Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, July 31, 2009

Keseronokan Memancing


RAMAI juga orang yang mempunyai hobi memancing. Memancing yang saya maksudkan di sini ialah memancing ikan. Kadang-kadang mereka sanggup duduk berjam-jam menunggu kail mereka disambar ikan.

Kelihatannya seperti membuang masa dan membuat kerja bodoh. Padahal kalau hendak makan ikan bukankah lebih senang beli saja di pasar atau tempat-tempat nelayan menjual ikan. Ini lebih baik dari membuang masa pergi memancing yang belum tentu boleh dapat ikannya.

Bila kita tanya kepada mereka yang kaki pancing ini, mereka mengatakan keseronokan memancing ini bukanlah kerana mendapat ikan yang dipancing itu, sebaliknya keseronokannya adalah semasa mengendalikan kail ketika mendaratkan ikan yang terkena pancing itu.

Ada satu cerita ekstrim yang sangat popular diperbualkan di kalangan kaki pancing ini, di mana ada kaki pancing yang sanggup menawarkan bayaran kepada tuan punya pancing yang kailnya sedang disentap ikan bagi mendaratkan ikan tersebut. Selepas ikan itu didaratkannya, ikan itu diserahkan kembali kepada tuan yang punya pancing itu.

Begitulah cerita tahap kegilaan seorang kaki pancing. Mereka sanggup membayar harga keseronokan mendaratkan ikan dengan kail itu walaupun dia tidak memiliki ikan tersebut.

Begitulah juga yang dirasakan oleh pasangan suami isteri yang bercerai. Setiap kali bercerai, anak-anak akan menjadi rebutan di antara ibu dan bapa yang berpisah.

Keseronokan ibu bapa yang bercerai bukanlah semata kerana mereka dapat hak penjagaan anak-anak. Tetapi yang lebih seronok lagi ialah kerana mereka dapat membesarkan anak-anak di depan mata mereka.

Pada kebiasaannya, pihak ibulah yang selalu mendapat hak penjagaan anak-anak selepas pasangan suami isteri itu bercerai. Di pihak bapa pula, bapa bukan sahaja kehilangan keseronokan untuk membesarkan anak-anaknya tetapi terpaksa pula membayar wang nafkah setiap bulan untuk anak-anaknya yang dipelihara oleh bekas isteri.

Kadang-kadang rasa kesal juga terhadap sikap isteri-isteri yang bercerai, mereka selalu merungut kerana bekas suami kerap tidak membayar nafkah untuk anak-anak. Tetapi mereka lupa yang keseronokan membesarkan anak-anak didepan mata itu lebih jauh berharga dari duit nafkah itu.

Malah saya percaya, ramai dikalangan bekas suami kalau diberi pilihan, mereka sangat suka untuk menjaga dan membesarkan anak-anak mereka, malah sanggup membayar wang lagi kepada bekas isteri mereka sama banyak seperti bayaran nafkah untuk anak-anak sebanyak yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib walaupun bekas isterinya tidak menjaga anak-anak itu.

Ini menggambarkan keseronokan membesarkan anak-anak di depan mata sendiri itu lebih besar nilainya dari wang nafkah anak yang kena bayar tiap-tiap bulan itu. Keadaan ini samalah seperti kes kaki memancing yang saya sebutkan tadi.

Oleh itu kepada pihak yang menang atau mendapat hak penjagaan anak-anak ini, janganlah memandang buruk sangka kepada bekas pasangan anda, selalulah renungkan dan bayangkan kalaulah bukan anda tetapi bekas pasangan anda yang mendapat hak penjagaan anak-anak itu. Kadang-kadang kita terlupa tentang perkara ini kerana kita tidak pernah meletakkan diri kita di tempat orang lain.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com