Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, November 30, 2012

Bandung, warganya sangat rajin berusaha


Pemandangan anak-anak muda melepak di shopping complex, couple dan aktiviti merempit adalah pemandangan biasa di Bandar-bandar di Malaysia. Tetapi di Bandung, saya tidak nampak anak-anak muda melepak.

Semua orang dan anak-anak mudanya seolah-olah tidak pandai untuk duduk diam sebaliknya melakukan apa saja kerja yang boleh menghasilkan wang walaupun hasilnya tidak seberapa. Berbagai kerja dan aktiviti mereka lakukan demi mendapatkan sedikit wang untuk hidup, dari bermain alat muzik di kalayak ramai, menjual bunga, menjual air minuman kepada pemandu dan penumpang yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas hinggalah menjual cenderahati kepada pelancung-pelancung.

Mungkin di Malaysia, orang-orang kita jarang-jarang melakukan pekerjaan seperti itu, tetapi di Bandung, ia merupakan pemandangan yang biasa.

Rayuan berulangkali mendesak pelancung membeli barang-barang cederahati yang mereka jual menyebabkan pelancung menjadi rimas dan pening kepala.

Memang ada di sediakan kedai-kedai yang menjual barang-barang cenderahati di sediakan di kawasan kota Bandung dan di kawasan pusat pelancungan, tetapi di samping itu terdapat ramai orang perseorangan yang membawa barang jualan di tangan mereka untuk dijual kepada pelancung. Mereka akan merayu pelancung yang sama berulangkali agar membeli barang jualan mereka. Tindakan mereka itu amat merimaskan dan membuatkan kita tidak berasa selesa.

Di pusat beli belah pula, akan ada orang yang kerjanya membantu pelancung mengangkat barang-barang yang dibeli walaupun khidmat mereka itu tidak dipinta, dan sudah tentu perkhidmatan itu tidak diberi secara percuma saja. Berbeza kita di Malaysia, kita tidak pernah nampak adanya perkhidmatan seperti itu di Negara kita. Itulah warga Bandung, mereka pandai membuat peluang pekerjaan.

Kadang-kadang pelancung terasa seperti terpaksa atau tertipu, tetapi itu adalah resam harian warga kota Bandung. Mereka telah menerimanya sebagai usaha dan pencarian untuk sesuap nasi, walaupun perkara-perkara yang mereka lakukan itu mungkin tidak disenangi dan bertentangan dengan budaya pelancung yang datang.

Kadang-kadang tindak tanduk setengah dari mereka itu seperti hendak mengenakan pelancung yang tidak punya pengalaman dan tidak biasa dengan kehidupan di Bandung.

Tindakan yang tidak menyenangkan pelancung ini tidak pula dianggap sebagai perkara yang salah oleh warga Bandung yang lain. Mungkin mereka menganggap, apa yang dilakukan oleh saudara-saudara mereka itu sebagai usaha dan kerajinan, malah mereka sangat menghormati mereka, bagi mereka, pekerjaan seperti itu lebih baik dari mencuri dan meragut.

Sepanjang empat hari berada di Bandung, saya dapat memerhatikan warga Bandung ini sangat menghormati antara satu sama lain, mereka seperti saling faham memahami antara satu sama lain. Tidak pernah saya melihat mereka mengutuk atau memarahi jurujual-jurujual yang berkeliaran mencari rezeki, yang kelihatan seperti mengganggu pelancung dan peniaga yang berlesen. Mereka masih boleh bercakap dengan bahasa yang lembut dan sopan sesama mereka.

Mungkin warga Bandung ini memandang tinggi setiap orang yang mahu berusaha dengan titik peluh sendiri untuk mencari rezeki. Oleh itu tidak hairanlah kalau sukar kita nampak warga Bandung yang duduk melepak, sebaliknya mereka sentiasa saja membuat apa saja kerja, walaupun kepada kita kerja yang mereka lakukan itu seperti tidak mendatangkan hasil yang memuaskan atau tidak patut dijadikan sebagai bidang pekerjaan.

