Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, February 27, 2013

Bukan masanya untuk Pakatan Rakyat bertelingkah sesama sendiri


Dalam peperangan, tidak cukup dengan mempunyai bala tentera yang kuat sahaja tetapi yang lebih penting, bagaimana kita dapat mengkucarkacirkan pihak musuh sehingga mereka menjadi lemah dan tidak dapat bangkit.

Mengkucarkacirkan pasukan musuh adalah merupakan strategi UMNO yang telah lama berpengalaman memerintah Negara ini bagi memporakperandakan pakatan parti lawan. Sehingga parti-parti lawan sukar untuk bersatu untuk menentang UMNO.

Kelebihan UMNO yang menguasai media perdana, dan kedunguan sebahagian barisan kepemimpinan parti lawan yang termakan dengan provokasi UMNO, telah berjaya menimbulkan dan membesar-besarkan perbezaan pandangan antara pemimpin Pakatan Rakyat dan juga antara kepimpinan dalam parti PAS, PKR dan DAP.

Kadang-kadang setengah kepimpinan dalam parti Pakatan Rakyat ini tidak sedar mereka telah menjadi mangsa provokasi UMNO untuk melemahkan kesatuan Pakatan Rakyat.

UMNO telah mengumpan dengan isu Negara Islam, isu hudud, isu menderhaka kepada Raja, isu aqidah, isu keistimewaan orang Melayu, isu kuasa orang Melayu, isu perpaduan umah, isu peristiwa 13 Mei, isu nama Allah dan isu amanat Haji Hadi. Semua isu ini akan didendangkan dengan kuat apabila menjelang pilihanraya.

Semua isu-isu ini umpama lagu-lagu raya yang hanya berkumandang bila menjelang hari raya.

Oleh itu hati-hati dengan mainan UMNO ini, belajarlah dari sejarah yang lalu, hanya orang bodoh saja kalau masuk perangkap banyak kali.

Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk Pakatan Rakyat mengkaji semula hubungan antara mereka. Kerana mereka belum lagi pernah memegang kuasa memerintah Negara ini, oleh itu apa perlunya untuk dikaji semula.

Sebaliknya Pakatan Rakyat harus merapatkan lagi kerjasama antara mereka dan bersedia untuk mengambil alih pemerintahan Negara ini dari UMNO. Pakatan Rakyat harus berfikiran positif, jika menang, di bahu mereka akan terpikul amanah rakyat untuk membawa Malaysia kepada keadaan yang lebih baik dan pendekatan yang baru.

Apabila menang, kita tidak boleh dapat semua. Tetapi kalau kalah, kita tidak akan dapat lebih banyak berbanding jika menang. Oleh itu jangan terlalu tamak untuk membolot semua. Kalau Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya umum nanti, sudah tentu PAS, PKR dan DAP tidak akan dapat semua apa yang mereka cita-citakan, tetapi sekurang-kurangnya rakyat akan dapat banyak kebaikan dari kemenangan ini.

 

 

Saturday, February 09, 2013

Membawa Sabah ke arus Nasional


Sabah adalah satu-satunya negeri dalam Malaysia yang sering kita dengar di mana terdapatnya keinginan sebahagian anak-anak negerinya untuk berpisah dari Malaysia dan membentuk sebuah Negara yang merdeka. Walaupun isu ini dapat dikawal dari membesar tetapi hingga sekarang masih terdapat anak-anak Sabah yang tidak bersetuju negeri itu menjadi sebahagian dari Malaysia.

Berbanding dengan anak-anak di negeri-negeri yang lain itu, boleh dikatakan kita semua mempunyai jiwa yang telah sebati untuk hidup semati di bawah Negara Malaysia.

Malah isu keluar dari Malaysia ini telah menjadi isu politik yang sangat penting dan sensitif di Sabah. Kalau di negeri-negeri lain, isu keluar atau berpisah dari Malaysia adalah isu yang boleh menjadi bahan jenaka atau perkara pelik kepada penduduknya, tetapi tidak di Sabah.

Sabah pernah dituntut oleh Indonesia dan Filipina sebagai wilayah mereka. Oleh itu ada kemungkinan juga terdapatnya penglibatan Negara-negara luar dalam mempengaruhi pemikiran rakyat Sabah supaya bersikap negatif terhadap kerajaan Persekutuan Malaysia. Mereka menggunakan kumpulan-kumpulan yang tertentu di Sabah untuk mencapai cita-cita mereka itu.

Terdapat sebahagian anak pribumi Sabah yang mempunyai perasaan anti Semenanjung dan menganggap kita di Semenanjung telah menjajah mereka. Mungkin mereka ini telah termakan dengan hasutan-hasutan pihak tertentu yang berkepentingan.

Kalau kita di Semenanjung, ramai yang suka memainkan isu perkauman untuk meraih sokongan politik, di Sabah pula isu pemisahan atau memerdekakan Sabah pula menjadi modal politik yang sangat berbaloi.

Apabila saya berkesempatan buat pertama kalinya berkunjung ke Sabah pada 1 Febuari 2013 yang lalu, ketika umur saya mencecah setengah abad, tidak pernah ada di dalam hati saya datang ke Sabah sebagai seorang penjajah. Tetapi sebaliknya saya merasakan kedatangan saya itu sama saja seperti saya berkunjung ke negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan  negeri-negeri yang lain dalam Malaysia. Saya menganggap Sabah juga sebahagian dari tanah air saya Malaysia, tidak ada perasaan seperti saya berada di Negara asing walaupun itulah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Sabah.

Namun begitu terdapat prosedur untuk memasuki negeri Sabah yang membuatkan saya rasa pelik dan sedikit keciwa, apabila kad pengenalan saya dan sijil kelahiran anak saya diperiksa dipintu masuk negeri itu. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku kalau kita memasuki negeri-negeri lain di Semenanjung. Langkah seperti ini akan hanya menambah menjauhkan lagi hubungan kita di Semenanjung dengan Sabah yang secara geografinya itu telah pun sedia jauh.

Walaupun langkah pemeriksaan kad pengenalan ini pada setengah orang tidak menyusahkan tetapi dari segi psikologinya, ia telah membezakan antara Sabah dan Malaysia. Kalau kita mahu merapatkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah, dan juga dalam usaha untuk menghapuskan persepsi penjajahan Semenanjung terhadap Sabah, kerja ‘bodoh’ seperti ini patut dihapuskan terlebih dahulu.

Yang lucunya, kita dari Semenanjung diperiksa dengan ketat di pintu masuk lapangan terbang Sabah, walhal dalam masa yang sama beribu-ribu pendatang tanpa izin dari Indonesia dan Filipina tanpa dokumen dengan mudah masuk ke Sabah.

Usaha berterusan untuk membawa Sabah ke arus Nasional perlu dijalankan. Di masa lalu, kebanyakan rakyat dari Semenanjung yang datang ke Sabah adalah dalam bentuk tentera yang berkhidmat untuk mengawal sempadan Sabah. Mungkin kehadiran ramai tentera dari Semenanjung telah sedikit sebanyak menanamkan persepsi kepada rakyat Sabah bahawa mereka dijajah oleh Semenanjung.

Sebenarnya dakwaan penjajahan Sabah oleh Semenanjung itu hanyalah satu persepsi anak bumi Sabah sahaja. Sedangkan kita di Semenanjung tidak pernah pun menganggap Sabah sebagai tanah jajahan Semenanjung. Malah kita menganggap Sabah sama saja seperti negeri-negeri lain yang ada dalam Malaysia.

Usaha intergrasi nasional perlu digiatkan lagi bagi merapatkan hubungan antara rakyat Negara ini, terutamanya antara Sabah dan Semenanjung. Langkah jangka pendek, mungkin kita boleh menggalakkan pertukaran kakitangan agensi-agensi kerajaan antara Sabah dan Semenanjung, terutamanya guru-guru sekolah. Membina lebih banyak institusi pengajian tinggi di Sabah, di mana pelajar dan kakitangan dari Semenanjung boleh berpeluang belajar dan bekerja di Sabah.

Selain dari itu Sabah boleh dijadikan destinasi pelancungan utama bagi penduduk di Semenanjung. Sekarang ini, penduduk Semenanjung lebih gemar melancung ke Bandung dan Sumatera berbanding ke Sabah sendiri. Sedangkan Sabah juga mempunyai produk-produk pelancungan yang menarik dan berpotensi untuk dimajukan.

