Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, January 28, 2009

Amerika ada Obama, kita ada Obangau ~ ref Malaysiakini

OBAMA dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Amerika telah mendakwa pemimpin-pemimpin dunia ketiga selalu menyalahkan dunia Barat di atas kelemahan mereka mentadbir Negara. Ada juga benarnya tuduhan Obama itu, seperti yang kita dapat saksikan hari ini, di dunia ketigalah terkumpulnya pemimpin-pemimpin yang korup, rasuah, autokratik, tidak telus dan tidak demokratik.

Sejak kecil kita telah diajarkan lagu Obangau. Falsafah lagu Obangau ini telah membudaya kedalam masyarakat kita. Maka tidak hairanlah kalau sikap kita selalu menyalahkan orang lain atas kelemahan kita sendiri kerana sikap kita yang demikian itu telah dididik secara halus melalui lagu Obangau ini.

Di satu masa dulu kalau ustaz-ustaz kita yang dijemput memberi ceramah agama selalu mengecam tindak tanduk ‘orientalis barat’ kerana memutar belitkan fakta-fakta yang berkaitan Islam. Maka orang-orang yang mendengar ceramah ustaz itu berasa kagum dengan kepandaian ustaz yang mendedahkan penyelewengan oleh ‘orientalis barat’ itu.

Sekarang pula banyak kita dengar orang-orang barat yang melakukan ‘penghinaan’ kepada Nabi Muhammad dan Islam dalam berbagai bentuk, termasuklah dalam bentuk karikatur katun. Pernah seorang orang Denmark menggambarkan Nabi Muhammad sebagai pengganas dalam lukisan katunnya.

Maka beranglah orang Islam dengan penghinaan kepada Nabi dan agamanya itu. Maka berarak mereka di jalan-jalan raya berdemontrasi menunjukkan rasa marah mereka kepada individu-individu dan Negara-negara yang terlibat. Dibakarlah apa yang patut dibakar termasuklah bendera Negara-negara tersebut sebagai untuk melepaskan geram.

Sebagai hendak menunjukkan rasa membela Nabi dan agama yang mulia ini ada ulamak yang telah memberi fatwa adalah halal untuk membunuh orang yang telah menghina Nabi dan Islam itu. Malah ada hartawan dikalangan orang Islam telah menawarkan wang berjuta dollar kepada sesiapa yang dapat membunuh individu yang telah menghina Nabi dan Islam itu.

Kemuliaan dan ketinggian agama Islam itu bukanlah disebabkan oleh semua orang mengatakan ia agama yang baik tetapi adalah disebabkan ajarannya yang baik lagi benar. Walau berjuta orang menghina Nabi dan Islam, ini tidak akan membuatkannya terhina.

Oleh itu kenapa umat Islam terlalu cepat melatah, apakah kita tidak percaya dengan kemuliaan dan ketinggian ajaran Islam. Kadang-kadang cara kita menyambut tarian yang digendangkan oleh orang barat itu hanya tambah menampakkan kebodohan dan kejahilan kita sahaja.

Lihatlah kembali peristiwa Nabi Muhammad membantu seorang perempuan tua membawa pulang barang-barang yang dibelinya di pasar. Tanpa disedarinya yang membantu membawa barang-barangnya itu adalah Nabi Muhammad yang sedang heboh diperkatakan oleh masyarakat Mekah ketika itu. Dalam perjalanan itu perempuan tua itu telah menasihatkan Nabi supaya menjauhi Nabi Muhammad dan ajarannya, kerana katanya Muhammad adalah seorang jahat dan pemecah belah masyarakat.

Bila sudah sampai dirumah perempuan tua itu, dia telah menghulurkan sedikit wang sebagai upah tetapi ditolak oleh Nabi kerana dia hanya ingin membantu saja. Kerana terpesona dengan kebaikan Nabi Muhammad itu lalu dia bertanyakan nama nabi. Nabi menerangkan kepada perempuan tua itu dialah Nabi Muhammad, orang yang telah diperkatakan oleh perempuan tua itu tadi. Alangkah terkejutnya perempuan tua itu, hampir dia tidak percaya yang dia sedang berdepan dengan orang yang bernama Muhammad itu.