Di sepanjang tepi jalan atau di kaki lima jalan, banyak didirikan warung-warung kecil yang menjual makanan. Saya tidak nampak ramai pembeli atau pelanggannya, malah bilangan warung jauh lebih banyak dari bilangan pembeli. Itu belum termasuk penjual makanan yang bergerak, yang menggunakan kelengkapan jualan yang beroda, yang boleh ditolak ke merata tempat untuk mencari pelanggan. Di samping itu ada juga penjual yang mengandar barang jualan. Begitulah suasana kehidupan di kota Bandung, semua orang melakukan kerja untuk mencari rezeki walaupun belum tentu dapat menjanjikan hasil yang memuaskan.

Warga Bandung yang majoritinya terdiri dari etnik Sunda ini memang rajin dan sentiasa melakukan usaha untuk kesinambungan hidup mereka. Mungkin sebab itu jugalah kita jarang bertemu di Malaysia, pendatang dari Indonesia yang berasal dari daerah Bandung atau etnik Sunda. Sebaliknya yang biasa kita temui di Malaysia adalah pendatang yang datang dari Madura dan Lombok.

Untuk pergi ke gunung Tangkuban Perahu, terletaknya kawah gunung berapi, yang merupakan salah satu tempat destinasi pelancungan yang popular di Bandung, kita akan melalui kawasan perkampungan yang indah di sepanjang lereng gunung.

Keadaan jalanraya di kawasan gunung berapi berlainan dengan jalanraya ke Cameron Highland di Negara kita. Gunung dan bukit di Negara kita adalah jenis gunung lipat, oleh itu jalanrayanya banyak selekoh dan berbelok-belok mengikut contour gunung. Manakala jalanraya di kawasan gunung berapi tidak banyak selekoh, jalannya terus mendongak keatas, oleh kerana cerunnya tinggi, tidak semua kenderaan mampu mendaki melalui jalanraya di gunung di sana. Hanya kereta berkuasa tinggi saja yang mampu melalui atau mendakinya.

Penduduk perkampungan di lereng gunung di sekitar Bandung ini mengusahakan tanaman sayuran dan buah-buahan berhawa sejuk seperti strawberry dan avocado. Pemandangan kampung-kampung ini sungguh cantik, semua rumah mereka beratap genting, tidak ada yang beratap zink dan ardec seperti kampung-kampung di Malaysia. Kelihatannya seperti kawasan perkampungan yang terletak di Eropah yang mewah dan indah. Sebaliknya pemandangan rumah kampung pendalaman di Malaysia kelihatan begitu daif. Pertama kali melihat pemandangan di sana, kita rasa macam bukan berada di Indonesia kerana apa yang terbayang dalam kepala kita, rumah-rumah kampung orang Indonesia mungkin lebih cantik sedikit dari rumah-rumah kongsi di kawasan pembinaan.

Semasa berada di pusat membeli belah, kita sering diingatkan oleh warga di sana supaya sentiasa berhati-hati membawa beg duit, beg duit hendaklah sentiasa di letakkan di bahagian depan untuk mengelak dari dicuri tau dicopet. Peringatan ini memberi persepsi kepada pelancung bahawa kota Bandung bukanlah satu tempat yang begitu selamat kepada pengunjung. Selain dari bimbang duit kita dicopet, pelancung juga tidak berasa selesa dan aman dengan jurujual-jurujual perseorangan yang tidak henti-henti berulangkali merayu kita untuk membeli barang jualannya. Dan tidak kurang juga pelancung ‘terkena’ dengan taktik licik yang mereka gunakan.

Suasana di Bandung jauh berbeza dengan Bandar Perth,Australia yang pernah saya kunjungi sebelum ini. Di Perth saya berasa begitu aman dan selamat, tidak ada rasa bimbang dari ‘ditipu’ atau ‘terkena’.

Pengalaman tidor di hotel di Bandung, saya dikejutkan dengan suara azan yang datang dari masjid berhampiran. Bukan satu masjid tetapi tidak kurang dari tiga masjid. Dari suara-suara azan itu dapatlah saya bayangkan betapa banyaknya masjid yang terdapat di Bandung. Mendengar suara azan yang mendayu dari semua arah, terbayang kepada saya, syiar Islam tertegak kuat di Bandung. Tetapi apabila hari sudah siang, semasa kita menyelusuri jalan-jalan kehidupan di kotanya, saya tidak nampak penghayatan kebaikan Islamnya. Suara azan yang saya dengar pagi tadi itu hanyalah tinggal sebagai lambang sahaja, ia tidak benar-benar menjalar ke dalam kehidupan masyarakatnya.