Sabah kaya dengan budaya anak bumi, sumber laut, hasil hutan dan alam semula jadi yang boleh menjadi tarikan dan produk pelancungan. Ikan segar, ikan bilis, ikan kering dan agar-agar laut yang murah dan mudah didapati di Sabah. Gunung, fauna dan flora, pulau-pulau yang mempunyai pantai putih yang indah dengan air laut yang jernih menjadi habitat karang laut yang berbagai corak dan berwarna-warni yang terdapat di Sabah mampu menjadi daya tarikan pelancung dari Semenanjung jika diatur dan dibangunkan dengan baik.

Sabah boleh menjadi syurga beli belah kepada pengunjung dari Semenanjung. Sumber semulajadi dari laut dan hutan yang banyak boleh dijadikan bahan yang boleh dijual kepada pengunjung. Sabah perlu membangunkan industri pelancungannya agar dapat menarik ramai pengunjung dari Semenanjung untuk berkunjung ke negeri itu.

Walaupun bahan-bahan mentah yang dijual di Bandar-bandar Negeri itu jauh lebih murah dari Semenanjung, tetapi harga makanan yang dijual di kedai makan di Sabah jauh lebih mahal berbanding Semenanjung. Kalau sekeping roti canai di Semenanjung berharga 80 sen tetapi di Sabah berharga RM1.20. Nasi goreng dan mee goreng di Sabah berharga tidak kurang RM5.00 sepinggan sedangkan harga di Semenanjung tidak sampai RM4.00 sepinggan.

Kenapa harga makanan terlalu mahal di Sabah? Apakah kos kehidupan di sana terlalu tinggi sebanding Selangor dan Singapura. Padahal Sabah adalah antara negeri yang miskin di Malaysia, selalunya negeri yang di kategorikan sebagai miskin mempunyai kos hidup yang rendah dan kos buruh yang rendah.

Apakah harga beras, tepung dan gula yang merupakan barang kawalan Negara kita itu lebih mahal di Sabah, menyebabkan harga makanan menjadi lebih mahal di sana?

Kerajaan harus mencari jalan untuk merendahkan harga makanan di Sabah, sekurang-kurangnya sama seperti Semenanjung bagi menarik penduduk dari Semenanjung berkunjung atau bekerja di sana.

Kemasukan UMNO ke Sabah juga dapat memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin dari Sabah memainkan peranan yang lebih untuk membawa Sabah ke arus nasional. Dengan adanya parti-parti politik yang bersifat nasional di Sabah, akan dapat memberi peluang pemimpin-pemimpin di Sabah melihat Sabah sebagai negeri dalam Malaysia, dan tidaklah kotak pemikiran mereka hanya terbatas kepada negeri Sabah sahaja.

Peluang telah ada, sekarang semuanya itu bergantung kepada pemimpin-pemimpin Sabah itu sendiri. Jangan sampai rakyat Sabah sendiri melihat pemimpin mereka itu hanya menjadi kuda tunggangan sahaja dan jawatan yang mereka pegang hanya dijadikan peluang untuk memperkaya diri dan keluarga mereka sahaja.

Kerajaan Persekutuan mesti ikhlas untuk membantu memajukan Sabah, mereka harus mendengar dengan teliti dan mengambil berat segala pandangan penduduk Sabah. Kerajaan perlu bersikap adil dalam pembahagian hasil kekayaan yang diperolehi dari wilayah Sabah. Sikap terbuka kerajaan persekutuan dan tidak bertindak sepihak akan membuatkan rakyat Sabah dihargai sebagai rakyat Malaysia. Dan sudah tentu pada masa akan datang mereka juga akan berbangga menjadi rakyat Malaysia seperti kita di Semenanjung juga.

Sebahagian dari kekayaan hasil petroleum dan balak yang dikaut dari wilayah Sabah harus dikembalikan semula kepada penduduk Sabah dengan membina kemudahan dan infrastruktur untuk mereka, terutamanya jaringan jalanraya yang baik menghubungkan bandar-bandar utama di Sabah. Jangan sampai seperti yang diucapkan oleh Datuk Lajim yang keciwa dengan kerajaan pusat, “Buat apalah saya kaya tetapi ramai lagi rakyat Sabah yang miskin”.

Tidakkah kita rasa malu dan bersalah, sebahagian besar kekayaan negara ini disumbangkan dari hasil bumi wilayah Sabah tetapi Sabah juga merupakan negeri paling miskin atau kedua paling miskin di Malaysia?

Wednesday, January 30, 2013

Londar siam, jalan sungai yang menghubungkan pantai barat dan timur Semenanjung



Sebelum adanya jalanraya yang merupakan jalan pengangkutan yang utama di zaman moden sekarang ini, manusia menggunakan sungai dan laut sebagai jalan perhubungan dan pengangkutan mereka.

Pedagang menggunakan perahu atau kapal bagi mengangkut barang dagangan mereka menyelusuri laut dan sungai untuk sampai ke destinasi.

Sebuah jalan sungai yang sangat popular di zaman dulu yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur  Semenanjung Tanah Melayu telah digunakan oleh manusia seawal sekitar kurun ke 13 atau 14 lagi. Jalan sungai ini merupakan jalan alternatif kepada jalan persisiran laut yang melalui Singapura. Jalan sungai ini melibatkan dua sungai utama iaitu Sungai Muar dan Sungai Pahang.

Pada masa itu kawasan hutan masih tebal dan luas, sudah tentu kedua-dua sungai itu mempunyai kandungan air yang lebih banyak atau besar berbanding sekarang. Permukaannya yang luas dan airnya yang dalam memungkinkan perahu-perahu bersaiz besar atau kapal dapat belayar melaluinya.

Dari pantai barat Semenanjung, perahu atau kapal akan mudek dari muara Sungai Muar, kemudian mudek ke Sungai Jempol yang merupakan salah satu cabang dari Sungai Muar. Sehinggalah sampai ke suatu tempat di Kampung Laka, Serting di mana perahu atau kapal ini akan ditarik ke darat melalui jalan penarikan yang dinamakan Londar Siam. Kapal atau perahu ini ditarik di atas daratan sejauh 600 meter untuk dipindahkan ke Sungai Serting. Dari Sungai Serting, perahu atau kapal ini akan menghilir masuk ke Sungai Bera yang seterusnya akan bertemu dengan Sungai Pahang. Akhirnya melalui Sungai Pahang ini, akan sampai ke lautan lepas yang terletak di pantai timur Semenanjung.

Londar Siam adalah merupakan jalan penarikan atau tanah daratan yang paling pendek menghubungkan Sungai Jempol dan Sungai Serting. Kawasan Londar Siam ini terletak dalam Daerah Jempol di Negeri Sembilan.

Kenapa ia dinamakan Londar Siam? Mungkin laluan ini pernah digunakan oleh tentera Siam sebagai jalan yang strategik untuk menyerang Melaka. Dikatakan tentera Siam juga pernah cuba menggali terusan pada jalan penarikan itu supaya perahu atau kapal tidak perlu lagi di tarik ke darat untuk memindahkannya dari Sungai Jempol ke Sungai Serting itu.

Tetapi dikatakan projek terusan itu gagal disiapkan atas sebab-sebab tertentu. Ada kemungkinan juga projek itu tidak gagal tetapi sengaja terusan itu tidak dibuat sepenuhnya. Terusan itu mungkin sengaja dibuat separuh sahaja bagi tujuan untuk memendekkan lagi jalan penarikan itu. Maknanya dengan adanya terusan itu, kapal ditarik di atas daratan akan melalui laluan yang lebih pendek berbanding tanpa terusan.

Mungkin ada sebab utama kenapa terusan itu tidak dibuat penuh (menghubungkan air Sungai Jempol dan Sungai Serting). Salah satu sebabnya mungkin kedudukan aras ketinggian Sungai Jempol tidak sama dengan aras Sungai Serting, ini akan menyebabkan salah satu sungai akan menjadi kering di mana air Sungai Jempol akan mengalir ke Sungai Serting ataupun sebaliknya.