Sesungguhnya kemuliaan Nabi Muhammad itu bukanlah disebabkan kita semua mengatakan dia mulia, tetapi sikap dan akhlaknya yang mulia itulah yang telah mengangkat baginda menjadi Nabi yang mulia.

Usahlah kita bimbang kalau berjuta pun orang bukan Islam menghinakan Nabi Muhammad kerana baginda sememangnya seorang yang mulia. Hanya orang yang jahil sahaja yang akan berkata Nabi Muhammad itu jahat atau pengganas, kerana mereka tidak mengenali Nabi Muhammad itu dengan sebenarnya.

Mereka itu mengenal perwatakan Nabi Muhammad hanya melalui ‘pengganas’ yang menggunakan label Islam. Oleh itu kalau kita hendak memperlihatkan kemuliaan dan ketinggian Nabi Muhammad dan Islam kepada orang bukan Islam maka menjadi tanggungjawab kita supaya berakhlak seperti akhlak Nabi dan Quran untuk dipamerkan kepada mereka.

Sebaliknya jangan kita menjadi seperti orang yang kena sawan, meracau-racau di tengah-tengah jalan setiap kali nabi dan agama kita dihina.

Sudah sampai masanya kita melihat kepada diri kita, bersama-sama dan bersungguh-sungguh untuk membaiki kelemahan diri kita. Menyusun strategi sehingga mampu menjadi orang yang terbaik dan mengungguli segala bidang.

Kalau kita asyik menyanyikan lagu Obangau kepada anak-anak kita, selamanya orang kita akan bersikap suka menyalahkan orang lain saja, akhirnya kita akan terus menerus menjadi mangsa dan makanan orang barat walaupun bilangan kita ramai. Seperti mana kita telah percaya katak adalah memang makanan ular dalam lagu Obangau.

Thursday, January 22, 2009

Bagilah alasan untuk bertanggungjawab.

INILAH petikan berita dari akhbar Berita Harian 22 Januari 2009:

SEREMBAN: Seorang pensyarah universiti yang disaman ibu bapanya kerana
tidak memberi nafkah kepada mereka memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini semalam gajinya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.
Raja Suzana Kassim, 39, berkata gaji kasar RM4,400 sebulan tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan dan terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim, 43. Dia turut memberitahu mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank, termasuk pinjaman peribadi yang diambilnya, selain gaji diterimanya dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak.

Orang kita suka bagi alasan untuk mengelak dari bertanggungjawab. Jarang yang hendak bagi alasan untuk bertanggungjawab.

Sebagai contoh yang dikatakan alasan untuk bertanggungjawab itu ialah seperti berikut:

  • Sayalah yang kena bagi duit kepada ibubapa kerana gaji saya RM4000 sedangkan adik beradik yang lain gaji kecil.
  • Atau, saya lah yang patut jaga ibubapa kerana saya anak yang tua.
  • Atau, saya anak perempuan jadi biarlah saya saja yang jaga ibubapa.
  • Atau, rumah saya lebih besar dan selesa, jadi biarlah saya yang jaga ibubapa.
  • Atau, isteri saya tak bekerja, jadi biarlah ibubapa tinggal di rumah saya.
  • Atau, anak saya tak ramai, jadi biarlah ibubapa tinggal dengan saya.

Suami isteri yang bercerai sanggup turun naik makamah kerana berebut hendak mendapatkan hak penjagaan anak. Tapi belum pernah kita dengar anak-anak turun naik makamah kerana berebut hendak mendapatkan hak penjagaan ibubapa mereka.

