Sabah adalah
satu-satunya negeri dalam Malaysia yang sering kita dengar di mana terdapatnya keinginan
sebahagian anak-anak negerinya untuk berpisah dari Malaysia dan membentuk
sebuah Negara yang merdeka. Walaupun isu ini dapat dikawal dari membesar tetapi
hingga sekarang masih terdapat anak-anak Sabah yang tidak bersetuju negeri itu
menjadi sebahagian dari Malaysia.
Berbanding
dengan anak-anak di negeri-negeri yang lain itu, boleh dikatakan kita semua mempunyai
jiwa yang telah sebati untuk hidup semati di bawah Negara Malaysia.
Malah isu
keluar dari Malaysia ini telah menjadi isu politik yang sangat penting dan
sensitif di Sabah. Kalau di negeri-negeri lain, isu keluar atau berpisah dari
Malaysia adalah isu yang boleh menjadi bahan jenaka atau perkara pelik kepada
penduduknya, tetapi tidak di Sabah.
Sabah pernah
dituntut oleh Indonesia dan Filipina sebagai wilayah mereka. Oleh itu ada
kemungkinan juga terdapatnya penglibatan Negara-negara luar dalam mempengaruhi
pemikiran rakyat Sabah supaya bersikap negatif terhadap kerajaan Persekutuan
Malaysia. Mereka menggunakan kumpulan-kumpulan yang tertentu di Sabah untuk
mencapai cita-cita mereka itu.
Terdapat
sebahagian anak pribumi Sabah yang mempunyai perasaan anti Semenanjung dan menganggap
kita di Semenanjung telah menjajah mereka. Mungkin mereka ini telah termakan
dengan hasutan-hasutan pihak tertentu yang berkepentingan.
Kalau kita
di Semenanjung, ramai yang suka memainkan isu perkauman untuk meraih sokongan
politik, di Sabah pula isu pemisahan atau memerdekakan Sabah pula menjadi modal
politik yang sangat berbaloi.
Apabila saya
berkesempatan buat pertama kalinya berkunjung ke Sabah pada 1 Febuari 2013 yang
lalu, ketika umur saya mencecah setengah abad, tidak pernah ada di dalam hati
saya datang ke Sabah sebagai seorang penjajah. Tetapi sebaliknya saya merasakan
kedatangan saya itu sama saja seperti saya berkunjung ke negeri Selangor,
Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan negeri-negeri yang lain dalam Malaysia. Saya
menganggap Sabah juga sebahagian dari tanah air saya Malaysia, tidak ada
perasaan seperti saya berada di Negara asing walaupun itulah pertama kali saya
menjejakkan kaki ke Sabah.
Namun begitu
terdapat prosedur untuk memasuki negeri Sabah yang membuatkan saya rasa pelik dan
sedikit keciwa, apabila kad pengenalan saya dan sijil kelahiran anak saya
diperiksa dipintu masuk negeri itu. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku
kalau kita memasuki negeri-negeri lain di Semenanjung. Langkah seperti ini akan
hanya menambah menjauhkan lagi hubungan kita di Semenanjung dengan Sabah yang
secara geografinya itu telah pun sedia jauh.
Walaupun
langkah pemeriksaan kad pengenalan ini pada setengah orang tidak menyusahkan
tetapi dari segi psikologinya, ia telah membezakan antara Sabah dan Malaysia.
Kalau kita mahu merapatkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah, dan juga
dalam usaha untuk menghapuskan persepsi penjajahan Semenanjung terhadap Sabah, kerja
‘bodoh’ seperti ini patut dihapuskan terlebih dahulu.
Yang
lucunya, kita dari Semenanjung diperiksa dengan ketat di pintu masuk lapangan
terbang Sabah, walhal dalam masa yang sama beribu-ribu pendatang tanpa izin
dari Indonesia dan Filipina tanpa dokumen dengan mudah masuk ke Sabah.
Usaha
berterusan untuk membawa Sabah ke arus Nasional perlu dijalankan. Di masa lalu,
kebanyakan rakyat dari Semenanjung yang datang ke Sabah adalah dalam bentuk tentera
yang berkhidmat untuk mengawal sempadan Sabah. Mungkin kehadiran ramai tentera
dari Semenanjung telah sedikit sebanyak menanamkan persepsi kepada rakyat Sabah
bahawa mereka dijajah oleh Semenanjung.
Sebenarnya
dakwaan penjajahan Sabah oleh Semenanjung itu hanyalah satu persepsi anak bumi
Sabah sahaja. Sedangkan kita di Semenanjung tidak pernah pun menganggap Sabah
sebagai tanah jajahan Semenanjung. Malah kita menganggap Sabah sama saja
seperti negeri-negeri lain yang ada dalam Malaysia.
Usaha
intergrasi nasional perlu digiatkan lagi bagi merapatkan hubungan antara rakyat
Negara ini, terutamanya antara Sabah dan Semenanjung. Langkah jangka pendek,
mungkin kita boleh menggalakkan pertukaran kakitangan agensi-agensi kerajaan
antara Sabah dan Semenanjung, terutamanya guru-guru sekolah. Membina lebih
banyak institusi pengajian tinggi di Sabah, di mana pelajar dan kakitangan dari
Semenanjung boleh berpeluang belajar dan bekerja di Sabah.
