Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label Satu Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Satu Malaysia. Show all posts

Thursday, March 22, 2012

Mencanangkan pilihanraya awal adalah strategi politik PM Najib mengelak didesak letak jawatan

Semasa Pak Lah jadi PM semula selepas BN menang pada tahun 2008, walaupun gagal mencapai majority dua pertiga, beliau tidak ada niat untuk mengadakan pilihanraya lagi sekali pada masa yang terdekat. Sebaliknya beliau sedaya upaya akan mencukupkan tempoh sepenggal (lima tahun) lagi untuk menjadi PM, atupun sekurang-kurangnya empat tahun lagi.
Tempoh lima atau empat tahun memang agak lama, ini membuatkan ahli-ahli UMNO tidak boleh bersabar. Mereka mahu Pak Lah turun sebelum UMNO dan BN bertambah tenat. Mereka mahukan perubahan kepada kepimpinan untuk memperbaiki keadaan BN yang telah mula hilang sokongan rakyat. Pak Lah telah dipersalahkan, beliau dijadikan kambing hitam atau kambing korban oleh UMNO.
‘Kelemahan’ Pak Lah telah dijadikan batu loncatan oleh DS Najib dan DS Muhyiddin untuk naik ke atas.
Yang jelasnya, perubahan pucuk kepimpinan UMNO dan BN kepada DS Najib tidak juga dapat meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.
Sejak mula DS Najib mengambil alih pucuk pimpinan UMNO, tidak pernah lekang dari mulutnya untuk mengadakan pilihanraya awal bagi mendapatkan mandat baru. Sebagai PM baru setelah mengambil alih dari Pak Lah, orang ramai merasakan beliau perlu mendapatkan mandat baru dari rakyat.
Oleh kerana rakyat dan khususnya orang UMNO percaya PM Najib akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat selepas beliau mengambil alih jawatan PM, maka ahli-ahli UMNO tidaklah berasa tidak sabar untuk mengharapkan beliau meletakkan jawatan, walaupun demam UMNO dan BN masih juga belum boleh dikatakan pulih.
Sekarang sudah lebih tiga tahun beliau menjadi PM tanpa diganggu oleh suara-suara dari ahli UMNO yang mahukan beliau meletakkan jawatan. Cakap-cakapnya untuk mengadakan pilihanraya awal telah menjadi strategi yang paling baik yang dapat menyelamatkan dirinya untuk terus kekal menjadi PM hinggalah tempohnya tamat pada tahun 2013 nanti.
Selain dari itu, strategi mengheboh-hebohkan untuk mengadakan pilihanraya awal ini juga dapat memberi peringatan atau amaran kepada semua ahli-ahli UMNO supaya sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi pilihanraya.  Semua ahli akan terus bersemangat untuk bekerja bagi memenangkan parti dan terus berkempen hinggalah menjelang pilihanraya sebenar.

Fikiran ahli-ahli UMNO sentiasa tertumpu kepada untuk menghadapi piliharaya yang akan diadakan dalam masa terdekat, sehinggakan terlupa untuk melihat kepada kelemahan pentadbiran PM Najib. Bilakah masa yang terdekat itu? hanya PM Najib sahaja yang tahu. Mungkin langsung tidak ada sehinggalah tamat penggal pada Mac 2013 nanti.

Thursday, December 15, 2011

Kaum Cina beringat kerana berasa tertindas, kaum Melayu leka kerana dimanja

Orang Barat telah mendapat pengajaran dari Perang Salib, orang Islam tidak boleh dikalahkan dengan kekuatan senjata, sebaliknya mereka telah menukar strategi dengan cara menjauhkan orang Islam dari ajaran Quran. Mereka lalaikan orang Islam dengan kehidupan dunia dan hiburan, strategi mereka berkesan, orang Islam terus lemah dan tidak mampu bangun lagi.


Orang Yahudi adalah kaum yang telah menjadi mangsa kekejaman dalam Perang Dunia Kedua, bilangan mereka sangat kecil dan tidak mampu untuk menguasai dunia dengan kekuatan. Mereka sedar akan kekurangan dan kelemahan mereka itu, tetapi mereka memiliki kepintaran, dengan kepintaran itu mereka telah menguasai segala genap bidang.