Tuesday, January 20, 2009

Huh!!... Barangan Amerika di sekeliling kita! ~ref Malaysiakini


BILA saya melihat senarai jenama syarikat yang dipunyai oleh Amerika untuk kita boikot sebagai reaksi kita membantah pembunuhan rakyat Palestin di Gaza oleh sekutu kuatnya Israel, alangkah terkejutnya saya, kerana hampir semua barang yang kita guna dan pakai hari-hari itu adalah buatan syarikat Amerika.

Tanpa kita sedari, dari barang makanan seperti biskut dan kerepek, pakaian, alat solek, susu bayi, komputer, hand phone, ubat gigi, minuman, restoran makanan segera dan berbagai-bagai lagi yang kita guna setiap hari dan sejak dulu lagi itu adalah merupakan barang-barang keluaran syarikat Amerika.

Setelah menyedari hakikat ini, barulah kita faham bagaimana Amerika boleh menjadi Negara yang menguasai ekonomi dunia. Kalau ekonomi Amerika jatuh maka ekonomi dunia pun turut jatuh, begitulah besarnya pengaruh ekonomi Amerika kepada ekonomi dunia.

Memang sukar untuk kita memboikot barang-barang Amerika kerana barang-barang mereka telah menjadi kegunaan harian kita. Silap hari bulan bukan Amerika yang susah kerana kita boikot barang-barangnya tapi diri kita sendiri juga jadi susah kerana tidak ada barang lain sebagai alternatif.

Tidak cukup dengan hanya memboikot barang Amerika dan mengutuk Israel setiap kali rakyat Palestin disembelih. Sebaliknya kita harus belajar dari Amerika bagaimana mereka boleh menjadi kuasa besar dan menguasai ekonomi dunia.

Kenapa jenama Amerika boleh menguasai pasaran kita? Soalan ini yang perlu kita beri perhatian dengan sungguh-sungguh. Kalau Amerika boleh kenapa kita tidak boleh. Kalau di pasaran tempatan pun barang-barang kita tidak boleh mendapat tempat dihati pengguna, bagaimana kita hendak bersaing di luar Negara.

Dari pemerhatian saya dengan melihat barang-barang yang dikeluarkan oleh syarikat Amerika ini, ada beberapa perkara yang menjadikannya sentiasa menjadi pilihan nombor satu oleh pengguna antaranya:
  1. Persembahan yang menarik. Ini termasuk pembungkusan yang cantik dan menarik, restoran dan kedai mereka yang selesa, cantik, teratur dan bersih.
  2. Kualiti yang tinggi, lazat dan konsisten, kalau kita makan ayam goreng di restoran Mc Donald misalnya, rasanya tetap sama bila-bila masa pun dan di cawangan mana-mana pun.
  3. Tadbir urus yang cekap, cara bekerja yang sistematik. Mereka berjaya mengurus kakitangan syarikat mereka supaya sentiasa bersikap professional, beretika dan mengutamakan merit. Walaupun mempunyai beribu cawangan seluruh dunia tetapi tetap dapat dipantau dengan baik dan sempurna. Hampir tidak pernah kita dengar berlakunya penyelewengan oleh kakitangan dan pengurus syarikat mereka.
  4. Pembangunan dan penyelidikan yang berterusan. Mereka peka kepada kehendak pengguna dan sentiasa memperbaiki kualiti barangan dan perkhidmatan mereka.
  5. Iklan yang berpanjangan. Mereka sanggup menghabiskan belanja yang besar untuk mengiklankan barangan mereka dalam media dan menggunakan strategi pengiklanan yang berkesan. Tidak boleh dinafikan iklan memainkan peranan yang sangat penting bagi sentiasa mengingatkan orang ramai terhadap jenama barangan mereka dan juga sebagai alat untuk promosi atau memperkenalkan barangan mereka. Tetapi kalau tanpa sokongan dari faktor-faktor 1, 2, 3 dan 4 di atas, iklan tidak memberi apa-apa makna.

