Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label hospital. Show all posts
Showing posts with label hospital. Show all posts

Tuesday, October 02, 2012

Syarikat insuran perlindungan perubatan dan hospital swasta menjadikan kos merawat pesakit bertambah mahal


Harga barang yang dibeli terus dari kilang adalah jauh lebih murah berbanding jika dibeli dari peruncit. Untuk sampai ke kedai runcit, barang-barang ini terlebih dahulu melalui pemborong dan pengedar.  Sudah tentu harga barang akan menjadi lebih mahal setelah pemborong, pengedar dan peruncit mengambil sedikit keuntungan ke atas harga jualan.

Lagi banyak tingkat pemasaran yang dilalui antara kilang dan pengguna, lagi tinggilah harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Kerana setiap tingkat pemasaran ini akan mengenakan caj bayaran bagi khidmat jualan mereka.

Perkara yang sama juga berlaku kepada kos merawat pesakit di hospital. Kos rawatan menjadi terlalu mahal apabila ada pihak yang membuat keuntungan dari perkhidmatan perubatan dan rawatan di hospital ini.

Sebelum wujudnya hospital swasta, rakyat yang sakit akan pergi ke hospital kerajaan untuk menerima rawatan. Di hospital kerajaan setiap rakyat negara ini mendapat rawatan secara percuma dan kalau pun dikenakan bayaran, bayaran yang dikenakan sangatlah rendah.

Selama ini memberi rawatan kepada rakyat yang sakit dan memberi pelajaran kepada rakyat adalah dianggap menjadi tanggungjawab pihak kerajaan. Pelajaran adalah penting untuk menyediakan rakyat yang berilmu pengetahuan bagi memajukan negara manakala rakyat yang sihat pula penting untuk memastikan produktiviti negara tidak terjejas. Oleh itu tidak hairanlah kalau selama ini kerajaan sanggup menanggung biaya hospital dan sekolah.

Walaupun kerajaan telah menanggung kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi sebenarnya sebahagian belanja yang diperolehi untuk mengurus perkhidmatan hospital ini adalah juga datang dari cukai yang dikenakan kepada rakyat.

Kerajaan tidak membuat keuntungan dari perkhidmatan hospital yang disediakannya. Oleh itu semua kos perkhidmatan, ubat dan rawatan dihospital berada pada tahap yang paling rendah sekali. Gaji doktor yang bekerja dihospital kerajaan mempunyai sekim gaji yang sama yang ditetapkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Apabila bilangan rakyat negara kita bertambah ramai, negara pula semakin maju, cara hidup rakyat pun berubah, penyakit mula datang dan menyerang dalam berbagai bentuk; amalan hidup yang tidak sihat, pemakanan yang tidak seimbang, kurang bersenam, penyediaan makanan yang tercemar oleh bahan kimia dan toksid, menjadikan peratusan bilangan pesakit setiap tahun bertambah.

Kerajaan tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang sangat ramai, kerajaan terpaksa menggunakan wang yang banyak untuk menanggung kos ubatan dan gaji doktor yang tinggi. Akhirnya banyaklah kelemahan-kelemahan atau kekurangan yang terdapat pada hospital kerajaan yang sering menjadi rungutan orang ramai. Akhirnya lahirlah hospital swasta untuk mengisi kekurangan ini.

Hospital swasta menjadi tarikan kepada golongan yang berduit, di sana mereka dapat layanan dan rawatan yang terbaik. Bagi golongan kaya, harga tidak menjadi masalah asalkan khidmat yang diberi memuaskan hati mereka.

Kerana permintaan yang menggalakan dari golongan yang berada, perniagaan hospital swasta telah membawa pulangan yang memberangsangkan. Ramailah pelabur melabur dalam perniagaan hospital swasta ini. Hasilnya semakin banyak hospital swasta tumbuh di negara ini. Apabila hospital swasta bertambah banyak, mereka bukan sahaja bersaingan dengan hospital kerajaan tetapi juga bersaing antara hospital swasta itu sendiri.

Semua kos perbelanjaan untuk mengurus dan mengendalikan hospital swasta ini memang sepenuhnya datang dari duit pesakit mereka. Duit itulah juga digunakan untuk membayar gaji pekerja dan gaji doktor-doktor mereka, dan kita juga tahu gaji doktor mereka jauh lebih tinggi dari gaji doktor yang bekerja di hospital kerajaan.

Pengwujudan hospital swasta ini sebenarnya menyebabkan kos perubatan dan rawatan menjadi bertambah mahal kerana perkhidmatan yang mereka berikan adalah berorientasikan keuntungan.

Sebenarnya kos operasi hospital swasta ini tidak bergantung kepada wang pesakit yang membayar terus dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya bayaran kepada hospital swasta ini dituntut dari syarikat insuran yang mana pesakit-pesakit ini telah membeli insuran perlindungan perubatan dari syarikat-syarikat insuran tersebut.

Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan terlalu mahal dan tidak masuk akal, ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pesakit, kerana apa pun jumlah kosnya akan ditanggung oleh syarikat insuran.

Pesakit tidak perlu risau jumlah kos perubatan yang dia kena bayar, sebaliknya dia hanya perlu memperuntukkan sebahagian kecil dari wang gaji atau pendapatannya setiap bulan untuk membayar sumbangan kepada syarikat insuran.

Begitulah bagusnya sistem pembiayaan perubatan menggunakan insuran ini. Di bawah sistem ini secara teorinya pesakit tidak pening kepala untuk memikirkan perbelanjaan hospital dan perubatan jika tiba-tiba ditimpa sakit.

Mungkin ia bagus untuk orang-orang kaya atau berpendapatan besar, tetapi kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan kecil tentu akan timbul masalah untuk membayar sumbangan atau mencarum setiap bulan kepada syarikat insuran. Mereka akan berfikir banyak kali, antara belanja harian yang lebih diperlukan dengan membeli insuran perlindungan perubatan ini, apatah lagi mereka memikirkan mereka belum tentu akan jatuh sakit di masa depan.

Insuran Islam atau takaful adalah berasaskan konsep bantu membantu antara satu sama lain. Duit dipungut dari setiap orang dan dikumpulkan bagi membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan dan kematian.

Islam sangat menggalakkan untuk membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan. Bantuan dihulur mengikut kemampuan dan keikhlasan seseorang. Orang yang berada tentulah akan menyumbang lebih banyak dari yang kurang berada.

Tetapi insuran dan takaful yang ada hari ini mengenakan bayaran sumbangan atau caruman yang sama jumlahnya tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. Di sinilah kelemahan yang ketara terdapat dalam sistem takaful yang ada sekarang.

Syarikat insuran mengutip dari setiap orang atau ahli dengan jumlah yang sama banyak, tiap-tiap bulan, dan duit yang terkumpul ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan hospital dan perubatan ahli-ahli yang jatuh sakit. Pendek kata, semua operasi hospital dan perubatan swasta adalah datang dari duit yang dikumpul oleh syarikat-syarikat insuran.

Sebaliknya, hospital kerajaan dan operasinya pula dibiayai oleh duit cukai yang dikutip oleh kerajaan. Lagi tinggi pendapatan seseorang, lagi banyaklah mereka kena cukai. Bagi golongan yang berpendapatan rendah dan miskin, mungkin tidak dicukai langsung.

Cara ini nampak lebih adil, orang kaya menyumbang lebih kepada masyarakat melalui sistem percukaian itu. Duit yang dicukai inilah yang akan digunakan bagi membiayai hospital dan perubatan kerajaan untuk warga yang sakit secara percuma tanpa mengira kaya atau miskin.

Penswastaan hospital hanya memperkayakan segelintir orang, mereka membuat perniagaan dan mengaut keuntungan yang melampau diatas penderitaan orang lain. Sikap ini sangat tidak bermoral.

Sehingga pernah kita dengar cerita-cerita, ada pesakit yang sepatutnya tidak perlu dimasukkan wad tetapi telah dimasukkan wad kerana ingin mendapatkan bayaran yang lebih.

Dan kita tidak hairan kalau ada pesakit diberi ubat dan ‘treatment’ yang tidak perlu bagi meninggikan bil perubatan mereka.

Hospital swasta mengaut keuntungan, syarikat insuran perlindungan perubatan juga mengaut keuntungan. Semua keuntungan yang mereka perolehi itu adalah datang dari duit pesakit dan orang ramai. Bila lebih banyak keuntungan dibuat, ini sebenarnya akan menambah kos perkhidmatan, kos ubat dan kos rawatan di hospital.

Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat insuran perlindungan perubatan dan gaji kakitangan insuran itu juga dibayar dari duit orang ramai yang mereka kutip. Sepatutnya rakyat hanya membayar kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi terpaksa juga membayar kos kepada sayarikat insuran, ini membuatkan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.

Kalau tidak ada hospital swasta, tidak adalah syarikat insuran perubatan, mungkin kakitangan insuran itu boleh bertukar kerja ke sektor yang lebih produktif. Bukan sekadar kerja makan komisyen saja.
Pada zaman Nabi dulu, baginda pernah dihadiahkan seorang tabib untuk bekerja di Madinah, tetapi setelah lama bekerja, tabib tersebut datang mengadu kepada Nabi, tidak ada penduduk yang datang berjumpa beliau. Maksudnya tidak ada penduduk yang sakit.

Dikatakan antara sebab orang Islam ketika itu tidak ada atau kurang yang sakit adalah kerana mereka menjaga disiplin makan dan makan makanan yang baik-baik lagi halal.