Hari ini percaturan politik dunia, terutamanya politik Amerika dan Britain telah dikuasai oleh golongan Yahudi.

Di Malaysia, peristiwa 13 Mei 1969 telah tercatat sebagai sejarah hitam Negara kita, di mana berlaku rusuhan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Kaum Melayu lebih ramai dari kaum Cina, sudah tentu terdapat kekuatan yang tidak seimbang antara dua kaum ini. Kita mengamalkan sistem demokrasi, dalam amalan demokrasi, golongan minoriti harus akur dengan golongan majoriti.

Melayu adalah golongan majoriti, mereka mempunyai kekuatan atau kuasa politik yang boleh menggubal dan menentukan dasar Negara. Ada dasar-dasar yang digubal ini tidak menyenangkan kaum Cina yang minoriti, tetapi mereka tidak ada daya untuk mengubahnya, selain dari menyuarakan pendapat dan pandangan sahaja. Itulah resam kehidupan rakyat berbilang kaum dalam sistem demokrasi, kaum minoriti bergantung ikhsan kepada kaum majoriti.

Oleh kerana keadaan politik Negara kita dibahagi secara jelas mengikut polarisasi kaum, maka kaum yang majoriti terus menguasai kuasa politik Negara. Semua dasar-dasar yang digubal akan cenderung untuk menjaga kepentingan golongan majoriti ini iaitu orang Melayu. Kita tidak boleh salahkan kalau pemimpin seperti PM Najib dan TPM Muhyiddin Yasin dilihat memperjuangkan kepentingan orang Melayu, kerana mereka berada di kedudukan itu adalah juga kerana sokongan dari orang Melayu atau UMNO.

Sejak peristiwa 13 Mei 1969, ataupun jauh sebelum tarikh itu, orang Cina dan orang Melayu sentiasa berasa curiga antara satu sama lain. Orang Melayu menganggap Negara ini milik mereka dan orang Cina dianggap sebagai kaum pendatang yang telah membuat kekayaan di Negara kepunyaan mereka, ini seperti dikiaskan dalam senikata lagu yang dinyanyikan oleh N.D Lala yang berbunyi “rumah ini rumah kita”.

Orang Cina pula merasakan Negara ini adalah Negara mereka juga, kerana mereka telah dilahirkan di Negara ini, oleh itu mereka juga mempunyai hak terhadap Negara ini dan harus mempunyai hak samarata seperti orang Melayu juga.

Keadaan inilah yang telah menghantui perpaduan Negara kita selama ini. Di luar rumah kita melaungkan slogan perpaduan tetapi di dalam rumah kita bermusuh dalam senyap.

Perpaduan kita hanya terhad semasa makan di rumah terbuka di jamuan-jamuan perayaan yang diadakan oleh menteri-menteri kabinet. Perpaduan juga digambarkan seabagai adanya persefahaman dalam pembahagian projek-projek kerajaan di kalangan orang-orang politik yang berbagai kaum.

Secara senyap orang Cina telah menjadi musuh kepada orang Melayu, mereka terus menyusun strategi untuk sentiasa mengalahkan kemajuan orang Melayu.

Orang Cina terus menguasai rangkaian perniagaan tanpa memberi ruang kepada orang Melayu untuk menembusinya. Ini adalah survival kaum mereka, ini sahaja kekuatan yang mereka ada, kalau terlepas kepada orang Melayu, kaum mereka akan kalah dan akan lebih menderita.

Kerana merasakan mereka adalah golongan yang tertindas, kaum Cina terus memperingatkan kaumnya untuk terus bekerja keras dalam membina ekonomi dan memberi pelajaran terbaik untuk anak-anak kaumnya tanpa mengharapkan bantuan dari kerajaan.

Di pihak orang Melayu pula, mereka telah mendapat berbagai kemudahan dan bantuan untuk memajukan mereka bagi menandingi atau sekurang-kurangnya sama dengan kaum Cina. Pada satu masa dulu agensi dan jabatan-jabatan kerajaan dengan cara ‘halus’ telah mengurangkan pengambilan kakitangannya di kalangan orang Cina, sehingga jabatan-jabatan ini telah dikuasai oleh orang-orang Melayu.

