Sebelum ini
saya memikirkan pilihanraya umum ke 13 (PRU13) yang lepas adalah merupakan
peluang yang paling baik untuk demokrasi di Negara ini dapat dipulihkan dan
meletakkannya di atas landasannya yang betul. Saya berfikiran demikian kerana
mengandaikan Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya
itu, dan sudah tentu peluang untuk memulihkan demokrasi memang akan berlaku di
bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang telah lama menjadi mangsa pencabulan
demokrasi.
Parti UMNO
telah lama memegang kuasa, sejak merdeka 56 tahun dulu, tidak ada parti politik
yang dapat menjatuhkan kuasa UMNO. Sudah menjadi kelaziman, apabila terlalu
lama berkuasa, mereka tidak terlepas melakukan berbagai kesalahan dan kesilapan.
Di Negara-negara maju yang mengamalkan demokrasi, parti pemerintah yang banyak melakukan
kesilapan akan ditukar oleh rakyatnya melalui proses pilihanraya yang bebas dan
adil.
Tetapi di Negara-negara
ketiga, parti pemerintah menggunakan kuasa mereka untuk mencabul demokrasi
supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada mereka pada setiap kali pilihanraya
diadakan.
Di Malaysia,
demokrasi yang diamalkan adalah menggunakan acuan UMNO. Pertandingan dalam
pilihanraya berjalan secara berat sebelah, media perdana digunakan oleh parti
pemerintah sebagai alat propaganda dan alat kempen parti mereka, tanpa memberi peluang
yang adil kepada parti lawan untuk menggunakan kemudahan yang sama.
Jawatankuasa
yang mengendalikan pilihanraya atau dikenali sebagai Suruhan Jaya Pilihanraya
(SPR) juga dilihat berpihak kepada parti pemerintah. Masih banyak
lompang-lompang yang terdapat dalam proses pilihanraya itu yang boleh terdedah
kepada penipuan.
Dengan kata
lain demokrasi yang diamalkan oleh Negara kita ini amat jelas dalam keadaan
yang tempang.
Akhirnya
saya terpaksa menerima hakikat bahawa memang sukar untuk memulihkan demokrasi
dengan menggunakan saluran demokrasi yang tempang.
Nampaknya
Tuhan masih lagi mahu mengekalkan UMNO di tampuk kuasa walaupun saya menjangka
riwayat UMNO tamat pada PRU13 yang lepas. Kita hanya mampu merancang dan
meramal, tapi ketentuan sebenar adalah di tangan Tuhan.
Mungkin
Tuhan mahu UMNO jatuh dengan cara lain. Dia saja yang tahu macamana UMNO akan
jatuh, kadang-kadang dengan jalan yang tidak terduga oleh kita.
Siapakah
yang dapat menduga kejatuhan Hosni Mubarak bukan selain dari cara pilihanraya?
Siapakah dapat menduga kejatuhan Muamar Gadafi dengan cara dibunuh oleh
rakyatnya sendiri?
Siapakah
dapat menjangka kejatuhan Presiden Suharto selain dari sistem pilihanraya?
Hosni
Mubarak dan Presiden Suharto adalah antara pemimpin Negara yang mengamalkan
demokrasi, tetapi sayangnya mereka telah mengubah demokrasi yang diamalkan
mengikut acuan mereka sendiri.
Perancangan
Tuhan selalunya berbeza dan tidak terjangka oleh pemikiran kita. Itulah Tuhan,
Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa.
Sebagai
hamba kita hanya mampu berikhtiar dan berdoa.
Mungkin
demokrasi ala Amerika atau Britain tidak sesuai untuk Negara kita. Mungkin ada
betulnya dakwaan itu, demokrasi haruslah mengikut acuan kita sendiri. Saya pun
setuju, demokrasi harus mengikut acuan kita sendiri, tetapi ini bukan bermakna
mesti mengikut acuan UMNO.
PRU13 telah
menyaksikan bagaimana integriti masyarakat Malaysia telah merosot begitu rupa.
Berbagai bentuk penipuan dan politik kotor telah berlaku. Semuanya ini adalah
mencerminkan masyarakat kita yang kuat menipu, tidak amanah, tidak jujur.
Kita terlalu
menumpukan pencapaian anak-anak kita dalam akademik, semuanya hendak mengejar
gred A dalam semua subjek, tetapi sistem nilai anak-anak kita hancur.
Sistem
pendidikan kita gagal melahirkan insan yang ada integriti.
Yang jadi
polis, SPR, menteri dan pegawai-pegawai lainnya adalah datang dari masyarakat juga
(kecuali pegawai keselamatan yang ramai datang dari Nepal). Kalau mereka tidak
ada integriti, tidak amanah, tidak jujur, perasuah dan penipu, itu sebenarnya
mencerminkan masyarakat kita yang telah rosak dan telah hilang amalan
nilai-nilai murni.
Dengan kata
lain masyarakat yang tidak ada integriti akan melahirkan polis yang tidak ada integriti.
Masyarakat yang tidak ada integriti akan juga melahirkan ahli-ahli politik yang
tidak ada integriti.
Perlu dicari kaedah dan punca penyelesaian untuk menjadikan masyarakat kita berakhlak baik.
Akhlak yang
baik bukan boleh didapati melalui ceramah-ceramah dan khutbah sahaja, tetapi
perlu dilatih dan melalui contoh tauladan.
Di Negara
Jepun dan Negara maju yang lain, adalah menjadi perkara biasa menterinya
meletakkan jawatan kalau berlaku kecuaian yang boleh menyebabkan kemalangan
atau kerugian yang melibatkan agensi di bawah kementeriannya. Tetapi di
Malaysia tidak ada menteri yang mempunyai sikap seperti itu. Rasa
bertanggungjawab, amanah, jujur atau nilai-nilai integriti telah lama terhakis
dari masyarakat Malaysia.
Lihat sahajalah tindakbalas orang ramai di Negara kita bila melihat lori yang membawa beras dan duit syiling terbalik.