Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label Muhyiddin Yassin. Show all posts
Showing posts with label Muhyiddin Yassin. Show all posts

Wednesday, November 30, 2011

Seperti biasa, orang Melayu ditakut-takutkan

Dalam ucapan perasmian perhimpunan sayap UMNO malam tadi (29/11/2011) yang disiarkan secara langsung melalui media elektronik perdana, Muhyiddin cuba menakut-nakutkan orang Melayu supaya menolak parti pembangkang (PR).


Menggunakan taktik menakut-nakutkan adalah satu teknik yang berkesan dalam strategi memenangi pilihanraya, dan ia telah diamalkan sejak sekian lama oleh parti UMNO.

Memulakan ucapannya dengan mencela perbuatan fitnah, beliau menuduh parti pembangkang suka membuat fitnah dan bekerja lebih masa untuk mereka-reka fitnah, kemudian beliau pula secara semborono menabur fitnah kepada DAP, PKR dan PAS dalam ucapannya. Umpama paku dulang paku serpih.

Selanjutnya Muhyiddin mengingatkan atau memberi amaran keras, Melayu akan kehilangan kuasa kalau orang-orang Melayu tidak bersatu menyokong UMNO. Tetapi betulkah Melayu akan hilang kuasa? atau golongan elit dalam UMNO dan cukong-cukongnya yang akan hilang kuasa dan hilang projek?

Muhyiddin bukan seperti memberi ucapan perasmian sayap UMNO, tetapi lebih kepada ceramah kempen pilihanraya untuk parti UMNO walaupun waktu kempen belum bermula lagi. Beliau menggunakan media perdana untuk berkempen parti UMNO, apakah media perdana ini dibiayai oleh wang UMNO? Kalau di England sudah lama parti semacam ini bungkus kerana menyalahgunakan harta rakyat untuk berkempen.

Tambah beliau lagi, institusi agama dihina kalau UMNO tidak lagi berkuasa. Betulkah agama Islam menjadi mulia sebab adanya institusi agama ini? Sebaliknya institusi agama yang ada sekarang inipun seperti menurut telunjuk UMNO saja. Orang Melayu hanya merujuk institusi agama ini sebagai jabatan nikah kawin dan jabatan menangkap orang berkhalwat di hotel bajet saja.

Apapun dalam ucapan itu, Muhyiddin sendiri mengakui telah berlakunya tsunami politik, dan senerio atau lanskap politik Malaysia telah berubah semenjak 2008. Lantaran itu Muhyiddin cuba menakutkan pewakilan UMNO bahawa pilihanraya umum akan datang adalah pilihanraya yang akan menentukan hidup atau mati UMNO. Kalau UMNO mati, terlepaslah segala projek yang mungkin akan dibalun oleh puak lain pula. Maka diserulah segala hulubalang untuk mempertahankan UMNO, masih adakah hulubalang UMNO? atau sekadar tinggal jembalang?

Sunday, February 28, 2010

Bandar Pagoh yang mesra alam


Pagoh mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Timbalan Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau adalah merupakan Wakil Parlimen kawasan itu.

Tetapi kalau kita perhatikan di jalan utama Bandar Pagoh ini, tidak seperti bandar-bandar lain di Negara kita, mereka menggunakan pokok-pokok sebagai tempat orang awam menunggu bas.

Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO atau BN di kawasan Pagoh begitu mesra alam sehingga tidak membenarkan mendirikan pondok-pondok sebagai tempat untuk orang awam menunggu bas.

Gambar diatas menunjukkan sebahagian jalan utama di Bandar Pagoh yang diambil pada 28 Februari 2010 (Ahad), kelihatan di tepi jalan itu pokok-pokok rendang yang sangat sesuai dijadikan tempat menunggu bas oleh penduduk di bandar tersebut.

Kereativiti penduduk Bandar Pagoh yang menjadikan pokok-pokok rendang sebagai tempat menunggu bas ini patut dijadikan contoh oleh bandar-bandar lain di negara kita.