Atau mungkin juga projek terusan ini gagal disiapkan kerana ada unsur sabotaj dari penduduk tempatan kerana bimbang kehilangan mata pencarian mereka hasil dari kerja menarik kapal-kapal yang melalui jalan penarikan itu. Dikatakan juga tentera Siam yang membina terusan itu ramai yang mati kerana ditimpa penyakit misteri.

Kenapa Jalan Sungai Muar-Sungai Pahang ini menjadi jalan perhubungan utama yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung ketika itu?

Kalau difikirkan, tentulah sukar untuk memudekkan kapal dan perahu dari muara ke hulu sungai berbanding kalau melalui laut. Lebih banyak tenaga digunakan untuk melawan aliran arus sungai berbanding kalau belayar di laut. Sebaliknya kalau kapal belayar menghilir mengikut arus sungai, hanya sedikit tenaga diperlukan.

Jarak perjalanan dari Muar di pantai barat ke Pekan di pantai timur adalah lebih dekat kalau melalui jalan sungai berbanding jalan laut melalui Singapura. Tetapi dari segi masa, jalan sungai mengambil masa enam hari paling cepat untuk sampai.

Jalan sungai ini juga popular di waktu itu kerana pedagang-pedagang tidak mahu menghadapi risiko ribut monsun timur-laut yang sangat bahaya kepada kapal-kapal kecil jika menggunakan laluan laut. Di samping itu kapal-kapal dagang juga terdedah kepada rompakan lanun yang selalunya bergiat aktif di laluan laut.

Satu lagi faktor yang menjadikan jalan sungai ini popular ialah kebimbangan diserang oleh tentera-tentera yang bermusuhan. Ada setengah bahagian atau daerah diperintah atau dijajah oleh pihak yang bermusuh dan tidak membenarkan kapal-kapal lawan mereka melalui kawasan perairan mereka. Untuk menghindarkan berlakunya konflik , mereka memilih jalan sungai ini sebagai alternatif.

Sekarang ini laluan Sungai Muar-Sungai Pahang yang popular satu masa dulu itu tidak lagi digunakan. Kini ia hanya tinggal sejarah sahaja. Malah ramai generasi muda yang tidak menyedari kepentingannya dan kewujudannya pada satu masa dulu.


                                                 (lokasi bekas Londar Siam)
Walaupun jalan sungai utama ini tidak digunakan lagi, tetapi sebagai memperingatinya kerajaan perlu membuat sesuatu bagi memelihara bahan sejarah yang penting ini. Tentunya perkara yang menjadi tarikan kepada generasi akan datang ialah lokasi jalan penarikan atau Londar Siam itu sendiri. Mungkin kerajaan boleh membina monumen yang berbentuk sebuah perahu besar yang boleh ditarik pada sebahagian dari jalan penarikan itu. Ia bukan sahaja dapat menanamkan ingatan kembali sejarah kita kepada generasi akan datang, tetapi juga dapat menambah satu lagi produk pelancungan kepada negara ini.
 

Monday, January 14, 2013

BN patut sudah kalah 30 tahun dulu


Sistem politik bercorak demokrasi yang diamalkan di Negara kita sekarang ini adalah diambil dari Barat atau lebih tepat lagi Britain. Oleh kerana Negara kita mendapat kemerdekaan dari Britain, maka di bawah pengaruh Britain, pemimpin kita telah bersetuju untuk menerapkan sistem demokrasi ke dalam sistem politik atau pemeintahan Negara ini.

Di peringkat permulaannya, semasa demokrasi di perkenalkan, ciri-ciri demokrasi yang kita amalkan itu sama seperti demokrasi di Britain, yang mematuhi kesemua prinsip-prinsipnya.

Semasa di ambang kemerdekaan Negara, Parti Perikatan yang ditunjangi oleh parti orang Melayu, etnik terbesar, iaitu parti UMNO telah memenangi pilihanraya ketika itu. Parti Perikatan di anggotai oleh tiga parti politik terbesar iaitu parti UMNO, parti MCA dan parti MIC yang mewakili etnik Melayu, Cina dan India.

Oleh kerana parti UMNO yang mewakili orang Melayu, kumpulan etnik terbesar di Negara ini, memenangi  pilihanraya yang diadakan pada masa itu, maka Perdana Menteri (PM) Malaysia secara automatik dipilih dari parti itu.

Walaupun parti Perikatan mengandungi tiga parti yang mewakili etnik yang berbeza iaitu Melayu, Cina dan India, tetapi parti pembangkang melihat parti Perikatan tidak memberi layanan yang adil dan saksama kepada etnik Cina dan India. Sebaliknya parti Perikatan dilihat sebagai parti yang cenderung menjaga kepentingan dan keistimewaan orang Melayu.

Malaysia atau ketika itu bernama Tanah Melayu mempunyai penduduk berbilang kaum, kaum Melayu adalah penduduk asal, kaum Cina dan kaum India pula adalah kaum yang datang kemudian yang telah dibawa oleh British untuk bekerja di sektor perlombongan bijih timah dan perladangan. Sudah tentu akan timbul masalah yang tidak dijangka apabila sistem politik bercorak demokrasi diterapkan dalam pemerintahan di Negara ini. Sedangkan di Britain, penduduknya dominan dengan bangsa kulit putih dan tidak ada masalah perkauman.

Selain dari masalah perkauman, Negara kita juga ketika itu menghadapi masalah ancaman Kominis yang cuba meluaskan pengaruhnya ke Negara-negara Asia Tenggara. Pihak Kominis sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menghancurkan sistem demokrasi di Negara ini.

Pada pilihanraya umum tahun 1969, prestasi Parti Perikatan jatuh merudum yang berakhir dengan rusuhan kaum yang dikenali sebagai peristiwa 13 Mei. Faktor berlakunya rusuhan kaum 13 Mei ini sangat pelbagai dan sukar untuk menentukan punca sebenar berlakunya.

Ekoran dari peristiwa hitam itu Parti Barisan Nasional amnya dan Parti UMNO khasnya telah menggubal beberapa undang-undang baru yang kononnya untuk membenteras peristiwa rusuhan kaum 13 Mei dari berulang dan juga untuk mengekang pengaruh Kominis.

Beberapa akta telah diadakan bagi tujuan tersebut termasuklah Akta Hasutan, Akta Bahan Cetak, Akta Universiti dan Kolej AUKU, Akta ISA tahanan tanpa bicara dan berbagai akta lagi.

Tanpa disedari oleh orang ramai, kebanyakan akta dan undang-undang yang digubal itu sebenarnya adalah bertentangan dengan rukun dan prinsip demokrasi.

Dengan akta-akta yang mengongkong ini, orang ramai telah hilang kebebasan untuk bersuara dan hilang kebebasan untuk berhimpun, yang merupakan hak yang dijamin dalam sebuah Negara demokrasi.

Bermula dari peristiwa 13 Mei 1969 ini UMNO telah banyak mencabul kemurnian demokrasi.

Pada setiap pilihanraya UMNO dan BN akan menakut-nakutkan rakyat dengan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei ini sekiranya rakyat tidak mengundi BN. Rakyat dengan mudah disabitkan dengan kesalahan di bawah mana-mana akta-akta yang sedia ada jika mereka lantang bersuara menentang atau mengkritik kerajaan.

Akta-akta yang kononnya diwujudkan bagi menghalang berulangnya rusuhan kaum dan menyekat kegiatan kominis itu secara serampang dua mata telah diambil kesempatan oleh UMNO dan BN digunakan bagi menghapuskan atau melemahkan penentangnya.

Akhirnya UMNO dan BN terus dapat kekal berkuasa tanpa diganggu gugat walaupun mereka banyak melakukan salah laku dan penyelewengan.

Mereka menggunakan slogan demokrasi terpimpin, demokrasi acuan kita sendiri dan berbagai-bagai lagi bagi mengelirukan rakyat terhadap demokrasi sebenar. Akhirnya sistem demokrasi yang mereka amalkan adalah mengikut cara dan acuan UMNO dan BN.

Akta-akta yang mereka wujudkan itu bukan sahaja dapat mengekang berlakunya rusuhan kaum tetapi juga dapat melindungi atau menyembunyikan tingkah laku buruk yang telah membarah dalam UMNO dan BN.