Kalau Amerika boleh melakukannya kenapa tidak kita. Amerika menggunakan kekuatan ekonominya untuk menindas Negara yang lemah dan membantu Israel membunuh rakyat Palestin. Sedangkan kita melakukannya untuk manafaat dan kebaikan manusia sejagat, tidak kira Islam atau bukan Islam. Tentunya visi kita lebih baik dari mereka.

Saturday, January 17, 2009

Pelbagai persepsi awal dari keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu.


Keputusan pilihanraya kecil Terengganu yang telah diumumkan sebentar tadi tentu membawa pelbagai persepsi atau tanggapan kepada orang ramai. Antaranya boleh disenaraikan seperti berikut:

1. Tsunami yang melanda BN masih berterusan. Rakyat semakin ghairah hendak melihat BN berada di pihak yang kalah. Sebaliknya ingin melihat Pakatan Rakyat mengambil giliran sebagai peneraju Negara.

2. Pengundi tidak suka kepada orang pilihan Pak Lah sebagai calon.

3. Kemelut politik UMNO di Terengganu antara kumpulan Idris Jusoh dan kumpulan Ahmad Said masih belum reda.

4. Sebagai tanda protes terhadap Najib yang bakal menggantikan Pak Lah sebagai PM. Atau tidak setuju dengan pelan peralihan kuasa.

5. Calon UMNO yang dipilih tidak dipersetujui oleh pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam UMNO.

6. Selepas ini akan kedengaranlah lagu Oooo Bangau berkumandang di kalangan orang UMNO yang akan menuding jari menyalahkan orang lain atas kekalahan mereka. Najib sendiri pun dah awal-awal kata yang kekalahan itu bukan tanda yang menunjukkan orang tak suka dia jadi PM.

7. Najib tentu tak berani nak buat piliharaya umum lebih awal dari tahun 2013 bila beliau jadi PM nanti. Mesti dia rasa fobia dari kekalahan di KT ini.

8. Lepas ini ramailah kontraktor yang bergantung kepada kabel politik BN mula cemas hendak menyelamatkan diri dari kapal yang hendak tenggelam.

Saya melihat kesedaran dan kefahaman rakyat Malaysia terhadap amalan demokrasi sudah semakin meningkat. Sebahagian besar rakyat negara ini telah dapat melepasi 'persepsi lama' yang telah ditanamkan dalam pemikiran mereka oleh ahli-ahli politik yang suka mencari 'keuntungan' politik.

Sebelum ini kita biasa ditakutkan dengan label-label seperti parti pembangkang tidak ada kebolehan memerintah, jika parti pembangkang memerintah negara akan hancur dan kacau bilau, jika parti pembangkang memerintah negara akan mundur. Politik ugut dan menakut-nakutkan ini tidak sesuai lagi kepada rakyat yang semakin cerdik dan celik ini.

Rakyat juga telah banyak menuntut piliharaya yang adil, telus dan bebas. Mereka telah mempersoalkan penyalahgunaan agensi kerajaan dalam pilihanraya, undi hantu, undi pos, kebebasan media dan perkara-perkara yang tidak selaras dengan amalan demokrasi.

Ada juga hikmah disebalik PR tidak cukup undi untuk memerintah negara pada pilihanraya umum 2008 lalu. Kalau ketika itu PR dapat cukup undi, sudah tentu kelam kelibut dibuatnya, kerana PR tidak pernah menduga akan berlaku tsunami politik seperti itu.

Sekurang-kurangnya sekarang ini PR telah belajar memerintah lima negeri, dan sudah tentu mereka tidak akan menoleh kebelakang lagi.

Thursday, January 15, 2009

Koperasi oh koperasi ~ ref Malaysiakini


APAKAH konsep koperasi masih relevan? Walaupun lebih 5,000 koperasi masih beroperasi di Negara ini, tetapi prestasi kebanyakan dari koperasi-koperasi yang ada ini seperti hidup segan mati tak mahu.

Tidak seperti tahun 60an dan 70an dahulu, koperasi memainkan peranan yang penting dalam memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada masyarakat, khususnya kepada ahli-ahlinya.

