Selama ini saya menyangkakan pandangan sesetengah tamadun manusia yang menganggap Sultan atau Raja itu merupakan bayangan Tuhan atau wakil Tuhan adalah bukan dari orang Islam atau kepercayaan sebelum kedatangan Islam.
Tetapi setelah membaca artikel oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bekas mufti Perlis yang bertajuk “BILAKAH SULTAN MENJADI BAYANGAN ALLAH DI BUMI?” terdapat beberapa hadis yang menyebut Sultan adalah bayangan Allah di bumi, walaupun bukan dari hadis-hadis yang sahih. Sukar untuk saya mempercayainya, tetapi saya terpaksa juga menerima hakikat bahawa pandangan yang mengatakan Sultan itu adalah bayangan Tuhan di bumi itu adalah juga lahir dari ‘ajaran Islam’ sendiri.
Saya lebih suka merujuk kepada Quran sebagai sumber utama ajaran Islam yang tidak boleh dipertikaikan. Bagi saya kalau ada sumber lain, termasuk hadis, apatah lagi hadis dhaif yang bertentangan dan tidak selari dengan semangat dan prinsip Quran maka wajib kita menolak yang lain-lain itu.
Mesej utama ajaran Quran adalah mengesakan Tuhan dan membenteras perbuatan syirik. Dengan tujuan itulah juga Nabi dan Rasul diturunkan, mengajak manusia menyembah Tuhan yang Esa dan tidak mempersekutukan Tuhan.
Dalam Quran (antaranya dalam Surah Al Baqarah) jelas mengatakan manusia itu sebagai khalifah Allah di bumi. Gelaran khalifah ini sudah dimaklumi dan difahami oleh umat Islam dan tidak boleh dipertikai. Tetapi kenyataan Sultan adalah bayangan Allah di bumi tidak pernah disebut dalam Quran.
Kita bimbang gelaran bayangan Allah ini boleh disalah fahami yang boleh membawa amalan syirik. Yang telah merosakkan ajaran Nabi Isa ialah bila pengikutnya terlalu taksub dan menganggap baginda sebagai jelmaan Tuhan dalam bentuk rupa manusia di bumi. Kita bimbang ajaran mengatakan Sultan adalah bayangan Allah ini juga hampir menyamai seperti ajaran Kristian.
Oleh itu bagi membersihkan ajaran Islam yang mulia ini, adalah lebih baik kita menolak hadis-hadis yang bercanggah dengan prinsip Quran ini. Allah telah member jaminan untuk memelihara Quran dari diseleweng tetapi tidak ada jaminan yang Allah beri kepada hadis-hadis.
Tidak salah kita menolak hadis-hadis yang sedemikian itu bagi memurnikan aqidah kita kepada Allah s.w.t. Apatah lagi ianya langsung tidak menjejaskan rukun iman kita kalau tidak percaya Sultan itu adalah bayangan Allah di bumi, sebaliknya lagi bahaya kalau kita mempercayainya, kerana bimbang ia boleh membawa kepada syirik.
Inilah antara terjemahan hadis itu, “al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman”. (hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai ‘terlalu daif’ dalam Silsilah al-Daifah/no. 1664)
Kadang-kadang manusia ini menggunakan agama, seperti menyelewengkan pentafsiran ayat Quran dan hadis, malah mencipta hadis-hadis palsu bagi kepentingan diri mereka, termasuklah atas kepentingan politik.
Hadis di atas jelas berbau politik, ada kemungkinan kenyataan ini diwujudkan bagi menghalang orang ramai dari melakukan pemberontakan atau penentangan terhadap Sultan dan Raja. Apa yang rakyat perlu lakukan hanyalah bersabar dengan Sultan dan Raja yang menyusahkan rakyat sehinggalah baginda menemui ajalnya, dan selepas itu akan digantikan oleh puteranya yang diharapkan akan menjadi Sultan dan Raja yang lebih baik.
Pemberontakan, penentangan dan peperangan adalah lebih buruk kesannya kepada rakyat jelata. Pasti akan menumpahkan darah, dan ramai yang akan terbunuh, oleh itu jalan yang lebih baik ialah menjinakkan pemikiran rakyat dengan ‘agama’ dan hadis palsu supaya sabar dan taat setia kepada Sultan dan Raja walaupun banyak perbuatan mereka yang membebankan rakyat.
Kelompok Syiah juga banyak menghasilkan hadis-hadis yang menyokong kepimpinan Saidina Ali dan keturunannya, inilah cara mudah untuk mendapat sokongan orang ramai kepada mereka.
Dalam masyarakat Melayu pun kita juga banyak menggunakan pendekatan demikian atau jalan mudah untuk mendidik anak-anak menjadi baik. Umpamanya, anak gadis tidak dibenarkan duduk di tangga kerana nanti tidak dapat jodoh, anak gadis tidak boleh menyanyi semasa masak kerana nanti akan kawin dengan orang tua.
Walaupun larangan-larangan ini adalah bertujuan untuk mendidik anak-anak gadis mereka supaya berkelakuan baik dengan cara menakut-nakutkan, tetapi akhirnya mereka membesar dengan membawa kepercayaan itu. Malangnya anak-anak ini dibiarkan membesar tanpa diberi penjelasan disebalik larangan-larangan itu.
Apabila perkara karut ini telah melekat menjadi kepercayaan, maka akan menjadi perkara yang kurafat dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengambil jalan tengah, menerima kenyataan Sultan adalah bayangan Allah di bumi dengan bersyarat, di dalam konteks yang tertentu. Mungkin beliau bimbang kalau sekali lagi dilabel sebagai Wahabi kalau menolaknya bulat-bulat.
Tetapi kalau kepercayaan ini boleh mencampakkan diri kita kepada amalan syirik, memang wajar kita tolak terus sekalipun kita akan dilabel sebagai Wahabi. Yang penting kita telah mengikut jalan yang telah ditempuh dan diperjuangkan oleh para Anbiya.
Apakah Sultan dan Raja itu lebih mulia darjatnya dari Nabi dan Rasul sehingga layak mendapat gelaran Bayangan Allah di bumi?
Seperti dinyatakan dalam Surah Al Ikhlas, tiada sesuatu pun yang setara atau menyerupai Allah, mahupun yang diciptaNya atau apa saja yang dibayangkan dalam fikiran kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
my playlist
Create a playlist at MixPod.com
1 comment:
Hadis berkenaan bayangan Allah ini ada nilai sastera. Dalam ilmu balaqah hadis tersebut adalah tasybih yang dibuangkan adat (alat) tasybih. Sepatutnya hadis itu berbunyi yang maksudnya, Sultan seperti bayangan Allah.
Dalam tasybih tidak merujuk kepada semua tetapi sebahagian sahaja. Contoh dalam bahasa kita, bila kita kata, kamu lembu, ayat ini bukat bermaksud kamu itu binatang lembu. Tapi sebenar bermaksud kamu seperti lembu. soalnya adakah kamu itu ada kaki empat, ada ekor dll. Tidak, tetapi kamu itu seperti lembu disudut bodoh boleh ditarik hidung.
Begitulah yang sepatutnya kita faham dengan hadis di atas bahawa sultan yang memerintah seperti bayangan Allah disudut menjalankan urusan pentadbiran negara. maka sultan mesti tadbir dengan cekap dan bijak dan dengan itu sultan akan disanjungi dan dihormati. Wallahu aklam.
Post a Comment