Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, July 29, 2008

Kekuatan PAS bergantung kepada orang Melayu.

PAS tidak boleh pergi jauh tanpa sokongan orang Melayu. PAS adalah parti yang membawa wadah untuk memperjuangkan Malaysia menjadi sebuah 'Negara Islam'.

Sudah tentu orang bukan Islam tidak akan menyokong dan berminat dengan PAS, kepada orang bukan Islam, Negara Islam dan pemerintahan Islam menggambarkan suatu yang menakutkan.

Peluang untuk PAS menang pilihanraya di kawasan yang mempunyai ramai bukan Melayu adalah hampir mustahil.

Oleh kerana orang Melayu Islam di Malaysia yang boleh mengundi tidak sampai 60% dari jumlah penduduk, sudah tentu secara demokrasi PAS sukar untuk mencapai cita-citanya kalau tanpa sokongan padu orang-orang Melayu.

Tawaran yang dibuat oleh UMNO untuk bergabung dengan PAS adalah suatu perkara yang tidak boleh ditolak begitu sahaja, peluang yang datang ini sama seperti orang mengantuk disorongkan bantal atau pucuk dicita ulam mendatang.

Sekalipun orang Cina melalui MCA dan orang India melalui MIC tidak mengalu-alukan kemasukan PAS ke dalam BN, ini tetap tidak akan menjadi masaalah yang besar kepada UMNO, kerana perpaduan orang-orang Melayu di bawah UMNO dan PAS yang bergabung itu sudah cukup untuk memberi kemenangan kepada BN.

Tanpa sokongan orang Cina dan India yang kuat pun BN tetap boleh menang jika undi orang-orang Melayu disatukan melalui PAS dan UMNO yang bergabung, kerana orang Melayu adalah merupakan majoriti penduduk Negara ini.

Dengan kata lain kemasukan PAS ke dalam BN akan memberi suara yang kuat kepada orang Melayu. Di ketika itu suara orang Cina dan India tentu tidak dapat mengatasi suara orang Melayu yang telah bersatu.

Dengan kuasa yang diperolehi melalui pergabungan dengan UMNO itu nanti, mudahlah PAS untuk menjayakan hasrat mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang mereka impikan selama ini. Melalui jalan demokrasi PAS akan berjaya membentuk ‘Negara Islam’ walaupun tanpa kerelaan orang-orang bukan Islam yang minoriti.

Tetapi itu hanyalah secara teori, realitinya tentu banyak masalah yang bakal dihadapi apabila PAS menyertai UMNO. Persaingan dan perlumbaan untuk mendapatkan kuasa tetap akan berlaku antara orang PAS dan orang UMNO sekalipun telah berada bawah bumbung yang sama.

Kalau kita lihat di masa ini di dalam parti UMNO itu sendiri pun sering wujud puak-puak yang berebutkan kuasa, begitu juga di dalam parti PAS walaupun tidak begitu ketara. Apatah lagi bila PAS dan UMNO berada di bawah satu bumbung, mungkin perbalahan dan perbezaan pendapat menjadi lebih besar dan hebat lagi.

Di dalam Negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, sukar untuk mengelak dari kewujudan parti politik yang berasaskan kaum atau agama. Sudah tentu parti dari kaum yang terbesar mendapat kelebihan untuk menang dan berkuasa dalam sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Inilah yang berlaku kepada orang Melayu di Malaysia yang merupakan kaum terbesar di Negara ini. Oleh itu tidak hairanlah kalau parti UMNO yang memang mewakili orang Melayu selama ini mudah untuk berkuasa dan memerintah Negara ini sejak merdeka.

Hanya di akhir-akhir ini sahaja, orang Melayu telah mula dipecahkan kepada parti PAS dan PKR yang yang juga dianggap sebagai parti serpihan UMNO. Apabila parti-parti serpihan orang Melayu ini menjadi semakin kuat, ia boleh menggugat dan melemahkan parti UMNO itu sendiri. Menambah buruk lagi keadaan bila orang-orang Cina dan India tidak menyokong parti-parti mereka dalam BN.

Keburukan parti berasaskan kaum ialah kaum yang terbesar akan dapat menang dan berkuasa dengan mudah dalam pemilihan secara demokrasi. Parti kaum yang berkuasa sudah tentu akan menjaga kepentingan kaumnya sahaja, sudah tentu kaum yang minoriti tidak dapat banyak ruang untuk menyuarakan kepentingan mereka, kalaupun boleh bersuara, suara mereka tidak akan diambil perhatian kerana suara dari kalangan minoriti.

Ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan terhadap kaum minoriti mungkin akan berlaku kerana kaum yang terbesar tidak memerlukan undi kaum minoriti untuk memenangkan mereka dalam pilihanraya.

Apabila ini berlaku, kaum minoriti akan berasa terpinggir dan rasa tidak puas hati sentiasa terpendam di kalangan mereka. Mungkin kaum minoriti ini akan mencari jalan alternatif untuk menyuarakan atau menuntut hak dan kepentingan mereka. Mereka mungkin akan menggunakan jalan keganasan atau kekerasan, atau mereka akan bertindak balas dengan melakukan sabotaj dan pemulauan yang boleh menghuru-harakan Negara.

Perbezaan dan jurang perkauman akan terus melebar, ini kerana setiap kaum melalui parti politik kaum mereka akan terus memperjuangkan kepentingan kaum mereka sahaja. Sentimen perkauman akan dimainkan setiap kali menghadapai pilihanraya supaya orang ramai bersatu menyokong dan mengundi parti politik kaum mereka. Akhirnya perasaan benci dan curiga antara kaum akan terus disemai demi kepentingan politik.

Memang banyak keburukan kalau parti politik diwujudkan berasaskan kaum dan agama dalam Negara yang berbilang kaum yang mengamalkan sistem demokrasi.

Mungkin ada dua cara sahaja untuk kita mengatasi masalah ini, pertama dengan cara menggubal undang-undang yang tidak membenarkan parti-parti politik ditubuhkan berasaskan kaum, atau kedua kita sebagai rakyat kena menolak parti-parti politik yang berasaskan kaum.

Sekiranya kita semua ada kesedaran tentang bahaya dan keburukan yang ditimbulkan oleh parti politik berasaskan kaum ini maka hendaklah kita berani membuat perubahan.

2 comments:

azlishukri said...

Tulisan yang sangat menarik..

Anonymous said...

Tulisan yang padat dengan pemikiran yang rasional, toleransi, dan memahami keadaan dan nadi negara sebenar.

Syabas. Teruskan tulisan saudara.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com