Saya masih ingat lagi bagaimana penduduk-penduduk kampong saya menubuhkan koperasi yang ketika itu dikenali sebagai ‘syarikat kerjasama’. Tujuan utama penubuhan koperasi itu ialah untuk membeli mesin padi untuk kegunaan penduduk kampong.

Ketika itu koperasi bukanlah ditubuhkan berasaskan untuk mendapatkan keuntungan tetapi lebih kepada untuk menyediakan kemudahan-kemudahan bagi keperluan penduduk setempat.

Untuk membeli sebuah mesin padi ketika itu memerlukan modal yang besar dan tidak mampu untuk dimiliki dan dikendalikan secara persendirian. Oleh itu mereka menubuhkan syarikat koperasi bagi mengumpulkan modal untuk membeli dan menguruskan mesin padi tersebut.

Perkhidmatan koperasi itu tidak berhenti dengan projek mesin padi sahaja, tetapi terus berkembang dengan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang diperlukan penduduk seperti menyediakan khemah kenduri dan jentera pembajak sawah.

Ahli-ahli yang melabur atau mencarum dalam koperasi ketika itu langsung tidak memikirkan keuntungan yang mereka dapat hasil dari dividen. Kalau ada pun dividen, selalunya dividen yang mereka dapat sangat kecil. Bagi mereka yang lebih penting ialah perkhidmatan atau kemudahan yang mereka dapat dari koperasi tersebut secara berterusan.

Tahun 80an kerajaan memulakan polisi yang menggalakkan rakyat melibatkan diri dalam sektor perniagaan. Ramailah usahawan-usahawan baru muncul terlibat dalam berbagai lapangan perniagaan. Perkhidmatan yang dulunya banyak dikendalikan oleh koperasi telah mula diambil alih oleh pengusaha-pengusaha yang berasaskan perniagaan dan keuntungan.

Persaingan dengan syarikat-syarikat perniagaan yang lebih agresif membuatkan dunia koperasi semakin malap dan hambar.

Syarikat-syarikat perniagaan yang besar mampu memberi keuntungan yang besar kepada pemodal dan pelaburnya. Ini menarik orang ramai untuk melabur dalam syarikat-syarikat perniagaan yang besar berbanding koperasi.

Sebagai contoh pada tahun-tahun awal Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan, ASN mampu membayar sehingga 14 peratus dividen dan bonus kepada pelabur-pelaburnya, sedangkan sebuah koperasi ditempat kerja saya di masa itu hanya mampu membayar 5 peratus dividen sahaja.

Penyelewengan

Apabila sosio ekonomi masyarakat kita berubah, koperasi pun turut berubah mengikut masa dan keperluan ahli-ahlinya.

Koperasi bukan lagi untuk penduduk kampong saja. Kini sudah menjadi perkara biasa koperasi wujud di jabatan-jabatan kerajaan bagi memenuhi keperluan ahli-ahlinya yang terdiri dari pekerja-pekerja pejabat. Termasuk juga dalam jabatan-jabatan pertahanan awam seperti pasukan polis dan tentera.

Untuk menyesuaikan dengan keadaan semasa, koperasi mula mengorak langkah menceburi bidang-bidang perniagaan, termasuklah mengendalikan pasaraya-pasaraya. Koperasi bukan lagi setakat untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan tetapi telah bertukar menjadi entiti yang mencari keuntungan.

Sekarang ini sukar untuk kita membezakan koperasi dengan syarikat-syarikat perniagaan, operasi dan kegiatan mereka hampir sama saja. Mungkin yang membezakan kedua-dua entiti ini hanya pada peraturan dan undang-undang tubuh mereka saja.

Ahli-ahli pun tidak lagi memikirkan sangat soal kemudahan yang mereka dapat dari koperasi tetapi mula melihat dan lebih berminat kepada berapa banyak dividen yang diberi oleh koperasi mereka.