Walaupun ia dapat melindungi diri anda dari panas terik, tetapi kalau cuaca mendung anda dinasihatkan supaya membawa payung kerana pokok-pokok ini tidak dapat melindungi anda dari basah.

Inilah kesan akibat dari pemimpin-pemimpin BN di Pagoh yang lebih mesra alam melebihi mesra rakyat, sehingga tidak langsung perihatin kepada keperluan asas rakyat seperti mendirikan pondok-pondok menunggu bas yang sangat diperlukan oleh rakyat di situ.

Tuesday, July 14, 2009

Manek Urai, UMNO masih tak kebah




UMNO kalah lagi di pilihanraya kecil Manek Urai. Nampaknya strategi pelan peralihan kuasa untuk menyelamatkan UMNO tidak menunjukkan kesan yang positif.

UMNO masih belum kebah dari ‘sakit’. Setelah Pak Lah dijadikan kambing korban, apakah perlu PM Najib dijadikan kambing korban untuk terus menyelamatkan UMNO? Kalau Tanya pada Najib tentu beliau tidak rela untuk jadi kambing korban.

Idea kambing korban ini datang dari Muhyiddin Yassin. Jadi beranikah Muhyiddin kali ini mengusulkan idea kambing korban ini lagi untuk mengembalikan kekuatan dan memperkasa parti UMNO.

PM Najib yang diselubungi berbagai skandal, termasuk dikaitkan dengan kematian wanita Mongolia Altantuya, telah menjadi beban kepada parti UMNO. Prestasi buruk parti UMNO yang telah dipamerkan dalam beberapa pilihanraya kecil yang lepas secara langsung mencerminkan tahap penerimaan rakyat kepada PM Najib.

Sikap keras PM Najib kepada penunjuk-penunjuk perasaan dilihat oleh rakyat sebagai tidak mesra kepada kehendak rakyat, berlawanan sekali dengan slogan 1 Malaysia yang dilaung-laungkannya.

Malah Najib dilihat oleh sesetengah pihak lebih keras dari ‘diktator’ Mahathir.
Mahathir dan Pak Lah diterima rakyat dengan baik ketika mereka memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya rakyat menyambut Najib dengan penuh curiga ekoran dari berbagai ‘skandal’ yang menyelubungi kehidupannya.

100 hari pimpinan Najib ditandai oleh penolakan rakyat kepada beliau melalui keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui peti undi di pilihanraya kecil Manek Urai.

100 hari pentadbiran Najib dipenuhi dengan siri penunjuk-penunjuk perasaan yang disusuli dengan penangkapan.

Nampaknya PM Najib telah mula mengambil pendekatan menutup kesalahan dengan kesalahan lain bagi membersihkan namanya.

Untuk tujuan membersihkan dan menjaga namanya, secara sistematik kebebasan media akan ditarik balik dan media akan dipastikan berada di bawah penguasaannya. Kebebasan bersuara akan disekat melalui undang-undang yang digubal.

Sekali lagi kita bakal akan melihat zaman gerhananya demokrasi akan berulang di Malaysia, dimana Polis, BPR, makamah tidak lagi bebas, yang dikuasai dan ditunggangi oleh pemimpin politik bagi mengekalkan kuasa mereka. Media perdana dan SPR juga akan terus diperalatkan untuk mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya.

Selepas turunnya Pak Lah dari jawatan PM, kita tidak nampak Najib mahu bercakap lagi soal kebebasan Makamah, soal integriti pasukan polis dan badan pencegah rasuah. Semuanya cuba ditutup dan ditenggelamkan dengan ucapan-ucapan memberi ‘habuan’ kepada rakyat termasuklah rebat 20 peratus kepada pengguna tol yang kerap menggunakan lebuhraya bertol dan melancarkan Amanah Saham 1 Malaysia. Dikompangkan keseluruh Malaysia, tetapi yang mendapat faedahnya hanya segelintir orang saja.

Agensi-agensi kerajaan sewenangnya akan dipergunakan sebagai jentera dan alat propaganda parti yang memerintah. Bila ini berlaku kita akan dicengkam oleh sistem kuku besi atau autokratik. Kita akan ditakut-takutkan melalui kursus-kursus Bina Negara atau kursus yang sewaktu dengannya.