Kalaulah rakyat Malaysia tidak ramai yang sakit kerana tidak memakan makanan yang boleh mendatangkan mudarat, sudah tentu kita tidak perlukan doktor dan kakitangan hospital yang ramai seperti sekarang, kita juga tidak perlu membina hospital dan kemudahannya yang banyak seperti yang ada sekarang.

Bayangkan, berapa banyak perbelanjaan negara dapat dijimatkan jika bilangan doktor dan kemudahan perubatan dapat dikurangkan kepada separuh dari yang ada sekarang.

Sudah tentu, wang yang dapat dijimatkan itu boleh pula disalurkan kepada projek untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Dan bila kita pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan pasti kita akan dapat layanan yang baik kerana bilangan doktor dan kakitangan hospital ketika itu lebih ramai dari orang yang sakit.

Ini hanya boleh dicapai jika badan penguatkuasa undang-undang, termasuklah kastam, polis, pemeriksa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dapat menjalankan kerja mereka dengan amanah dan tegas, dan di pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyediaan bahan makanan pula, seperti petani, penternak, peniaga dan pekilang, sentiasa mengamalkan amalan baik dan tidak mengejar keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.

Friday, October 07, 2011

Pengamal perubatan alternatif patut bayar ganti rugi jika penyakit tidak sembuh

Sekarang ini bermacam-macam bentuk perubatan alternatif terdapat di Negara kita. Pengamal perubatan ini mendakwa telah banyak pesakit-pesakit mereka telah dapat disembuhkan tanpa memerlukan pembedahan dan tidak mendatangkan kesan sampingan.


Walaupun melalui testimoni yang mereka paparkan menunjukkan kejayaan-kejayaan dalam penyembuhan penyakit, tetapi masalahnya, kebanyakan keberkesanan kaedah perubatan alternatif ini tidak pernah dapat dibuktikan secara klinikal.

Sebenarnya ramai juga pesakit-pesakit yang menggunakan kaedah perubatan alternatif ini yang tidak berjaya disembuhkan, tetapi kes-kes yang tidak berjaya ini tidak pernah pula didedahkan.

Walupun kerajaan tidak menghalang kegiatan perubatan alternatif ini, tetapi ini tidak bermakna kaedah perubatan ini berkesan dan dijamin mampu menyembuhkan penyakit. Selagi ia tidak membahayakan orang ramai, kerajaan tidak ada masalah untuk memberi lesen kepada kegiatan mereka.

Di pihak pengamal perubatan alternatif ini juga harus ada rasa bertanggungjawab, supaya perkhidmatan mereka terus mendapat keyakinan dari orang ramai untuk terus menggunakannya.

Oleh kerana kaedah perubatan alternatif tidak dapat dibuktikan secara klinikal, kita mengalu-ngalukan mereka membuat bayaran ganti rugi kepada pesakit mereka jika penyakit mereka tidak sembuh setelah menggunakan kaedah perubatan tersebut.

Dengan cara ini, pesakit akan lebih percaya dan tidak teragak-agak untuk menggunakan perkhidmatan perubatan alternatif, kerana mereka rasa tidak tertipu dan tidak rugi untuk mencuba.

Kalau betul-betul pengamal perubatan alternatif ini ikhlas dan tidak sekadar mencari keuntungan saja, mereka harus berani memberi jaminan wang dikembalikan jika penyakit pesakit tidak menunjukkan perubahan yang positif setelah menggunakan ubat atau kaedah perubatan mereka.

Dengan adanya jaminan seperti ini, sebenarnya, untuk jangkamasa panjang ia akan menguntungkan pengamal-pengamal perubatan alternatif itu sendiri, di mana orang ramai akan bertambah yakin dengan kaedah perubatan mereka.

Sepatutnya mereka tidak hanya mendakwa kaedah perubatan mereka boleh menyembuhkan berbagai-bagai penyakit, tetapi mereka harus juga bertanggungjawab dengan apa yang mereka katakan itu.

Saya menulis isu ini melalui pengalaman saya sendiri. Isteri saya disahkan melalui pemeriksaan doktor hospital mengidap fibroid. Untuk setiap tiga ke lima bulan, dia akan pergi ke hospital untuk membuat pemantauan kepada saiz fibroid dan cyst yang ada dalam rahimnya. Setiap kali pemeriksaan dibuat, setiap kali itu juga fibroidnya bertambah bilangannya dan membesar.

Satu hari, ada rakan memperkenalkan ubat alternatif SNE (gambar) untuk dicuba, rakan itu juga memberitahu, ada seorang testimonial yang ada penyakit fibroid telah menjalani pembedahan untuk membuang fibroidnya, dan selepas pembedahan itu dia telah mencuba ubat SNE, didapati fibroid tidak tumbuh lagi selepas menggunakan ubat SNE.

