Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Monday, February 23, 2009

Duit yang tak pernah cukup cukup.

SAYA datang dari keluarga yang miskin, bapa telah meninggal ketika saya berusia tiga tahun, ibulah yang menyara kehidupan kami dengan menoreh getah kepunyaan orang. Hasil jualan getah terpaksa dibahagi dua dengan tuan kebun getah.

Hidup sekadar cukup makan, duit begitu terbatas, duit digunakan begitu hati-hati dan berjimat cermat, hanya digunakan untuk perkara yang betul-betul diperlukan seperti membeli beras, minyak tanah, garam, gula, dan tepung, belanja sekolah dan tambang bas sekolah. Belanja sekolah saya ketika itu sebanyak 20 sen sehari, cukup untuk membeli sepiring mee dan segelas air.

Diwaktu itu bila saya melihat kepada orang yang berada yang mempunyai gaji dan pendapatan yang berlipat kali ganda dari kami, saya membayangkan tentu mereka mempunyai duit yang banyak dan berlebih-lebih.

Kalau ibu saya yang berpendapatan kecil itu pun boleh menyara kehidupan keluarga kami, sudah tentu orang-orang kaya ini mempunyai duit yang banyak berlebih.

Dalam waktu yang sama, saya sangat-sangat mengharapkan kalau-kalau orang yang berada ini memberikan sedikit wang yang mereka berlebih itu kepada keluarga kami yang miskin ini.

Tentu kehidupan kami lebih lega kalau dapat mempunyai duit yang lebih dari yang kami ada sekarang. Tentu banyak barang-barang yang kami hajatkan selama ini dapat dibeli dari duit itu.

Kini saya sudah bekerja dan boleh dikatakan mempunyai pendapatan yang tinggi juga. Saya sekarang telah termasuk dalam golongan orang-orang berada yang pernah saya lihat semasa kecil dulu.

Jiran-jiran tempat saya tinggal sekarang juga adalah orang-orang yang berada sama seperti saya juga. Pendapatan mereka, keadaan dan kelengkapan rumah mereka hampir sama saja dengan saya.

Gaya hidup kami di taman perumahan ini hampir sama saja, masing-masing punya kereta yang mahal-mahal, memiliki dua buah kereta itu adalah perkara biasa. Apabila duit berlebih mereka akan gunakan untuk mencantik dan mengubah suai rumah dan mereka juga membeli rumah kedua ditempat-tempat lain, membeli tanah dan paling tidak membeli saham.

Ada juga yang suka melayani kesukaan dan hobi mereka yang mahal-mahal seperti melancung, bermain golf, membeli perabut fesyen terbaru, radio, TV dan telefon bimbit model terbaru dan tercanggih.

Dengan kata lain selagi ada duit berlebih selagi itulah mereka akan menggunakan duit itu untuk kepuasan diri mereka.

Pernah seorang kawan memberitahu saya, buat apalah kita simpan duit beratus ribu ringgit di bank, sepatutnya duit itu boleh digunakan untuk beli kereta Mersedes. Katanya lagi, alangkah ruginya kalau kita mati tidak dapat merasa menggunakan kereta Mersedes.

Mungkin tanggapan yang demikian bukan saja ada pada kawan saya itu, tetapi saya rasa kebanyakan mereka dari golongan berada memang mempunyai tanggapan seperti itu. Mereka tidak pernah berasa cukup dengan wang yang ada, selagi ada benda yang boleh dibeli akan mereka beli.

Oleh itu tidak hairanlah kalau masa saya kecil dulu, orang-orang dari golongan berada tidak pernah hendak menghulurkan wang kepada keluarga kami yang miskin. Kerana mereka sentiasa sahaja kehabisan duit untuk membeli segala benda yang mereka mahu.

Benarlah seperti disindirkan oleh Tuhan, kalau diberi satu lagi dunia yang sama isinya pun manusia ini masih berasa tidak cukup.

Bagi saya, apabila kita telah mati, tidak ada sebab kita akan menyesal kerana tidak dapat merasa menggunakan kereta Mersedes, sebaliknya sudah pasti apa yang kita kesalkan ialah semasa di dunia dulu kita begitu berat hendak menghulurkan duit yang kita dapat untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Malah kalau kita dapat pun menggunakan Mersedes di dunia ini, kita juga tidak akan terlepas dari ditanya di akhirat dengan soalan, mengapa kita menghabiskan duit kita dengan membeli kereta mewah seperti Mersedes itu sedangkan kita tahu ramai lagi orang miskin yang perlukan bantuan dari kita dari duit tersebut.

Semasa saya menulis artikel ini, isteri saya memberitahu saya, dua pasang kasut sekolah anak saya telah hilang, sepasang kasut itu dibeli dengan harga RM100. Sebelum itu, dua tiga hari lepas kami dikejutkan dengan perkara pelik, pasu-pasu bunga yang terletak di atas tembok pagar telah diturunkan ke bawah. Hari ini barulah kami dapat jawapan kenapa pasu-pasu itu diturunkan, rupanya ada budak nakal yang telah memanjat pagar rumah dan mengambil kasut sekolah anak kami.

Saya sebelum ini tidak pernah membelikan kasut sekolah untuk anak-anak yang mahal seperti itu, biasanya kami beli jenama Bata sahaja yang harganya sekitar RM30. Tetapi kerana anak-anak meminta kasut sekolah yang mahal itu memandangkan kasut itu telah menjadi trend terkini di sekolah maka saya turutkan juga kehendak mereka.

Saya percaya budak nakal yang mengambil kasut sekolah anak saya ini adalah datang dari keluarga yang kurang mampu. Tentu keluarganya tidak ada wang berlebih untuk membeli kasut yang mahal seperti itu. Banyak lagi barang-barang yang lebih perlu untuk mereka beli selain dari kasut yang mahal itu.

1 comment:

kekwa66 said...

Saudara penulis, tersentuh hati saya semasa membaca artikel saudara ni, sebab saya pun berasal daripada keluarga penoreh getah!! Tapi, kini saya bukan lah tergolong dalam kategori orang berada, tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada! yang penting saya hidup dengan gembira dan sihat walafiat!

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com