thursday, August 07, 2008

Pelajar dibenar berpolitik, suatu persediaan masa depan UMNO

Seperti dilapurkan dalam Malaysiakini.com pada 2 Ogos 2008:

Penuntut Institusi Pengajian Tinggi akan dibenarkan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan ahli politik termasuk dari pembangkang apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selesai dipinda dan diluluskan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.Beliau berkata pertemuan dan perbincangan boleh dilakukan menerusi seminar, ceramah atau forum berbentuk ilmiah."Saya tidak fikir mana-mana parti politik akan menggunakan cara berucap dan berkempen politik jalanan apabila masuk kampus kerana mereka yang ada di sini (universiti) adalah orang yang berpengetahuan, ada ilmu dan mereka akan buat ukuran," katanya dalam laporan Bernama.Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia di ibunegara hari ini, Mohamed Khaled bagaimanapun menegaskan bahawa penuntut universiti tidak dibenarkan untuk menyertai parti politik.


Saya melihat perkara ini sebagai persediaan oleh UMNO untuk kepentingan masa depan politik UMNO itu sendiri. Melihat kepada senerio politik masa sekarang ini tidak mustahil satu hari nanti tampuk kuasa politik Malaysia akan bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat.

Penguasaan UMNO melalui AUKU ke atas universiti-universiti dan aktiviti pelajarnya seperti masa-masa yang lalu mungkin akan menjadi sejarah bila kerajaan bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat. Di waktu itu nanti Pakatan Rakyat pulalah yang akan mendapat kelebihan dari akta AUKU ini.

Oleh itu tidak hairanlah kerajaan UMNO telah cuba merubah beberapa polisi yang membenarkan suara parti pembangkang dapat disuarakan dengan mudah melalui apa saja saluran yang ada termasuklah melalui persatuan dan kegiatan pelajar di universiti.

Ini adalah merupakan persediaan awal UMNO untuk menghadapi masa depan yang mungkin bertukar menjadi pembangkang suatu masa nanti.

Malah di masa ini pun UMNO telah menjadi pembangkang di lima buah negeri, dan ada di antara universiti-universiti di Negara ini yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. Oleh itu UMNO terpaksa merubah AUKU untuk mempastikan mereka boleh menembusi tembok universiti-universiti yang di bawah kerajaan Pakatan Rakyat ini.

Begitulah cara UMNO, kalau tak menguntungkan pihaknya tentu dia tak akan ubah. Apapun perubahan kepada AUKU ini tentunya akan memberi impak yang besar kepada sahsiah dan ketrampilan pelajar-pelajar kita nanti.

Dan kita tidak terkejut kalau dalam sedikit masa lagi UMNO juga akan menghapuskan akta ISA atau membuat perubahan kepada akta tersebut, kerana selama ini akta inilah yang biasa digunakan oleh UMNO untuk menyekat kelantangan suara pemimpin pembangkang. Kalau tidak dibuat perubahan sekarang, sudah pasti satu hari nanti akta ini akan menjadi senjata makan tuan kepada pemimpin-pemimpin UMNO bila mereka bertukar menjadi parti pembangkang.

Wednesday, August 06, 2008

Tidak boleh pinjam bank untuk tunai haji?

Memetik berita yang tersiar pada akhbar Utusan Malaysia 6 Ogos 2008:



KUALA LUMPUR 5 Ogos – Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa umat Islam tidak boleh membuat pinjaman peribadi dengan syarikat kewangan atau bank untuk menunaikan ibadah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan tiga syarat utama untuk menunaikan ibadat tersebut iaitu kemampuan daripada segi kewangan, sihat tubuh badan dan berkelapangan.

Memanglah benar salah satu syarat wajib haji itu ialah bila ada kemampuan dari segi harta dan kesihatan untuk membolehkan seseorang itu sampai ke tanah suci Mekah, tetapi seseorang yang meminjam dengan bank tidak bermakna orang itu susah atau tidak mampu.

Bukanlah mudah untuk bank hendak meluluskan suatu pinjaman sesorang itu, bank akan terlebih dahulu meneliti dari segi keupayaan seseorang untuk membayar balik hutangnya. Kalau bank tidak meluluskan pijaman seseorang, menunjukkan orang itu memang tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan.

Kalau seseorang itu boleh lulus pinjaman bank untuk membeli kereta hingga RM100,000.00 dan rumah berharga RM150,000.00 dan mampu membayar balik hutangnya secara berjadual kenapa pula dia tidak boleh meminjam untuk pergi haji yang belanjanya tidak sampai RM15,000.00.

Kalau sekalipun dengan membuat pinjaman kereta dan rumah sebanyak itu telah menyebabkan dia tidak layak lagi membuat pinjaman lain melalui bank, mungkin dia masih boleh berkompromi dengan membeli kereta yang harga lebih murah sedikit seperti Proton Waja yang harganya sekitar RM60,000.00 dan selebihnya lagi untuk membuat pinjaman pergi haji kalau dia berasa menunaikan haji itu satu perkara yang penting juga.

