SEKIM rumah kos rendah yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak beberapa dekad yang lalu telah banyak membantu rakyat Negara ini yang berpendapat rendah mampu memiliki rumah sendiri.
Dengan harga rumah sekitar RM25,000.00 seunit, dan bayaran ansuran bulanan sekitar seratus ringgit sebulan, adalah tidak membebankan bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1000.
Memang baik jika sekim ini diteruskan oleh kerajaan untuk masa akan datang, disamping membuat beberapa penambahbaikan.
Dalam masa yang sama kita berharap biarlah rumah berharga subsidi dari kerajaan ini betul-betul diberikan kepada rakyat yang benar-benar layak dari segi pendapatannya. Kita tidak mahu ada golongan-golongan yang tertentu mengambil kesempatan memiliki rumah-rumah kos rendah ini walaupun mereka itu tidak layak.
Dari pemerhatian kita, kebanyakan pendapatan pemilik-pemilik rumah kos rendah ini tidaklah kekal rendah atau miskin buat selamanya. Ada sebahagian mereka mempunyai pendapatan yang semakin meningkat atau bertambah. Begitu juga dengan bilangan ahli keluarga mereka juga turut bertambah. Lama kelamaan rumah kos rendah yang hanya mempunyai dua bilik itu akan menjadi sempit kepada mereka.
Semakin lama mereka tinggal di situ, semakin banyak duit tabungan mereka, akhirnya mereka sudah ada kemampuan untuk membesarkan ruang rumah mereka dan menambah lebih banyak bilik. Tetapi masalahnya, kawasan tanah rumah mereka sangat terhad iaitu sekitar 15’ x 40’ sahaja.
Oleh itu untuk akan datang adalah lebih sesuai kalau luas tanah untuk sekim rumah kos rendah ini ditambah supaya lebih luas dari yang ada sekarang. Mungkin boleh ditingkatkan menjadi 20’ x 70’, sama seperti luas tanah untuk rumah kos sederhana dan rumah mewah.
Tidak mengapalah kalau rumah asal atau rumah asas bagi rumah kos rendah itu mempunyai luas binaan yang kecil, cukup setakat satu bilik atau dua bilik tetapi pastikan kawasan tanahnya luas.Sebenarnya dengan menambah luas tanah, tidaklah akan menambah kos pembinaan.
Jadi, apabila pemilik-pemiliknya telah ada kemampuan dan ekonominya bertambah baik, mudahlah mereka membuat ubahsuai kepada rumah mereka, untuk menjadikan rumah mereka lebih besar dan lebih selesa.
Ini juga boleh digunapakai kepada rumah-rumah pangsa atau bertingkat. Di Singapura misalnya, ada rumah-rumah pangsa telah diubahsuai dengan menambah bilik dari rumah asal yang mempunyai dua bilik kepada tiga bilik tanpa meruntuhkan bangunan atau rumah asal. Ini hanya boleh dilakukan jika tanah tapak asal rumah pangsa itu mempunyai kawasan yang luas.
Walaupun terpaksa mengambil masa yang lebih lama sedikit kerana kesempitan hidup, tetapi akhirnya mereka akan dapat juga memiliki rumah yang besar dan selesa seperti rakyat Malaysia yang lain.
Kerajaan atau majlis kerajaan tempatan juga boleh mengutip kadar cukai pintu yang lebih tinggi bila rumah-rumah kos rendah telah dibesarkan. Ini berasaskan, bila pemilik mampu membesarkan rumah mereka, ini bermakna mereka juga ada kemampuan untuk membayar lebih cukai.
Moga cadangan ini dapat perhatian dari semua pihak demi kesejateraan hidup rakyat keseluruhannya.
1 comment:
kesian kat orang yang sederhana... nak beli yang murah tak boleh... nak beli yang mahal tak mampu... sayang sederhana pun tak dapat juga...
Post a Comment