Semakin dibantu, anak-anak Melayu semakin tidak menampakkan kemajuan seperti yang diharapkan, dari segi pemilikan harta dan perniagaan mereka masih tidak memberansangkan. Sebaliknya anak-anak Melayu lebih ramai terlibat dengan masalah sosial seperti dadah, rempit, lepak, ali baba, jenayah dan maksiat.

Kerana kerap dibantu, orang Melayu menjadi hilang daya saing, tidak mampu berdikari dan hilang ketahanan diri dalam menghadapi cabaran.

Walaupun peperangan antara dua kaum ini tidak diistiharkan, tetapi secara senyap ia memang berlaku. Bertanyalah kepada diri kita sendiri, apakah kita rasa selesa dalam keadaan begini? Dan sampai bila kita terus rasa curiga antara satu sama lain dan berperang dalam senyap?

Sebenarnya kita sedang memasang dan tengah menunggu ‘time bomb’ yang bila-bila masa saja boleh meletup.

Apakah penyelesaiannya?

Kita sudah melakukan kesilapan besar sejak 50 tahun dulu lagi, dari mula kita telah tidak menyemai benih perpaduan kepada anak-anak kita.

Kita bangga dengan sekolah yang berasingan mengikut kaum. Apakah perlu sekolah diasingkan semata-mata untuk belajar bahasa dan budaya ibunda. Tidak bolehkah bahasa-bahasa ibunda ini diajar dalam satu sekolah yang sama?

Mengasingkan sekolah mengikut kaum tidak akan membantu untuk membentuk rakyat yang bersatu padu. Sebenarnya di tadika dan di sekolahlah persahabatan dapat dibentuk secara semulajadi. Oleh kerana kita bersekolah berasingan mengikut kaum maka rakyat Malaysia begitu sukar mempunyai sahabat karib yang terdiri dari kaum lain dari kaumnya, walaupun seorang.

Akhirnya kita hanya melihat rakyat Malaysia berdasarkan kaum kita sahaja, bukan melihat rakyat Malaysia secara menyeluruh. Apabila kita hendak membantu orang susah kita akan pilih kaum kita sahaja.

Selalunya kalau kita hendak membina perniagaan kita akan mencari rakan kongsi di kalangan sahabat kita. Ahmad akan mencari sahabat karibnya Abu sebagai rakan kongsi perniagaan bukan disebabkan Abu orang Melayu, tetapi kerana Ahmad tidak mempunyai sahabat karib dari kaum lain.

Kalau tidak dipecahkan ruyong masakan kita dapat sagunya. Sampai bila kita mesti terus berada di zon selesa seperti sekarang ini, takut untuk berubah dan mengubah?

Kita boleh memberi berbagai alasan untuk tidak mahu berubah, malah berbangga dengan apa yang sedang diamalkan. Inilah satu-satunya Negara di dunia yang ada sekolah mengikut kaum, fuh! bangganya, tercatat dalam dunia yob.

Bangga tak kena tempat.

Monday, March 28, 2011

TV3, berhentilah dari terus jadi 'pelacur'


Melalui slot berita mahupun program 999, saya perhatikan TV3 selalu sangat menayangkan gambar pelacur dan wanita urut sex diserbu polis, terutamanya di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Apakah tujuan TV3 menayangkan kepada khalayak berulangkali gambar-gambar wanita gebu dan seksi ini? Apakah sekadar untuk menarik lebih ramai orang menonton dan dapat menaikkan ‘rating’ penyiaran setesen TV mereka?

Mengapa terlalu memikirkan keuntungan wang ringgit sedangkan banyak kesan negatif yang akan timbul akibat darinya. Bila melihat perempuan-perempuan seksi dan gebu yang dipertontonkan itu, sudah tentu lebih ramai orang teringin hendak ke tempat-tempat tersebut bagi melempiaskan nafsu sex mereka.

Secara tidak lansung, TV3 sudah seperti memberi iklan percuma kepada kegiatan atau industri tersebut. Bila sudah ada semacam iklan percuma dari TV3 ini, manakan dapat kegiatan tak bermoral ini dapat dihapuskan. Malah ada kemungkinan semakin bertambah dan bercambah.

