Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, May 25, 2014

Induk Buruk

Hari Rabu lepas (21 May 2014) kakak aku telefon menyampaikan berita Induk Buruk telah meninggal dunia pada hari semalamnya dan telah dikebumikan di kampung kerana sakit tua. Memang sudah lama aku ingin bertemu dengan Induk Buruk, dengar cerita, dia tinggal dengan anak perempuannya yang bernama Mahanum di Klang, Selangor. Malah sejak kebelakangan ini hati aku begitu kuat hendak bertemu dengannya, rasanya sudah lebih 10 tahun tidak jumpa dengan dia.

Tetapi hingga hari kematiannya aku tidak dapat kesempatan dan peluang untuk bertemu dengan dia. Mungkin tidak ada keperluan yang penting untuk bertemu dengannya, maka aku selalu bertangguh dan hanya mengharapkan akan bertemu dia di satu hari nanti. Rasa sedikit kesal juga kerana tidak dapat bertemu dengan dia sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Siapakah Induk buruk?

Induk Buruk bukan seorang yang sangat penting kepada keluarganya, apatah lagi kepada kita semua. Dia hanya seorang OKU perempuan yang mempunyai otak lemban atau bodoh-bodoh alang. Dia tidak boleh menguruskan dirinya dengan baik seperti orang normal. Dia hanya boleh membuat kerja-kerja dengan arahan dan perlu dipantau.

Induk Buruk adalah anak angkat kepada moyang aku yang bernama Sombun yang tinggal di Kampung Ulu Rembang Panas. Sombun hanya mempunyai seorang anak lelaki bernama Dahan. Oleh kerana Sombun tidak ada anak perempuan, dia telah mengambil Induk Buruk sebagai anak angkatnya. Anak perempuan sangat penting dalam keluarga masyarakat Negeri Sembilan kerana anak perempuan penting sebagai pewaris pusaka adat. Induk Buruk bukanlah orang asing kepada Sombun, ibu kandung Induk Buruk adalah anak kepada adiknya sendiri. Dengan kata lain Induk Buruk adalah anak saudaranya juga.

Semasa Induk Buruk diserahkan kepada Sombun, dia adalah seorang kanak-kanak yang normal, tetapi pada satu hari badan Induk Buruk telah terkena air panas. Sejak peristiwa itu Induk Buruk telah bertukar menjadi orang kurang upaya (OKU). Begitulah kehendak Tuhan ke atas Induk Buruk.

Bila sampai umur dewasa, Induk Buruk dikahwinkan oleh ibubapa angkatnya. Dengan suaminya bernama Mansor, Induk Buruk dikurniakan tiga orang anak. Walaupun Induk Buruk tidak ada kemahiran untuk membesarkan bayi, tetapi ini tidak jadi masalah kerana Sombun dan suaminya Majid mengambil alih peranan sebagai ibubapa kepada anak-anak Induk Buruk. Tugas Induk Buruk hanya menyusukan anak-anaknya sahaja, yang lain-lain itu semua diuruskan oleh Sombun.

Kehidupan Induk Buruk adalah juga sebahagian dari hidup aku, di masa kecil aku kerap bertandang ke rumah moyangku Sombun yang merupakan ibu angkat Induk Buruk. Oleh itu aku tahu sangat kehidupan Induk Buruk.

Mengangkat air dalam baldi untuk keperluan memasak dan membasuh pinggan dari perigi hingga ke rumah yang jaraknya tidak kurang dari 100 meter adalah merupakan rutin harian Induk Buruk. Di musim bersawah,Induk Buruk turut membantu kerja-kerja di sawah. Induk Buruk kuat makan kerana dia kuat bekerja. Ketika makan, dia akan makan dalam pinggan aluminium khas untuknya. Kenapa dia makan dalam pinggan khas itu, tidaklah aku tahu.