Niat asal koperasi yang mulia dan tulus untuk berkhidmat untuk ahli sudah tidak menjadi keperluan lagi. Orang ramai boleh menjalani kehidupan seharian mereka tanpa memerlukan koperasi lagi. Ada koperasi atau tidak, tidak akan menjejaskan kehidupan mereka.

Ada juga orang yang masuk koperasi kerana hendak mendapat kemudahan kredit dan pinjaman. Tetapi sekarang ini pun banyak institusi kewangan dan perniagaan yang dapat memberi kemudahan kredit dan pinjaman.

Selain dari operasi yang tidak cekap, terdapat juga penyelewengan di peringkat pengurusan koperasi. Ramai pengurus-pengurus koperasi menggunakan kedudukannya telah menyeleweng dan tidak amanah. Mereka memperalatkan koperasi untuk kepentingan dan memperkaya diri sendiri.

Relevan


Konsep koperasi tidak lagi sesuai dengan sosio budaya masyarakat kita yang maju sekarang. Mungkin ketika ini konsep koperasi hanya relevan untuk penduduk-penduduk di kawasan pendalaman di mana pemilikan modal mereka terhad. Usahawan juga tidak berminat untuk membuka perniagaan di kawasan pendalaman kerana tidak ekonomik atau tidak dapat menjana banyak keuntungan.

Kalau pun konsep koperasi ini hendak diteruskan, saya rasa ia lebih sesuai untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang bukan berasaskan mencari keuntungan tetapi lebih untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

Sebagai contoh koperasi diwujudkan untuk menguruskan jenazah penduduk yang meninggal dunia, untuk mengendali kenduri kahwin, untuk membangunkan tanah-tanah terbiar di kampong-kampong untuk projek pertanian dan ternakan, untuk mengadakan perusahaan kampong, untuk mengadakan perkhidmatan untuk warga emas yang anak-anak mereka tinggal dan bekerja di Bandar dan lain-lain perkhidmatan yang bukan berorientasikan keuntungan.

Terima kasih kepada Prof Diraja Ungku Aziz (gambar) yang telah banyak menyumbang buah fikiran untuk dunia koperasi.

Saturday, January 10, 2009

ISRAEL YANG ANGKUH SEPERTI IBLIS ~ ref Malaysiakini

Bangsa Israel dan Arab adalah berasal dari keturunan yang sama iaitu bermula dari Nabi Ibrahim. Mereka berasal dari bapa yang sama tetapi berlainan ibu. Isteri Nabi Ibrahim yang bernama Sarah melahirkan Nabi Ishak yang memulakan nasab keturunan bangsa Israel manakala Isteri Nabi Ibrahim yang bernama Siti Hajar melahirkan Nabi Ismail yang memulakan nasab keturunan bangsa Arab. Oleh itu Israel dan Arab adalah bersaudara yang sangat dekat.

Sebelum kelahiran Nabi Muhammad, di Mekah dan di Madinah memang telah ada bangsa Israel yang hidup bersama-sama bangsa Arab. Dari dulu lagi bangsa Israel ini satu bangsa yang sangat berbangga dengan bangsa mereka, mereka memandang rendah kepada bangsa Arab.

Mereka berbangga dengan bangsa mereka kerana bangsa yang menjadi pilihan Tuhan, memiliki berbagai kelebihan. Mereka menganggap bangsa mereka adalah bangsa yang paling bijak dan berbangga dengan keturunan mereka yang ramai dipilih menjadi Nabi.

Kebanyakan nabi dan rasul adalah dari keturunan Israel, termasuklah Nabi Yaakob, Nabi Yusof, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa.

Dalam kitab Taurat yang asal ada tertulis tentang akan kelahiran nabi besar dan nabi terakhir Muhammad s.a.w yang diberitahu sebagai nabi di kalangan keturunan mereka juga. Mereka sangat-sangat menunggu kelahiran Nabi Muhammad, dan mereka telah mengenali sifat-sifat Nabi Muhammad itu yang diceritakan dalam kitab Taurat seperti mengenali anak-anak mereka. Begitulah terperincinya kisah Nabi Muhammad yang disebutkan dalam kitab Taurat itu.