Tertarik dengan cerita rakan tersebut, isteri saya turut ingin mencuba ubat SNE dengan harapan ubat ini boleh menghapuskan fibroidnya tanpa perlu menjalani pembedahan.

Setelah beberapa bulan memakan ubat SNE, sampailah tarikh temujanjinya untuk berjumpa doktor untuk pemeriksaan fibroidnya. Hasil pemeriksaan itu didapati fibroid dan cyst nya masih ada, masih tidak hilang. Bagaimanapun alhamdulilah bilangan dan saiznya tidak lagi bertambah.

Kesimpulannya, ubat SNE ini tidak mampu menghapuskan fibroid atau cyst, tetapi bagaimanapun ia berjaya menghalang pertumbuhan dan perkembangan fibroid dan cyst.

Selepas itu saya terbaca testimonial penyakit fibroid yang dikeluarkan oleh sebuah pusat perubatan homeopathy yang terkenal di tanah air, melalui internet. Pesakit dalam testimonial itu telah mendakwa kononnya setelah mengambil ubat-ubat homepathy yang tertentu yang diberi oleh doktor homeopathy di pusat itu selama sebulan, didapati fibroidnya mengecil dan selepas enam bulan, fibroidnya terus hilang.

Tertarik dengan cerita testimonial tersebut, saya telah mendapatkan ubat-ubat tersebut dari klinik homeopathy yang tidak kurang terkenalnya, yang terletak berhampiran kawasan rumah saya. Di samping memakan ubat SNE, isteri saya mula mengambil ubat-ubat yang saya beli dari klinik homeopathy itu.

Setelah enam bulan masa berlalu, dalam tempoh itu isteri saya tidak pernah putus mengambil ubat-ubat homeopathy yang dicadangkan itu, kini tarikh temujanji untuk pemeriksaan fibroidnya dengan hospital kerajaan pun tiba. Sungguh mengeciwakan, fibroid dan cyst nya bukan sahaja tidak hilang tetapi masih tidak berkurang, sama seperti sebelum itu.

Kita rasa macam tertipu dengan perubatan alternatif ini, dan pihak pengamal perubatan ini terus membuat keuntungan tanpa kita dapat mengambil tindakan untuk menuntut ganti rugi.

Apakah testimonial yang mereka paparkan di internet itu hanya sebagai memancing pesakit-pesakit untuk mendapat khidmat rawatan mereka? Saya rasa ada kemungkinan testimonial yang mereka paparkan itu adalah direka-reka oleh pihak pengamal itu sahaja. Saya yakin testimonial itu bukan ditulis oleh pesakit, kerana biasanya pesakit adalah orang awam yang tidak pernah tahu nama-nama ubat yang diberi oleh doktor homeopathy ini.

Saya sendiri pun sebelum ini juga pernah menggunakan khidmat perubatan homeopathy untuk penyakit yang saya hidapi. Bila kita berjumpa doktor kita akan memberitahunya tentang penyakit kita, selepas itu doktor akan memberi kita ubat dan kita tidak pernah ambil tahu nama-nama ubat yang diberi.

Kita tidak kisah kalau ramai orang pergi mendapatkan khidmat bomoh dan ubat air jampi dari mana-mana ustaz untuk menyembuhkan penyakit mereka, kerana kaedah perubatan cara itu tidak pernah pun didaftarkan dan tidak pernah diberi lesen oleh pihak berkuasa. Kesembuhannya memang tidak pernah dijamin dan hanya bergantung kepada keyakinan masing-masing untuk mempercayainya.

Tetapi kaedah perubatan alternatif yang saya bincangkan di sini ialah kaedah perubatan dan rawatan alternatif yang berdaftar dan diberi lesen untuk menjalankan kegiatan mereka. Sepatutnya mereka perlu lebih bertanggungjawab dan tidak sekadar untuk mengaut keuntungan sahaja. Mereka tidak sepatutnya menjadi seperti penipu yang berlesen.

Saturday, May 14, 2011

Banyak duit negara dapat dijimatkan jika tidak menjual makanan ringan di kantin sekolah

Satu cara mudah dan cepat mendapat untung ialah menjual makanan ringan, terutamanya berhampiran dengan kawasan sekolah.


Kanak-kanak memang suka makan makanan ringan atau jajan. Makanan ringan ini bukan sahaja tidak berkhasiat tetapi juga mengandungi campuran bahan pewarna, pengawet dan perasa yang boleh membawa mudarat kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Pengeluar dan peniaga makanan perlu mempunyai rasa tanggungjawab, selain dari menjual makanan yang sedap dan digemari, mereka juga mesti memastikan bahan makanan yang dijual tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan manusia.