Selalunya Induk Buruk berpakaian comot, sesuai untuk membuat kerja-kerja di kampung.  Pernah satu hari anak Induk Buruk dalam buaian menangis kerana lapar hendak menyusu. Moyang aku Majid (suami Sombun) yang sangat sayangkan cucunya itu menjerit memanggil Induk Buruk supaya balik ke rumah segera untuk menyusukan anak itu. Berkali-kali dia menjerit memanggil Induk Buruk tetapi Induk Buruk yang asyik membuat kerja di sawah tidak juga balik.

Moyang aku Majid sangat marah, lalu dicapainya rotan dan pergi mencari Induk Buruk di sawah. Tidak berapa lama kemudian aku nampak Induk Buruk berjalan pulang ke rumah sambil diekori oleh moyangku Majid dengan rotan ditangannya. Tidaklah aku tahu Induk Buruk telah kena rotan atau tidak, mungkin sekadar mahu menakut-nakutkannya sahaja.

Satu hari ketika aku berumur enam tahun, moyangku Majid menyuruh Induk Buruk pergi memeriksa perangkap pelanduk (kancil) yang telah dipasangnya di hutan di kawasan yang tidak berapa jauh dari rumahnya. Aku dan beberapa kanak-kanak lain ikut sama menemani Induk Buruk. Nasib agak baik, pada hari itu perangkap mengena. Induk Buruk membawa balik pelanduk yang kena perangkap itu ke rumah, kami yang mengiringinya rasa sangat gembira kerana dapat melihat pelanduk.

Dalam perjalanan balik ke rumah, aku meminta kepada Induk Buruk untuk rasa memegang pelanduk itu. Induk Buruk memang sayangkan kanak-kanak. Memang perkara biasa di mana-mana pun kita akan dapat melihat kanak-kanaklah yang suka melayan orang OKU yang dewasa, bercakap-cakap dengan mereka. Sebaliknya orang dewasa jarang hendak bercakap-cakap dan bercerita dengan orang dewasa OKU yang berotak lemban.

Induk Buruk tidak menghampakan permintaan aku untuk rasa memegang pelanduk yang hidup itu. Sebaik saja pelanduk itu berada dalam pegangan aku, ia meronta dengan sekuat tenaganya menyebabkan kaki pelanduk itu terlepas dari  genggaman aku. Aku terkejut dan pelanduk itu lepas lari.

Mungkin Induk Buruk sudah menjangka perkara ini akan berlaku, secepat kilat Induk Buruk bertindak pantas mengejar pelanduk tersebut. Mungkin pelanduk itu telah banyak hilang tenaga kerana banyak meronta dalam perangkap dan telah lama tidak makan, pelanduk yang agak lemah itu mudah saja ditangkap semula oleh Induk Buruk. Akhirnya malam itu kami dapat makan nasi berlauk daging pelanduk.

Kehidupan Induk Buruk menjadi susah dan amat daif sekali bila ibu angkatnya Sombun meninggal dunia. Sombun adalah tempat Induk Buruk bergantung hidup, selama ini Sombunlah yang mengatur dan menguruskan segala kehidupannya.  Selepas kematian Sombun, Induk Buruk bersama suami dan anak-anaknya hanya bergantung kepada belas ihsan orang-orang kampung saja.

Setelah suaminya meninggal, Induk Buruk telah di bawa oleh anaknya Mahanum tinggal bersamanya di Klang. Sejak itu aku tidak pernah bertemu lagi dengan Induk Buruk. Dan kini dia telah pergi meninggalkan kehidupan dunia yang tidak berapa indah kepada orang-orang yang sepertinya. Dunia ini hanyalah sekadar tempat dia menumpang di celah-celah kita semua, sementara menunggu Tuhan menjemputnya ke alam abadi. Tentunya di alam akhirat yang abadi, Induk Buruk tidak lagi buruk seperti namanya dan tidak lagi tinggal di rumah yang buruk.


Induk Buruk mungkin tidak dikenal oleh penduduk bumi tetapi mungkin dia disanjung oleh penduduk langit. Moga Tuhan menempatkan dia di syurgaNya bersama-sama dengan orang-orang yang dia sayang. Al Fatihah, dari Mu dia datang, kepada Mu juga dia kembali.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com