Sebaliknya, semasa saya menginap di hotel di Perth, saya tidak dikejutkan oleh suara azan. Tetapi apabila kita menyelusuri jalan-jalan di Bandar itu, kita berasa begitu selamat, aman dan tidak ada rasa bimbang. Seolah-olah seperti kita berada di dalam sebuah kota Islam, walaupun majoriti warga Perth adalah penganut Kristian.

Tuesday, November 20, 2012

Bandung, warganya saling faham memahami


Empat hari bergerak di atas jalanraya di Kota Bandung, sudah dapat melihat resam warga kota tersebut. Kota Bandung terletak di tanah tinggi pergunungan, udaranya lebik sejuk, terutamanya di waktu malam.

Terletak di atas kawasan pergunungan, tanah ratanya sangat terhad, kebanyakan jalanraya di kota Bandung sempit-sempit dan berbukit. Tidak ada kelihatan blok atau bangunan rumah-rumah kedai seperti Bandar di Malaysia. Kedai dibina atas tanah-tanah lot di sepanjang jalan. Setiap kedai mempunyai bentuk senibina tersendiri dan unik.

Tidak banyak bangunan pencakar langit di sini. Oleh kerana jalanrayanya sempit, kesesakan lalulintas atau trafik jem atau disebut ‘macet’ di Bandung adalah merupakan perkara biasa di sini, tanpa mengira waktu. Dan sudah tentulah lalulintas menjadi lebih sesak di waktu warga Bandung hendak pergi dan balik kerja.

Sebelum sampai di Bandung, saya bayangkan jalan-jalanrayanya penuh dengan kereta buruk-buruk atau kereta lama yang uzur. Tetapi sangkaan saya itu tidak betul, sebaliknya banyak kereta baru, bersaiz besar (MPV) memenuhi jalan-jalanraya di Bandung. Kereta Kijang (Unser), Inova dan Avanza adalah kereta yang paling banyak di jalanrayanya.

Pengangkutan Angkut Kota yang merupakan pengangkutan awam kota Bandung yang sangat popular, membawa penumpang ke merata tempat, cepat dan cekap, sangat sesuai dengan keadaan jalanraya kota Bandung yang sempit dan berbukit-bukit. Kebanyakan kenderaan Angkut Kota ini menggunakan MPV Kijang (Unser).

Jalan-jalanraya di pinggir Kota Bandung jarang ada kemudahan lampu trafik, tetapi warga Bandung sudah biasa dengan keadaan jalanraya tanpa lampu trafik. Apabila kereta yang hendak keluar dari simpang untuk masuk ke jalan utama, pemandu tidak perlu menunggu keadaan jalan lengang dari kedua-dua arah untuk melintas masuk ke jalan utama. Pemandu hanya perlu bergerak perlahan masuk ke jalan utama dan secara sepontan pemandu-pemandu kereta dari kedua-dua arah di jalan utama akan memperlahankan kenderaan mereka untuk memberi laluan kepada kereta yang keluar dari simpang.
 

Kalau di Malaysia, kereta yang keluar dari simpang untuk masuk ke jalan utama terpaksa menunggu kereta-kereta di jalan utama dari kedua-dua arah lengang, barulah boleh melintas masuk ke jalan utama. Tetapi di Bandung, tidak boleh buat begitu kerana jalanrayanya sentiasa sesak dan susah untuk mencari keadaan yang lengang.

Di sinilah saya nampak, warga Bandung mempunyai sikap saling memahami antara satu sama lain. Mereka sabar menghadapi kesesakan lalulintas, tidak mementingkan diri sendiri, tidak lokek untuk memberi peluang kepada orang lain.