Di masa itu pilihanraya yang diadakan hanyalah sekadar topeng untuk mengesahkan Negara kita sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi.

Masih saya ingat lagi kata-kata sinis Dr. Mahathir, “Sayalah satu-satunya diktator di dunia yang terpilih melalui pilihanraya”.

UMNO tidak punya banyak pilihan selain dari meminggirkan Najib samada melalui pemiilihan mahupun cara desakan. Presiden UMNO mesti ditukar kepada pemimpin yang bukan sahaja boleh diterima oleh BN dan UMNO sahaja tetapi oleh semua orang Melayu.

UMNO mungkin akan melalui satu pemilihan lagi sebelum pilihanraya umum ke 13 yang akan menentukan hidup matinya UMNO. Inilah peluang terakhir ahli UMNO untuk melihat UMNO terus hidup.

Pak Lah dikorbankan demi untuk menyelamatkan UMNO, dan Najib pula perlu dikorbankan demi menentukan hidup mati nya UMNO.

UMNO mesti menggunakan Pemilihan UMNO yang terakhir sebelum piliharaya umum ke 13 ini sebagai peluang terbaik untuk menukar dan memilih presiden parti UMNO yang baru yang benar-benar berwibawa, yang benar-benar mencerminkan kehendak akar umbi dan boleh diterima dengan baik oleh semua rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu.
Apa yang saya nampak ketika ini pemimpin-pemimpin UMNO seperti Zahid Hamidi, Ahmad Shabery Cheek dan Ahmad Maslan adalah antara pemimpin-pemimpin UMNO yang ada kredibiliti untuk menjadi Presiden UMNO, yang boleh diterima ramai. Dan mungkin ada juga pemimpin UMNO yang mempunyai karismatik yang luar biasa yang belum terdedah kepada umum.

Kalau setakat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat menggantikan tempat Najib, rasanya tidaklah memadai. Kita telah menyaksikan sebelum ini, Muhyiddin bukanlah seorang yang berani mengambil risiko dan cabaran. Beliau juga telah dipalitkan sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan penjualan tanah-tanah di Johor kepada warga Singapura, di era beliau menjadi MB Johor dahulu.

Selain dari itu, UMNO juga boleh memikirkan untuk membawa masuk personaliti yang tersohor dan diterima oleh rakyat Malaysia untuk menyertai UMNO dan mengangkatnya menjadi pemimpin UMNO seperti yang pernah berlaku kepada Anwar Ibrahim di satu masa dulu.

UMNO sekarang seperti berada dalam keadaan nazak, terpulanglah kepada ahli-ahlinya untuk mencari ubat yang mujarab dan berkesan untuk memulihkannya. Kini UMNO bukan saja terpaksa berlumba dengan parti lawan tetapi juga berlumba dengan masa untuk menyelamatkan parti tersebut.

Friday, July 10, 2009

Muhyiddin memilih politik selamat



DARI beberapa keputusan penting yang dibuat oleh beliau selama menceburi arena politik, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Muhyiddin Yassin selalu menggunakan pendekatan politik selamat.

Beliau seorang pemimpin yang tidak mempunyai keberanian. Untuk menjadi pemimpin Negara, kita perlukan seorang pemimpin yang berani. Pemimpin yang agung mesti berani membuat keputusan untuk kebaikan Negara dan bangsanya walaupun keputusan yang dibuat itu boleh menjadikan dia tidak popular.

Selepas Pak Lah bersetuju untuk melakukan pelan peralihan kuasa bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap BN yang prestasinya begitu teruk dalam pilihanraya umum ke 12 dulu, Muhyiddin begitu garang mendesak Pak Lah untuk mempercepatkan peralihan kuasa itu dari tahun 2010 ke bulan April 2009. Tetapi apalah ertinya hanya berani menunjukkan garang kepada singa yang sudah tidak ada gigi.