Golongan elite UMNO telah menggunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk memperkaya diri dan keluarga. Mereka mudah mendapat tender kontrak yang berkomisyen atau berkeuntungan lumayan, mudah mendapat peluang dan tapak perniagaan, dapat memiliki lokasi hartanah yang strategi yang bernilai tinggi dan mudah memiliki permit-permit perniagaan.

Mereka menakut-nakutkan orang Melayu dengan kehilangan keistimewaan dan ketuanan Melayu, tetapi hakikat sebenarnya mereka takut kehilangan kuasa untuk terus menjadi tuan dan hilang keistimewaan memperkaya diri dan keluarga dengan cara mudah dan goyang kaki.

UMNO dan BN mengamalkan dasar pecah dan perintah yang telah diwarisinya dari penjajah. Singapura telah menghapuskan sekolah vernacular di hari pertama kemerdekaannya tetapi UMNO dan BN terus mengekalkan sekolah-sekolah ini hingga ke hari ini. Akibatnya, perpaduan kaum di Negara ini terus berada pada tahap yang longgar dan rapuh. Keadaan ini sengaja dibiarkan untuk memudahkan mereka untuk terus berkuasa dan memerintah.

Amalan buruk UMNO dan BN di sepanjang pemerintahannya itu sebenarnya tidak melayakkan mereka untuk menang dalam sebuah sistem demokrasi yang mempunyai pilihanraya adil, telus dan bebas.

Sepatutnya UMNO dan BN layak untuk kalah dalam pilihanraya 30 tahun dulu lagi.

Tetapi UMNO dan BN dapat terus kekal berkuasa di atas pertandingan yang kotor dan berat sebelah. Mereka bertanding dengan parti pembangkang di atas lantai yang tidak sama tinggi.

Hampir setiap sudut, UMNO dan BN telah menggunakan kuasanya secara kuku besi menutup segala ruang untuk rakyat mengkritiknya. Mereka menguasai media perdana, samada media cetak mahu pun media elektronik. Melantik orang yang pro UMNO dan pro BN untuk mengetuai agensi, organisasi kerajaan dan GLC. Termasuklah polis, imegresyen, SYABAS, SPRM dan SPR.

UMNO dan BN begitu bebas menggunakan TV dan radio kerajaan yang dibiayai dari wang rakyat sebagai alat propaganda parti mereka. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bersikap berpihak dan selalu dipertikaikan dari segi ketelusannya. Isu seperti pengundi hantu, pengundi pos dan daftar senarai pengundi yang meragukan terus menyelubungi SPR. Keengganan SPR untuk bersikap lebih telus seperti berdolak dalek untuk menggunakan dakwat kekal semasa proses membuang undi, menunjukkan badan itu cenderung kepada ‘penipuan’.

Ada orang mendakwa kalau betul BN dan UMNO telah menipu dalam pilihanraya, kenapa masih ada lima negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Jawapannya mudah, kalau UMNO tidak menipu, bukan saja lima tapi sepuluh negeri telah di menangi oleh Pakatan Rakyat.

Menjadi adat orang menipu, kalau boleh penipuannya itu tidak mahu diketahui orang, mesti disorokkan seboleh yang mungkin. Ramai pesara-pesara tentera dan polis mendakwa mereka tidak pernah melihat kertas undi pos mereka walaupun mereka mendaftar dan layak mengundi pos. Kalau ditakdirkan di satu kawasan itu UMNO atau BN mendapat beberapa ratus undi saja untuk menang, undi pos sudah boleh menjadi penyelamat hayatnya.

Semasa Tun Abddullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menjadi PM, beliau berazam untuk memurnikan demokrasi di Negara ini. Pak Lah telah cuba memperbaiki kedudukan Makamah dan Badan Kehakiman agar lebih bebas dan berwibawa. Pak Lah juga telah memperbaiki imej Polis (PDRM) supaya lebih mesra rakyat. Tetapi ‘kemaraan’ atau usaha beliau itu telah cepat disekat oleh pemimpin UMNO yang lain, kerana pemimpin UMNO yang lain itu melihat langkah-langkah pembaharuan yang dibawa oleh Pak Lah itu boleh memusnahkan UMNO dan BN dengan lebih cepat.

Kalau sudah biasa makan tahi, memang sukar untuk ditinggalkan kebiasaan itu.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan, dalam keadaan situasi sekarang, kalau UMNO atau BN menang dengan mendapat kurang dari 60% undi, ia boleh dianggap kalah. Ini kerana UMNO dan BN mendapat banyak kelebihan dalam setiap pertandingan pilihanraya. Mereka boleh berkempen menggunakan media perdana dengan sewenangnya. Sebaliknya suara pembangkang tidak dapat didengar oleh rakyat secara meluas. Mereka langsung tidak ada rasa malu bertanding di atas lantai yang tidak sama rata.

Sejak akhir dekad 1990, cengkaman UMNO telah mula dapat dileraikan sedikit demi sedikit apabila berlaku ledakan IT ke seluruh dunia, rakyat telah diperkenalkan dengan media baru internet yang lebih bebas. Rakyat semakin terdedah kepada berita yang bebas tanpa kongkongan di internet. Kini rakyat semakin celik dan pemikiran mereka tidak hanya bergantung dengan berita yang disajikan oleh media perdana sahaja.

Pilihanraya umum ke 13 pada tahun 2013 ini harus dijadikan pilihanraya bagi menghukum UMNO dan BN. Mereka telah banyak melakukan pencabulan terhadap demokrasi semata-mata untuk mereka kekal berkuasa dan memerintah Negara ini secara sukahati mereka.

UMNO mesti dikalahkan untuk menjaga maruah demokrasi yang juga merupakan maruah diri kita dan Negara kita. Bukan kita tidak sayang kepada UMNO tetapi kita lebih sayangkan demokrasi dan Negara kita.

Demokrasi adalah maruah diri kita, pilihlah demokrasi.

Saturday, December 08, 2012

Facebook dan soal kepuasan memilih jodoh



Sebelum tahun 1960 an dahulu, soal jodoh banyak ditentukan oleh ibubapa atau keluarga. Perasaan cinta antara pasangan suami isteri hanya dipupuk selepas mereka berkahwin. Di waktu itu mereka tidak dapat memilih teruna atau gadis untuk menjadi suami atau isteri mengikut selera mereka. Mereka terpaksa menerima suami atau isteri yang telah ditentukan oleh keluarga seadanya, buruk atau baik terpaksa diterima.

Walaupun jodoh ditentukan oleh keluarga tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh hidup bahagia dalam menjalani kehidupan rumahtangga. Malah kebanyakan pasangan ini kekal jodoh mereka hingga ke akhir hayat.

Selepas tahun 1960, wanita yang telah mendapat pendidikan sama seperti kaum lelaki, telah mula banyak menceburi bidang pekerjaan, mereka tidak lagi duduk di rumah seperti wanita-wanita sebelum itu. Mereka berpeluang untuk mengenali lebih ramai kaum lelaki. Mereka boleh berhubung melalui surat untuk mencurahkan perasaan mereka antara satu sama lain. Di waktu itu penggunaan telefon untuk berhubung begitu terbatas sekali.

Secara perlahan-lahan perkahwinan yang diaturkan keluarga telah beransur pupus. Teruna dan gadis lebih suka memilih kekasih mereka mengikut selera mereka. Setelah berkenal samada di tempat kerja atau berkenalan di satu majlis, atau dikenalkan oleh kawan-kawan, mereka akan jatuh cinta dan merancang untuk berkahwin.

Di waktu itu perkenalan hanya terbatas di tempat kerja atau di bandar atau di daerah di mana mereka tinggal saja. Walaupun pilihan untuk menjadi bakal suami atau bakal isteri adalah terletak di tangan mereka sendiri, tetapi pilihan masih lagi terbatas, kerana peluang untuk berkenalan dan menemui rakan lelaki atau rakan wanita masih terhad di kawasan yang kecil.

Kata pepatah, kalau tidak ada rotan, akar pun berguna. Mereka tidak boleh menunggu ‘rotan’ yang tidak muncul-muncul, oleh itu, kalau ada ‘akar’ pun sudah memadai. Malah bagi mereka, ‘akar’ yang dipilih sendiri itu lebih baik dari mendapat suami atau isteri yang dipaksakan oleh keluarga mereka. Walaupun mungkin bakal suami atau bakal isteri yang hendak mereka kahwini itu bukanlah lelaki atau wanita yang mereka impikan, sekurang-kurangnya ia telah mereka kenali hati budinya.

