Sebelum
adanya jalanraya yang merupakan jalan pengangkutan yang utama di zaman moden
sekarang ini, manusia menggunakan sungai dan laut sebagai jalan perhubungan dan
pengangkutan mereka.
Pedagang
menggunakan perahu atau kapal bagi mengangkut barang dagangan mereka
menyelusuri laut dan sungai untuk sampai ke destinasi.
Sebuah jalan
sungai yang sangat popular di zaman dulu yang menghubungkan pantai barat dan
pantai timur Semenanjung Tanah Melayu
telah digunakan oleh manusia seawal sekitar kurun ke 13 atau 14 lagi. Jalan
sungai ini merupakan jalan alternatif kepada jalan persisiran laut yang melalui
Singapura. Jalan sungai ini melibatkan dua sungai utama iaitu Sungai Muar dan
Sungai Pahang.
Pada masa
itu kawasan hutan masih tebal dan luas, sudah tentu kedua-dua sungai itu mempunyai
kandungan air yang lebih banyak atau besar berbanding sekarang. Permukaannya
yang luas dan airnya yang dalam memungkinkan perahu-perahu bersaiz besar atau
kapal dapat belayar melaluinya.
Dari pantai
barat Semenanjung, perahu atau kapal akan mudek dari muara Sungai Muar,
kemudian mudek ke Sungai Jempol yang merupakan salah satu cabang dari Sungai
Muar. Sehinggalah sampai ke suatu tempat di Kampung Laka, Serting di mana
perahu atau kapal ini akan ditarik ke darat melalui jalan penarikan yang
dinamakan Londar Siam. Kapal atau perahu ini ditarik di atas daratan sejauh 600
meter untuk dipindahkan ke Sungai Serting. Dari Sungai Serting, perahu atau
kapal ini akan menghilir masuk ke Sungai Bera yang seterusnya akan bertemu
dengan Sungai Pahang. Akhirnya melalui Sungai Pahang ini, akan sampai ke lautan
lepas yang terletak di pantai timur Semenanjung.
Londar Siam
adalah merupakan jalan penarikan atau tanah daratan yang paling pendek
menghubungkan Sungai Jempol dan Sungai Serting. Kawasan Londar Siam ini
terletak dalam Daerah Jempol di Negeri Sembilan.
Kenapa ia
dinamakan Londar Siam? Mungkin laluan ini pernah digunakan oleh tentera Siam
sebagai jalan yang strategik untuk menyerang Melaka. Dikatakan tentera Siam
juga pernah cuba menggali terusan pada jalan penarikan itu supaya perahu atau
kapal tidak perlu lagi di tarik ke darat untuk memindahkannya dari Sungai
Jempol ke Sungai Serting itu.
Tetapi dikatakan
projek terusan itu gagal disiapkan atas sebab-sebab tertentu. Ada kemungkinan
juga projek itu tidak gagal tetapi sengaja terusan itu tidak dibuat sepenuhnya.
Terusan itu mungkin sengaja dibuat separuh sahaja bagi tujuan untuk memendekkan
lagi jalan penarikan itu. Maknanya dengan adanya terusan itu, kapal ditarik di
atas daratan akan melalui laluan yang lebih pendek berbanding tanpa terusan.
Mungkin ada
sebab utama kenapa terusan itu tidak dibuat penuh (menghubungkan air Sungai
Jempol dan Sungai Serting). Salah satu sebabnya mungkin kedudukan aras
ketinggian Sungai Jempol tidak sama dengan aras Sungai Serting, ini akan
menyebabkan salah satu sungai akan menjadi kering di mana air Sungai Jempol
akan mengalir ke Sungai Serting ataupun sebaliknya.
Atau mungkin
juga projek terusan ini gagal disiapkan kerana ada unsur sabotaj dari penduduk
tempatan kerana bimbang kehilangan mata pencarian mereka hasil dari kerja
menarik kapal-kapal yang melalui jalan penarikan itu. Dikatakan juga tentera
Siam yang membina terusan itu ramai yang mati kerana ditimpa penyakit misteri.
Kenapa Jalan
Sungai Muar-Sungai Pahang ini menjadi jalan perhubungan utama yang
menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung ketika itu?
Kalau
difikirkan, tentulah sukar untuk memudekkan kapal dan perahu dari muara ke hulu
sungai berbanding kalau melalui laut. Lebih banyak tenaga digunakan untuk
melawan aliran arus sungai berbanding kalau belayar di laut. Sebaliknya kalau
kapal belayar menghilir mengikut arus sungai, hanya sedikit tenaga diperlukan.
Jarak
perjalanan dari Muar di pantai barat ke Pekan di pantai timur adalah lebih
dekat kalau melalui jalan sungai berbanding jalan laut melalui Singapura.
Tetapi dari segi masa, jalan sungai mengambil masa enam hari paling cepat untuk
sampai.
Jalan sungai
ini juga popular di waktu itu kerana pedagang-pedagang tidak mahu menghadapi
risiko ribut monsun timur-laut yang sangat bahaya kepada kapal-kapal kecil jika
menggunakan laluan laut. Di samping itu kapal-kapal dagang juga terdedah kepada
rompakan lanun yang selalunya bergiat aktif di laluan laut.
Satu lagi
faktor yang menjadikan jalan sungai ini popular ialah kebimbangan diserang oleh
tentera-tentera yang bermusuhan. Ada setengah bahagian atau daerah diperintah
atau dijajah oleh pihak yang bermusuh dan tidak membenarkan kapal-kapal lawan
mereka melalui kawasan perairan mereka. Untuk menghindarkan berlakunya konflik
, mereka memilih jalan sungai ini sebagai alternatif.
Sekarang ini
laluan Sungai Muar-Sungai Pahang yang popular satu masa dulu itu tidak lagi
digunakan. Kini ia hanya tinggal sejarah sahaja. Malah ramai generasi muda yang
tidak menyedari kepentingannya dan kewujudannya pada satu masa dulu.
(lokasi bekas Londar Siam)
Walaupun
jalan sungai utama ini tidak digunakan lagi, tetapi sebagai memperingatinya
kerajaan perlu membuat sesuatu bagi memelihara bahan sejarah yang penting ini.
Tentunya perkara yang menjadi tarikan kepada generasi akan datang ialah lokasi
jalan penarikan atau Londar Siam itu sendiri. Mungkin kerajaan boleh membina
monumen yang berbentuk sebuah perahu besar yang boleh ditarik pada sebahagian
dari jalan penarikan itu. Ia bukan sahaja dapat menanamkan ingatan kembali
sejarah kita kepada generasi akan datang, tetapi juga dapat menambah satu lagi
produk pelancungan kepada negara ini.