DARI beberapa keputusan penting yang dibuat oleh beliau selama menceburi arena politik, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Muhyiddin Yassin selalu menggunakan pendekatan politik selamat.
Beliau seorang pemimpin yang tidak mempunyai keberanian. Untuk menjadi pemimpin Negara, kita perlukan seorang pemimpin yang berani. Pemimpin yang agung mesti berani membuat keputusan untuk kebaikan Negara dan bangsanya walaupun keputusan yang dibuat itu boleh menjadikan dia tidak popular.
Selepas Pak Lah bersetuju untuk melakukan pelan peralihan kuasa bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap BN yang prestasinya begitu teruk dalam pilihanraya umum ke 12 dulu, Muhyiddin begitu garang mendesak Pak Lah untuk mempercepatkan peralihan kuasa itu dari tahun 2010 ke bulan April 2009. Tetapi apalah ertinya hanya berani menunjukkan garang kepada singa yang sudah tidak ada gigi.
Dalam usaha untuk mencari pemimpin yang berwibawa selepas jawatan presiden UMNO dikosongkan oleh Pak Lah, kita juga dapat melihat Muhyiddin Yassin juga tidak berani untuk mencabar Najib untuk jawatan tersebut. Padahal di waktu itu beliau adalah antara pemimpin yang sangat berpotensi untuk jawatan tersebut.
Tetapi disebabkan dia memilih pendekatan politik selamat, beliau hanya sekadar menyokong dan memberi laluan mudah kepada Najib untuk jawatan Presiden UMNO itu, dan dengan keputusan ‘bijak’ beliau itu, beliau telah terpilih sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Yang terkini, beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan untuk memansuhkan dasar PPSMI pada tahun 2012, dengan itu dalam masa tiga tahun lagi subjek metametik dan sains di sekolah rendah dan menengah akan diajar semula menggunakan bahasa ibunda samada Melayu, Cina dan Tamil.
Setelah menerima bantahan dari parti politik lawan dan NGO, akhirnya Muhyiddin sekali lagi mengambil keputusan politik selamat terhadap isu PPMSI ini. Walaupun beliau mungkin tidak bersetuju dan berasa berat hati memansuhkan PPSMI tetapi terpaksa dilakukan demi survival parti UMNO. Beliau bersama parti UMNO mahu dilihat oleh orang Melayu sebagai hero pejuang bahasa orang Melayu.
Pernahkah kita dengar Muhyiddin menentang atau mengkritik dasar PPSMI itu semasa Tun Mahathir melaksanakan dasar itu pada tahun 2003 dulu? Sebaliknya Ghani Othman, MB Johor sekarang ini, patut dipuji kerana beliau adalah seorang yang berpendirian tegas kerana telah memperlihatkan tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar tersebut dari awal lagi.
Kenapa perlu cakap sekarang, sedangkan pemansuhan PPSMI itu hanya akan berkuatkuasa pada tahun 2012, adakah kerana hendak mengambil keuntungan politik? Apatah lagi keputusan ini dibuat ditengah-tengah waktu berkempen pilihanraya kecil di Manek Urai. Kenapa tidak cakap saja pada tahun 2012 nanti. Dalam masa tiga tahun ini macam-macam perkara boleh berlaku.
Yang agak lucunya, alasan utama yang diberikan untuk membatalkan dasar PPSMI itu adalah kerana keputusan matematik dan sains murid-murid didapati merosot kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris dengan baik.
Bukan sahaja murid tidak faham bahasa Inggeris, guru yang mengajar subjek itu pun ramai yang tidak mampu bertutur dan mengajar dalam bahasa Inggeris. Jadi kenapa kita hendak hairan kalau keputusan dalam subjek-subjek tersebut merosot.
Kita telah memulakan dasar PPSMI ini dengan tergesa-gesa, dimana tanpa persediaan yang cukup, guru-guru pun tidak mempunyai latihan dan pengalaman mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Tentulah keadaannya tidak sama kalau menggunakan bahasa ibunda dimana murid dan guru amat biasa dan memahami bahasa tersebut.
Tentulah sudah dijangkakan berlaku kemerosotan bila kita bertukar dari bahasa ibunda kepada bahasa Inggeris, tetapi apa yang kita mahu ialah adanya peningkatan dari masa ke semasa bila telah lama kita menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains, dengan mengambil kira ada penambahbaikan kepada guru-guru yang mengajar dalam subjek-subjek tersebut.
Faedah dari dasar PPSMI bukan boleh dicapai dalam masa 10 tahun, tetapi dasar PPSMI adalah jangka panjang yang hasil dan faedahnya mungkin hanya boleh dilihat dalam masa lebih 50 tahun lagi. Lagi lambat kita bermula lagi jauh kita akan ketinggalan.
Untuk mengatakan majoriti rakyat Malaysia menolak dasar PPSMI juga tidak benar, dari undian yang dibuat dalam blog Tun Mahathir terus menunjukkan aliran menyokong dasar PPSMI itu lebih ramai dari yang menentang.
Sampai bila agaknya Muhyiddin akan terus bermain dengan politik selamat? Mungkinkah bila sampai UMNO tidak dapat diselamatkan lagi.
3 comments:
Muhyiddin mungkin menggunakan pendekatan politik selamat tapi keputusan mansuh PPSMI disertakan dengan keputusan memperkasakan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.
Harapan kita agar janji kerajaan memperkasakan Bahasa Inggeris betul-betul dipenuhi supaya anak Melayu tidak ketinggalan dalam kemampuan berbahasa Inggeris.
Isu sebegini tidak akan habis dibincang, yang penting pendekatan dan cara pelaksanaan.
Politik selamat Muhyiddin adalah politik bangsa. Jauh lebih mulia daripada politik selamat membenarkan Chin Peng balik ke Malaysia.
Assalam wbt.
Hasil tekanan-tekanan daripada pelbagai pihak samada parti pembangkang, NGO dan orang awam akhirnya TPM mengambil jalan selamat buatnya, UMNO dan BN - betullah tu.
Macam yang saya utarakan dalam blog saya, sebenarnya kedua-dua kerajaan & rakyat menanggung kerugian akibat pemansuhan PPSMI ini ttp kedua2nya akan beroleh keuntungan besar kemudiannya jika sama-sama berganding bahu untuk menyelesaikan perkara 'pokok' iaitu memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak bangsa. Wallahu'alam.
kene banyak baca lagi lyiasss...... buka hati tu luas2.
Zul.
Post a Comment