Apabila masuk tahun 2000, teknologi internet dan handphone telah melanda Negara ini. Kesan dari ledakan teknologi internet dan handphone ini juga telah mengubah banyak tatacara kehidupan masyarakat kita. Sekarang ini, anak muda boleh saja berkenalan dengan siapa saja yang mereka suka. Kawasan perkenalannya tidak lagi hanya terbatas kepada kawasan berhampiran tempat tinggal mereka, tetapi boleh menjangkau ke serata dunia.

Dengan hadirnya teknologi internet/handphone dapat membantu anak-anak muda memaksimumkan kepuasan dalam memilih pasangan hidup mereka. Mereka boleh memilih bakal suami atau bakal isteri yang mereka impikan.

Apakah, apabila telah berjaya memiliki pasangan hidup seperti yang mereka impikan dapat menjamin jodoh mereka kekal hingga akhir hayat dan hidup bahagia?

Biarkanlah anak muda mencari jodoh mereka dengan cara teknologi yang ada di zaman mereka. Yang timbul masalah sekarang ialah kepada pasangan suami isteri yang berada di zaman peralihan antara zaman surat pos ofis dengan teknologi Facebook.

Ramai pasangan suami isteri yang saya sebut sebagai mendapat ‘akar’ tadi mula berangan-angan untuk mencari ‘rotan’ impian mereka (yang tertangguh dulu) melalui teknologi Facebook ini.

Ramai suami dan isteri yang telah curang dan berlaku perceraian akibat kejutan teknologi internet ini. Dengan internet dan handphone mereka dengan mudah dapat mengatur pertemuan dengan siapa saja yang mereka suka secara rahsia tanpa diketahui oleh pasangan mereka.

Apabila teknologi berubah, ia juga akan turut menggugat kehidupan masyarakat kita. Sementera masyarakat kita dapat menyesuaikan kehidupan mereka dengan gelombang teknologi baru itu, banyaklah gejala negatif akan terhasil akibatnya. Serupalah macam teknologi media TV mula-mula diperkenalkan kepada masyarakat dulu, semuanya ada baik dan buruknya.

Apa yang penting ialah penghayatan kepada nilai-nilai yang baik dan murni yang digariskan oleh agama kita. Ibarat ikan yang hidup di laut, air laut yang masin tidak akan memasinkan dagingnya, tetapi setelah ikan itu mati, sedikit garam pun sudah cukup untuk memasinkan dagingnya. Begitu jugalah, bila hati kita telah mati dengan nilai agama, pengaruh jahat akan mudah menguasai diri kita.

Internet dan handphone bukanlah penentu muktamad. Seperti kata P. Ramlee, “Jodoh, rezeki, kebahagiaan itu adalah anugerah dari Tuhan jua”. Kita hanya boleh merancang tetapi Tuhan juga menentukannya.

Friday, November 30, 2012

Bandung, warganya sangat rajin berusaha


Pemandangan anak-anak muda melepak di shopping complex, couple dan aktiviti merempit adalah pemandangan biasa di Bandar-bandar di Malaysia. Tetapi di Bandung, saya tidak nampak anak-anak muda melepak.

Semua orang dan anak-anak mudanya seolah-olah tidak pandai untuk duduk diam sebaliknya melakukan apa saja kerja yang boleh menghasilkan wang walaupun hasilnya tidak seberapa. Berbagai kerja dan aktiviti mereka lakukan demi mendapatkan sedikit wang untuk hidup, dari bermain alat muzik di kalayak ramai, menjual bunga, menjual air minuman kepada pemandu dan penumpang yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas hinggalah menjual cenderahati kepada pelancung-pelancung.

Mungkin di Malaysia, orang-orang kita jarang-jarang melakukan pekerjaan seperti itu, tetapi di Bandung, ia merupakan pemandangan yang biasa.

Rayuan berulangkali mendesak pelancung membeli barang-barang cederahati yang mereka jual menyebabkan pelancung menjadi rimas dan pening kepala.

Memang ada di sediakan kedai-kedai yang menjual barang-barang cenderahati di sediakan di kawasan kota Bandung dan di kawasan pusat pelancungan, tetapi di samping itu terdapat ramai orang perseorangan yang membawa barang jualan di tangan mereka untuk dijual kepada pelancung. Mereka akan merayu pelancung yang sama berulangkali agar membeli barang jualan mereka. Tindakan mereka itu amat merimaskan dan membuatkan kita tidak berasa selesa.

Di pusat beli belah pula, akan ada orang yang kerjanya membantu pelancung mengangkat barang-barang yang dibeli walaupun khidmat mereka itu tidak dipinta, dan sudah tentu perkhidmatan itu tidak diberi secara percuma saja. Berbeza kita di Malaysia, kita tidak pernah nampak adanya perkhidmatan seperti itu di Negara kita. Itulah warga Bandung, mereka pandai membuat peluang pekerjaan.

Kadang-kadang pelancung terasa seperti terpaksa atau tertipu, tetapi itu adalah resam harian warga kota Bandung. Mereka telah menerimanya sebagai usaha dan pencarian untuk sesuap nasi, walaupun perkara-perkara yang mereka lakukan itu mungkin tidak disenangi dan bertentangan dengan budaya pelancung yang datang.

Kadang-kadang tindak tanduk setengah dari mereka itu seperti hendak mengenakan pelancung yang tidak punya pengalaman dan tidak biasa dengan kehidupan di Bandung.

Tindakan yang tidak menyenangkan pelancung ini tidak pula dianggap sebagai perkara yang salah oleh warga Bandung yang lain. Mungkin mereka menganggap, apa yang dilakukan oleh saudara-saudara mereka itu sebagai usaha dan kerajinan, malah mereka sangat menghormati mereka, bagi mereka, pekerjaan seperti itu lebih baik dari mencuri dan meragut.

Sepanjang empat hari berada di Bandung, saya dapat memerhatikan warga Bandung ini sangat menghormati antara satu sama lain, mereka seperti saling faham memahami antara satu sama lain. Tidak pernah saya melihat mereka mengutuk atau memarahi jurujual-jurujual yang berkeliaran mencari rezeki, yang kelihatan seperti mengganggu pelancung dan peniaga yang berlesen. Mereka masih boleh bercakap dengan bahasa yang lembut dan sopan sesama mereka.

Mungkin warga Bandung ini memandang tinggi setiap orang yang mahu berusaha dengan titik peluh sendiri untuk mencari rezeki. Oleh itu tidak hairanlah kalau sukar kita nampak warga Bandung yang duduk melepak, sebaliknya mereka sentiasa saja membuat apa saja kerja, walaupun kepada kita kerja yang mereka lakukan itu seperti tidak mendatangkan hasil yang memuaskan atau tidak patut dijadikan sebagai bidang pekerjaan.

Di sepanjang tepi jalan atau di kaki lima jalan, banyak didirikan warung-warung kecil yang menjual makanan. Saya tidak nampak ramai pembeli atau pelanggannya, malah bilangan warung jauh lebih banyak dari bilangan pembeli. Itu belum termasuk penjual makanan yang bergerak, yang menggunakan kelengkapan jualan yang beroda, yang boleh ditolak ke merata tempat untuk mencari pelanggan. Di samping itu ada juga penjual yang mengandar barang jualan. Begitulah suasana kehidupan di kota Bandung, semua orang melakukan kerja untuk mencari rezeki walaupun belum tentu dapat menjanjikan hasil yang memuaskan.

Warga Bandung yang majoritinya terdiri dari etnik Sunda ini memang rajin dan sentiasa melakukan usaha untuk kesinambungan hidup mereka. Mungkin sebab itu jugalah kita jarang bertemu di Malaysia, pendatang dari Indonesia yang berasal dari daerah Bandung atau etnik Sunda. Sebaliknya yang biasa kita temui di Malaysia adalah pendatang yang datang dari Madura dan Lombok.

Untuk pergi ke gunung Tangkuban Perahu, terletaknya kawah gunung berapi, yang merupakan salah satu tempat destinasi pelancungan yang popular di Bandung, kita akan melalui kawasan perkampungan yang indah di sepanjang lereng gunung.

