Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, June 19, 2009

Datuk Onn Jaafar telah memperalatkan Raja-raja Melayu



JASA Datuk Onn Jaafar dalam mempersatukan rakyat di negeri-negeri Tanah Melayu terutamanya orang-orang Melayu bagi menentang gagasan Malayan Union yang diperkenalkan oleh kerajaan British pada tahun 1946 amatlah besar.

Kalau sebelum itu orang-orang Melayu dikenali mengikut negeri masing-masing yang mempunyai Raja dan Gabenor mereka sendiri, tetapi dengan usaha Datuk Onn Jaafar yang bijaksana itu telah merubah keadaan itu sehingga setiap orang Melayu dapat merasakan bahawa mereka semua adalah satu iaitu orang Melayu di Tanah Melayu.

Datuk Onn adalah berasal dari keturunan Turki disebelah ibu. Darah Turki yang mengalir dalam dirinya tidak pernah mengizinkan dirinya tunduk kepada penjajah Barat. Manakala orang-orang Melayu yang dari sejarah awalnya berada di bawah amalan feudal, sangat setia kepada raja-raja mereka.

Gagasan Malayan Union yang diperkenalkan itu telah menghilangkan peranan raja-raja Melayu dalam pentadbiran British di Tanah Melayu, perkara ini telah diambil kesempatan oleh Datuk Onn untuk menyemarakkan semangat orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu untuk menentang gagasan tersebut.

Kuasa orang Melayu adalah terletak pada raja-raja mereka, kalau kuasa raja dihapuskan maka dengan sendirinya kuasa Melayu atau kuasa rakyat akan turut hapus.

Kerana itu Datuk Onn sanggup berbasikal untuk menemui orang-orang Melayu di kawasan kampung seluruh Tanah Melayu untuk menerangkan kepada mereka betapa raja-raja Melayu berada dalam keadaan bahaya. Ini telah membangkit rasa marah rakyat kepada British. Isu ini telah menimbulkan satu semangat kepada rakyat untuk berada di belakang Datuk Onn bagi menentang Malayan Union.

Orang Melayu sangat menyanjung tinggi raja mereka, raja adalah ibarat payung kepada mereka, tempat bergantung dan juga tempat mereka berlindung. Datuk Onn sangat tahu sifat orang Melayu ini. Oleh itu beliau menggunakan peluang ini untuk membangkitkan kebencian orang Melayu kepada penjajah British.

Jasa Datuk Onn yang telah mempersatukan rakyat Melayu dalam negeri-negeri Tanah Melayu ini patut sangat dianugerahkan beliau dengan gelaran Tun. Tetapi sampai sekarang kita tidak nampak ada usaha dari mana-mana pihak untuk menghargainya dengan gelaran tersebut sebagai mengenang jasa besar beliau itu.

Penentangan gagasan Malayan Union oleh orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Datuk Onn itu bukanlah bermakna Datuk Onn benar-benar mahu raja-raja Melayu berkuasa setelah dihapuskan kuasa mereka oleh British melalui gagasan itu.

Tetapi agenda yang tersirat dalam sanubari Datuk Onn ialah mahu melihat orang-orang Melayu bersatu di bawah satu kepimpinan yang dapat mencabar Kerajaan British. Datuk Onn mahu menunjukkan kepada British bahawa rakyat di negeri-negeri Tanah Melayu telah bersatu di bawah satu kepimpinan politik yang suara mereka mesti diambil kira.

Datuk Onn bukan juga seorang pemimpin yang hanya berjuang untuk kaumnya sahaja, usaha Datuk Onn Jaafar bukan terhenti kepada mempersatukan orang-orang Melayu tetapi lebih jauh lagi beliau mahu semua rakyat di Tanah Melayu tanpa mengira agama dan kaum supaya bersatu untuk menuntut kemerdekaan Negara dari British.

Ini dapat dilihat dalam catatan sejarah, Datuk Onn telah meninggalkan parti UMNO yang khusus untuk orang Melayu sahaja, menubuhkan parti baru yang tujuan beliau untuk mempersatukan semua rakyat tanpa kira agama dan kaum di bawah parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Walaupun parti itu tidak mendapat sambutan, tetapi kita dapat melihat beliau adalah seorang pemimpin yang berpandangan jauh kedepan. Setelah 50 tahun Negara kita merdeka barulah parti-parti yang tidak berasaskan kaum ini telah mula dapat perhatian yang menggalakkan dari rakyat Negara kita.

Walaupun penentangan gagasan Malayan Union itu kelihatan seperti untuk mempertahankan kuasa raja-raja Melayu tetapi sebenarnya secara tersiratnya Datuk On mempertahankan kuasa rakyat bukan kuasa Raja.

Jelas selepas itu, apabila kita mencapai kemerdekaan, Raja tidaklah berkuasa tetapi hanya menjadi simbol ketua negeri atau ketua Negara sahaja. Sebaliknya yang berkuasa ialah rakyat di bawah amalan sitem demokrasi.

Raja tidak boleh mencampuri urusan politik, selain baginda menjadi simbol ketua Negara, raja-raja diberi peranan sebagai ketua agama dan ketua adat istiadat Melayu dalam sesebuah negeri.

Semalam (18 Jun 2009) tersiar berita di media mengatakan baginda Sultan Johor tidak membenarkan jambatan ketiga yang menghubungkan Singapura dan Johor dibina. Sebelum itu PM Najib telah memaklumkan kepada orang ramai bahawa beliau telah mencadangkan untuk membina jambatan ketiga tersebut.

Kata siapakah yang patut diikuti bila berlaku pertentangan seperti ini, kata Raja atau kata PM? Tentulah kata PM Najib yang mesti dipakai. Najib adalah pemimpin yang mendapat mandat rakyat, sepatutnya beliaulah berkuasa membuat keputusan untuk Negara kita Malaysia.

Bagaimanapun sebagai tanda hormat kepada Sultan Johor yang menjadi simbol Ketua Negeri Johor dan jajahan takluknya adalah lebih manis kalau perkara tersebut dimaklumkan kepada baginda terlebih dahulu untuk perkenan baginda. Dari segi undang-undang tindakan PM Najib itu adalah tidak salah dan tidak boleh dipersoalkan, tetapi dari segi adat mungkin beliau telah membelakangkan Raja.

Kadang-kadang ada sesetengah raja Melayu ini masih terbawa-bawa yang mereka itu masih berperanan seperti raja pada zaman 500 tahun dahulu, sehinggakan urusan politik pun mereka hendak ikut campur.

Apakah semua urusan Negara mesti terlebih dahulu mendapat perkenan Raja? Apakah projek penyaluran air dari Pahang ke lembah Klang telah mendapat kebenaran Sultan Pahang dan Sultan Selangor? Mungkin kedua-dua baginda telah dimaklum dan diberi taklimat tentang projek itu tetapi bukanlah kuasa baginda untuk tidak membenarkan projek itu dijalankan.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com