Dalam usaha untuk mencari pemimpin yang berwibawa selepas jawatan presiden UMNO dikosongkan oleh Pak Lah, kita juga dapat melihat Muhyiddin Yassin juga tidak berani untuk mencabar Najib untuk jawatan tersebut. Padahal di waktu itu beliau adalah antara pemimpin yang sangat berpotensi untuk jawatan tersebut.

Tetapi disebabkan dia memilih pendekatan politik selamat, beliau hanya sekadar menyokong dan memberi laluan mudah kepada Najib untuk jawatan Presiden UMNO itu, dan dengan keputusan ‘bijak’ beliau itu, beliau telah terpilih sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Yang terkini, beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan untuk memansuhkan dasar PPSMI pada tahun 2012, dengan itu dalam masa tiga tahun lagi subjek metametik dan sains di sekolah rendah dan menengah akan diajar semula menggunakan bahasa ibunda samada Melayu, Cina dan Tamil.

Setelah menerima bantahan dari parti politik lawan dan NGO, akhirnya Muhyiddin sekali lagi mengambil keputusan politik selamat terhadap isu PPMSI ini. Walaupun beliau mungkin tidak bersetuju dan berasa berat hati memansuhkan PPSMI tetapi terpaksa dilakukan demi survival parti UMNO. Beliau bersama parti UMNO mahu dilihat oleh orang Melayu sebagai hero pejuang bahasa orang Melayu.

Pernahkah kita dengar Muhyiddin menentang atau mengkritik dasar PPSMI itu semasa Tun Mahathir melaksanakan dasar itu pada tahun 2003 dulu? Sebaliknya Ghani Othman, MB Johor sekarang ini, patut dipuji kerana beliau adalah seorang yang berpendirian tegas kerana telah memperlihatkan tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar tersebut dari awal lagi.

Kenapa perlu cakap sekarang, sedangkan pemansuhan PPSMI itu hanya akan berkuatkuasa pada tahun 2012, adakah kerana hendak mengambil keuntungan politik? Apatah lagi keputusan ini dibuat ditengah-tengah waktu berkempen pilihanraya kecil di Manek Urai. Kenapa tidak cakap saja pada tahun 2012 nanti. Dalam masa tiga tahun ini macam-macam perkara boleh berlaku.

Yang agak lucunya, alasan utama yang diberikan untuk membatalkan dasar PPSMI itu adalah kerana keputusan matematik dan sains murid-murid didapati merosot kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris dengan baik.

Bukan sahaja murid tidak faham bahasa Inggeris, guru yang mengajar subjek itu pun ramai yang tidak mampu bertutur dan mengajar dalam bahasa Inggeris. Jadi kenapa kita hendak hairan kalau keputusan dalam subjek-subjek tersebut merosot.

Kita telah memulakan dasar PPSMI ini dengan tergesa-gesa, dimana tanpa persediaan yang cukup, guru-guru pun tidak mempunyai latihan dan pengalaman mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Tentulah keadaannya tidak sama kalau menggunakan bahasa ibunda dimana murid dan guru amat biasa dan memahami bahasa tersebut.

Tentulah sudah dijangkakan berlaku kemerosotan bila kita bertukar dari bahasa ibunda kepada bahasa Inggeris, tetapi apa yang kita mahu ialah adanya peningkatan dari masa ke semasa bila telah lama kita menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains, dengan mengambil kira ada penambahbaikan kepada guru-guru yang mengajar dalam subjek-subjek tersebut.

Faedah dari dasar PPSMI bukan boleh dicapai dalam masa 10 tahun, tetapi dasar PPSMI adalah jangka panjang yang hasil dan faedahnya mungkin hanya boleh dilihat dalam masa lebih 50 tahun lagi. Lagi lambat kita bermula lagi jauh kita akan ketinggalan.

Untuk mengatakan majoriti rakyat Malaysia menolak dasar PPSMI juga tidak benar, dari undian yang dibuat dalam blog Tun Mahathir terus menunjukkan aliran menyokong dasar PPSMI itu lebih ramai dari yang menentang.

Sampai bila agaknya Muhyiddin akan terus bermain dengan politik selamat? Mungkinkah bila sampai UMNO tidak dapat diselamatkan lagi.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com