Keadaan jalanraya di kawasan gunung berapi berlainan dengan jalanraya ke Cameron Highland di Negara kita. Gunung dan bukit di Negara kita adalah jenis gunung lipat, oleh itu jalanrayanya banyak selekoh dan berbelok-belok mengikut contour gunung. Manakala jalanraya di kawasan gunung berapi tidak banyak selekoh, jalannya terus mendongak keatas, oleh kerana cerunnya tinggi, tidak semua kenderaan mampu mendaki melalui jalanraya di gunung di sana. Hanya kereta berkuasa tinggi saja yang mampu melalui atau mendakinya.

Penduduk perkampungan di lereng gunung di sekitar Bandung ini mengusahakan tanaman sayuran dan buah-buahan berhawa sejuk seperti strawberry dan avocado. Pemandangan kampung-kampung ini sungguh cantik, semua rumah mereka beratap genting, tidak ada yang beratap zink dan ardec seperti kampung-kampung di Malaysia. Kelihatannya seperti kawasan perkampungan yang terletak di Eropah yang mewah dan indah. Sebaliknya pemandangan rumah kampung pendalaman di Malaysia kelihatan begitu daif. Pertama kali melihat pemandangan di sana, kita rasa macam bukan berada di Indonesia kerana apa yang terbayang dalam kepala kita, rumah-rumah kampung orang Indonesia mungkin lebih cantik sedikit dari rumah-rumah kongsi di kawasan pembinaan.

Semasa berada di pusat membeli belah, kita sering diingatkan oleh warga di sana supaya sentiasa berhati-hati membawa beg duit, beg duit hendaklah sentiasa di letakkan di bahagian depan untuk mengelak dari dicuri tau dicopet. Peringatan ini memberi persepsi kepada pelancung bahawa kota Bandung bukanlah satu tempat yang begitu selamat kepada pengunjung. Selain dari bimbang duit kita dicopet, pelancung juga tidak berasa selesa dan aman dengan jurujual-jurujual perseorangan yang tidak henti-henti berulangkali merayu kita untuk membeli barang jualannya. Dan tidak kurang juga pelancung ‘terkena’ dengan taktik licik yang mereka gunakan.

Suasana di Bandung jauh berbeza dengan Bandar Perth,Australia yang pernah saya kunjungi sebelum ini. Di Perth saya berasa begitu aman dan selamat, tidak ada rasa bimbang dari ‘ditipu’ atau ‘terkena’.

Pengalaman tidor di hotel di Bandung, saya dikejutkan dengan suara azan yang datang dari masjid berhampiran. Bukan satu masjid tetapi tidak kurang dari tiga masjid. Dari suara-suara azan itu dapatlah saya bayangkan betapa banyaknya masjid yang terdapat di Bandung. Mendengar suara azan yang mendayu dari semua arah, terbayang kepada saya, syiar Islam tertegak kuat di Bandung. Tetapi apabila hari sudah siang, semasa kita menyelusuri jalan-jalan kehidupan di kotanya, saya tidak nampak penghayatan kebaikan Islamnya. Suara azan yang saya dengar pagi tadi itu hanyalah tinggal sebagai lambang sahaja, ia tidak benar-benar menjalar ke dalam kehidupan masyarakatnya.

Sebaliknya, semasa saya menginap di hotel di Perth, saya tidak dikejutkan oleh suara azan. Tetapi apabila kita menyelusuri jalan-jalan di Bandar itu, kita berasa begitu selamat, aman dan tidak ada rasa bimbang. Seolah-olah seperti kita berada di dalam sebuah kota Islam, walaupun majoriti warga Perth adalah penganut Kristian.

Tuesday, November 20, 2012

Bandung, warganya saling faham memahami


Empat hari bergerak di atas jalanraya di Kota Bandung, sudah dapat melihat resam warga kota tersebut. Kota Bandung terletak di tanah tinggi pergunungan, udaranya lebik sejuk, terutamanya di waktu malam.

Terletak di atas kawasan pergunungan, tanah ratanya sangat terhad, kebanyakan jalanraya di kota Bandung sempit-sempit dan berbukit. Tidak ada kelihatan blok atau bangunan rumah-rumah kedai seperti Bandar di Malaysia. Kedai dibina atas tanah-tanah lot di sepanjang jalan. Setiap kedai mempunyai bentuk senibina tersendiri dan unik.

Tidak banyak bangunan pencakar langit di sini. Oleh kerana jalanrayanya sempit, kesesakan lalulintas atau trafik jem atau disebut ‘macet’ di Bandung adalah merupakan perkara biasa di sini, tanpa mengira waktu. Dan sudah tentulah lalulintas menjadi lebih sesak di waktu warga Bandung hendak pergi dan balik kerja.

Sebelum sampai di Bandung, saya bayangkan jalan-jalanrayanya penuh dengan kereta buruk-buruk atau kereta lama yang uzur. Tetapi sangkaan saya itu tidak betul, sebaliknya banyak kereta baru, bersaiz besar (MPV) memenuhi jalan-jalanraya di Bandung. Kereta Kijang (Unser), Inova dan Avanza adalah kereta yang paling banyak di jalanrayanya.

Pengangkutan Angkut Kota yang merupakan pengangkutan awam kota Bandung yang sangat popular, membawa penumpang ke merata tempat, cepat dan cekap, sangat sesuai dengan keadaan jalanraya kota Bandung yang sempit dan berbukit-bukit. Kebanyakan kenderaan Angkut Kota ini menggunakan MPV Kijang (Unser).

Jalan-jalanraya di pinggir Kota Bandung jarang ada kemudahan lampu trafik, tetapi warga Bandung sudah biasa dengan keadaan jalanraya tanpa lampu trafik. Apabila kereta yang hendak keluar dari simpang untuk masuk ke jalan utama, pemandu tidak perlu menunggu keadaan jalan lengang dari kedua-dua arah untuk melintas masuk ke jalan utama. Pemandu hanya perlu bergerak perlahan masuk ke jalan utama dan secara sepontan pemandu-pemandu kereta dari kedua-dua arah di jalan utama akan memperlahankan kenderaan mereka untuk memberi laluan kepada kereta yang keluar dari simpang.
 

Kalau di Malaysia, kereta yang keluar dari simpang untuk masuk ke jalan utama terpaksa menunggu kereta-kereta di jalan utama dari kedua-dua arah lengang, barulah boleh melintas masuk ke jalan utama. Tetapi di Bandung, tidak boleh buat begitu kerana jalanrayanya sentiasa sesak dan susah untuk mencari keadaan yang lengang.

Di sinilah saya nampak, warga Bandung mempunyai sikap saling memahami antara satu sama lain. Mereka sabar menghadapi kesesakan lalulintas, tidak mementingkan diri sendiri, tidak lokek untuk memberi peluang kepada orang lain.

Di tempat-tempat letak kereta dan di sesetengah simpang,  ada orang yang menjaga untuk mengaturkan atau menguruskan kereta yang keluar masuk supaya bergerak lancar, keadaannya seperti polis trafik yang tidak rasmi. Setiap pemandu akan membayar 2000 rupiah (60 sen) kepada mereka atas perkhidmatan itu. Bagaimana mereka dapat pekerjaan itu dan siapa yang patut bekerja di tempat itu, dan bagaimana mereka membahagi-bahagikan tempat itu sesama mereka, tidaklah saya tahu. Tetapi saya tidak nampak mereka berebut untuk melakukan kerja itu, seperti sudah ada persefahaman antara mereka.

Sepanjang empat hari saya bergerak di atas jalanraya di Kota Bandung, saya tidak nampak berlaku pelanggaran antara kenderaan atau kemalangan (accident) walaupun kereta yang berada di atas jalanraya sangat banyak dan jalannya sempit. Ini menunjukkan sikap pemandunya yang sangat berhati-hati, mahir dan cekap memandu.

Mungkin empat hari adalah terlalu singkat untuk mendapat peluang melihat berlaku insiden pelanggaran atau kemalangan. Tetapi setelah melihat kepada kebanyakan kereta-kereta di kota ini, memang saya tidak nampak sebuah kereta pun yang ada kesan calar dan kemek, ini tambah meyakinkan saya, memang jarang sangat berlaku insiden pelanggaran dan kemalangan di kota Bandung ini.