Selain dari
itu Sabah boleh dijadikan destinasi pelancungan utama bagi penduduk di
Semenanjung. Sekarang ini, penduduk Semenanjung lebih gemar melancung ke
Bandung dan Sumatera berbanding ke Sabah sendiri. Sedangkan Sabah juga
mempunyai produk-produk pelancungan yang menarik dan berpotensi untuk
dimajukan.
Sabah kaya
dengan budaya anak bumi, sumber laut, hasil hutan dan alam semula jadi yang
boleh menjadi tarikan dan produk pelancungan. Ikan segar, ikan bilis, ikan kering
dan agar-agar laut yang murah dan mudah didapati di Sabah. Gunung, fauna dan
flora, pulau-pulau yang mempunyai pantai putih yang indah dengan air laut yang
jernih menjadi habitat karang laut yang berbagai corak dan berwarna-warni yang
terdapat di Sabah mampu menjadi daya tarikan pelancung dari Semenanjung jika
diatur dan dibangunkan dengan baik.
Sabah boleh
menjadi syurga beli belah kepada pengunjung dari Semenanjung. Sumber semulajadi
dari laut dan hutan yang banyak boleh dijadikan bahan yang boleh dijual kepada pengunjung.
Sabah perlu membangunkan industri pelancungannya agar dapat menarik ramai
pengunjung dari Semenanjung untuk berkunjung ke negeri itu.
Walaupun
bahan-bahan mentah yang dijual di Bandar-bandar Negeri itu jauh lebih murah
dari Semenanjung, tetapi harga makanan yang dijual di kedai makan di Sabah jauh
lebih mahal berbanding Semenanjung. Kalau sekeping roti canai di Semenanjung
berharga 80 sen tetapi di Sabah berharga RM1.20. Nasi goreng dan mee goreng di
Sabah berharga tidak kurang RM5.00 sepinggan sedangkan harga di Semenanjung
tidak sampai RM4.00 sepinggan.
Kenapa harga
makanan terlalu mahal di Sabah? Apakah kos kehidupan di sana terlalu tinggi
sebanding Selangor dan Singapura. Padahal Sabah adalah antara negeri yang
miskin di Malaysia, selalunya negeri yang di kategorikan sebagai miskin
mempunyai kos hidup yang rendah dan kos buruh yang rendah.
Apakah harga
beras, tepung dan gula yang merupakan barang kawalan Negara kita itu lebih
mahal di Sabah, menyebabkan harga makanan menjadi lebih mahal di sana?
Kerajaan
harus mencari jalan untuk merendahkan harga makanan di Sabah,
sekurang-kurangnya sama seperti Semenanjung bagi menarik penduduk dari
Semenanjung berkunjung atau bekerja di sana.
Kemasukan
UMNO ke Sabah juga dapat memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin dari Sabah
memainkan peranan yang lebih untuk membawa Sabah ke arus nasional. Dengan
adanya parti-parti politik yang bersifat nasional di Sabah, akan dapat memberi
peluang pemimpin-pemimpin di Sabah melihat Sabah sebagai negeri dalam Malaysia,
dan tidaklah kotak pemikiran mereka hanya terbatas kepada negeri Sabah sahaja.
Peluang
telah ada, sekarang semuanya itu bergantung kepada pemimpin-pemimpin Sabah itu
sendiri. Jangan sampai rakyat Sabah sendiri melihat pemimpin mereka itu hanya menjadi
kuda tunggangan sahaja dan jawatan yang mereka pegang hanya dijadikan peluang
untuk memperkaya diri dan keluarga mereka sahaja.
Kerajaan
Persekutuan mesti ikhlas untuk membantu memajukan Sabah, mereka harus mendengar
dengan teliti dan mengambil berat segala pandangan penduduk Sabah. Kerajaan
perlu bersikap adil dalam pembahagian hasil kekayaan yang diperolehi dari
wilayah Sabah. Sikap terbuka kerajaan persekutuan dan tidak bertindak sepihak
akan membuatkan rakyat Sabah dihargai sebagai rakyat Malaysia. Dan sudah tentu
pada masa akan datang mereka juga akan berbangga menjadi rakyat Malaysia
seperti kita di Semenanjung juga.
Sebahagian
dari kekayaan hasil petroleum dan balak yang dikaut dari wilayah Sabah harus
dikembalikan semula kepada penduduk Sabah dengan membina kemudahan dan
infrastruktur untuk mereka, terutamanya jaringan jalanraya yang baik
menghubungkan bandar-bandar utama di Sabah. Jangan sampai seperti yang
diucapkan oleh Datuk Lajim yang keciwa dengan kerajaan pusat, “Buat apalah saya
kaya tetapi ramai lagi rakyat Sabah yang miskin”.
Tidakkah kita rasa malu dan bersalah, sebahagian besar kekayaan negara ini disumbangkan dari hasil bumi wilayah Sabah tetapi Sabah juga merupakan negeri paling miskin atau kedua paling miskin di Malaysia?