Semua orang suka memakan makan yang enak dan lazat, tetapi makanan yang sedap-sedap ini mungkin juga mengandungi banyak gula, garam, lemak, bahan kimia, cholesterol dan trans fat.

Begitu juga dalam mengeluarkan hasil pertanian dan ternakan untuk dijadikan bahan makanan seperti bijiran, sayuran, ayam dan lembu, banyak bahan kimia digunakan dalam penyediaan baja, menggunakan racun serangga perosak dan ubat suntikan vaksin dan hormon penggalak pembesaran. Semua bahan-bahan sampingan ini banyak memberi mudarat kepada kesihatan manusia.

Apabila kita menjual makanan untuk mengejar keuntungan yang banyak dan cepat, tanpa mengira mudarat kepada kesihatan orang ramai, maka sikap ini akan merugikan negara kita sendiri.

Akhirnya belanja yang besar terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk meyediakan ubat dan rawatan kepada rakyat yang sakit.

Hospital perlu ditambah, doktor dan kakitangan hospital juga perlu ditambah dan lebih banyak duit diperlukan untuk membeli ubat-ubat bagi menampung pesakit yang semakin bertambah.

Untung yang diperolehi dari menjual makanan yang tidak sihat ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan perbelanjaan yang dikeluarkan negara bagi merawat rakyat yang sakit akibat dari memakan makanan yang tidak sihat itu.

Sudah ramai rakyat negara ini kena sakit darah tinggi, kencing manis, serangan jantung, sakit buah pinggang dan barah, semuanya itu penyakit-penyakit yang berpunca dari memakan makanan yang tidak sihat.

Hari-hari kita minum teh tarik di kedai mamak yang tidak ada pun sehelai daun tehnya, dan susunya adalah susu lemak berkerim yang mengandungi lemak kelapa sawitnya lebih banyak dari susu lembu.

Hari-hari kita masak dan menggoreng menggunakan minyak kelapa sawit yang banyak lemak tepu itu, yang boleh menyesakkan saluran darah dan jantung.

Dengan adanya kopi dan teh tiga dalam satu yang dijual dalam bentuk paket, memudahkan lagi orang ramai minum kopi dan teh. Nampak dan rasa serupa macam kopi susu atau teh susu, tetapi kalau kita baca pada labelnya, tidak ada pun susu, sebaliknya lemak kelapa sawit digunakan menggantikan susu.

Orang-orang yang tinggal di kawasan Mediterranean sangat kurang mendapat sakit jantung kerana mereka banyak menggunakan minyak zaitun dalam masakan mereka.

Kalau kita pergi hospital kerajaan, adalah biasa kalau orang ramai selalu merungut dengan layanan yang mereka terima bila berdepan dengan kakitangan hospital. Kita kena fahamlah, pesakit ramai, sedangkan kakitangan dan kemudahan di hospital tidak cukup. Kalau bilangan kakitangan dan kemudahan banyak, tentu mereka tidak ada masalah untuk melayan kita.

Kita kena terima hakikat yang kerajaan pun tidak mampu hendak menanggung belanja kesihatan yang begitu besar itu, banyak perkara-perkara lain lagi yang juga perlu diberi tumpuan oleh kerajaan.

Untuk mengurangkan beban, kerajaan menggalakkan penubuhan hospital swasta yang mana belanja bagi merawat pesakit dibiayai melalui wang insuran. Walaupun tidak sakit, orang ramai terpaksa membeli insuran untuk melindungi mereka dari membayar kos perubatan dan rawatan yang tinggi jika mereka jatuh sakit.

Syarikat insuran juga membuat keuntungan dan kakitangan insuran juga dibayar gaji dari duit orang ramai yang mereka kutip. Sepatutnya rakyat hanya membayar kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi terpaksa juga membayar kos kepada sayarikat insuran, ini membuatkan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.

Kalau tidak ada hospital swasta, tidak adalah syarikat insuran perubatan, mungkin kakitangan insuran itu boleh bertukar kerja ke sektor yang lebih produktif. Bukan sekadar kerja makan komisyen saja.

Pada zaman Nabi dulu, baginda pernah dihadiahkan seorang tabib untuk bekerja di Madinah, tetapi setelah lama bekerja, tabib tersebut datang mengadu kepada Nabi, tidak ada penduduk yang datang berjumpa beliau. Maksudnya tidak ada penduduk yang sakit.

Dikatakan antara sebab orang Islam ketika itu tidak ada atau kurang yang sakit adalah kerana mereka menjaga disiplin makan dan makan makanan yang baik-baik lagi halal.

Kalaulah rakyat Malaysia tidak ramai yang sakit kerana tidak memakan makanan yang boleh mendatangkan mudarat, sudah tentu kita tidak perlukan doktor dan kakitangan hospital yang ramai seperti sekarang, kita juga tidak perlu membina hospital dan kemudahannya yang banyak seperti yang ada sekarang.