Apabila Nabi Muhammad lahir dari keturunan Arab, bangsa Israel tidak dapat menerima hakikat itu, mereka berasa amat keciwa. Sebelum itu mereka memandang rendah kepada bangsa Arab, oleh itu mereka tidak boleh terima Nabi yang lahir dari bangsa Arab. Kelahiran Nabi Muhammad dari keturunan Arab ini adalah juga ujian Tuhan kepada bangsa Israel yang selalu berbangga dengan bangsanya.

Memang tidak salah apa yang telah diberitahu oleh Taurat bahawa Nabi Muhammad itu lahir dari keturunan mereka juga, kerana Arab dan Israel adalah berasal dari keturunan yang sama. Tetapi Israel saja yang terlebih perasan kerana beranggapan Nabi Muhammad itu mesti lahir dari nasab Israel.

Begitulah Tuhan hendak menguji keangkuhan bangsa Israel. Tuhan tidak suka kepada mereka yang angkuh. Samalah seperti Tuhan menguji Iblis dengan menciptakan Adam. Iblis yang angkuh tidak mahu sujud kepada Adam kerana dia dicipta dari api sedangkan Adam dicipta dari tanah. Iblis menganggap diri dia lebih mulia dari Adam.

Keangkuhan dan kesombongan Iblis telah menyebabkan dia lupa bahawa dia juga makhluk ciptaan Tuhan. Sikap angkuh Iblis itu telah dimurkai oleh Tuhan dan menjerumuskannya ke dalam azab neraka. Sejak peristiwa itu Iblis menjadi musuh yang nyata kepada umat manusia.

Begitu jugalah dengan bangsa Israel. Sikap angkuh kerana tidak mahu menerima dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad kerana semata-mata baginda orang Arab menyebabkan mereka dimurkai oleh Tuhan. Kebencian mereka kepada bangsa Arab dan umat Islam berterusan hinggalah ke hari ini. Berbagai cara halus telah mereka atur untuk merosakkan akhlak dan aqidah orang Islam.

Mereka telah menggunakan hiburan, seks, wanita, sukan, judi, arak, kemewahan dunia yang melampau dan berlebih-lebihan bagi melalaikan umat Islam dari berpegang kuat kepada agamanya.

Tetapi insyallah seperti yang dijanjikan oleh Tuhan, hamba-hambanya yang ikhlas dalam menghayati ajaran Quran dan sunah rasulNya pasti tidak akan boleh dikalahkan oleh Iblis dan Israel.

Monday, January 05, 2009

Insaflah wahai regim Israel ~ ref Malaysiakini



DUNIA hanya mampu melihat dan tidak berbuat apa-apa ketika regim Israel membuli rakyat Palestin. Sejak beberapa hari yang lalu sudah lebih 500 rakyat Palestin mati di tangan regim Israel.


Kita katakan regim Israel sebagai pembuli kerana perbezaan kekuatan antara kerajaan Palestin dengan regim Israel adalah umpama langit dengan bumi. Regim Israel yang mempunyai bekalan senjata paling canggih dalam dunia, berlawan dengan Palestin yang disekat dari memiliki senjata.


Tidakkah mereka berasa malu membunuh orang-orang yang tidak memiliki senjata kecuali batu-batu untuk dibaling?


Apakah dosa orang-orang Palestin ini sehinggakan diperlakukan sedemikian rupa, sedangkan tanah air mereka sendiri telah dirampas oleh regim Israel dengan sokongan kuasa Barat.


Sudahlah tanah air mereka dirampas, apakah bangsa mereka juga pun hendak dihapuskan dari muka bumi ini.



Dalam Perang Dunia Dunia kedua dulu orang-orang Israel pernah mengalami penindasan dan penyiksaan oleh pemimpin dictator Hitler. Berjuta-juta orang Yahudi dibunuh secara kejam oleh tentera Hitler. Ketika itu mereka berada dalam ketakutan dan tidak ada kemampuan untuk melawan kekuasaan Hitler yang mempunyai kekuatan perang yang sangat digeruni itu.