Di tempat-tempat letak kereta dan di sesetengah simpang,  ada orang yang menjaga untuk mengaturkan atau menguruskan kereta yang keluar masuk supaya bergerak lancar, keadaannya seperti polis trafik yang tidak rasmi. Setiap pemandu akan membayar 2000 rupiah (60 sen) kepada mereka atas perkhidmatan itu. Bagaimana mereka dapat pekerjaan itu dan siapa yang patut bekerja di tempat itu, dan bagaimana mereka membahagi-bahagikan tempat itu sesama mereka, tidaklah saya tahu. Tetapi saya tidak nampak mereka berebut untuk melakukan kerja itu, seperti sudah ada persefahaman antara mereka.

Sepanjang empat hari saya bergerak di atas jalanraya di Kota Bandung, saya tidak nampak berlaku pelanggaran antara kenderaan atau kemalangan (accident) walaupun kereta yang berada di atas jalanraya sangat banyak dan jalannya sempit. Ini menunjukkan sikap pemandunya yang sangat berhati-hati, mahir dan cekap memandu.

Mungkin empat hari adalah terlalu singkat untuk mendapat peluang melihat berlaku insiden pelanggaran atau kemalangan. Tetapi setelah melihat kepada kebanyakan kereta-kereta di kota ini, memang saya tidak nampak sebuah kereta pun yang ada kesan calar dan kemek, ini tambah meyakinkan saya, memang jarang sangat berlaku insiden pelanggaran dan kemalangan di kota Bandung ini.

Apa yang saya lihat di jalanraya adalah juga mencerminkan resam, sikat dan tabiat warga Bandung itu sendiri. Mereka mempunyai hubungan erat dan akrab antara satu sama lain, tidak mementingkan diri sendiri dan saling faham memahami.

Bagaimana budaya atau amalan sebegini dapat dibentuk dalam masyarakat di Bandung? Adakah sebab mereka mempunyai etnik yang sama iaitu majoritinya adalah etnik Sunda. Atau adakah mereka mendapat pendidikan di sekolah yang sama yang mempunyai falsafah yang sama?
 

Inilah pemandu (supir) yang telah membawa saya dan keluarga selama empat hari berjalan-jalan di sekitar Kota Bandung. Dia mahir dan cekap memandu, dedikasi dengan kerjanya, menepati masa, sangat suka membantu. Beliau boleh dihubungi melalui nombor telefon +6281321281112.
Sambungan akan datang, Bandung, warga yang rajin.

Friday, November 09, 2012

Ungkapan ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’, sudah tidak sesuai lagi


Ungkapan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ adalah menggambarkan eratnya hubungan antara pemimpin dan rakyat.  Di zaman dulu pemimpin orang Melayu adalah raja, Negara akan menjadi aman dan makmur jika ada hubungan yang erat antara raja dan rakyat.

Tetapi zaman sekarang, pemimpin tertinggi kita ialah Perdana Menteri di peringkat Negara dan Menteri Besar dan Ketua Menteri di peringkat negeri. Oleh itu untuk disesuaikan di zaman sekarang, ungkapan yang lebih tepat ialah ‘pemimpin dan rakyat berpisah tiada’. Memang benar, untuk keamanan dan kemakmuran Negara, perlu ada persefahaman dan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat.

Ungkapan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ tidaklah sesuai lagi digunakan pada masa ini. Raja pada masa ini hanyalah sebagai Ketua Negara sahaja dan baginda tidak berperanan secara langsung dengan urusan dan permasalahan rakyat. Yang lebih dekat dengan rakyat jelata ialah Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Semua polisi dan dasar yang melibatkan rakyat adalah ditentukan atau di bawah kuasa Perdana Menteri sebagai pemimpin negara. Oleh itu hubungan pemimpin dengan rakyat mestilah dalam keadaan yang erat dan saling kasih mengasihi, agar dasar-dasar yang digubal tidak membebankan atau menyusahkan rakyat.

Kalau pemimpin tidak mempunyai rasa belas kepada rakyat, sudah tentu rakyat juga tidak akan rasa senang dan tenteram dengan pemimpin tersebut. Sudah pasti selepas pilihanraya, pemimpin yang tidak bertimbang rasa seperti ini akan berpisah jua dengan rakyat.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com