Zaman telah berubah, zaman nabi dahulu tidak ada sistem perbankan seperti sekarang ini, masa itu kalau hendak pinjam wang hanya meminjam dari orang saja. Sudah tentu meminjam dari orang tidak dibenarkan kerana ini akan menyusahkan dan membebankan orang lain yang memberi hutang.

Di zaman nabi juga tidak ada konsep kerja tetap dan kerja makan gaji di mana hutang boleh dibayar secara berjadual ikut kemampuan peminjam. Pembayaran balik hutang secara berjadual yang jumlahnya dalam kemampuan peminjam sebenarnya tidaklah membebankan peminjam. Yang kita khuawatiri dan tidak dibenarkan ialah bila hutang itu membebankan peminjam.


Sekarang ini pun pinjaman bank dilindungi oleh insuran atau takaful, sekiranya peminjam mati sebelum hutang selesai habis dibayar, ia akan ditanggung oleh takaful dan ini tentu tidak akan membebankan waris mereka.

Ada juga setengah orang Islam yang bersikap terlalu ekstrim, sehingga mereka tidak akan pergi haji selagi hutang kereta dan hutang rumah yang dibuatnya melalui bank tidak selesai. Orang yang begini, walaupun sudah ada duit simpanan cukup untuk pergi haji tetapi masih juga enggan pergi haji kerana mereka berpegang kepada prinsip selagi hutang tidak selesai selagi itulah tidak boleh pergi haji.

Ada juga yang meminjam dari bank untuk membeli kereta mewah dan rumah mewah melebihi dari keperluannya dan mereka mampu membayar hutang tersebut, tetapi oleh kerana terpaksa membayar hutang setiap bulan dengan jumlah yang besar, mereka tidak dapat menyimpan duit untuk pergi haji. Padahal jika dia meminjam sekadar untuk membeli kereta dan rumah yang diperlukan sahaja, tentu dia akan mempunyai lebihan setiap bulan untuk disimpan bagi belanja pergi menunaikan haji.

Apapun yang lebih penting di sini ialah kita kena tanya hati kita sendiri dengan ikhlas, apakah kita telah berusaha sedaya upaya untuk menunaikan ibadat haji suruhan Tuhan ini. Janganlah kita jadikan fatwa yang dikeluarkan sebagai alasan untuk kita melengahkan pergi haji. Bimbang kalau kita mati sebelum sempat untuk pergi menunaikan haji sedangkan kita ada keupayaan kearah itu. Minta dijauh kita mati dalam kemurkaan Allah.

Friday, August 01, 2008

Anwar tiada sifat ‘ayam jantan’?



Seperti dilapurkan dalam akhbar Harian Metro 1 Ogos 2008:



Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Noh Omar, berkata Anwar sebelum ini heboh menyatakan bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, tetapi berubah pendirian apabila memilih Permatang Pauh yang dilihatnya sebagai kawasan selamat.“Walaupun sebagai rakyat Malaysia, Anwar mempunyai hak untuk bertanding di mana-mana saja, tetapi kali ini beliau tidak bertanding sebagai ayam jantan kerana hanya berani bertanding dalam gelanggang atau kubunya sendiri.
“Kita dulu ingat dia akan bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu, tapi dia pun mungkin tak ada keyakinan diri,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.



Baguslah kalau Datuk Noh Omar faham apa yang dimaksudkan dengan ‘ayam jantan’. Tetapi sebelum mengata kepada orang, lebih manis kalau Datuk Noh Omar dan kawan-kawannya dalam UMNO juga terlebih dahulu bersifat ‘ayam jantan’ atau ‘anak jantan’.

Apakah dengan mendakwa Anwar dan menuduhnya dengan kesalahan yang direka-reka supaya dia dihukum penjara yang boleh menyebabkan dia tidak layak untuk bertanding dalam pilihanraya raya itu sebagai tindakan ‘anak jantan’?

Apakah memenangi pilihanraya dengan menggunakan undi pos yang tidak telus dan dibantu oleh pengundi-pengundi hantu, dan melantik pengerusi pilihanraya dari kalangan yang pro UMNO itu sebagai tindakan ‘anak jantan’?

Apakah takut menggunakan dakwat penanda bagi mengelakkan orang mengundi lebih dari sekali itu sebagai tindakan ‘anak jantan’?

Apakah undang-undang yang menetapkan setiap ceramah politik yang hendak diadakan mesti terlebih dahulu mendapat permit dari kerajaan BN itu sebagai tindakan ‘anak jantan’?

Apakah menggunakan media perdana yang dikuasai dan agensi-agensi kerajaan sebagai alat propaganda dan jentera kempen parti BN itu juga sebagai tindakan ‘anak jantan’?

Apakah Anwar dapat dibenarkan untuk menjawab tuduhan Datuk ini dalam media perdana?

Oleh itu periksalah diri Datuk dahulu sebelum mengata kepada orang. Mungkin ada benarnya juga Datuk Noh dan kawan-kawan Datuk dalam UMNO itu saja yang layak dikatakan ‘ayam jantan’, tetapi jenis ayam jantan yang berkokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com