Apakah penyiksaan dan kekejaman yang pernah dialami oleh bangsa Israel ini tidak membuatkan mereka berasa insaf. Sebaliknya sekarang mereka telah membuli rakyat Palestin sepertimana mereka pernah dibuli oleh regim Hitler.


Kalau bangsa Israel tidak dapat menerima kekejaman yang telah dilakukan oleh regim Hitler kepada mereka, sepatutnya mereka juga tidak boleh menerima untuk melakukan kekejaman kepada bangsa-bangsa lain, termasuklah juga Palestin.


Belajarlah dari sejarah. Tidak ada dalam sejarah kekejaman yang tidak akan berakhir. Kekejaman Hitler tidak kekal lama, kekejaman tentera Jepun berakhir dengan ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, kekejaman dan kezaliman Firaun berakhir dengan tenggelam didasar laut Merah.


Tidak terkecuali, pasti perbuatan kejam regim Israel ini akan sampai juga kepada penghujungnya. Hanya masa saja yang menentukan.


Pihak Barat yang memperjuangkan dan melaung-laungkan hak asasi manusia selalu bersikap double standard dan berat sebelah. Bila pihak yang menjadi mangsa kekejaman adalah orang-orang Islam, suara mereka hampir tidak kedengaran. Seolah-olah orang Islam tidak termasuk untuk layak mendapat perlindungan hak asasi mereka.


Apakah orang Islam Bosnia, orang Islam Palestin, orang Islam Selatan Thai, orang Islam Burma, orang Islam Selatan Filipina yang sering ditindas dan menjadi mangsa kekejaman dan pembunuhan bukan manusia yang layak untuk dilindungi hak kemanusiaan mereka?


Agama kita mengajarkan kepada kita, tidak boleh melakukan kezaliman dan menginaya orang lain. Bukan juga datangnya dari ajaran Nabi Musa untuk membenarkan melakukan kezaliman terhadap sesama manusia.


Usaha kerdil


Memang telah jelas dan terang, pentadbiran Amerika yang merupakan negara kuasa besar dunia adalah sekutu dan pendokong kuat kepada regim Israel. Inilah yang membuatkan regim Israel terus menerus bersikap bongkak.


Sekarang ini ekonomi Amerika tengah merudum, oleh itu sangat tepat masanya kalau kita boleh mengajar kebongkakan Amerika dan Israel ini dengan memulaukan barang-barang buatan dan keluaran negara mereka.


Mungkin usaha ini terlalu kerdil tetapi jika kita semua yang bersimpati dengan bangsa Palestin yang terinaya ini dapat melakukannya, pasti ia akan memberi impak yang besar.


Dalam keadaan ekonomi yang mendesak ini, Amerika memerlukan jualan yang meningkat bagi barang-barang keluarannya. Sekiranya kita dapat berhenti dari membeli barang-barang mereka tentu ia dapat menjejaskan ekonominya yang telah sedia teruk itu.


Mungkin boleh dimaafkan jika kita membeli peralatan yang canggih yang kita tidak ada kemampuan dan kepakaran untuk membuatnya dari negara Amerika, tetapi adalah keterlaluan kalau hendak menyediakan minuman (Coca-cola) dan menggorengkan ayam (Mc Donald) yang boleh kita lakukan sendiri itu pun kita menggunakan perkhidmatan syarikat Amerika.


Kalau Amerika Syarikat boleh memperuntukkan sebahagian pendapatan negaranya untuk mebiayai kerajaan regim Israel, maka menjadi tanggungjawab negara-negara lain pula terutamanya negara-negara Islam memperuntukkan sebahagian dari pendapatan negara mereka untuk tabung bantuan kepada rakyat Palestin sehinggalah rakyat Palestin mendapat layanan yang adil.



Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com