Ada premis pelacuran ini yang sampai beberapa kali telah diserbu polis dan penguatkuasa tetapi masih tidak serik dari terus beroperasi. Apakah ini menunjukkan kelemahan pihak polis dan penguatkuasa hingga memerlukan lebih dari sekali mengambil tindakan kepada pengusaha yang sama. Sudah tentu TV3 tidak akan menuduh pihak polis dan pihak penguatkuasa sebagai lemah, kerana dasar TV3 tidak akan mengkritik polis.

Buat sajalah kerja penangkapan dan pendakwaan tanpa perlu heboh satu dunia. Rasanya kalau orang awam sendiri tidak sukar untuk mencari dan melanggan tempat-tempat maksiat ini, sudah tentu pihak polis juga yang lebih terlatih tidak ada masalah untuk menemuinya. Mereka bukan seperti perompak dan peragut yang jauh lebih sukar untuk dikesan.

Kalau pengusaha sex haram ini telah dihukum dengan hukum berat dan dipenjara, tidak mungkin mereka boleh mengurus dan mengusahakan industri ini dari bilik penjara mereka.

Siapakah sebenar yang menjadi pelacur? Janganlah TV3 mengambil peluang lesen penyiaran yang diberikan kepada mereka untuk menjadi ‘pelacur’ demi mengaut keuntungan cepat tanpa ada rasa tanggung jawab sosial kepada masyarakat.

Thursday, October 22, 2009

Hapuskan Sekolah Pelbagai Aliran, PROF KHOO KAY KIM

BUKIT MERTAJAM: Sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai, kata tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Katanya, sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.

"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Namun begitu, beliau menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa. Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini.

"Jadi, British membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri. "Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya lagi.

Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka berfikiran secara sempit.

Menurutnya, ada segelintir ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa.

"Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri," katanya.

Monday, May 25, 2009

Rasmi, Satu Sekolah Untuk Semua, di dalam Blog ISSP


Kita tidak hairan kalau usaha mewujudkan satu sekolah untuk semua ini tidak mendapat sokongan yang menggalakkan dari parti yang memerintah. Kerana usaha ini tidak memberi apa-apa faedah politik kepada mereka.


Seperti yang kita tahu, parti politik BN adalah parti-parti yang berasaskan kaum, kekuatan dan sokongan kepada mereka selama ini adalah kerana adanya sentimen perkauman.


Jika semua kaum bersekolah di sekolah yang sama maka polarisasi kaum secara sendirinya akan beransur hilang dan semua orang tanpa mengira kaum akan dilihat sebagai rakyat Malaysia sahaja. Bila ini berlaku, fungsi parti-parti berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC dilihat tidak relevan lagi.


Selama ini, parti-parti inilah yang diharapkan sebagai memperjuangkan ‘hak-hak’ kaum-kaum mereka hingga melahirkan sekolah-sekolah vernacular (jenis kebangsaan). Yang kononnya hendak menunjukkan kepada kaum-kaum mereka bahawa mereka telah berjaya memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak kaum mereka. Maka berasa sangat suka dan gembiralah kaum-kaum mereka dan sebagai tanda untuk mengenang jasa, parti mereka akan diundi pada setiap kali pilihanraya.


Walaupun pengwujudan satu sekolah untuk semua ini baik untuk jangka panjang bagi pembentukan satu bangsa dan satu Negara Malaysia tetapi sukar untuk dilaksanakan sebab adanya pertentangan dengan kepentingan politik pihak-pihak yang tertentu.


Saya sungguh terharu kerana usaha satu sekolah untuk semua ini telah dimulakan oleh blogger sendiri dan nampaknya telah mula mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ini menunjukkan kesedaran telah mula timbul dikalangan rakyat Malaysia betapa perlunya anak-anak Malaysia bersekolah di satu sekolah yang sama.


Satu sekolah bermakna anak-anak dari semua kaum dapat peluang bertemu, belajar bersama, bermain bersama, berkawan dan mungkin juga bergaduh. Sedari awal tadika hinggalah ke peringkat kolej dan universiti.

Inilah cara yang paling berkesan untuk menanamkan bibit-bibit perpaduan dikalangan anak-anak dari berbagai kaum. Di situ juga perpaduan benar-benar diamalkan bukan sekadar menjadi slogan untuk mereka hafal.