Bayangkan, berapa banyak perbelanjaan negara dapat dijimatkan jika bilangan doktor dan kemudahan perubatan dapat dikurangkan kepada separuh dari yang ada sekarang.

Sudah tentu, wang yang dapat dijimatkan itu boleh pula disalurkan kepada projek untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Dan bila kita pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan pasti kita akan dapat layanan yang baik kerana bilangan doktor dan kakitangan hospital ketika itu lebih ramai dari orang yang sakit.

Ini hanya boleh dicapai jika badan penguatkuasa undang-undang, termasuklah kastam, polis, pemeriksa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyediaan bahan makanan, seperti petani, penternak, peniaga dan pekilang, sentiasa mengamalkan amalan baik dan tidak mengejar keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.

Sunday, September 12, 2010

Hospital tidak ada ubat kalau kena tungau

Aku masih ingat masa aku kecil-kecil dulu, kalau aku kena tungau, emak aku tidak pernah bawa klinik atau hospital. Ubatnya cukup mudah, emak aku akan sapu minyak gas (minyak tanah) di tempat yang kena tungau itu. Minyak gas ini cukup berkesan untuk menyelesaikan masalah tungau, semua orang kampong aku tahu benar cara menghapuskan tungau menggunakan minyak gas ini.

Minyak gas ketika itu memang mudah didapati, masa itu orang kampong memang simpan minyak gas di rumah bagi menyalakan pelita. Kampung ketika itu tidak ada elektrik, semua penduduk bergantung kepada cahaya pelita untuk menerangkan rumah di waktu malam.

Tungau adalah serangga yang sangat halus yang berwarna oren. Tungau ini suka melekap di bahagian ‘burung’ budak lelaki. Bila sudah kena tungau, ‘burung’ kanak-kanak ini akan jadi bengkak membening dan gatal, memang rasa tidak selesa sekali.

Itu cerita aku 40 tahun dahulu. Tetapi kisah tungau ini tidak pernah habis. Kini giliran anak-anak aku pula yang kena tungau. Setiap kali aku dan anak-anak balik kampong, ada saja anak kecil aku yang kena tungau.

Sekarang ini susah nak dapat minyak gas lagi, orang kampong sudah tidak guna minyak gas lagi, semua orang sudah pakai lampu elektrik. Kedai pun sudah tidak ada jual minyak gas lagi.
Oleh itu aku tidak ada pilihan, bila ‘burung’ anak aku membengkak kena tungau, aku terpaksa hantar dia ke hospital. Hospital bukanlah jauh dari kampong aku, tak sampai 5 Km pun.

Macam aku tak percaya, semasa doktor beri ubat, tidak ada satu ubat pun bertujuan untuk membunuh atau menghalau tungau yang melekat pada ‘burung’ anak akau itu. Ubat yang diberi hanyalah ubat penahan sakit (paracetamol) dan ubat mengurangkan rasa gatal. Sebaliknya doktor memberi nasihat, kalau bengkak ‘burung’ anak itu aku boleh menyebabkan dia susah hendak kencing maka dia perlu disunatkan. Sampai begitu sekali besarnya masalah yang dibawa oleh tungau ini.

Sungguh aku tidak sangka, selama ini rupanya di hospital tidak ada ubat untuk penyakit kena tungau ini. Selama ini aku ingatkan emak aku guna minyak gas untuk mengubat penyakit kena tungau kerana malas nak bawa aku ke hospital, tetapi kini barulah aku tahu memang hospital tidak ada ubat untuk menghapuskan tungau.

Mentang-mentanglah di Negara-negara Barat tidak ada masalah tungau, hingga tidak ada siapa yang hendak mengkaji dan mencari ubat bagi menghapuskan tungau ini.

Baru-baru ini aku ada dengar cerita dari kawan-kawan, cara yang mereka gunakan untuk mengatasi masalah tungau. Salah satu cara yang mereka gunakan yang menarik minat aku ialah menggunakan Vicks Vaporub.

Setelah aku cuba kepada anak aku sendiri, Vicks Vaporub ini memang berkesan, setelah disapu dengan Vicks, rasa gatalnya mula berkurang dan dalam masa dua hari bengkaknya telah menyusut kepada keadaan asal.

Tidak seperti minyak gas, Vicks ada dijual di mana-mana. Vicks juga lebih selamat berbanding minyak gas. Mungkin anda juga boleh mencubanya jika anda ada masalah tungau seperti yang aku hadapi ini.


Tuesday, June 08, 2010

Insuran perlindungan perubatan membebankan rakyat

Kerajaan tidak lagi mampu untuk menampung perbelanjaan hospital dan perubatan untuk rakyat yang diberikan secara percuma.