Apa yang saya lihat di jalanraya adalah juga mencerminkan resam, sikat dan tabiat warga Bandung itu sendiri. Mereka mempunyai hubungan erat dan akrab antara satu sama lain, tidak mementingkan diri sendiri dan saling faham memahami.

Bagaimana budaya atau amalan sebegini dapat dibentuk dalam masyarakat di Bandung? Adakah sebab mereka mempunyai etnik yang sama iaitu majoritinya adalah etnik Sunda. Atau adakah mereka mendapat pendidikan di sekolah yang sama yang mempunyai falsafah yang sama?
 

Inilah pemandu (supir) yang telah membawa saya dan keluarga selama empat hari berjalan-jalan di sekitar Kota Bandung. Dia mahir dan cekap memandu, dedikasi dengan kerjanya, menepati masa, sangat suka membantu. Beliau boleh dihubungi melalui nombor telefon +6281321281112.
Sambungan akan datang, Bandung, warga yang rajin.

Friday, November 09, 2012

Ungkapan ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’, sudah tidak sesuai lagi


Ungkapan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ adalah menggambarkan eratnya hubungan antara pemimpin dan rakyat.  Di zaman dulu pemimpin orang Melayu adalah raja, Negara akan menjadi aman dan makmur jika ada hubungan yang erat antara raja dan rakyat.

Tetapi zaman sekarang, pemimpin tertinggi kita ialah Perdana Menteri di peringkat Negara dan Menteri Besar dan Ketua Menteri di peringkat negeri. Oleh itu untuk disesuaikan di zaman sekarang, ungkapan yang lebih tepat ialah ‘pemimpin dan rakyat berpisah tiada’. Memang benar, untuk keamanan dan kemakmuran Negara, perlu ada persefahaman dan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat.

Ungkapan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ tidaklah sesuai lagi digunakan pada masa ini. Raja pada masa ini hanyalah sebagai Ketua Negara sahaja dan baginda tidak berperanan secara langsung dengan urusan dan permasalahan rakyat. Yang lebih dekat dengan rakyat jelata ialah Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Semua polisi dan dasar yang melibatkan rakyat adalah ditentukan atau di bawah kuasa Perdana Menteri sebagai pemimpin negara. Oleh itu hubungan pemimpin dengan rakyat mestilah dalam keadaan yang erat dan saling kasih mengasihi, agar dasar-dasar yang digubal tidak membebankan atau menyusahkan rakyat.

Kalau pemimpin tidak mempunyai rasa belas kepada rakyat, sudah tentu rakyat juga tidak akan rasa senang dan tenteram dengan pemimpin tersebut. Sudah pasti selepas pilihanraya, pemimpin yang tidak bertimbang rasa seperti ini akan berpisah jua dengan rakyat.

Friday, October 12, 2012

Sebaik saja aku melangkah masuk, dia dah tercongok kat dalam


Selama aku jadi pensyarah di UTM, baru semester ini aku digandingkan dengan pensyarah keturunan Cina untuk mengawasi pelajar membuat ujikaji di makmal.

Sebenarnya dari sejak aku masuk bekerja, tidak ada pensyarah keturunan Cina yang bekerja di fakulti tempat aku bekerja. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja baru ada beberapa orang pensyarah dari keturunan Cina.

Oleh kerana bilangan mereka tidak ramai, peluang untuk mengawasi pelajar membuat ujikaji di makmal bersama dengan pensyarah keturunan Cina ini memang tipis sekali.

Oleh itu, bila dapat peluang digandingkan dengan pensyarah Cina pada kali ini, ia bagaikan satu pengalaman baru buat aku.

Semasa mengajar di bilik kuliah atau menjadi pengawas di makmal, aku memang tidak suka masuk lewat, aku akan datang tepat pada waktu seperti yang terdapat dalam jadual. Dalam agama pun kita disuruh menepati janji dan masa. Bagi aku, antara ciri muslim yang baik, mesti sentiasa menepati masa dan janji.

Kalau kita umat Islam, sentiasa menepati masa dan janji, barulah orang bukan Islam akan memandang hormat kepada umat Islam.

Tidak ada bangsa di dunia ini yang maju dan berjaya, dan dalam masa yang sama mereka adalah bangsa yang tidak menepati masa.

Jadi bila aku dapat peluang digandingkan dengan pensyarah keturunan Cina untuk mengawasi pelajar membuat kerja di makmal, maka inilah masanya untuk aku, sebagai seorang Islam, menunjukkan contoh yang baik kepada pensyarah Cina ini, terutama dalam bab menepati masa.

Hari pertama aku masuk makmal untuk menjalankan tugas, aku sampai di makmal tepat jam 2.00 petang, waktu yang telah dijadualkan dalam jadual waktu. Sebaik saja aku masuk, pensyarah Cina itu telahpun berada dalam makmal. Apa yang ada dalam fikiran aku pada masa itu, mungkin dia telah datang seminit atau dua minit lebih awal dari aku.

Aku telah berjanji kepada diriku, untuk hari kedua bertugas nanti, aku akan pastikan aku akan datang ke makmal lebih awal dari pensyarah Cina itu. Aku nak tunjukkan kepadanya orang Islam sebenarnya adalah lebih bagus.

Aku telah merancang untuk kali kedua ini akan sampai di makmal pada pukul 1.50 petang iaitu 10 minit lebih awal dari waktu yang tercatat dalam jadual waktu. Dan aku pasti, kali ini aku akan lebih dulu sampai makmal dari pensyarah Cina itu.

Selang seminggu, masa untuk bertugas di makmal untuk hari kedua pun tiba, Alhamdulillah aku sampai di muka pintu makmal tepat pukul 1.50 petang seperti yang aku rancang.

Tanpa berlengah, aku pun membuka pintu makmal dan cepat-cepat melangkah masuk. Alamak! Dia sudah tercongok kat dalam.

Memang gua tabik sama lu!

Tuesday, October 02, 2012

Syarikat insuran perlindungan perubatan dan hospital swasta menjadikan kos merawat pesakit bertambah mahal


Harga barang yang dibeli terus dari kilang adalah jauh lebih murah berbanding jika dibeli dari peruncit. Untuk sampai ke kedai runcit, barang-barang ini terlebih dahulu melalui pemborong dan pengedar.  Sudah tentu harga barang akan menjadi lebih mahal setelah pemborong, pengedar dan peruncit mengambil sedikit keuntungan ke atas harga jualan.

Lagi banyak tingkat pemasaran yang dilalui antara kilang dan pengguna, lagi tinggilah harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Kerana setiap tingkat pemasaran ini akan mengenakan caj bayaran bagi khidmat jualan mereka.

Perkara yang sama juga berlaku kepada kos merawat pesakit di hospital. Kos rawatan menjadi terlalu mahal apabila ada pihak yang membuat keuntungan dari perkhidmatan perubatan dan rawatan di hospital ini.

Sebelum wujudnya hospital swasta, rakyat yang sakit akan pergi ke hospital kerajaan untuk menerima rawatan. Di hospital kerajaan setiap rakyat negara ini mendapat rawatan secara percuma dan kalau pun dikenakan bayaran, bayaran yang dikenakan sangatlah rendah.

Selama ini memberi rawatan kepada rakyat yang sakit dan memberi pelajaran kepada rakyat adalah dianggap menjadi tanggungjawab pihak kerajaan. Pelajaran adalah penting untuk menyediakan rakyat yang berilmu pengetahuan bagi memajukan negara manakala rakyat yang sihat pula penting untuk memastikan produktiviti negara tidak terjejas. Oleh itu tidak hairanlah kalau selama ini kerajaan sanggup menanggung biaya hospital dan sekolah.

Walaupun kerajaan telah menanggung kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi sebenarnya sebahagian belanja yang diperolehi untuk mengurus perkhidmatan hospital ini adalah juga datang dari cukai yang dikenakan kepada rakyat.