Dengan cara ini sahaja kita akan dapat membentuk hubungan yang erat dan padu antara rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bukan sahaja hubungan luaran tetapi hingga kepada hubungan dalaman.


Malah ingin saya lontarkan satu soalan yang menunjukkan bagaimana selama ini sebenarnya kita telah melalui dan mengamalkan perpaduan yang ‘palsu’. Jika anda seorang Melayu, bolehkah anda sebutkan seorang rakan karib anda yang terdiri dari kaum Cina atau India?


Walaupun agak lewat untuk memasukkan logo 'Satu Sekolah Untuk Semua' ini ke dalam blog saya, tetapi pada hakikatnya saya telah lama dan telah banyak menulis berkaitan isu ini. Keperihatinan saya terhadap isu yang bersangkutan dengan perpaduan dan satu sekolah ini boleh dibaca pada tajuk-tajuk posting berikut:







Thursday, May 14, 2009

PM NAJIB, RAKYAT DIDAHULUKAN


Berikut adalah keputusan dari tinjauan yang dibuat oleh Berita Harian dari pandangan orang awam terhadap krisis politik yang berlaku di Negeri Perak sehingga pukul 12:12 pm 14th May 2009.


TINJAUAN



Wajarkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubar bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan?

Ya 88.1%



Tidak 10.2%



Berkecuali 1.7%


Dari tinjauan ini jelas menunjukkan rakyat mahukan DUN Perak dibubarkan.


Tentu keputusan dari rakyat ini akan mendapat perhatian berat dari Datuk Seri Najib yang berpegang kepada Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.


Apakah benar-benar PM Najib akan mendahulukan kehendak rakyat ini sepertimana yang dilaung-laungkannya?
Kalau tidak, jadilah seperti cakap tak serupa bikin.

Tuesday, April 14, 2009

Satu Malaysia, Mengundang Seribu Tafsiran

PELBAGAI tafsiran timbul bila PM Najib menjadikan gagasan satu Malaysia sebagai visi pentadbirannya. Lain orang lain tafsirannya terhadap ungkapan ‘satu Malaysia’.

Hanya PM Najib saja yang benar-benar tahu apa yang dimaksudkannya dengan ungkapan satu Malaysia itu, manakala orang lain itu hanyalah menelah mengikut fikiran masing-masing saja.

Keadaan ini samalah seperti konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Pak Lah semasa beliau menjadi PM. Sehinggalah dia turun dari jawatan PM, rasanya tidak ramai rakyat Malaysia yang memahami Islam Hadhari seperi mana yang beliau fahami.

Begitu jugalah dengan ungkapan ‘perpaduan’ yang selalu menjadi slogan dan dilaung-laungkan oleh pemimpin Negara. Sehingga kini ungkapan perpaduan ini tidak dapat ditafsirkan secara tepat. Perpaduan yang macam mana yang mereka kehendaki? Apakah perbezaan antara 'perpaduan' dengan 'satu Malaysia'?

Dari segi Negara, negara Malaysia memang ada satu saja. Di masa dulu memang ada Malaysia Barat dan Malaysia Timur, tetapi sebutan itu telah lama dimansuhkan.

Apakah satu Malaysia menunjukkan satu bangsa Malaysia? Apakah ia sama dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.

Apakah satu Malaysia yang diperkenalkan oleh PM Najib ini adalah mengambil aspirasi ayah beliau Tun Razak yang telah menyatukan sejumlah besar parti politik, bergabung di bawah konsep Barisan Nasional dalam mencapai satu matlamat.

Setakat ini PM Najib hanya menyebutkan satu Malaysia itu sebagai satu hala tuju, tetapi kearah mana yang hendak dituju atau apa yang hendak dituju, tidak pula diberitahu.

Apa yang kita kesalkan, kalau slogan saja yang kelihatan baru tetapi dari segi pelaksanaannya, pi mai pi mai tang tu jugak.

Apa pun tafsiran orang ramai, ungkapan 'satu Malaysia' sudah mula menjadi sebutan dan polemik orang ramai. 'Satu Malaysia' sudah menjadi sinonim dengan PM Najib. Satu Malaysia sudah heboh. Harapan kita, tidaklah slogan akan tinggal slogan saja.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com