Oleh itu kerajaan telah cuba mengurangkan beban perbelanjaan hospital dan perubatan ini dengan cara menggalakkan pengwujudan hospital-hospital swasta.

Hospital-hospital swasta dapat memberi khidmat dan layanan yang jauh lebih baik dari hospital kerajaan. Jarang sekali pesakit merungut dengan layanan di hospital swasta berbanding hospital kerajaan.

Mungkin untuk beberapa tahun akan datang hospital kerajaan akan menjadi hospital untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin sahaja.

Bayaran yang dikenakan oleh hospital swasta memanglah mahal sesuai dengan layanan dan khidmat yang diberikan.

Sebenarnya kos operasi hospital swasta ini tidak bergantung kepada wang pesakit yang membayar terus dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya bayaran kepada hospital swasta ini dituntut dari syarikat insuran yang mana pesakit-pesakit ini telah membeli insuran perlindungan perubatan dari syarikat-syarikat insuran tersebut.

Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan terlalu mahal dan tidak masuk akal, ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pesakit, kerana apa pun jumlah kosnya akan ditanggung oleh syarikat insuran.

Pesakit tidak perlu risau jumlah kos perubatan yang dia kena bayar, sebaliknya dia hanya perlu memperuntukkan sebahagian kecil dari wang gaji atau pendapatannya setiap bulan untuk membayar sumbangan kepada syarikat insuran.

Begitulah bagusnya sistem pembiayaan perubatan menggunakan insuran ini. Di bawah sistem ini secara teorinya pesakit tidak pening kepala untuk memikirkan perbelanjaan hospital dan perubatan jika tiba-tiba ditimpa sakit.

Mungkin ia bagus untuk orang-orang kaya atau berpendapatan besar, tetapi kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan kecil tentu akan timbul masalah untuk membayar sumbangan atau mencarum setiap bulan kepada syarikat insuran. Mereka akan berfikir banyak kali, antara belanja harian yang lebih diperlukan dengan membeli insuran perlindungan perubatan ini, apatah lagi mereka memikirkan mereka belum tentu akan jatuh sakit di masa depan.

Insuran Islam atau takaful adalah berasaskan konsep bantu membantu antara satu sama lain. Duit dipungut dari setiap orang dan dikumpulkan bagi membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan dan kematian.

Islam sangat menggalakkan untuk membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan. Bantuan dihulur mengikut kemampuan dan keikhlasan seseorang. Orang yang berada tentulah akan menyumbang lebih banyak dari yang kurang berada.

Tetapi insuran dan takaful yang ada hari ini mengenakan bayaran sumbangan atau caruman yang sama jumlahnya tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. Disinilah kelemahan yang ketara terdapat dalam sistem takaful yang ada sekarang.

Syarikat insuran mengutip dari setiap orang atau ahli dengan jumlah yang sama banyak, tiap-tiap bulan, dan duit yang terkumpul ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan hospital dan perubatan ahli-ahli yang jatuh sakit. Pendek kata, semua operasi hospital dan perubatan swasta adalah datang dari duit yang dikumpul oleh syarikat-syarikat insuran.

Manakala hospital kerajaan dan operasinya pula dibiayai oleh duit cukai yang dikutip oleh kerajaan. Lagi tinggi pendapatan seseorang, lagi banyaklah mereka kena cukai. Bagi golongan yang berpendapatan rendah dan miskin, mungkin tidak dicukai langsung.

Cara ini nampak lebih adil, orang kaya menyumbang lebih kepada masyarakat melalui sistem percukaian itu. Duit yang dicukai inilah yang akan digunakan bagi membiayai hospital dan perubatan kerajaan untuk warga yang sakit secara percuma tanpa mengira kaya atau miskin.

Penswastaan hospital hanya memperkayakan segelintir orang, mereka membuat perniagaan dan mengaut keuntungan yang melampau diatas penderitaan orang lain. Sikap ini sangat tidak bermoral.

Sehingga pernah kita dengar cerita-cerita, ada pesakit yang sepatutnya tidak perlu dimasukkan wad tetapi telah dimasukkan wad kerana ingin mendapatkan bayaran yang lebih.

Dan kita tidak hairan kalau ada pesakit diberi ubat dan ‘treatment’ yang tidak perlu bagi meninggikan bil perubatan mereka.

Hospital dan sekolah adalah perkara asas yang sangat penting yang diperlukan rakyat dan negara. Kedua-dua perkara ini perlu diberikan secara percuma kepada rakyat. Negara tidak boleh maju dan produktif tanpa rakyat yang berilmu dan sihat.

Wednesday, March 11, 2009

Sekadar menjadi doktor demam selsema dan batuk.

