Masjid itu ‘rumah Allah’ iaitu tempat umat Islam melakukan
ibadah terutamanya solat berjemaah, menyembah Tuhan yang Maha Esa. Masjid juga menjadi
lambang kesatuan umat Islam.
Walaupun umat Islam telah terbahagi kepada berbagai aliran,
berbagai mazhab dan berbagai fahaman politik tetapi mereka sepatutnya boleh dan
tidak tersekat untuk bersembahyang di mana-mana masjid di muka bumi ini.
Bukan sahaja kita tidak wajar mendirikan masjid untuk kumpulan
kita sendiri kerana berbeza fahaman dengan orang lain, malah kita juga tidak
wajar menunaikan solat berjemaah yang berasingan mengikut aliran fahaman masing-masing
di dalam masjid yang sama.
Di Negara kita Malaysia memang pernah berlaku di mana masjid
didirikan kerana mengasingkan pengikut-pengikut mereka yang berbeza fahaman.
Begitu juga pernah berlaku sembahyang dua imam di dalam satu masjid kerana
berbeza fahaman politik.
Terdapat pemimpin-pemimpin aliran agama yang terlalu
mengutamakan idealistik, menjadikan mereka taksub hingga kabur untuk melihat
keutamaan dalam Islam itu sendiri.
Kadang-kadang kerana mempertahankan soal cabang yang kecil
mereka sanggup mengorbankan kepentingan yang lebih besar.
Sebagai contoh, ada pemimpin aliran agama ini yang faham,
perkara niat dalam ibadah tidak perlu dilafazkan, kepada mereka, melafazkan
niat adalah bidaah. Oleh kerana mereka tidak bersetuju dengan masyarakat ramai
yang mengamalkan lafaz niat maka mereka telah mendirikan sembahyang Jumaat untuk
kumpulan mereka yang berasingan dari masjid orang awam.
Pemimpin agama seperti ini lupa tentang kepentingan yang
lebih besar dalam Islam. Tindakan yang mereka lakukan itu sebenarnya hanya akan
merugikan agama dan umat Islam. Konsep agama ialah nasihat, berdakwah kepada
manusia kepada kebaikan, itulah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad.
Mengasingkan diri hanya akan menjauhkan manusia dari kita, akhirnya dakwah kita
tidak sampai kepada sasaran.
Memang betul, niat tidak perlu dilafazkan, dan saya akui
pendapat pemimpin aliran agama itu memang betul. Tetapi dalam menegakkan
pendirian kita walaupun betul, tidak harus mengambil tindakan hingga sampai mendirikan
sembahyang Jumaat berasingan, kerana ini akan menyebabkan lebih banyak
kerosakan dan kerugian kepada agama dan masyarakat umat Islam. Samalah seperti
kita hendak membunuh seekor nyamuk menggunakan bom atom.
Adalah lebih sesuai kalau kita menggunakan pendekatan Dr.
Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, dalam mengubah pemikiran
masyarakat. Beliau banyak menggunakan hujah dan nas dalam mendidik dan
menangani berbagai isu. Beliau tidak membentuk kumpulannya sendiri, semua umat
Islam adalah kumpulannya. Sebenarnya inilah cara yang betul, matalamat kita ialah
hendak membetulkan pemikiran semua umat Islam, bukan hendak mewujudkan kumpulan
baru.
Jangan sekali mengasingkan diri kita dari kelompok ramai,
kerana ini hanya akan menambah rasa curiga orang ramai kepada kita, semakin
jauhlah kita dari mereka.
Tidak dinafikan selain dari Dr. Mohd Asri, ramai juga
usataz-ustaz yang berceramah di masjid yang telah membawa nilai-nilai dan
hujah-hujah baru yang cuba memadamkan amalan-amalan lama yang tidak tepat yang
telah sebati dalam masyarakat. Dengan kredibiliti yang mereka miliki dan kebijaksanaan
dalam menyampaikan hujah dan nas, ustaz-ustaz ini telah dapat mempengaruhi
masyarakat untuk berubah.
Sebenarnya inilah cara yang paling berkesan untuk mengubah
masyarakat atau umat Islam, masyarakat perlu didekati bukan dijauhi. Kita kena
masuk ke dalam masyarakat itu sendiri bukan mengasingkan diri kita dari mereka.