Kerajaan tidak membuat keuntungan dari perkhidmatan hospital yang disediakannya. Oleh itu semua kos perkhidmatan, ubat dan rawatan dihospital berada pada tahap yang paling rendah sekali. Gaji doktor yang bekerja dihospital kerajaan mempunyai sekim gaji yang sama yang ditetapkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Apabila bilangan rakyat negara kita bertambah ramai, negara pula semakin maju, cara hidup rakyat pun berubah, penyakit mula datang dan menyerang dalam berbagai bentuk; amalan hidup yang tidak sihat, pemakanan yang tidak seimbang, kurang bersenam, penyediaan makanan yang tercemar oleh bahan kimia dan toksid, menjadikan peratusan bilangan pesakit setiap tahun bertambah.

Kerajaan tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang sangat ramai, kerajaan terpaksa menggunakan wang yang banyak untuk menanggung kos ubatan dan gaji doktor yang tinggi. Akhirnya banyaklah kelemahan-kelemahan atau kekurangan yang terdapat pada hospital kerajaan yang sering menjadi rungutan orang ramai. Akhirnya lahirlah hospital swasta untuk mengisi kekurangan ini.

Hospital swasta menjadi tarikan kepada golongan yang berduit, di sana mereka dapat layanan dan rawatan yang terbaik. Bagi golongan kaya, harga tidak menjadi masalah asalkan khidmat yang diberi memuaskan hati mereka.

Kerana permintaan yang menggalakan dari golongan yang berada, perniagaan hospital swasta telah membawa pulangan yang memberangsangkan. Ramailah pelabur melabur dalam perniagaan hospital swasta ini. Hasilnya semakin banyak hospital swasta tumbuh di negara ini. Apabila hospital swasta bertambah banyak, mereka bukan sahaja bersaingan dengan hospital kerajaan tetapi juga bersaing antara hospital swasta itu sendiri.

Semua kos perbelanjaan untuk mengurus dan mengendalikan hospital swasta ini memang sepenuhnya datang dari duit pesakit mereka. Duit itulah juga digunakan untuk membayar gaji pekerja dan gaji doktor-doktor mereka, dan kita juga tahu gaji doktor mereka jauh lebih tinggi dari gaji doktor yang bekerja di hospital kerajaan.

Pengwujudan hospital swasta ini sebenarnya menyebabkan kos perubatan dan rawatan menjadi bertambah mahal kerana perkhidmatan yang mereka berikan adalah berorientasikan keuntungan.

Sebenarnya kos operasi hospital swasta ini tidak bergantung kepada wang pesakit yang membayar terus dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya bayaran kepada hospital swasta ini dituntut dari syarikat insuran yang mana pesakit-pesakit ini telah membeli insuran perlindungan perubatan dari syarikat-syarikat insuran tersebut.

Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan terlalu mahal dan tidak masuk akal, ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pesakit, kerana apa pun jumlah kosnya akan ditanggung oleh syarikat insuran.

Pesakit tidak perlu risau jumlah kos perubatan yang dia kena bayar, sebaliknya dia hanya perlu memperuntukkan sebahagian kecil dari wang gaji atau pendapatannya setiap bulan untuk membayar sumbangan kepada syarikat insuran.

Begitulah bagusnya sistem pembiayaan perubatan menggunakan insuran ini. Di bawah sistem ini secara teorinya pesakit tidak pening kepala untuk memikirkan perbelanjaan hospital dan perubatan jika tiba-tiba ditimpa sakit.

Mungkin ia bagus untuk orang-orang kaya atau berpendapatan besar, tetapi kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan kecil tentu akan timbul masalah untuk membayar sumbangan atau mencarum setiap bulan kepada syarikat insuran. Mereka akan berfikir banyak kali, antara belanja harian yang lebih diperlukan dengan membeli insuran perlindungan perubatan ini, apatah lagi mereka memikirkan mereka belum tentu akan jatuh sakit di masa depan.

Insuran Islam atau takaful adalah berasaskan konsep bantu membantu antara satu sama lain. Duit dipungut dari setiap orang dan dikumpulkan bagi membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan dan kematian.

Islam sangat menggalakkan untuk membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan. Bantuan dihulur mengikut kemampuan dan keikhlasan seseorang. Orang yang berada tentulah akan menyumbang lebih banyak dari yang kurang berada.

Tetapi insuran dan takaful yang ada hari ini mengenakan bayaran sumbangan atau caruman yang sama jumlahnya tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. Di sinilah kelemahan yang ketara terdapat dalam sistem takaful yang ada sekarang.

Syarikat insuran mengutip dari setiap orang atau ahli dengan jumlah yang sama banyak, tiap-tiap bulan, dan duit yang terkumpul ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan hospital dan perubatan ahli-ahli yang jatuh sakit. Pendek kata, semua operasi hospital dan perubatan swasta adalah datang dari duit yang dikumpul oleh syarikat-syarikat insuran.

Sebaliknya, hospital kerajaan dan operasinya pula dibiayai oleh duit cukai yang dikutip oleh kerajaan. Lagi tinggi pendapatan seseorang, lagi banyaklah mereka kena cukai. Bagi golongan yang berpendapatan rendah dan miskin, mungkin tidak dicukai langsung.

Cara ini nampak lebih adil, orang kaya menyumbang lebih kepada masyarakat melalui sistem percukaian itu. Duit yang dicukai inilah yang akan digunakan bagi membiayai hospital dan perubatan kerajaan untuk warga yang sakit secara percuma tanpa mengira kaya atau miskin.

Penswastaan hospital hanya memperkayakan segelintir orang, mereka membuat perniagaan dan mengaut keuntungan yang melampau diatas penderitaan orang lain. Sikap ini sangat tidak bermoral.

Sehingga pernah kita dengar cerita-cerita, ada pesakit yang sepatutnya tidak perlu dimasukkan wad tetapi telah dimasukkan wad kerana ingin mendapatkan bayaran yang lebih.

Dan kita tidak hairan kalau ada pesakit diberi ubat dan ‘treatment’ yang tidak perlu bagi meninggikan bil perubatan mereka.

Hospital swasta mengaut keuntungan, syarikat insuran perlindungan perubatan juga mengaut keuntungan. Semua keuntungan yang mereka perolehi itu adalah datang dari duit pesakit dan orang ramai. Bila lebih banyak keuntungan dibuat, ini sebenarnya akan menambah kos perkhidmatan, kos ubat dan kos rawatan di hospital.

Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat insuran perlindungan perubatan dan gaji kakitangan insuran itu juga dibayar dari duit orang ramai yang mereka kutip. Sepatutnya rakyat hanya membayar kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi terpaksa juga membayar kos kepada sayarikat insuran, ini membuatkan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.

Kalau tidak ada hospital swasta, tidak adalah syarikat insuran perubatan, mungkin kakitangan insuran itu boleh bertukar kerja ke sektor yang lebih produktif. Bukan sekadar kerja makan komisyen saja.
Pada zaman Nabi dulu, baginda pernah dihadiahkan seorang tabib untuk bekerja di Madinah, tetapi setelah lama bekerja, tabib tersebut datang mengadu kepada Nabi, tidak ada penduduk yang datang berjumpa beliau. Maksudnya tidak ada penduduk yang sakit.

Dikatakan antara sebab orang Islam ketika itu tidak ada atau kurang yang sakit adalah kerana mereka menjaga disiplin makan dan makan makanan yang baik-baik lagi halal.

Kalaulah rakyat Malaysia tidak ramai yang sakit kerana tidak memakan makanan yang boleh mendatangkan mudarat, sudah tentu kita tidak perlukan doktor dan kakitangan hospital yang ramai seperti sekarang, kita juga tidak perlu membina hospital dan kemudahannya yang banyak seperti yang ada sekarang.

Bayangkan, berapa banyak perbelanjaan negara dapat dijimatkan jika bilangan doktor dan kemudahan perubatan dapat dikurangkan kepada separuh dari yang ada sekarang.

Sudah tentu, wang yang dapat dijimatkan itu boleh pula disalurkan kepada projek untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Dan bila kita pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan pasti kita akan dapat layanan yang baik kerana bilangan doktor dan kakitangan hospital ketika itu lebih ramai dari orang yang sakit.

Ini hanya boleh dicapai jika badan penguatkuasa undang-undang, termasuklah kastam, polis, pemeriksa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dapat menjalankan kerja mereka dengan amanah dan tegas, dan di pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyediaan bahan makanan pula, seperti petani, penternak, peniaga dan pekilang, sentiasa mengamalkan amalan baik dan tidak mengejar keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com