TELAH menjadi tanggapan umum di masa-masa yang lalu, pekerjaan sebagai doktor memperoleh gaji yang lebih tinggi dari pekerjaan lain dalam perkhidmatan awam.

Dalam masa lebih 20 tahun yang lalu bidang kedoktoran perubatan menjadi pilihan utama kepada pelajar-pelajar di Negara kita kerana tawaran tangga gaji yang lebih tinggi itu.

Oleh kerana terlalu ramai pelajar berminat untuk memohon bidang perubatan maka universiti-universiti tempatan yang ada menawarkan kursus ini hanya memilih pelajar-pelajar yang paling baik dari segi kelulusan akademiknya sahaja diterima masuk untuk mengikuti kursus di bidang ini.

Oleh itu tidak dapat dinafikan, pelajar-pelajar yang berada dalam bidang perubatan dan seterusnya para doktor di Negara kita ini adalah termasuk dalam kelompok manusia-manusia yang paling pintar dan bijak berbanding rakyat lain itu.

Tetapi sayang sekali, kepintaran dan kebijaksanaan mereka itu tidak digunakan sepenuhnya. Tidak ramai yang berminat untuk bekerja di hospital-hospital kerajaan yang sangat mencabar yang dikunjungi oleh kebanyakan rakyat dengan berbagai jenis macam penyakit.

Sepatutnya di hospital kerajaanlah doktor-doktor ini menunjukkan minat untuk bekerja, kerana di situ mereka dapat peluang yang luas bagi mengkaji dan menyelidik berbagai penyakit yang dihidapi oleh berbagai lapisan rakyat Negara ini.

Tentulah dengan kepintaran dan kebijaksanaan otak yang di anugerahkan oleh Tuhan itu, mampu mencari penawar-penawar dan kaedah-kaedah baru untuk menyembuhkan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh rakyat Negara ini.

Dari pemerhatian saya, kebanyakan doktor-doktor hari ini lebih minat hendak membuka klinik-klinik mereka sendiri setelah menimba pengalaman bekerja di hospital kerajaan.

Dengan membuka klinik sendiri mereka memperoleh pendapatan yang lebih lumayan berbanding menjadi doktor di hospital kerajaan. Dulu semasa kecil mereka melihat tangga gaji doktor itu lebih tinggi. Setelah menjadi doktor di hospital kerajaan, mereka melihat pendapatan usahawan dan peniaga pula yang lebih besar dan lumayan.

Lantaran itu ramailah doktor-doktor membuka klinik sendiri semata-mata hendak mengejar pendapatan yang lumayan. Walaupun mereka tidak kecukupan masa untuk melayan pesakit-pesakit yang datang ke klinik mereka untuk mendapatkan rawatan tetapi mereka tetap gembira kerana pendapatan yang mereka perolehi amat lumayan.

Sebaliknya kalau bekerja di hospital kerajaan, kedatangan pesakit yang ramai tidak akan menambah kepada pendapatan mereka kerana gaji tetap sama bagi setiap bulan.

Sikap sebahagian doktor yang hanya ingin mengejar pendapatan lumayan ini sungguh merugikan Negara kita. Di mana akhirnya doktor-doktor ini banyak membuat duit melalui pesakit-pesakit yang datang ke klinik mereka kerana hendak mendapatkan rawatan akibat demam selsema dan batuk, pening kepala dan muntah-muntah,gatal-gatal dan alahan, sakit perut dan berak-berak. Inilah penyakit-penyakit yang biasa dirujuk kepada klinik mereka untuk mendapatkan ubatnya.

Kalau telah diberi ubat tidak juga baik maka doktor-doktor klinik ini akan membuat surat supaya peasakit itu dirujuk ke hospital-hospital. Amat mudah tugas doktor-doktor klinik ini. Tidak payah pening kepala untuk merawat pesakit itu sampai sembuh, rujuk saja ke hospital.

Kalau setakat hendak beri ubat demam selsema dan batuk, orang yang lulus peringkat SPM pun boleh buat kerja seperti itu. Tidak seperti hendak membaiki kereta, kita tidak perlu ada ijazah kejuruteraan mekanikal baru boleh baiki kereta. Sebaliknya orang yang sekolah sampai peringkat SPM dan ada sijil mengikut kursus membaiki kereta sudah memadai untuk membaiki kereta yang rosak.

Oleh kerana tanggungjawab merawat dan memberikan ubat kepada pesakit adalah eksklusif diberikan kepada doktor, maka doktor dapat membuat duit yang banyak dari keadaan itu.

Kita tidaklah mahu sangat mempertikaikan duit yang banyak mereka dapat itu, tetapi apalah ertinya kita dianugerahkan Tuhan dengan otak yang pintar dan bijak tetapi sekadar menjadi doktor demam selsema dan batuk.
Minta maaf Tuan Doktor.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com